Khamis, 8 Ogos 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kesederhanaan Syawal Nora, Nabila

Posted:

Kesederhanaan Syawal Nora, Nabila

Kesederhanaan Syawal Nora, Nabila

MAHU menyatukan dua aktres hangat Nabila Huda Suhaimi, 29, dan Nora Danish Hanif, 31, buat pertama kalinya bersama cahaya mata masing-masing untuk santapan umum pada Aidilfitri hampir gagal. Ini kerana kedua-duanya sudah terikat dengan jadual penggambaran.

Seawal Ramadan, Nabila sendiri sempat menyambutnya di bumi New Zealand selama 10 hari kerana terikat dengan penggambaran naskhah Jodoh Itu Milik Kita. Tarikh sesi fotografi kerap berganjak kerana pada saat Nabila 'kosong', Nora pula sudah bersedia untuk masuk ke set penggambaran.

Bagaimanapun pada tarikh 26 Julai lalu, pukul 3 petang, seperti yang dijanjikan kedua-dua wanita itu hadir untuk sesi fotografi. Lebih mengujakan kerana mereka mengotakan janji membawa 'permata' masing-masing.

Nora hadir bersama 'kekasihnya', Putera Rayqal Rizal Ashram, 4, manakala puteri Nabila, Keisha Laila, 3, hadir lewat sedikit selepas dihantar oleh mantan suaminya, Eddie.

Dan apabila semua sudah bersatu, kami memulakan sesi pemotretan yang berakhir lancar.

Pengisian ceritera pada hari itu, tiada lain dan tiada bukan ialah mengenai sambutan Aidilfitri dan sedikit kisah peribadi mereka.

Bagaimana dua ibu tunggal ini menyambut 1 Syawal tanpa status seorang suami di sisi seperti yang pernah mereka ledani sebelum ini.

Nabila raya di Eropah

Baik Nabila mahupun Nora, kedua-duanya menjawab mereka telah terbiasa, sementelah Syawal yang dirai saban tahun juga serba sederhana. Tiada seorang suami di sisi pada pagi hari raya sedikit pun tidak meninggalkan kudis buat Nabila atau Nora.

"Jujurnya, saya memang sudah terbiasa sendiri dan menyambut raya secara sederhana. Jadi, saya tidak terasa sangat tentang ada seorang lelaki di sisi. Pada saya, cukup jika anak ada bersama saya menyambut raya," ujar Nabila.

Dia bagaimanapun memberitahu, tahun ini, Keisha menyambut Aidilfitri bersama keluarga mantan suaminya, Eddie. Jelasnya, dia mahu bersikap adil buat anaknya agar dapat merasa kemeriahan berhari raya, sementelah dia sendiri tidak berada di Malaysia untuk menyambut hari bahagia ini.

"Saya lahir dalam sebuah keluarga yang kecil berbanding bekas suami. Jadi Keisha pasti gembira menyambut raya bersama bekas suami saya. Sekurang-kurangnya dia akan dapat menikmati keseronokan hari raya sebagai kanak-kanak.

"Lagipun tahun ini saya beraya di luar negara. Ini kerana saya terbabit dengan penggambaran di Jerman, Austria, Switzerland, Itali dan Belanda," ujarnya lagi.

NORA kini hangat dikaitkan dengan lelaki bernama Nadim dan enggan terburu-buru bercakap soal cinta, sementara Nabila masih mencari seorang lelaki yang mampu membuat dia selesa menumpang kasih.


Mendefinisikan Syawal sebagai sesi penghapusan dosa dan waktu untuk berkumpul dengan ahli keluarga, Nabila menjelaskan, secara dasarnya, dia memang seorang yang besederhana dalam banyak perkara.

Justeru, jika kebanyakan orang menyambut Syawal dengan meriah atau persalinan serba baharu dan melakukan ritual menziarah antara satu sama lain, ia hampir tidak terjadi kepadanya. Nabila menyifatkan Aidilfitrinya tidak tipikal seperti kebanyakan orang lain.

"Saya seorang yang serba sederhana dalam hidup. Jadi biasanya, ritual Aidilfitri saya sangat ringkas. Saya akan bersama keluarga bermaafan pada pagi raya, tetapi jarang keluar menziarah. Mungkin kerana keluarga bapa saya hanya ada dua beradik, jadi saya sudah terbiasa menyambut raya secara sederhana.

"Bercakap tentang persalinan raya pula, saya tidak pernah berbelanja mewah, tetapi saya selesa dengan menyarung baju raya daripada jenis kain kapas sudah memadai. Selebihnya, saya berbelanja untuk anak saya," katanya.

Nora raya dengan mertua

Bukan sesuatu yang janggal buat Nora Danish apabila setiap malam dan raya pertama, dia berada di kediaman bekas mertuanya untuk meraikan hari bahagia tersebut. Jelas Nora, ritual tersebut telah terjadi sejak dia berkahwin pada tahun 2006 sebelum bergelar ibu tunggal pada tahun 2008, sehingga kini.

Malah, dia berharap agar tindakannya berhari raya bersama bekas mertua dan dengan isteri baharu suaminya, Fasha Sanda tidak dijadikan satu isu.

Jelasnya yang tidak mempunyai keluarga di Kuala Lumpur dan melihat kediaman mertuanya sebagai paling ideal untuk dijadikan 'sasaran' berhari raya: "Sudah menjadi kebiasaan buat saya sejak berkahwin dan selepas solo untuk berada di kediaman keluarga mertua pada malam dan hari raya pertama.

"Ini kerana hubungan kami sangat akrab, sementelah Rayqal merupakan cucu dalam keluarga tersebut. Saya rasa, sebelum saya berkahwin semula, saya menganggap ia sebagai satu kewajipan buat saya membawa Rayqal beraya bersama keluarga bekas mertua."

Bercakap tentang sambutannya tanpa seorang suami, Nora memanjatkan kesyukuran kerana biar sudah lebih lima tahun tidak mencium tangan suami memohon ampun pada pagi raya, dia telah terbiasa dengan keadaan tersebut.

Ujarnya, kehadiran keluarga telah membuat dia terlupa tentang hal tersebut. "Dan biasanya, setiap tahun, selepas habis menziarah, kami sekeluarga pergi bercuti kerana pada masa ini sahaja ahli keluarga saya lengkap," jelasnya yang menggunakan sepenuhnya waktu untuk saling mengunjungi pada hari raya kerana jadual kerjanya yang tidak menentu.

Ratu Instagram

Bercerita di luar lingkaran kisah hari raya, baik Nabila mahupun Nora, masing-masing cukup hangat dalam laman sosial Instagram. Nora memiliki lebih 400,000, manakala Nabila mempunyai lebih 100,000 pengikut yang sebahagiannya terdiri daripada peminat, dan sebahagian pula pembenci mereka.

Bertanya kepada dua wanita tersebut tentang 'kuasa' mereka di Instagram, Nabila dan Nora mengaku terkejut dengan sambutan yang diberikan.

Jujur Nabila, dia yang memakai nama gelaran Kupu_kupu pada mulanya tidak ramai pengikut.

"Namun, sebaliknya yang berlaku. Saya tiba-tiba mempunyai banyak pengikut dan saya sangat berterima kasih dengan semua pengikut saya," ujarnya.

NORA bersama anaknya, Putera Rayqal dan Nabila bersama anaknya, Keisha Laila. Dua wanita dengan pesona tersendiri ini mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin buat semua peminat mereka yang sedang meraikan Aidilfitri.


Ditanya kerana laman sosial tersebut privasi dirinya semakin 'menipis', Nabila hanya ketawa. Dia kemudian menjelaskan, dia sengaja memuat naik pelbagai ragam gambarnya di Instagram.

"Saya seorang yang gemar bergambar. Sebagai seorang pelakon, sejujurnya, saya tidak punya kehidupan selain sibuk di lokasi. Justeru saya jadikan Instagram seperti jurnal harian saya. Ia tempat saya berkongsi cerita atau perkembangan terkini dengan peminat," jelasnya.

Bercakap tentang keterbukaannya bergambar dengan pelbagai aksi atau mendedahkan kisah peribadi di laman tersebut mengundang pelbagai persepsi, Nabila memberitahu, dia menerima dengan terbuka setiap pandangan yang dilontarkan.

Simpulnya ringkas: "Mereka boleh bercakap apa sahaja tentang diri saya, namun hanya saya yang mengenal diri saya sendiri."

Nora yang diajukan soalan yang sama menyifatkan Instagram miliknya memang direka khas untuk peminat. Justeru, kerana itu dia berkongsi hampir semua gambar atau cerita termasuk kisah promosi kariernya, lokasi dia berada, aktiviti terkini serta kisah peribadi.

Jelasnya: "Saya sedar sebaik sahaja sekeping gambar saya dimuat naik, ia mengundang pelbagai persepsi, namun saya tidak akan mengehadkannya kerana akuan Instagram memang bertujuan untuk mendekatkan diri saya dengan peminat saya."

Ditanya adakah ia termasuk gambarnya bersama lelaki yang kini dikaitkan sebagai kekasih hatinya, Nadim Nazri, Nora hanya menjawab tidak salah dia berbuat demikian.

"Saya telah lama mengenali Nadim dan selesa dengan hubungan sebagai sahabat. Jujurnya, buat masa ini, kami juga baru mahu selesa dengan keadaan sekarang, justeru untuk berfikir kepada fasa baharu seperti perkahwinan, ia masih terlalu awal. Kami punya banyak tanggungjawab yang perlu didahulukan buat masa ini," jelasnya.

Cerita kahwin Adnan Sempit 3

Posted:

Cerita kahwin Adnan Sempit 3

Cerita kahwin Adnan Sempit 3

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


ADNAN SEMPIT 3 sarat dengan aksi komedi, namun terselit mesej kehidupan yang perlu diambil berat oleh penonton.


SEJAK filem Adnan Sempit 1 dan Adnan Sempit 2 ditayangkan dahulu, ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan dengan kedua-duanya telah memperoleh kutipan sebanyak RM7.66 juta dan RM6.8 juta.

Dengan sambutan luar biasa itu, MIG Pictures Sdn. Bhd. terus menghasilkan kesinambungannya iaitu Adnan Sempit 3 yang mula ditayangkan pada hari raya pertama.

Pelakon utamanya, Shaheizy Sam yang memegang watak Adnan berkata, penonton yang pernah mengikuti dua siri filem tersebut sebelum ini perlu menonton Adnan Sempit 3.

"Kalau hendak diceritakan tentang watak saya dalam filem ini, rasanya tiada perubahan yang ketara. Watak Adnan masih kekal seperti filem-filem yang terdahulu.

"Cuma kali ini Adnan dan Nadia telah mendirikan rumah tangga serta bermulalah kehidupan mereka sebagai pasangan suami isteri. Pelbagai kisah menarik dipaparkan di samping timbulnya konflik antara mereka berdua," ujarnya ketika ditemui pada majlis previu filem itu baru-baru ini.

Ditanya mengenai pandangannya terhadap kekuatan filem tersebut, Sam menyatakan Adnan Sempit 3 wajar ditonton kerana ia memaparkan realiti kehidupan masyarakat Malaysia.

"Walaupun ia sebuah filem berunsur komedi, tetapi jalan ceritanya juga memberi gambaran kepada kehidupan sesebuah keluarga, terutamanya pasangan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga," jelasnya.

Kisah Adnan Sempit 3 bermula dengan pasangan Adnan dan Nadia (Intan Ladyana) serta Bobby (Along Raja Lawak) dan Wawa (Yana Samsudin) yang masing-masing telah mendirikan rumah tangga.

Kemudian masalah berlaku apabila Nadia dan Wawa sama-sama didapati mengandung. Adnan telah mengalami alahan yang teruk, manakala Bobby menghadapi masalah kewangan untuk membiayai kos bersalin isterinya.

Sementara itu, Intan yang ditanya mengenai lakonannya dalam filem itu menyatakan kelainan watak yang dibawakannya kali ini iaitu sebagai wanita mengandung memang cukup menarik.

Bercerita lebih lanjut tentang peranannya sebagai Nadia, pelakon berkenaan menjelaskan, terdapat sedikit perbezaan apabila dalam filem tersebut dia menjadi seorang suri rumah tangga sepenuh masa, berbanding sebagai wanita berkerjaya dalam dua filem sebelumnya.

"Memainkan watak sebagai seorang wanita mengandung semestinya suatu cabaran yang menarik, apatah lagi dengan sikap Nadia yang selalu bersikap syak wasangka terhadap Adnan.

"Jadi, kepada mereka yang mempunyai masa terluang semasa cuti berhari raya ini, jangan lupa saksikan filem ini kerana saya percaya ceritanya lebih kelakar dan menghiburkan," ujarnya.

Selain pasangan Adnan dan Nadia selaku tunjang kepada filem Adnan Sempit 3, dua lagi watak yang turut menjadi kekuatan ialah Bobby dan Wawa yang merupakan kawan baik kepada pasangan tersebut.

Along yang turut ditemui semasa majlis previu filem berkenaan berkata, tidak dinafikan watak Bobby yang dibawakannya itu boleh membuat penonton lebih meluat.

"Dalam filem kali ini perangai Bobby digambarkan sebagai seorang suami yang tidak berguna kerana tidak mampu membahagiakan isterinya apabila selalu menghadapi masalah kewangan.

"Selain itu, dia juga terlalu bergantung harap dengan Adnan yang sudah kaya setelah berkahwin dengan Nadia. Sehingga hubungan Adnan dan Bobby menjadi renggang," jelasnya.

Bagi Yana Samsudin pula, melalui kehidupan sebagai seorang isteri yang sedang berbadan dua dengan suami yang bergelar seorang penganggur memang memberikan tekanan buat Wawa.

Menurutnya, jika dalam filem Adnan Sempit 1 dan Adnan Sempit 2, Wawa digambarkan sebagai wanita yang ceria, kali ini dia mengalami tekanan perasaan dengan sikap Bobby yang tidak dapat menjaganya dengan baik.

"Meskipun filem ini sarat dengan elemen hiburan dan komedi, terdapat pengajaran yang boleh dijadikan sebagai iktibar. Misalnya, kisah yang berkaitan tentang tanggungjawab suami terhadap keluarga," ujarnya.

Lisa Surihani terharu dengan ibu mertua

Posted:

Lisa Surihani terharu dengan ibu mertua

Lisa Surihani terharu dengan ibu mertua

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

SETIAP kali tiba Aidilfitri, ayam rendang dan pulut kuning menjadi juadah wajib buat keluarga Lisa.


TAHUN ini merupakan kali kedua buat pelakon popular, Lisa Surihani menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama suami tercinta, Yusry Abdul Halim.

Berkesempatan bertemu dengan Lisa semasa majlis pelancaran filem Madagascar 3 baru-baru ini, dia menyatakan dapat beraya dengan suami dah keluarga mertua memberikan momen tersendiri buat dirinya.

"Berbeza dengan pasangan lain yang akan pulang ke kampung untuk berhari raya, saya dan Yusry mungkin lebih bernasib baik kerana keluarga kami menetap di Kuala Lumpur.

"Pada tahun lepas, saya kali pertama menyambut Aidilfitri sebagai isteri. Namun, saya dan suami mengambil keputusan untuk meraikannya di rumah sendiri yang baru dibeli ketika itu," jelasnya.

Cerita Lisa, dia juga telah mengajak ahli keluarganya yang lain untuk tinggal bersama-sama dan selepas solat sunat Aidilfitri, dia sekeluarga akan berkunjung ke rumah mertua yang terletak berdekatan dengan rumahnya.

Ketika ditanya tentang pengalaman menarik sewaktu menyambut Aidilfitri bersama suami, pelakon berkenaan menceritakan berlaku satu peristiwa yang membuatkan dirinya terharu.

"Beberapa hari sebelum Aidilfitri tiba, saya ada bercerita dengan ibu mertua tentang hidangan wajib keluarga saya iaitu pulut kuning dan rendang ayam.

"Kemudian selepas kami pulang daripada sembahyang raya, tiba-tiba saya lihat di atas meja sudah tersedia hidangan tersebut dan rupa-rupanya ibu mertua yang menyediakannya," jelas Lisa tentang pengalaman rayanya tahun lalu.

Ujarnya, dengan perasaan yang cukup terharu dan sebak, dia terus menghubungi ibu mertuanya menerusi panggilan telefon dan memberitahu dia langsung tidak menyangka akan ada kejutan pada pagi raya.

"Sebenarnya saya langsung tidak meminta ibu mertua saya menyiapkan hidangan tersebut. Saya sekadar berkongsi cerita dengannya tentang hidangan tradisi keluarga kami yang perlu ada setiap tahun sejak arwah bapa saya masih hidup lagi.

"Jadi, dengan kejutan yang dilakukan oleh ibu mertua saya, sudah tentu membuatkan saya terharu sehingga air mata saya hampir mengalir ketika bercakap dengannya di telefon," ujarnya.

Sementara itu, berkenaan dengan persiapan Aidilfitri pula, pelakon yang popular menerusi filem Lagenda Budak Setan itu memberitahu dia sekadar menyiapkan tiga pasang baju raya yang direka oleh pereka terkenal Jovian Mandagie.

Jelasnya, persiapan juga terpaksa dilakukan secara ala kadar memandangkan masa yang tidak mencukupi kerana jadual dirinya dan suami yang cukup padat sepanjang bulan puasa yang baru berlalu.

"Saya hanya akan bercuti daripada sebarang aktiviti seni dua hari sebelum sambutan Aidilfitri.

"Kemudian saya akan bercuti selama dua minggu dan selepas itu akan mula menjalani penggambaran," jelasnya yang bakal membintangi filem Cicakman 3 arahan Yusry.

Rindu arwah ayah

Pada tahun 2008 pastinya mencatat kenangan tersendiri buat Lisa dah ahli keluarga apabila bapanya, Mohamed Mahbob menghembuskan nafas terakhir kerana penyakit barah hati.

Luah Lisa, sejak kehilangan ayah tercinta kira-kira lima tahun lalu, perasaan rindu yang mendalam pasti akan dirasai olehnya setiap kali tiba bulan Syawal.

"Setiap kali menyambut bulan puasa dan raya, ingatan saya terhadap arwah ayah pastinya akan menjelma.

"Sehinggakan saya selalu teringat saat-saat indah bersamanya," ujarnya.

Tambah Lisa: "Biasanya kalau bercerita tentang sambutan Aidilfitri, arwah ayah yang akan tentukan hidangan yang wajib disediakan.

"Tidak dinafikan dia memang mengambil berat tentang makanan."

Namun begitu, pelakon itu menyatakan segala kerinduan itu akan terubat apabila dapat berkumpul bersama suami dan ahli keluarga yang lain.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved