Hidup dan mati NoahHidup dan mati Noah
 GANDINGAN utuh kumpulan Noah yang dianggotai oleh (dari kiri) Lukman, Reza, Ariel, Uki dan David sewaktu pelancaran filem Awal Semula di XXI Epicentrum, Jakarta, dua minggu lalu.
|
"SUATU hari nanti, pasti semua ini diingat dengan tertawa. Suatu hari, setiap masalah itu pasti jadi bahan ketawa buat yang mengenangnya.
"Sepuluh tahun lagi saya pasti ketawa-ketawa mengingatnya, soalnya yang dahulu juga begitu, mentertawakan kebodohan, mentertawakan kelucuan."
Itu sebuah pernyataan yang pernah keluar daripada mulut Ariel ketika ditemu ramah majalah Indonesia sewaktu dia di dalam penjara.
Tidak lama masa yang diambil oleh Ariel mahupun Noah untuk tersenyum kembali. Usai 'hibernasi' Ariel di Penjara Kebonwaru, Bandung selepas menjalani hukuman penjara kerana kes video lucahnya, gabungan Ariel, Uki, Lukman, Reza dan ditambah kini dengan kehadiran David, Noah kembali mengganas di persada muzik Indonesia. Malah disebut-sebut sebagai grup paling sibuk dan laris di pasaran.
Ini semua hasil penantian yang disalut kesabaran selama setahun setengah dengan berdiam diri dan menjalani kehidupan normal masing-masing sementara menunggu Ariel bebas.
Depan kamera
Kata Ariel yang ditemu bual selepas menonton filem baharu yang menampilkan perjalanan hidup Noah, magis yang tersalut dalam kemeriahan Noah kini merupakan hasil kerja berpasukan. Semuanya terangkum dalam satu pakej yang meletakkan mereka pada satu titik kejayaan.
Mereka berjaya hidup kembali dalam industri muzik selepas menukar nama grup Peter Pan kepada Noah.
Menurut Putrama Tuta, sang sutradara yang menghimpunkan rentetan peristiwa tanpa skrip Noah dalam satu layar, semuanya dipertontonkan secara jujur.
Pengarah filem dokumentari Awal Semula ini menghimpunkan gambaran kesibukan, kesunyian, kegembiraan dan pasrah Noah dalam berkelana menjadi anak band lalu dipadatkan dengan baik dan kemas.
Lebih menambat hati ialah pertuturan dari hati setiap anggota grup, kru dan orang yang dekat dengan Noah. Mereka berbicara daripada skrip hati dan bukan hasil tulisan atau kendalian siapa-siapa.
Tuta sendiri menganggap ini sebagai 'kesempatan kedua' buat Noah. Ungkapnya, dia bukan bercerita tentang kisah di sebalik layar konsert-konsert Noah tetapi bagaimana setiap anggota hingga kru menjalani masa-masa sukar dan memanfaatkan kesempatan kedua yang mereka miliki.
"Saya lihat mereka berusaha setiap hari untuk jatuh cinta dengan muzik," ujar Tuta.
Menariknya juga ialah terdapat satu sedutan Noah bersama Idris Sardi, iaitu maestro muzik yang sudi bekerjasama dengan Noah untuk sebuah projek tanpa Ariel.
Pada waktu itu, Ariel masih menjalani hidup sebagai banduan. Kata Idris mudah tetapi padat: "Apa yang pernah hitam pada masa lalu, Insya-Allah akan menjadi putih."
Lalu filem Awal Semula yang dilancarkan pada 11 November lalu di XXI Epicentrum, Jakarta mempamerkan hitam dan putih itu. Inti pati yang jelas ialah sebuah kebangkitan Noah.

MENUKAR nama daripada Peter Pan kepada Noah, kumpulan ini tidak pernah jauh daripada sokongan peminat dan tumpuan media.
Bermula dengan bebasnya Ariel dari penjara dan perginya dua anggota asal Peter Pan, ada alasan di sebalik nama Noah itu.
"Nama Noah memberi berkat buat kami. Ini juga menjurus kepada konsep peluang kedua dalam hidup kami," ujar Ariel yang keletihan selepas menjalani jadual padat bergelar anak band paling sibuk di Indonesia.
Watak sebenar
"Setahun yang lalu, ramai yang menawarkan kami untuk berlakon filem tetapi arah kami tidak ke sana waktu itu.
"Jadi, apabila ada idea mengenai dokumentari ini, kami bersetuju tetapi meminta untuk menonton filem itu terlebih dulu sebelum ditayangkan," ujar Reza si pemain dram.
"Ini yang pertama dan salah satu daripada perancangan kami yang akhirnya terlaksana. Masih banyak hal yang mahu kami lakukan," tambah Uki yang menganggap filem ini sebagai penanda aras bagi karier Noah.
Filem yang dihasilkan oleh 700 Pictures, Berlian Entertainment dan Musica Studio ini, jelas Reza, dilakukan dengan mengikuti siri jelajah konsert Noah selama enam bulan.
"Kami tidak perlu berlakon malah kami tidak sedar akan kehadiran kamera. Jadi semuanya lebih semula jadi.
"Khalayak melihat semuanya sampailah kepada masalah kebersamaan dan solusinya," jelas Reza yang menganggap kesempatan kedua sebagai sesuatu yang lebih spiritual.
Ditanya Ariel tentang adegan yang paling mencuit perasaannya dalam filem itu, jawabnya dengan tenang: "Ketika melihat adegan Uki, Reza, Lukman dan David bercanda.
"Begitu juga adegan selepas saya keluar penjara. Saya sangat berterima kasih kepada orang yang bersama kami selama ini khususnya pada saat kami menghadapi tekanan.
"Yang mengusik perasaan juga ialah apabila melihat kami seperti tiada semangat lagi tetapi akhirnya bangkit bersama," celah Reza ketika Ariel mengambil masa untuk mengingati adegan yang mengusik hatinya.
Sebelum usai temu bual yang diadakan sebelum persembahan akustik Noah selepas tontonan filem, penulis bertanyakan Ariel tentang istilah 'perhatian'.
Kala ini mata-mata melihatnya secara ekstrem. Perhatian yang diberikan kepada Ariel telah beralih kepada tahap puja dan minat yang boleh dikatakan melampau.
Peminat perempuan terutamanya jauh lebih 'gila' daripada sebelum dia memasuki penjara. Perhatian umum yang satu ketika dahulu melihat dengan mata cerca kerana kesilapan lampau kini berubah menjadi cinta gila. Sekelip mata perhatian juga berubah arah dan warna.
"Saya beradaptasi dengan perhatian tersebut. Tidak ada perasaan lain malah masih sama seperti dahulu," ujar Ariel jelas.
"Mudah-mudahan apa pun yang terjadi, kerja keras maksimum ini boleh memberi manfaat buat ramai orang," jelas Ariel yang mengaku sukar mendapat rehat panjang.