Selasa, 4 Februari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Rozita, Zain berbeza pilihan

Posted:

Rozita, Zain berbeza pilihan

Rozita, Zain berbeza pilihan

SETELAH 10 tahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal serta membesarkan kedua-dua anak hasil perkahwinan terdahulu, pelakon cantik Rozita Che Wan mengakui agak kekok apabila kembali bergelar isteri semula.

Bertemu dengan pelakon yang popular dengan panggilan Che Ta bersama suami tercinta, Zain Saidin ketika majlis pelancaran Koleksi Valentines Pandora, di Ampang, Selangor baru-baru ini, dia mengakui perasaan itu timbul pada peringkat awal perkahwinannya itu.

"Sudah lama hidup sendiri, sudah tentu saya merasai sedikit kelainan apabila mempunyai suami sehingga sukar tidur malam. Rasanya dalam seminggu juga masa yang diambil untuk membiasakan diri.

"Kini perasaan kekok itu sudah tidak ada lagi dan selesa menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Misalnya, kalau saya ada kelapangan, saya akan memasak untuk suami," ujarnya yang baru sahaja pulang berbulan madu di Eropah.

Bercerita lanjut tentang kehidupannya sekarang ini, Che Ta mengakui sebagai wanita yang baru sahaja kembali mendirikan rumah tangga, perkara paling utama pastinya ingin memiliki cahaya mata.

Menyedari pada usianya sekarang yang sudah mencecah 41 tahun agak berisiko untuk hamil, tetapi pelakon yang popular menerusi drama bersiri Kiah Pekasam itu sudah meminta nasihat daripada pihak doktor.

"Saya teruja mahu hamil bukanlah disebabkan mendapat berita yang rakan artis iaitu Didie Alias kini sudah berbadan dua. Sebaliknya, sebagai seorang isteri pastinya saya mahu memiliki zuriat sendiri bersama Zain.

"Sebenarnya saya ada menghubungi Didie dan meminta kepadanya petua untuk hamil dan dia menyarankan supaya kami mengambil satu produk makanan tambahan yang diamalkannya itu," jelasnya.

Menurut Che Ta, apa yang menariknya apabila bercerita tentang cahaya mata kerana wujudnya perbezaan antara dirinya dengan Zain iaitu berkenaan dengan jantina anak.

CHE TA berharap dikurniakan anak perempuan, manakala Zain pula mahukan anak lelaki.


"Memandangkan saya sudah memiliki dua anak lelaki sebelum ini, pastinya saya inginkan anak perempuan pula, tetapi Zain pula memberitahu yang dia teringin mendapat anak lelaki.

"Namun begitu, kami beranggapan bahawa semuanya terserah kepada rezeki yang akan diperolehi nanti. Kami tidak kisah sama ada dikurniakan anak lelaki atau perempuan, asalkan impian memiliki cahaya mata tercapai," luahnya.

Menceritakan tentang bulan madu mereka pula, Che Ta menyatakan mereka sempat pergi ke beberapa buah lokasi yang menarik di Itali seperti Venice, Milan dan Rome.

"Sebaik sahaja pulang daripada berbulan madu, saya dan Zain terus menjalani penggambaran telemovie Janjikan Aku Bahagia yang akan disiarkan di TV3 menerusi slot Cerekarama.

"Dalam telemovie tersebut kami berlakon sebagai pasangan suami isteri dan ia menceritakan tentang kisah seorang wanita yang mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang lebih muda," jelasnya sambil menegaskan jalan ceritanya tidak berkaitan langsung dengan kisah hidup mereka berdua.

Luar negara

Di sebalik impiannya untuk mendapatkan cahaya mata bersama suami tercinta, Che Ta menyatakan, dia juga sudah mempunyai perancangan terhadap kedua-dua anaknya iaitu Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16.

Jelasnya, dia sudah merancang untuk menghantar anak sulungnya, Ammar yang kini sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran ke luar negara.

"Kalau boleh saya ingin menghantar Ammar sambung belajar di England dalam bidang perbankan dan berusaha untuk mendapatkan biasiswa. Jika gagal mendapatkan biasiswa, saya akan menggunakan duit sendiri untuk membiayai pengajiannya.

SELEPAS mendirikan rumah tangga, Zain dan Che Ta berlakon bersama di dalam telemovie berjudul Janjikan Aku Bahagia.


"Lagipun duit bukanlah menjadi satu masalah yang besar kerana sejak dahulu lagi saya dan bekas suami ada membuat simpanan khas untuk pendidikan anak-anak dan saya juga turut bercadang untuk menghantar Aniq melanjutkan pelajaran di luar negara pada masa akan datang," jelasnya.

Ketika ditanya sama ada dia tidak kisah akan berjauhan dengan anak-anaknya nanti, pelakon itu berkata, sebagai ibu dia tidak kisah kerana inginkan yang terbaik buat mereka untuk jangka masa panjang.

Kerja keras

Setelah menjadi seorang suami, Zain, 30, yang berada di samping isteri tercinta semasa ditemu bual memberitahu bahawa kehidupannya sekarang tidaklah jauh berbeza, kecuali kini dia turut bergelar ayah kepada dua orang anak.

Jelas Zain, tanggungjawabnya kini sudah semakin bertambah dan dia perlu berusaha dengan lebih keras dalam bidang lakonan bagi mencari nafkah untuk menyara isteri dan anak-anak.

"Ada yang berpendapat bahawa selepas kahwin, masa yang ada akan menjadi terbatas, tetapi saya merasakan setelah bergelar suami ini saya mempunyai lebih banyak masa dan sangat gembira dengan kehidupan sekarang.

"Tawaran dalam lakonan masih banyak yang diterima dan kini saya baru sahaja kembali berlakon semula setelah mengambil cuti yang agak panjang kerana persiapan perkahwinan sebelum ini," ujarnya.

Menurutnya, dia juga tidak kisah sekiranya kerap mendapat tawaran berlakon di samping isteri tercinta kerana ia akan lebih memudahkan kedua-duanya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama-sama.

Dalam pada itu, Zain menyatakan bahawa dia ingin kembali menyambung hasratnya untuk menyanyi yang tertangguh serta mempunyai perancangan untuk menjalankan perniagaan pada masa akan datang.

Sakinah anggap seksi biasa buatnya

Posted:

Sakinah anggap seksi biasa buatnya

Sakinah anggap seksi biasa buatnya

Oleh IZWAN MOHD. ISA
izwan.mohdisa@kosmo.com.my

KATA Sakinah, dia hanya mahu menjadi dirinya sendiri.


JIKA dunia glamor dipilih untuk dijadikan kerjaya, setiap individu itu perlu bersedia untuk diperhatikan oleh orang awam, khususnya para peminat yang tidak pernah lekang dengan seribu satu soalan dan bermacam kritikan. Lebih-lebih lagi apabila kritikan itu mudah disalurkan secara terus melalui laman media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram.

Tidak terlepas daripada situasi ini, pelakon Sharifah Sakinah, 25, dikatakan sengaja mengundang kontroversi apabila beberapa keping gambarnya berpakaian baju renang dimuat naik menerusi akaun peribadi Instagram miliknya.

Tidak kurang juga sekeping gambar yang diambil oleh jurulatih peribadinya yang menampakkan Sakinah mengenakan pakaian renang jenis two-piece sewaktu bercuti di Dubai beberapa bulan lalu. Selain itu, pelakon yang pernah membintangi telemovie Biar Mimpi Sampai Ke Bintang ini sering mempamerkan bentuk tubuh baharunya selepas bergiat aktif dalam bidang kesihatan.

Sewaktu berkesempatan bertemu dengannya pada majlis pelancaran Royal Slim Lishuo Magic yang berlangsung di N'dah Catering, Shah Alam, Selangor, pelakon yang lebih mesra disapa Sakinah itu mengaku bahawa dia masih ingat hukum hakam agama dan bukan sengaja memuat naik gambar tersebut untuk meraih sebarang publisiti. Ikuti temu bual selanjutnya bersama adik kepada pelakon Sharifah Shahirah itu.

Kosmo!: Gambar anda mengenakan pakaian renang jenis two-piece dimuat naik oleh jurulatih anda di akaun peribadi miliknya ketika berada di Dubai. Adakah anda tidak sensitif dengan agama?

SAKINAH: Sebagai seorang Islam, saya masih tahu tentang hukum agama. Saya turut sedar mengenai larangan mendedahkan aurat. Tetapi, saya hanya menjadi diri saya. Saya tidak memuat naik gambar-gambar tersebut kerana mahukan publisiti. Saya langsung tidak meletakkan sebarang kapsyen provokasi pada setiap gambar.

Adakah anda sedar bahawa anda sering diperhatikan, terutamanya oleh para peminat yang sering mengikuti perkembangan anda?

Seperti yang saya katakan tadi, saya hanya menjadi diri saya sendiri. Saya berlakon kerana minat dan saya bergiat aktif dalam bidang kesihatan juga kerana minat. Bagi saya, jika setiap benda yang dilakukan itu dipandang positif, maka tiada sebarang tanggapan buruk yang akan dikeluarkan.

SEDAR dirinya seksi, Sharifah Sakinah memberitahu dia cuba memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa.


Pernah berasa menyesal kerana kehidupan peribadi sering dijadikan bahan bualan sejak anda bergelar selebriti?

Kontroversi telah melanda saya sejak sebelum saya bergelar seorang pelakon lagi. Ketika itu, saya dikenali sebagai adik kepada Sharifah Shahirah. Bayangkan, sebelum saya dikenali ramai, gambar-gambar saya bersosial bersama rakan-rakan telah tersebar di internet dan orang telah mula bercakap mengenai saya. Jadi, apabila benda-benda seperti itu berlaku sekarang, saya hanya berdiam diri.

Apakah tindakan anda seterusnya?

Saya akan meneruskan apa yang saya lakukan sekarang dan cuba menjadi diri sendiri. Sejujurnya, saya akan memperbaiki diri saya berperingkat dan lebih berhati-hati dengan apa yang saya kongsikan.

Bercakap mengenai kesihatan, bagaimana anda boleh terjebak dengan mengadakan kelas bersenam di KLCC bersama para peminat?

(Sambil tertawa) Oh, ia bermula secara kebetulan. Ketika itu, saya hanya mengajak peminat secara suka-suka untuk mengikuti saya bersenam di KLCC. Lama-kelamaan, banyak permintaan yang diterima setiap hari. Bilangan pengikut di akaun Instagram @fitnessakinah turut naik dengan mendadak. Alhamdulillah, hobi yang dahulu saya lakukan sendirian dapat dikongsi bersama orang lain.

Adakah anda cuba untuk menjadi Kevin Zahri versi wanita?

Tidak sama sekali. Kevin Zahri merupakan seorang yang profesional dalam bidangnya. Saya hanyalah seorang individu biasa yang cuba berkongsi cara saya menjaga kesihatan dengan para peminat. Pendekatan saya adalah lebih santai dengan menggunakan cara bersenam yang boleh dilakukan di rumah.

Pelakon dan pelawak Didie Alias pernah menyebut nama anda sebagai penggantinya. Boleh komen sedikit mengenai kenyataan tersebut?

Saya tidaklah menganggap diri saya sebagai pengganti tetapi lebih kepada pelapis. Kak Didie dahulu turut menjadi pelapis kepada pelakon-pelakon komedi veteran yang lain dan saya turut tidak terkecuali. Pelakon-pelakon seangkatan dengan saya seperti Neelofa, Izzara Aisyah dan Anzalna kesemuanya bukan ke arah komedi. Jadi, mungkin senang bagi peminat untuk mengingati saya.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya baru tamat penggambaran telemovie berjudul Tesis Terakhir dan akan menyertai sebuah sitkom bertajuk Yan Merempit. Saya sengaja memilih sitkom kerana ia lebih santai, berbentuk komedi dan saya dapat mengimbangi jadual untuk meneruskan kelas kesihatan bersama peminat dengan lebih mudah.

Sakit, Julie Dahlan tak suka meminta

Posted:

Sakit, Julie Dahlan tak suka meminta

Sakit, Julie Dahlan tak suka meminta

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my

JULIE dan anak perempuannya, Hani yang banyak membantu dirinya.


EMPAYAR Julie Dahlan bukan biasa-biasa. Produser itu pernah suatu ketika dahulu menerbitkan filem yang menjadi fenomena semasa antaranya Wira Angkasa (1987), Harry Boy (1991), Driving School (1990) dan terakhir Cinta Metropolitan (1996).

Harus diakui bakatnya lebih tertumpu untuk kerja di belakang tabir berbanding menjadi wajah pelaris filem. Namun begitu, filem-filem lakonannya seperti Si Badol (1979), Idola (2002) dan Cicakman 2: Planet Hitam (2008) meninggalkan memoir berharga kepada peminatnya.

Malah, suatu ketika dahulu personalitinya pernah dijadikan bahan sinikal dalam filem Pengantin Popular (1994) yang diarahkan oleh Erma Fatima menerusi watak khas yang dilakonkan oleh Allahyarham Azean Irdawati sehingga mengundang perdebatan hangat.

Sedikit terkilan dengan tindakan berkenaan, ujar Julie atau nama sebenarnya Junaidah Dahlan, 61, dia tidak kisah dijadikan bahan lawak.

"Saya tahu saya bukanlah begitu, jadi saya tidak kisah dijadikan bahan lawak atau dipandang sinis seperti dalam filem Pengantin Popular.

"Memang mulanya saya berkecil hati dengan Erma dan pernah bertikam lidah tapi lama-kelamaan saya sudah boleh melupakan perkara berkenaan dan sekarang kami sudah neutral.

"Walau hati marah tapi saya belajar untuk beralah, bukan bermakna saya mengalah tapi itu satu proses untuk mendidik," katanya yang ditemui di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pembabitan Julie dalam dunia lakonan bermula dari bawah, pada usia 28 tahun dia mula berjinak-jinak sebagai pelakon tambahan namun bakatnya mendapat banyak kritikan berbanding pujian.

Sejak itu, ibu kepada pelakon Hani Nur Zara itu mula terbabit dalam kerja belakang tabir sebagai kru, penolong pengarah dan akhirnya mengarahkan sendiri filem Kad Cinta (1995).

Mengimbas kembali sumbangannya yang lain kepada industri hiburan, Julie pada dasarnya telah mencungkil nama-nama besar yang kini menjadi primadona filem-filem Melayu seperti Nasha Aziz, Vanidah Imran, Sofia Jane dan Erra Fazira.

"Saya yang rekrut Erra Fazira asalnya untuk berlakon filem terbitan saya, Putera (1995) tapi malangnya ketika itu dia sedang hangat bercinta dengan Awie dan Yusof Haslam pula mengikat Awie dengan kontrak tidak boleh berlakon filem lain selain syarikatnya.


(DARI kanan) Pansha, Yusof dan Freddie hadir menziarahi dan memberi sumbangan RM5,000 bagi menanggung kos rawatan yang ditanggung Julie.


"Maka, Erra pun menarik diri daripada filem Putera dan saya gantikan dengan Erma Fatima. Selepas itu saya bertemu pula dengan Nasha Aziz yang saya yakin potensinya boleh digilap dan mampu terbang tinggi.

"Bagi saya, cantik itu penting dan lakonan boleh digilap. Itu yang saya lihat pada diri Nasha, Sofia Jane, Vanidah Imran dan Erra Fazira," tambahnya.

Julie mengakui antara kesemua filem terbitannya, Hanny (1993) lakonan Ruhil Amani, Maria Farida dan Hani Mohsin adalah filem paling tidak laku.

Bagaimanapun, filem itu sekurang-kurangnya memberikan pulangan lebih RM30,000 berbanding senarai filemnya yang lain.

"Saya tidak faham kenapa sekarang ramai yang cakap buat filem merugikan. Mungkin kalau tidak laku walau filem itu bagus kerana terlalu banyak filem di pasaran dan penonton ada banyak pilihan lain. Jadi, kita perlu melakukan sesuatu," jelas Julie.

Baru-baru ini juga, atas sumbangan besar Julie kepada industri hiburan, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, N. Panchacharam atau lebih dikenali sebagai Pansha, Presiden PFM Datuk Yusof Haslam dan ahli jawatankuasa PFM, Datuk Freddie Fernandez meluangkan masa melawatnya yang kini sedang sakit.

Sumbangan RM5,000 dihulurkan untuk meringankan beban Julie yang terpaksa menanggung kos rawatan hemodialisis bernilai RM2,000 sebulan selain rawatan sampingan penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis dan masalah penglihatan.

Bercakap mengenai tahap kesihatannya, Julie memberitahu, dia sebelum ini pernah dikejarkan ke hospital sehingga saluran pernafasannya ditebuk untuk memudahkan rawatan dilakukan.

"Berpunca daripada kencing manis sekarang datang penyakit lain termasuk tekanan darah tinggi, buah pinggang dan masalah penglihatan.

"Mula-mula ditimpa musibah, saya rasa terpinggir tapi selepas dua tiga bulan saya kembali bersemangat. Saya mahu hidup dan akan tanggung semua ini," ujarnya.

Sementara itu, Julie berharap agar pihak stesen televisyen memberi peluang kepadanya untuk menerbitkan produk di bawah saluran mereka.

Dengan dibantu oleh anaknya, Hani Nur Zara, beberapa buah drama milik Julie telah melalui proses pitching (sesi untuk menetapkan waktu siaran) di beberapa buah stesen televisyen sejak bulan September tahun lalu. Namun malangnya, belum ada sebarang jawapan.

Katanya: "Saya tidak mahu meminta-minta tapi saya ada kepakaran (menerbitkan produksi drama) untuk dijual. Saya memang ikut prosedur seperti orang lain, jadi besar harapan saya, pihak stesen TV memberi peluang kepada produk saya untuk disiarkan."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved