Kesederhanaan Syawal Nora, NabilaKesederhanaan Syawal Nora, Nabila
MAHU menyatukan dua aktres hangat Nabila Huda Suhaimi, 29, dan Nora Danish Hanif, 31, buat pertama kalinya bersama cahaya mata masing-masing untuk santapan umum pada Aidilfitri hampir gagal. Ini kerana kedua-duanya sudah terikat dengan jadual penggambaran.
Seawal Ramadan, Nabila sendiri sempat menyambutnya di bumi New Zealand selama 10 hari kerana terikat dengan penggambaran naskhah Jodoh Itu Milik Kita. Tarikh sesi fotografi kerap berganjak kerana pada saat Nabila 'kosong', Nora pula sudah bersedia untuk masuk ke set penggambaran.
Bagaimanapun pada tarikh 26 Julai lalu, pukul 3 petang, seperti yang dijanjikan kedua-dua wanita itu hadir untuk sesi fotografi. Lebih mengujakan kerana mereka mengotakan janji membawa 'permata' masing-masing.
Nora hadir bersama 'kekasihnya', Putera Rayqal Rizal Ashram, 4, manakala puteri Nabila, Keisha Laila, 3, hadir lewat sedikit selepas dihantar oleh mantan suaminya, Eddie.
Dan apabila semua sudah bersatu, kami memulakan sesi pemotretan yang berakhir lancar.
Pengisian ceritera pada hari itu, tiada lain dan tiada bukan ialah mengenai sambutan Aidilfitri dan sedikit kisah peribadi mereka.
Bagaimana dua ibu tunggal ini menyambut 1 Syawal tanpa status seorang suami di sisi seperti yang pernah mereka ledani sebelum ini.
Nabila raya di Eropah
Baik Nabila mahupun Nora, kedua-duanya menjawab mereka telah terbiasa, sementelah Syawal yang dirai saban tahun juga serba sederhana. Tiada seorang suami di sisi pada pagi hari raya sedikit pun tidak meninggalkan kudis buat Nabila atau Nora.
"Jujurnya, saya memang sudah terbiasa sendiri dan menyambut raya secara sederhana. Jadi, saya tidak terasa sangat tentang ada seorang lelaki di sisi. Pada saya, cukup jika anak ada bersama saya menyambut raya," ujar Nabila.
Dia bagaimanapun memberitahu, tahun ini, Keisha menyambut Aidilfitri bersama keluarga mantan suaminya, Eddie. Jelasnya, dia mahu bersikap adil buat anaknya agar dapat merasa kemeriahan berhari raya, sementelah dia sendiri tidak berada di Malaysia untuk menyambut hari bahagia ini.
"Saya lahir dalam sebuah keluarga yang kecil berbanding bekas suami. Jadi Keisha pasti gembira menyambut raya bersama bekas suami saya. Sekurang-kurangnya dia akan dapat menikmati keseronokan hari raya sebagai kanak-kanak.
"Lagipun tahun ini saya beraya di luar negara. Ini kerana saya terbabit dengan penggambaran di Jerman, Austria, Switzerland, Itali dan Belanda," ujarnya lagi.
 NORA kini hangat dikaitkan dengan lelaki bernama Nadim dan enggan terburu-buru bercakap soal cinta, sementara Nabila masih mencari seorang lelaki yang mampu membuat dia selesa menumpang kasih.
|
Mendefinisikan Syawal sebagai sesi penghapusan dosa dan waktu untuk berkumpul dengan ahli keluarga, Nabila menjelaskan, secara dasarnya, dia memang seorang yang besederhana dalam banyak perkara.
Justeru, jika kebanyakan orang menyambut Syawal dengan meriah atau persalinan serba baharu dan melakukan ritual menziarah antara satu sama lain, ia hampir tidak terjadi kepadanya. Nabila menyifatkan Aidilfitrinya tidak tipikal seperti kebanyakan orang lain.
"Saya seorang yang serba sederhana dalam hidup. Jadi biasanya, ritual Aidilfitri saya sangat ringkas. Saya akan bersama keluarga bermaafan pada pagi raya, tetapi jarang keluar menziarah. Mungkin kerana keluarga bapa saya hanya ada dua beradik, jadi saya sudah terbiasa menyambut raya secara sederhana.
"Bercakap tentang persalinan raya pula, saya tidak pernah berbelanja mewah, tetapi saya selesa dengan menyarung baju raya daripada jenis kain kapas sudah memadai. Selebihnya, saya berbelanja untuk anak saya," katanya.
Nora raya dengan mertua
Bukan sesuatu yang janggal buat Nora Danish apabila setiap malam dan raya pertama, dia berada di kediaman bekas mertuanya untuk meraikan hari bahagia tersebut. Jelas Nora, ritual tersebut telah terjadi sejak dia berkahwin pada tahun 2006 sebelum bergelar ibu tunggal pada tahun 2008, sehingga kini.
Malah, dia berharap agar tindakannya berhari raya bersama bekas mertua dan dengan isteri baharu suaminya, Fasha Sanda tidak dijadikan satu isu.
Jelasnya yang tidak mempunyai keluarga di Kuala Lumpur dan melihat kediaman mertuanya sebagai paling ideal untuk dijadikan 'sasaran' berhari raya: "Sudah menjadi kebiasaan buat saya sejak berkahwin dan selepas solo untuk berada di kediaman keluarga mertua pada malam dan hari raya pertama.
"Ini kerana hubungan kami sangat akrab, sementelah Rayqal merupakan cucu dalam keluarga tersebut. Saya rasa, sebelum saya berkahwin semula, saya menganggap ia sebagai satu kewajipan buat saya membawa Rayqal beraya bersama keluarga bekas mertua."
Bercakap tentang sambutannya tanpa seorang suami, Nora memanjatkan kesyukuran kerana biar sudah lebih lima tahun tidak mencium tangan suami memohon ampun pada pagi raya, dia telah terbiasa dengan keadaan tersebut.
Ujarnya, kehadiran keluarga telah membuat dia terlupa tentang hal tersebut. "Dan biasanya, setiap tahun, selepas habis menziarah, kami sekeluarga pergi bercuti kerana pada masa ini sahaja ahli keluarga saya lengkap," jelasnya yang menggunakan sepenuhnya waktu untuk saling mengunjungi pada hari raya kerana jadual kerjanya yang tidak menentu.
Ratu Instagram
Bercerita di luar lingkaran kisah hari raya, baik Nabila mahupun Nora, masing-masing cukup hangat dalam laman sosial Instagram. Nora memiliki lebih 400,000, manakala Nabila mempunyai lebih 100,000 pengikut yang sebahagiannya terdiri daripada peminat, dan sebahagian pula pembenci mereka.
Bertanya kepada dua wanita tersebut tentang 'kuasa' mereka di Instagram, Nabila dan Nora mengaku terkejut dengan sambutan yang diberikan.
Jujur Nabila, dia yang memakai nama gelaran Kupu_kupu pada mulanya tidak ramai pengikut.
"Namun, sebaliknya yang berlaku. Saya tiba-tiba mempunyai banyak pengikut dan saya sangat berterima kasih dengan semua pengikut saya," ujarnya.
 NORA bersama anaknya, Putera Rayqal dan Nabila bersama anaknya, Keisha Laila. Dua wanita dengan pesona tersendiri ini mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin buat semua peminat mereka yang sedang meraikan Aidilfitri.
|
Ditanya kerana laman sosial tersebut privasi dirinya semakin 'menipis', Nabila hanya ketawa. Dia kemudian menjelaskan, dia sengaja memuat naik pelbagai ragam gambarnya di Instagram.
"Saya seorang yang gemar bergambar. Sebagai seorang pelakon, sejujurnya, saya tidak punya kehidupan selain sibuk di lokasi. Justeru saya jadikan Instagram seperti jurnal harian saya. Ia tempat saya berkongsi cerita atau perkembangan terkini dengan peminat," jelasnya.
Bercakap tentang keterbukaannya bergambar dengan pelbagai aksi atau mendedahkan kisah peribadi di laman tersebut mengundang pelbagai persepsi, Nabila memberitahu, dia menerima dengan terbuka setiap pandangan yang dilontarkan.
Simpulnya ringkas: "Mereka boleh bercakap apa sahaja tentang diri saya, namun hanya saya yang mengenal diri saya sendiri."
Nora yang diajukan soalan yang sama menyifatkan Instagram miliknya memang direka khas untuk peminat. Justeru, kerana itu dia berkongsi hampir semua gambar atau cerita termasuk kisah promosi kariernya, lokasi dia berada, aktiviti terkini serta kisah peribadi.
Jelasnya: "Saya sedar sebaik sahaja sekeping gambar saya dimuat naik, ia mengundang pelbagai persepsi, namun saya tidak akan mengehadkannya kerana akuan Instagram memang bertujuan untuk mendekatkan diri saya dengan peminat saya."
Ditanya adakah ia termasuk gambarnya bersama lelaki yang kini dikaitkan sebagai kekasih hatinya, Nadim Nazri, Nora hanya menjawab tidak salah dia berbuat demikian.
"Saya telah lama mengenali Nadim dan selesa dengan hubungan sebagai sahabat. Jujurnya, buat masa ini, kami juga baru mahu selesa dengan keadaan sekarang, justeru untuk berfikir kepada fasa baharu seperti perkahwinan, ia masih terlalu awal. Kami punya banyak tanggungjawab yang perlu didahulukan buat masa ini," jelasnya.