Pencapaian terbaik MalaysiaPencapaian terbaik Malaysia

KONTINJEN negara membawa pulang kejayaan paling bermakna selepas muncul juara keseluruhan pada AUG 2012 yang berakhir di Laos kelmarin.
VIENTIANE, Laos – Sebaik temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012 melabuhkan tirainya di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos kelmarin, kontinjen Malaysia kini mula mengalihkan fokus mereka kepada satu lagi tugasan besar yang perlu diselesaikan.
Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia menjadi sasaran terbaharu kontinjen negara dalam misi meneruskan momentum cemerlang selepas bergelar juara keseluruhan pada AUG edisi ke-16 ini.
Yang pasti, kejayaan di bumi Laos tahun ini dilihat bakal memberi tonik terbaik buat barisan atlet negara dalam usaha sekurang-kurangnya mengatasi pencapaian yang direkodkan pada Universiade di Shenzen, China tahun lalu.
Ketua kontinjen negara ke AUG 2012 merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Prof. Dr. Yahaya Ibrahim berkata, persiapan rapi akan dilakukan bermula dari sekarang bagi merealisasikan matlamat tersebut.
"Sudah pasti kita akan melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Universiade di Kazan tahun depan. Untuk permulaan, kita akan membuat pemilihan terhadap pasukan mana yang akan mewakili negara di Kazan nanti.
"Kita sebenarnya sudah ada gambaran beberapa acara yang kita akan sertai tetapi ia masih belum diputuskan sepenuhnya. Apabila semuanya sudah diputuskan, kita akan mengumumkannya nanti.
"Selepas itu, kita akan panggil atlet untuk menjalani latihan dan seperti AUG kali ini, kem latihan pusat juga akan diadakan sebagai persiapan ke Universiade.
"Kita juga akan melakukan persediaan-persediaan dari aspek lain terutama psikologi kerana suasana di Kazan nanti sudah pasti berbeza daripada Laos memandangkan kita akan menyertai temasya sukan pada peringkat yang lebih tinggi.
"Saya percaya, jika segalanya berjalan seperti yang dirancang, kita mampu mengatasi rekod pencapaian pada Universiade tahun lalu," kata Yahaya.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dr. Saharudin Ismail berkata, beberapa kriteria telah ditetapkan dalam pemilihan atlet yang akan menyertai kontinjen negara di Kazan nanti.
"Kriteria pemilihan atlet ke Universiade ini berbeza dengan apa yang kita gunakan untuk ke AUG. Pertama, kita akan memilih atlet berdasarkan merit.
"Keduanya, kita akan lihat pencapaian mereka sepanjang mewakili negara di pentas antarabangsa. Ketiganya, kita akan lihat sama ada atlet-atlet yang akan dipilih itu mampu menyumbangkan kejayaan kepada negara.
"Selain itu, kita juga akan memilih atlet berdasarkan cadangan daripada jurulatih atau MSN (Majlis Sukan Negara). Jika jurulatih atau MSN mengatakan bahawa atlet itu ada potensi dan wajar diberikan pendedahan, kita akan pilih.
"Ini kerana, kita mahu atlet diberi pendedahan secukupnya di pentas antarabangsa. Ini merupakan salah satu cara KPT bekerjasama dengan MSN dan ISN (Institut Sukan Negara) bagi mempersiapkan atlet ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil."
Sebagai rekod, pada edisi ke-26 tahun lalu, kontinjen Malaysia merekodkan pencapaian terbaik apabila membawa pulang satu pingat perak dan dua gangsa sejak Universiade mula diperkenalkan di Turin, Itali pada 1959.
Ironinya, ketiga-tiga pingat tersebut hadir menerusi skuad terjun negara.
Ratu terjun negara, Pandelela Rinong menyumbangkan pingat perak menerusi acara 10 meter (m) platform individu wanita sebelum bergandingan dengan Leong Mun Yee untuk meraih gangsa dalam acara 10m platform seirama.
Satu lagi pingat gangsa hadir menerusi skuad terjun wanita negara yang menamatkan saingan di tempat ketiga dalam acara berpasukan keseluruhan.
Sebelum itu, pencapaian terbaik Malaysia adalah mengutip satu pingat perak menerusi acara taekwondo di Bangkok, Thailand pada 2007.
Jika dibuat penilaian berdasarkan prestasi, atlet-atlet negara boleh dianggap telah mempamerkan peningkatan yang cukup ketara baik ketika beraksi pada temasya AUG mahupun Universiade.
Buktinya, pada AUG kali ini yang mana barisan atlet negara telah menunjukkan prestasi cukup luar biasa.
Bagi AUG kali ini, sejarah baharu tercipta apabila buat julung-julung kalinya Malaysia dinobatkan selaku juara keseluruhan sepanjang beraksi di luar negara.
Status gelaran juara keseluruhan sah menjadi milik kontinjen negara apabila meraih pingat terbanyak iaitu 60 emas, 47 perak dan 72 gangsa.
Kontinjen negara mengatasi pencabar terdekat, Vietnam yang sekadar menamatkan saingan di tempat kedua dengan 56 emas, 35 perak dan 28 gangsa manakala Thailand ketiga (42 emas, 51 perak dan 55 gangsa).
Ia pencapaian di luar jangkaan, namun segala-galanya telah dibuktikan oleh mahasiswa dan mahasiswi Malaysia bahawa mereka mampu untuk menakluk ASEAN.
Mengimbas detik permulaan perjuangan atlet-atlet negara di bumi Laos, kontinjen Malaysia pada awalnya hanya meletakkan sasaran untuk meraih 36 pingat emas.
Bagaimanapun, sehari selepas berjaya mencapai sasaran tersebut Isnin lalu, atlet-atlet negara terus membuktikan taring masing-masing apabila melepasi sasaran kedua yang ditetapkan iaitu 45 emas dan momentum cemerlang itu kekal sehingga ke hari terakhir kelmarin dengan keseluruhannya menyapu 60 emas.
Menurut Yahaya, beliau tidak jangka yang kontinjen Malaysia bakal bergelar juara keseluruhan pada temasya AUG kali ini.
"Kejayaan kali ini memang di luar jangkaan saya kerana saya tidak pernah menyatakan bahawa matlamat kita adalah untuk bergelar juara keseluruhan.
"Cuma, saya ada mengatakan bahawa jika semuanya berjalan dengan baik, tidak mustahil kita boleh menjadi juara keseluruhan dan ternyata pencapaian kali ini telah membuktikan bahawa segala-galanya adalah tidak mustahil buat kontinjen negara.
"Bagaimanapun, seperti yang saya katakan sebelum ini, apa yang kita capai adalah hasil sumbangan semua pihak yang terlibat. Banyak faktor yang menjadi penyumbang kepada kejayaan ini, terutamanya sokongan penuh daripada KPT," kata Yahaya.
Skuad renang negara paling menyerlah apabila menyumbangkan pingat terbanyak buat kontinjen Malaysia, sekali gus bergelar juara keseluruhan sepanjang empat hari acara itu dipertandingkan di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Nasional Laos.
Skuad renang cemerlang apabila menyumbang 21 emas, sembilan perak dan tujuh gangsa.
Dua perenang wanita negara, Khoo Cai Lin dan Siow Yi Ting paling mencuri tumpuan apabila menjadi atlet berbanyak menyumbangkan emas kepada kontinjen Malaysia selepas masing-masing membawa pulang tujuh emas.
Berbanding Yi Ting, Cai Lin sudah pasti berbangga kerana dia berjaya mengulangi pencapaian yang dilakarnya pada edisi ke-15 di Chiangmai dua tahun lalu.
Acara terjun juga tidak menghampakan apabila menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang ditawarkan dalam acara itu.
Di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos, atlet-atlet olahraga negara turut mencuri tumpuan apabila berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan dengan meraih 11 emas, 10 perak dan enam gangsa.
Kejayaan itu menyaksikan skuad olahraga negara melepasi sasaran sembilan emas yang ditetapkan sebelum ini.
Skuad karate juga tidak ketinggalan apabila menjadi penyumbang pingat ketiga terbanyak kontinjen negara dengan meraih tujuh emas, dua perak dan lima gangsa diikuti memanah (enam emas, tiga perak dan tiga gangsa) dan wushu (empat emas, tiga perak dan enam gangsa).
Kini, kontinjen negara bakal tampil sebagai juara bertahan pada edisi ke-17 yang bakal berlangsung di Indonesia.
Sama ada gelaran tersebut mampu dikekalkan atau sebaliknya, segala-galanya akan terjawab dua tahun lagi.