Selasa, 20 Ogos 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Ternak rusa, popularkan kampung

Posted:

Ternak rusa, popularkan kampung

Ternak rusa, popularkan kampung

IMPIAN untuk melonjakkan nama Kampung Semeliang di Kuala Nerang dalam daerah Padang Terap, Kedah sebagai lokasi tumpuan pelancong giat diusahakan oleh seorang jurutera dengan membina sebuah pusat ternakan rusa.

Pusat ternakan yang diusahakan sejak lima tahun lalu itu diberi nama Semeliang Agro Farm sempena nama kampung tersebut yang terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari Alor Setar.

Pengusahanya, Nor Azhar Mohd. Noor, 41, berkata, minat yang mendalam terhadap haiwan sejak kecil mendorong dirinya membuka pusat ternakan rusa di tanah seluas 2.83 hektar.

Bermula dengan lima ekor rusa, kini bilangan haiwan eksotik itu bertambah kepada 150 ekor yang terdiri daripada baka jenis Timoresis dan Axis.

Menurut Nor Azhar, tahap matang bagi rusa ialah setahun enam bulan dan ketika ini rusa betina boleh bunting.

"Tempoh bunting bagi seekor rusa ialah tujuh bulan dan tiga ekor rusa terhasil dalam jangka masa dua tahun.

"Kebiasaannya rusa melahirkan seekor anak bagi setiap kelahiran. Ada juga rusa yang melahirkan anak kembar tetapi belum pernah berlaku di sini," katanya.

Minat Nor Azhar terhadap rusa timbul selepas dia pulang berjumpa dengan seorang penternak rusa di Pokok Sena, Alor Setar yang menternak haiwan tersebut berhampiran kediamannya.

"Saya dapati dia hanya menternak rusa di dalam kandang kambing dua tingkat. Dari situ saya mula terpikat dengan rusa kerana ia mudah dipelihara tanpa memerlukan tanah yang luas.

NOR AZHAR melakukan rutian hariannya iaitu memberi rumput kepada rusa peliharaannya.


"Selain itu, saya ingin memperkenalkan rusa kepada orang kampung terutama penduduk di Kampung Semeliang yang sebelum ini lebih terdedah pada ternakan lembu, kambing dan ayam," katanya.

Haiwan ternakan yang tahan lasak itu jelas Nor Azhar, mampu mengurangkan kos permulaan melaksanakan projek penternakan seperti kandang sebagai tempat berteduhnya.

Rusa lebih mudah dijaga selain tahan lasak terhadap penyakit dan tidak cerewet dalam soal pemakanan. Rusa makan apa sahaja jenis rumput dan daun kayu.

Ternak secara komersial

"Ketahanan haiwan ini jelas dapat dilihat sewaktu banjir besar melanda pada tahun 2010. Pada banjir tersebut, rusa terendam dalam air selama dua hari, tetapi hanya beberapa ekor anak rusa sahaja yang mati akibat dihanyutkan arus," kata Nor Azhar yang masih bertugas sebagai jurutera secara sambilan. Dia juga turut menternak lembu bali, burung unta, kambing dan kibas di pusat ternakannya.

Ternakan rusa yang dilakukan secara komersial sejak lima tahun lalu itu turut mendapat perhatian pelajar sekolah yang sering membuat lawatan

Rusa mula diperkenalkan sebagai haiwan ternakan komersial oleh kerajaan sekitar tahun 1980-an, namun ia kurang mendapat tempat di hati orang ramai.

Nor Azhar turut menyediakan khidmat nasihat terutama bagi mereka yang berminat untuk menternak rusa. Dia juga telah melatih dan memberi khidmat nasihat kepada lebih 30 penternak rusa di negeri Kedah.

Nor Azhar yang turut menyediakan bekalan daging rusa dan mengakui permintaannya kini semakin meningkat terutama pada musim kenduri dan perayaan.

"Rasa daging rusa memang sedap. Ia sesuai untuk dimasak kari atau kurma kerana rusa tinggi protein, rendah lemak dan kolesterol.


SEMELIANG Agro Farm ditubuhkan sejak lima tahun lalu.


"Namun, permintaannya yang terlalu tinggi menyebabkan bekalan kadangkala tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Ditanya bagaimana dia mendapat kekuatan untuk menternak haiwan tersebut, Nor Azhar memberitahu, pada awalnya dia mendapat kritikan hebat sewaktu menyuarakan hasrat untuk membuka pusat ternakan tersebut. Namun, semuanya dianggap sebagai satu cabaran dan membakar semangatnya untuk berjaya.

"Ada yang kata, ada ke orang nak makan daging rusa, berapa lama nak bertahan, macam-macam lagi kata-kata negatif namun saya abaikan sahaja.

"Itulah yang menjadikan saya masih bertahan sehingga hari ini dan bertekad untuk mengembangkan ternakan ini," katanya.

Sokongan penduduk kampung

Nor Azhar berkata, apa yang diusahakan ini merupakan baktinya untuk mengangkat nama Kampung Semeliang.

Biarpun pada peringkat awal agak sukar mendapat kepercayaan daripada institusi kewangan untuk membuat pinjaman, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya.

Dia juga banyak belajar tentang rusa berdasarkan kajian dan pengalaman.

Berbekalkan modal RM20,000, kini Nor Azhar mampu menggajikan empat orang pekerja yang terdiri daripada penduduk tempatan.

"Saya bersyukur kerana mendapat sokongan daripada penduduk kampung walaupun pada awalnya saya dikritik. Ibu bapa dan keluarga banyak memberi sokongan tanpa berbelah bahagi," katanya.

Selain itu, usaha Nor Azhar untuk mengangkat nama Kampung Semeliang tidak terhenti di Semeliang Agro Farm. Kini, dia dalam perancangan untuk membuka homestay di kawasan tersebut.

"Homestay ini dibuka untuk memberi kemudahan kepada mereka yang datang ke sini untuk mempelajari mengenai ternakan rusa.


CALET yang terdapatdi Pedu Lake Resort, Padang Terap, Kedah.


"Secara tidak langsung, ia mampu menarik pelancong ke sini bagi menikmati keindahan Kampung Semeliang yang dikelilingi dengan sawah padi dan pokok getah.

"Harapan saya, apabila sebut sahaja rusa Kuala Nerang, orang akan sebut Kampung Semeliang dan terbayang rusa serta tahu lokasi pusat ternakan ini," katanya.

Nor Azhar yang mahu melihat lebih ramai penternak rusa di negara ini sedia memberikan khidmat nasihat kepada mereka yang berminat. Dia boleh dihubungi di talian 012-408 9689.

Sementara itu, pelanggan yang ditemui memuji perkhidmatan yang ditawarkan Nor Azhar.

Abdullah Hashim, 48, berkata, pada zaman kanak-kanaknya untuk mendapatkan daging rusa, seseorang itu perlu keluar memburu haiwan tersebut di hutan yang mengambil masa hampir satu hari, namun belum tentu ia membuahkan hasil.

"Pemburu rusa juga perlu berhati-hati sewaktu masuk ke hutan kerana pelbagai cabaran terpaksa dilalui. Mereka juga perlu mengetahui kawasan yang sering menjadi tempat haiwan itu berkumpul.

"Namun berbeza dengan zaman sekarang, mudah sahaja. Saya hanya membuat tempahan dengan Nor Azhar dan mengambil bekalan daging pada hari yang ditetapkan," katanya.

Abdullah pernah membeli seekor rusa seberat 75 kilogram (kg) pada harga kira-kira RM2,500 untuk dijadikan sebagai menu majlis kenduri.

Katanya, agak sukar untuk mendapatkan daging rusa kerana tidak ramai yang menjalankan perniagaan tersebut berbanding lembu dan kambing.

Buang darah dalam longkang

Posted:

Buang darah dalam longkang

Buang darah dalam longkang


PEMBUANGAN darah kotor melalui kaedah bekam ini dipercayai mampu mengubati penyakit dengan segera.


IBU kepada tiga orang anak, Lilavati Devi berdiri di bawah terik matahari di Delhi Lama sementara seorang pengamal perubatan dan pembantunya memeriksa urat darah di tangannya.

Selepas membuat pemeriksaan, doktor berkenaan membenamkan mata pisau cukur ke dalam kulit Devi untuk membolehkan darah kotor mengalir keluar. Titisan darah itu dihalakan ke dalam sebuah longkang.

Devi menderita penyakit artritis kronik. Dia percaya pengamal perubatan yang bernama Mohammed Gyas itu mempunyai kemahiran untuk menyembuhkan penyakit yang dihidapnya melalui rawatan kuno pengeluaran darah.

"Perubatan moden dan sains telah gagal," ujar Devi sementara pembantu Mohammed menuangkan air sejuk di tangannya dan meletakkan serbuk herba berwarna kelabu di atas luka tersebut.

Tambah wanita itu, rawatan yang dilakukan lelaki Muslim berusia 82 tahun itu merupakan satu-satunya cara untuk menghilangkan sakit sendi yang dialaminya selama ini.

Sebelum ini, ramai doktor menggunakan kaedah yang telah berusia ribuan tahun itu untuk merawat pelbagai jenis penyakit sehingga akhir abad ke-19. Bagaimanapun, selepas kemunculan perubatan moden, rawatan tersebut semakin dipinggirkan.


DERETAN pesakit menghalakan aliran darah yang keluar dari tangan masing-masing ke sebuah longkang yang terletak berhampiran klinik tersebut.


Namun, ketika perkhidmatan perubatan sangat mahal dan senarai menunggu terlalu panjang, segelintir masyarakat miskin dan pedalaman di India memilih amalan tradisional seperti berbekam.

Setiap hari kira-kira 50 pesakit beratur di klinik terbuka berhampiran dengan Masjid Jama, sebuah masjid terbesar di India, semata-mata untuk mendapatkan rawatan daripada Mohammed yang didakwa boleh menyembuhkan penyakit seperti diabetes, lumpuh dan kanser pangkal rahim.

"Rukun asas terapi ini ialah kepercayaan bahawa darah kotor merupakan punca segala penyakit. Jadi, dengan membuang darah ini, masalah kesihatan dapat diatasi," jelas Mohammed yang mempelajari kemahiran tersebut daripada bapanya dan berpengalaman selama empat dekad dalam kaedah rawatan itu.

Tambahnya, menjejak aliran darah kotor itu memerlukan kemahiran yang tersendiri. Torehan tidak dibuat secara rawak kerana setiap saluran darah perlu diperiksa.

Bayaran

Para pengamal perubatan itu mendapati, selepas hirisan dibuat untuk mengeluarkan darah kotor atau beku yang tersumbat, ia akan meningkatkan pengaliran darah seseorang individu.

Sebelum memulakan rawatan, Mohammed akan meminta pesakit berdiri di bawah panas matahari selama 40 minit.

Pembantunya akan mengikat jalur kain di bahagian anggota badan pesakit untuk menyekat aliran darah, sekali gus menonjolkan urat darah di permukaan kulit sebagai persediaan untuk ditoreh sedikit.

Menurut Mohammed, dia tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pesakit kerana kebanyakan mereka terdiri daripada golongan miskin dan orang susah.

Namun, mereka perlu membayar kira-kira 40 rupee (RM2.10) kepada pembantunya atas tugas yang dilakukan. Jumlah itu 10 kali ganda lebih rendah berbanding rawatan homeopati, salah satu rawatan alternatif popular di India.

"Apabila mereka datang kepada saya, duit yang dibawa terlalu sedikit. Apa yang boleh saya ambil daripada orang-orang sebegini?" tuturnya.


PROSES membuat insisi dilakukan dengan penuh berhati-hati di bahagian tangan yang sakit.


Sumber kewangan lelaki ini bergantung pada anak lelakinya yang memiliki sebuah kedai, sementara seorang lagi anak lelakinya berminat mengikut jejak langkah beliau dalam mempelajari kemahiran rawatan tradisional ini.

"Rawatan kami sama seperti bentuk perubatan tradisional yang lain. Kami bukan doktor komersial kerana kesejahteraan rakyat adalah keutamaan kami," ungkap anak lelaki Mohammed, Mohammed Iqbal.

Berbekam masih lagi diamalkan di India tetapi doktor konvensional menolak teknik rawatan tersebut yang dianggap meragukan.

Pakar penyakit diabetes, Rajesh Keswari menyatakan dia sering melihat pesakit yang sanggup mengambil risiko dengan melakukan terapi tidak saintifik seperti mengeluarkan darah dan minum ramuan herba.

Meskipun India mempunyai kemudahan hospital bertaraf dunia, ramai rakyatnya tidak mampu menggunakan perkhidmatan tersebut. Pertumbuhan ekonomi yang pesat sejak sedekad lalu membolehkan kerajaan meningkatkan perbelanjaan ke atas masyarakat miskin dan luar bandar.

Bagaimanapun, menurut laporan Oxfam 2013, sistem kesihatan awam masih terlalu rendah untuk memenuhi keperluan 1.2 bilion rakyat India. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Infiniti

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Maklumat mengenai Islam di hujung jari

Posted:

Maklumat mengenai Islam di hujung jari

Maklumat mengenai Islam di hujung jari

Oleh SUHANA VERU

MOHAMMED RAFI MOHAMED BIHIR, 39, sering kali berulang-alik ke luar negara demi kerjayanya sebagai seorang ahli perniagaan.

Hakikatnya, sepanjang berada di luar negara terutamanya negara-negara seperti Vietnam, China dan Filipina, bapa kepada tiga orang anak itu sentiasa berhadapan masalah mencari restoran makanan halal.

Justeru, dia terpaksa bertanya kepada kakitangan hotel bagaimana untuk mendapatkan makanan halal sepanjang berada di negara-negara itu.

"Lagipun, saya kurang arif dengan tempat-tempat saya berurusan. Oleh itu, saya terpaksa bertanya kepada orang ramai di kawasan tersebut, selain mencari maklumat melalui internet," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sungguhpun mendapat maklumat menerusi di laman-laman sesawang yang berkaitan, Mohammed Rafi berhadapan dengan satu lagi halangan apabila kebanyakan restoran tersebut telah ditutup malah ada sebahagian kedai berkenaan telah diambil alih oleh perniagaan lain.

"Apabila melalui saat-saat seperti ini, saya tidak mempunyai pilihan selain bergantung kepada roti dan tuna yang dibawa dari Malaysia," jelasnya.

Namun, baru-baru ini dia mula berjinak-jinak menggunakan aplikasi Muslim Pro selepas salah seorang rakannya memperkenalkan aplikasi telefon pintar berkenaan.

"Aplikasi itu sangat membantu kerana memberi pelbagai maklumat berhubung lokasi makanan halal, waktu solat, arah kiblat dan banyak panduan lain yang penting bagi saya," katanya.

APLIKASI Muslim Pro memudahkan umat Islam mencari restoran makanan halal ketika berada di luar negara.


Bertitik tolak dari situ, anak jati Kuala Lumpur itu kini banyak bergantung kepada aplikasi berkenaan apabila berada di luar negara.

"Saya tidak perlu pening lagi kerana kesemua maklumat berkaitan Islam sudah ada di dalam aplikasi ini," tuturnya tersenyum.

Seorang pengguna yang berasal dari United Kingdom yang hanya mahu dikenali sebagai Rizqi pula menyifatkan aplikasi Muslim Pro merupakan antara aplikasi terbaik dan praktikal yang terkandung dalam telefon pintar iPhonenya.

"Saya sering menggunakan aplikasi ini kerana arah kiblatnya sangat tepat. Malah waktu solat akan bertukar mengikut lokasi di mana kita berada.

"Jika saya sibuk bekerja, aplikasi ini akan mengingatkan masuknya waktu solat sekali gus saya tidak terlepas menunaikan tuntutan agama itu," ujarnya.

Aplikasi tersebut diperkenalkan di pasaran oleh Bitsmedia Pte. Ltd. (Bitsmedia), sebuah syarikat pembangun aplikasi mudah alih yang berpangkalan di Singapura, dalam sistem operasi iOS pada tahun Ogos 2010 dan Android pada Mac tahun lalu.

Ia boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan AppStore. Bagaimanapun, jika pengguna ingin menaik taraf kepada versi premium, bayaran sebanyak RM4.72 akan dikenakan.

Versi tersebut membolehkan pengguna mendengar bacaan al-Quran dalam bentuk audio, membaca terjemahan ayat-ayat suci tersebut dan memilih pelbagai suara bilal yang melaungkan azan.

Aplikasi komprehensif

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bitsmedia, Erwan Mace, 39, Muslim Pro merupakan aplikasi komprehensif terutama bagi umat Islam yang sering bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

Muslim Pro menyediakan waktu solat berdasarkan lokasi pengguna, penunjuk arah kiblat seluruh dunia dan pencarian restoran halal serta masjid.


APLIKASI Muslim Pro ini telah dimuat turun kira-kira 7 juta kali di seluruh dunia.


"Aplikasi ini amat berguna terutamanya kepada umat Islam yang berkunjung ke luar negara. Melalui aplikasi ini, mereka boleh mencari segala maklumat yang diperlukan," katanya sambil memberitahu rata-rata pengguna memberi maklum balas positif selain pengiktirafan lima bintang terhadap aplikasi itu.

Sejak aplikasi Muslim Pro ditawarkan kepada pengguna di seluruh dunia, aplikasi itu telah dimuat turun kira-kira 7 juta kali, terutama dari negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Malaysia, Turki, dan Maghribi.

Tidak ketinggalan negara-negara yang mempunyai minoriti penduduk Islam seperti Perancis, Jerman, Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura.

Menceritakan lebih lanjut mengenai aplikasi itu, beliau memberitahu, aplikasi tersebut menggunakan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) untuk mencari senarai restoran halal dan lokasi masjid di sesebuah bandar.

Malah, pengiraan waktu solat dilakukan berdasarkan kedudukan matahari untuk latitud khusus dan longitud dengan menggunakan formula matematik yang tertentu.

Bagi meningkatkan kemahiran dan penghayatan pengguna terhadap ayat-ayat suci al-Quran, beliau menambah, Muslim Pro juga menyediakan audio bacaan kesemua 114 surah al-Quran dan terjemahan yang membenarkan pengguna memilih qari dan bahasa seperti Indonesia, Melayu, Perancis, Itali, Portugis, Turki, Inggeris dan Belanda.

Pelbagai fungsi

Menurut Erwan, aplikasi tersebut bersifat mesra pengguna kerana terdapat lapan menu pilihan iaitu waktu solat, arah kiblat, bacaan al-Quran, senarai cuti umum, 99 nama Asma al-Husna, senarai restoran halal, mod tidur yang membenarkan pengguna mendengar alunan azan penuh secara automatik walaupun peranti pintar mereka dalam mod senyap, penghantaran kad ucapan perayaan dan bantuan tetapan.

"Jadi, pengguna hanya perlu menekan menu maklumat yang ingin dicari. Misalnya, lokasi restoran halal. Selain memaklumkan mengenai nama restoran, ia turut menyalurkan maklumat mengenai jarak restoran tersebut dari lokasi pengguna.


MUSLIM PRO merupakan aplikasi komprehensif bagi membantu umat Islam yang sering bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.


"Aplikasi ini menggunakan sistem navigasi yang memandu pengguna ke lokasi restoran yang dipilih," ujarnya sambil memberitahu aplikasi berkenaan boleh digunakan di seluruh dunia.

Ekoran sambutan memberangsangkan daripada pengguna, beliau memaklumkan, Bitsmedia merancang untuk menambah baik kandungan yang ditawarkan, di samping membangunkannya untuk pelbagai platform peranti pintar dalam mengikuti keperluan terkini masyarakat Islam.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya merancang membina aplikasi yang sama itu untuk kegunaan telefon biasa.

Langkah itu, jelas beliau, dilihat dapat memberi peluang kepada semua pengguna Islam untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

"Kami mahu menghasilkan produk yang boleh digunakan oleh semua pengguna Islam. Kami berharap perkhidmatan yang diberikan ini akan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat yang beragama Islam untuk menghasilkan teknologi berkaitan keperluan agama mereka," tuturnya.

Laluan khas untuk OKU berenang

Posted:

Laluan khas untuk OKU berenang

Laluan khas untuk OKU berenang


SEORANG pesakit paraplegia bersedia untuk melalui laluan khas di pantai Alepochori, Athens, Greece.


SEKUMPULAN penyelidik dari Greece mencipta sebuah laluan bagi memberi peluang kepada orang kelainan upaya (OKU) untuk berenang di laut.

Laluan yang menggunakan sistem tenaga solar itu membolehkan hampir 30 buah kerusi khas yang dilengkapi butang melalui laluan berkenaan dan berada dalam lautan untuk tempoh sehari.

Kerusi itu akan membolehkan individu terlibat merasai keseronokan berada di dalam air pada kedalaman paras pinggang.

Seorang pesakit lumpuh, Lefteris Theofilou, 52, berkata, dia menghabiskan hampir separuh hidupnya berada di atas kerusi roda.

"Saya berasa seolah-olah mimpi kerana pertama kali dapat menaiki kerusi solar untuk berenang dalam laut.

"Tidak pernah terlintas dalam fikiran yang saya boleh berenang sendiri," katanya dengan penuh kegembiraan.

Kemudahan dua peranti serentak

Posted:

Kemudahan dua peranti serentak

Kemudahan dua peranti serentak


SET fon kepala wayarles ini boleh menggunakan dua peranti serentak.


SEGALA-GALANYA kini sama ada kelengkapan diri mahupun aksesori mesti menepati tahap praktikal dan mempunyai gaya yang menyerlahkan identiti si pemilik.

Set fon kepala Jabra Tag tampak mampu menepati cita rasa golongan tersebut, bukan sahaja reka bentuknya menawan, malah mampu memberikan kepuasan mendengar muzik dan berhubung dengan lebih baik.

Reka bentuk fizikalnya berupa sebuah loket tanpa wayar dengan binaan dalam radio FM. Ia boleh digayakan dengan mengantungkan pada leher pengguna.

Jika mahu kelihatan lebih ranggi, klipkan Jabra Tag anda pada pakaian atau beg supaya kelihatan seperti aksesori yang canggih.

Dengan Jabra Tag, anda dapat menikmati muzik kegemaran atau menonton video di laman YouTube menerusi sambungan pelbagai peranti mudah alih sehingga tujuh jam.

Berbual menggunakan aplikasi Skype, kualiti audio yang bermutu tinggi dapat dinikmati sehingga lapan jam.

Menariknya, ia boleh menggunakan dua peranti mudah alih secara serentak selain masih dapat mendengar radio FM, sungguhpun bateri peranti mudah alih itu sudah kehabisan.

Jika mahu menukar set fon kepala dengan yang lain, tag berbentuk loket itu sepadan dengan semua jenis fon kepala.

Namun, harus diberitahu, satu lagi kelebihan fon kepala Jabra Tag ialah ia mampu mengasingkan bunyi bising dari luar daripada didengari pendengar. Seterusnya membolehkan pendengar mendengar muzik atau berbicara dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan luar.

Selain fungsi Bluetooth, loket Jabra Tag memudahkan kawalan muzik dan panggilan, menyimpan senarai muzik yang didengari dan menyelaras tahap suara.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Bekas pelajar Mexsa rai lebaran

Posted:

Bekas pelajar Mexsa rai lebaran

Bekas pelajar Mexsa rai lebaran

SEBAHAGIAN daripada bekas pelajar sekolah rendah dan menengah Methodist Parit Buntar, Perak bergambar pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.


AIDILFITRI. Lebih 200 orang bekas pelajar sekolah rendah dan menengah Methodist di Parit Buntar, Perak diraikan pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Methodist Parit Buntar (Mexsa) baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Mexsa, Datuk Kuthubulzaman Bukhari, program tersebut yang diadakan di Sekolah Menengah Methodist, Parit Buntar merupakan acara tahunan bagi merapatkan silaturahim dalam kalangan bekas pelajar sekolah itu.

"Pada program tersebut, bekas pelajar yang menamatkan pengajian di sekolah rendah dan menengah dari tahun 1964 hadir menjayakan majlis itu," katanya.

Turut hadir Pengetua SMK Methodist, KB Gee.

Bank Muamalat serah zakat perniagaan kepada PZM, MAIM

Posted:

Bank Muamalat serah zakat perniagaan kepada PZM, MAIM

Bank Muamalat serah zakat perniagaan kepada PZM, MAIM


KAMARUZAIN (tengah) menyampaikan replika cek zakat perniagaan Bank Muamalat kepada Yaakub (kanan) di Kompleks MAIM, Bukit Palah, Melaka baru-baru ini.


ZAKAT. Bank Muamalat Malaysia Berhad menyerahkan zakat perniagaannya kepada Pusat Zakat Melaka (PZM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi tahun 2012 berjumlah RM149,665 baru-baru ini.

Penyerahan zakat itu disempurnakan oleh Pengurus Wilayah Selatan, Kamaruzain Ekhwan kepada Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Yaakub Md. Amin di Kompleks MAIM, Bukit Palah.

Menurut Yaakub, sehingga hujung bulan lepas, sejumlah RM26.2 juta zakat harta telah diterima PZM berbanding hanya RM20.4 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

"Ini menunjukkan peningkatan RM5.77 juta iaitu 28.26 peratus," katanya.

SKM agih kuih raya promosi Hari Koperasi Negara

Posted:

SKM agih kuih raya promosi Hari Koperasi Negara

SKM agih kuih raya promosi Hari Koperasi Negara


KAKITANGAN SKM mengagihkan kuih raya kepada orang ramai sempena HKN 2013 di Hentian Rehat dan Rawat Gurun, Lebuh Raya Utara-Selatan di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.


AGIH. Promosi Hari Koperasi Negara (HKN) 2013 giat dijalankan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menerusi pengagihan kuih raya di Hentian Rehat dan Rawat Gurun, Lebuh Raya Utara-Selatan di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

HKN 2013 akan diadakan di Dataran Darulaman Jitra pada 23 hingga 25 Ogos ini.

Pengarah Bahagian Promosi dan Pengembangan SKM, Datin Zuraidah Hashim berkata, selain mengagihkan 1,000 pek kuih raya, pihaknya turut menguar-uarkan HKN 2013 kepada pengguna lebuh raya.

Katanya, aktiviti itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai gerakan koperasi yang mampu menyumbang ekonomi kepada negara.

"SKM mengambil kesempatan menghebahkan HKN 2013 kepada pengguna lebuh raya yang mahu pulang ke Kedah sempena musim perayaan," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Rakyat takut kes jenayah meningkat

Posted:

Rakyat takut kes jenayah meningkat

Rakyat takut kes jenayah meningkat

JAKARTA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) menegaskan, polis komited memelihara keamanan melalui penubuhan dua skuad khas di Bukit Aman bagi memerangi jenayah termasuk kegiatan pengedaran dadah.

Kedua-dua skuad khas itu, katanya, akan memberi tumpuan khusus kepada kumpulan sasaran tanpa melalui saluran birokrasi biasa kepolisan.

Mengenai kebimbangan rakyat terhadap kadar jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini, Ahmad Zahid berkata, mereka ada asas untuk berasa sedemikian.

"Mereka mempunyai asas untuk berasa bimbang kerana kejadian tembak dan pembunuhan berlaku hampir setiap minggu.

"Saya mempunyai bukti peningkatan dari segi statistik jenayah indeks terutamanya di kawasan-kawasan 'red spots'," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Khas Mengenai Pergerakan Manusia Secara Tidak Sah di sini semalam.

Beliau berkata, pelaksanaan Ops Cantas Khas sejak Ahad lalu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah bukti komitmen berterusan pasukan itu untuk mengembalikan keyakinan rakyat selepas Ordinan Darurat (EO) dan Akta Kediaman Terhad dihapuskan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Suspek 10 lagi kes tembak Pulau Pinang dikenal pasti

Posted:

Suspek 10 lagi kes tembak Pulau Pinang dikenal pasti

Suspek 10 lagi kes tembak Pulau Pinang dikenal pasti

GEORGE TOWN - Polis mempunyai maklumat dan mengenal pasti identiti individu yang terlibat dalam 10 kes tembakan yang berlaku di Pulau Pinang sejak Januari lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, identiti itu diperoleh melalui risikan pasukan khas yang telah digerakkan bagi memburu penjenayah terbabit.

"Sebanyak 19 kes (tembakan) dilaporkan di negeri ini. Sembilan daripadanya berjaya diselesaikan dan ada 10 lagi kes yang masih dalam siasatan.

"Saya tidak boleh dedahkan maklumat itu, tetapi kami akan bertindak secepat mungkin berdasarkan maklumat yang ada," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan bersama Petugas Ops Selamat 3/2013 di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan kes tembak di Pulau Pinang selepas polis negeri itu menembak mati lima ahli geng kongsi gelap 04 di Sungai Nibong di sini kelmarin.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Pelajar kita di Mesir pulang hari ini

Posted:

Pelajar kita di Mesir pulang hari ini

Pelajar kita di Mesir pulang hari ini

PUTRAJAYA - Urusan membawa pulang kira-kira 3,300 pelajar Malaysia di Mesir bermula malam tadi menggunakan pesawat komersial, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, urusan penempahan tiket turut bermula malam tadi dan penerbangan akan melalui Amman di Jordan dan Istanbul di Turki serta beberapa tempat lain.

"Saya sudah mendapat laporan daripada Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab yang sedang berada di Mesir bahawa keadaan di sana menjurus pada keadaan yang tidak menentu dan mungkin lebih buruk daripada keadaan pada masa ini.

"Oleh itu pasukan kita memberi pandangan dan nasihat supaya kita memulakan operasi untuk membawa balik pelajar kita yang ingin kembali secara sukarela dan saya telah bersetuju dengan pandangan itu," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Masjid Cina Ipoh catat sejarah

Posted:

Masjid Cina Ipoh catat sejarah

Masjid Cina Ipoh catat sejarah

Oleh ZULHAFIZAH AHMAD ZAKI

MASJID Muhammad mula dibuka pada 4 Ogos lepas.


KETIKA umat Islam masih meraikan sambutan Aidilfitri, Masjid Muhammadiah turut melakar satu peristiwa bersejarah.

Ini dapat dilihat apabila bukan sahaja masyarakat Islam setempat malahan masyarakat Cina yang beragama Islam dari seluruh negara berkunjung ke sini.

Masjid Muhammadiah yang terletak di Taman Tasek Jaya, Ipoh, Perak dibina dengan konsep seni bina Cina. Ia dikenali sebagai Masjid Cina dalam kalangan penduduk tempatan di samping menjadi satu lagi mercu tanda baharu kawasan berkenaan.

Masjid yang mengambil nama sempena masjid lamanya, berasal daripada Madrasah Muhammadiah yang didirikan oleh Allahyarham Abdul Latif Mohd. Kassim bersama tujuh rakannya pada tahun 1973.

Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Ipoh, Hafiz Ng Abdullah dalam satu temu bual baru-baru ini berkata, masjid itu kini diurus tadbir oleh gabungan dua buah jawatankuasa iaitu jawatankuasa Masjid Muhammadiah yang lama dan Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh.

Konsep pembinaan masjid ini mengambil sepenuhnya idea seni bina tradisional dan budaya Cina. Ia kemudian diterjemahkan di keseluruhan bangunan termasuk bumbung, pagar, dinding serta dewan solat menerusi prinsip simetri.

Binaan lantai yang lebih tinggi daripada paras tanah, tiang-tiang besar berwarna merah dan sebuah menara berbumbung yang dihiasi motif hiasan Cina berwarna hijau, menambah keunikan masjid ini.

Pintu masuk utama yang berwarna merah dihiasi tulisan Cina di bahagian kanan dan kiri manakala perkataan Masjid Muhammadiah dalam tulisan rumi di bahagian atas seolah-olah mencerminkan perjalanan sejarahnya yang tersendiri.


RUANG solat utama boleh menampung jemaah seramai 800 orang.


Perbezaan

"Bagaimanapun jika diteliti, sebenarnya kita telah ubah seni hiasan bumbung kerana di China, mereka menggunakan motif bunga teratai tetapi di masjid ini kita menggunakan bunga raya merah iaitu bunga kebangsaan," katanya.

Beliau berkata, warna cat yang dipilih bagi menghiasi keseluruhan bangunan masjid juga adalah berdasarkan warna utama dalam budaya masyarakat Cina iaitu merah, hijau dan putih.

Ruang solat terbuka masjid berkenaan dihias dengan taman-taman kecil yang dipisahkan oleh laluan ke dewan solat dan ruang aktiviti di bahagian dalam masjid.

Ketika ditanya mengenai perbezaan Masjid Muhammadiah dengan masjid Cina yang ada di negeri lain, Hafiz Ng berkata, perbezaan itu dapat dilihat dengan jelas seperti masjid di Rantau Panjang, Kelantan, yang seni binanya sedikit bercampur dengan budaya masyarakat Thailand.

Hafiz Ng, yang juga timbalan pengerusi masjid berkenaan berkata, ruang aktiviti dengan konsep terbuka masjid itu membolehkan umat Islam mengadakan majlis ceramah, forum dan aktiviti budaya yang menepati syariat Islam.

Masjid Muhammadiah yang menempatkan dewan solat dan ruang aktiviti itu adalah fasa pertama daripada keseluruhan kompleks dengan keluasan 0.4 hektar yang turut terdiri pusat dakwah serta rumah perlindungan.

"Rumah perlindungan itu bertujuan memberi tempat tinggal sementara terutama kepada saudara baru yang mungkin disisih oleh keluarga," katanya.

Selain itu, dewan solat wanita di bahagian atas boleh menempatkan 200 ahli jemaah manakala ruang solat bawah mampu memuatkan 800 orang.

Pendakwah aktif itu berkata, kos bagi fasa pertama iaitu pembinaan bangunan masjid bernilai RM4 juta manakala fasa kedua merangkumi pembinaan pusat dakwah serta rumah perlindungan memerlukan kos sebanyak RM2.8 juta.

Pada 8 Oktober 2009, Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), berkenan menyampaikan geran pelancaran bernilai RM2 juta bagi tujuan membina masjid berkenaan di samping memberi perkenan terhadap pelan dan seni rekanya.

Kutipan derma


TIANG bulat berwarna merah sangat sinonim dengan seni bina di negara China.


"Bagi tujuan pembinaan fasa kedua, kutipan derma dan sumbangan oleh mana-mana pihak masih berjalan. Alhamdulillah, semasa kutipan untuk pembinaan masjid semua pihak memberi sokongan yang kuat untuk merealisasinya, begitu juga bagi fasa kedua," katanya.

Beliau turut menjelaskan, cadangan pembinaan Masjid Muhammadiah ini dibincangkan oleh kedua-dua jawatankuasa pada November 2008 dan dimulakan pembinaannya pada Disember 2011.

"InsyaAllah fasa pertama ini akan sempurna dalam tempoh sebulan lagi. Sekarang kita sedang melaksanakan kerja-kerja bagi perincian terakhir," katanya.

Beliau berkata, tujuan pembinaan masjid baharu ini adalah bagi menampung kapasiti umat Islam yang semakin bertambah di kawasan sekitar khususnya bagi keperluan solat Jumaat.

"Ia juga bagi menghimpunkan saudara seagama daripada masyarakat Cina yang segan dan malu untuk pergi ke masjid biasa. Masjid Muhammadiah ini juga membuka peluang kepada orang bukan Islam untuk mendapatkan maklumat mengenai Islam," katanya.

Hafiz Ng berkata, sesiapa sahaja boleh datang ke masjid ini untuk merujuk atau bertanya mengenai agama Islam tanpa sebarang halangan dan ia adalah satu tarikan kepada orang bukan Islam untuk lebih mengenali Islam.

"Kita juga mahu menjadikan masjid ini sebagai satu tarikan pelancongan di Perak. Ramai saudara baru Islam dan bukan Islam dari Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur hadir semasa masjid ini dibuka pada 4 Ogos lepas," katanya. – Bernama

Seni jujur kanak-kanak

Posted:

Seni jujur kanak-kanak

Seni jujur kanak-kanak


KIRI: Nadia merakam foto sekeping lukisan yang menarik perhatiannya.


KARYA-KARYA yang digantung pada dinding di ruang pameran Annexe Gallery, Kuala Lumpur pada bulan Julai lalu kelihatan sangat naif dan ringkas.

Sejujur usia para pelukis aneka lukisan tersebut iaitu antara tiga hingga 16 tahun, tema yang dibawa cuba menjentik kematangan mereka mengenai alam semula jadi.

Terdapat lebih 20 keping lukisan yang rata-rata berkaitan alam tabii seperti gunung-ganang, pokok-pokok, bunga-bungaan segar dan sungai yang mengalir.

Isu berkaitan alam sekitar seperti pencemaran dan kemungkinan jika dunia ini tidak dijaga turut dipaparkan oleh mereka menggunakan garisan-garisan berus lukisan dan warna yang terbit daripada rasa hati para pelukis.

Kanak-kanak yang terlibat kebanyakan dari Malaysia, tetapi hasil karya kanak-kanak dari Afrika Selatan, Amerika Syarikat, China, Singapura, Hong Kong dan Australia turut dipamerkan.

Pameran yang dianjurkan oleh Esse Organic Skincare itu merupakan satu kempen memberi semula kepada mereka yang memerlukan.

Setiap hasil lukisan kanak-kanak mangsa itu yang berharga antara RM800 hingga RM1,000 disalurkan terus kepada Shelter Home for Children di Malaysia.

Shelter Home for Children merupakan sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan sejak tahun 1981 bagi membantu kanak-kanak penderaan, terbiar, terabai atau berisiko.

Pihak itu menyediakan penjagaan dan pendidikan kepada golongan tersebut selain meningkatkan kesedaran awam berkenaan penderaan serta perlindungan kanak-kanak.

Terdapat sekeping lukisan yang menggunakan warna akrilik di atas kanvas bertajuk, Little Red Riding Hood and the Wolf on a Happy Outings.

Catan itu dilukis oleh seorang kanak-kanak berusia lima tahun, Jason Hang dari Hong Kong. Biarpun menggunakan karakter cerita dongeng kanak-kanak, tetapi paparan gambaran yang diputar sedikit memberi makna mendalam pada lukisan berkenaan.

Umum mengetahui bahawa watak Red Riding Hood bermusuhan dengan karakter musang kerana kejahatan haiwan itu.

Namun, pelukis memberikan pandangan bahawa kedua-dua karakter tersebut bersahabat baik, malah bersiar-siar bersama pada waktu petang.


LUKISAN bertajuk Little Red Riding Hood and the Wolf on Happy Outings ini dihasilkan oleh Hang.


Menjaga kelestarian bumi

Begitulah yang mahu ditonjolkan dan seharusnya dilakukan oleh setiap individu iaitu menjaga serta menyayangi flora serta fauna demi kelestarian bumi.

Jika diperhatikan pada penggunaan warna dan lengkok berus, setiap warna serta campuran digunakan sesuai untuk karakter dalam karya masing-masing.

Lengkok berus juga sangat praktikal serta berfungsi. Boleh dikatakan ia merupakan lukisan yang terperinci kerana pemerhati dapat melihat corak kain, sisiran rambut, lentikan bulu mata dan skaf.

Warna latar belakang pula berwarna biru cerah dengan gumpalan awan menandakan cuaca yang baik, manakala rimbunan semak berwarna hijau pelbagai tona menunjukkan kawasan hutan masih tebal di dalam lukisan itu.

"Pameran ini memberikan persepsi berbeza dengan mengajar mereka cara untuk menghargai alam sekitar," kata tetamu istimewa pada petang itu, Ratu Cantik Malaysia Dunia 2010/2011, Nadia Patullo Heng.

Tema alam sekitar amat bertepatan dengan Esse yang sentiasa mempromosi alam sekitar yang mapan selain mengamalkan cara perdagangan yang adil dan beretika.

Menurut pengasasnya, Trevor Steyn, bahan-bahan asas pembuatan produk Esse berasal dari pedalaman Afrika yang hasilnya dikutip oleh penduduk asli tempatan.

Setiap kampung mempunyai kutipan hasil tumbuh-tumbuhan tersendiri yang didapati daripada pokok berusia beratus-ratus tahun seperti boabab, mamala dan rooibos.

Semua bahan dikumpulkan di kilang Esse untuk diproses menjadi produk. Di negara-negara lain, kempen memberi semula kepada komuniti agak berlainan seperti di sini. - ADLAN JAAFAR

Jus durian Aroma King tarikan Melaka

Posted:

Jus durian Aroma King tarikan Melaka

Jus durian Aroma King tarikan Melaka

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN

JUS Aroma King diperbuat daripada pati durian asli tanpa gula tambahan.


MELAKA cukup sinonim dengan asam pedas, gula Melaka, cencalok dan pelbagai menu yang menjadi identiti negeri bersejarah ini.

Begitu juga dengan minuman coconut shake yang menjadi kegemaran orang ramai yang melalui jalan dari Pantai Klebang hingga ke Pantai Puteri.

Selepas sambutan hangat yang diberikan terhadap produk tersebut, orang ramai termasuk pelancong bakal menikmati satu lagi menu istimewa iaitu jus durian asli selaku daya tarikan terbaharu negeri itu.

Diberi nama Aroma King, jus tersebut merupakan minuman berperisa durian asli yang dijual oleh pengusaha dari Bukit Rambai, Norfaisal Omar.

Dia menjalankan perniagaan itu bersama isteri, Noraini Abd. Wahab, 39, dan seorang rakan, Norfadilah Mohamad, 34.

"Saya tertarik untuk mengetengahkan minuman itu sebagai satu kelainan. Produk ini masih di peringkat promosi dan kami merancang untuk membuka sebuah gerai jualan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Jus Durian Aroma King di Dataran 1Malaysia Klebang baru-baru ini.

Menurut Norfaisal, 42, jus durian yang menggunakan buah segar itu mempunyai rasa manis asli tanpa campuran gula.

Durian terbaik

Katanya, pati jus itu pula bukan sekadar jus yang boleh diminum begitu sahaja malah mampu dipelbagaikan seperti ais kisar dan perisa kek, roti dan kuih.

Dia yang enggan mendedahkan resipi jus tersebut menjelaskan, minuman itu dapat bertahan sehingga enam bulan jika dibekukan.

Dengan tempoh yang panjang itu, jus tersebut boleh dinikmati sepanjang tahun.

"Pati jus dihasilkan menggunakan buah durian terbaik," katanya.

Noraini pula berkata, sebanyak 10 biji durian akan menghasilkan sebungkus beg plastik pati jus seberat 6.5 kilogram.


NORFADILAH (kanan) melayan orang ramai menikmati jus durian Aroma King.


Menurutnya, pati durian yang telah diinovasikan mampu bertahan antara enam bulan ke setahun.

Ujarnya, jus durian Aroma King merupakan yang pertama di negeri itu.

"Dengan modal serendah RM2,000, saya yakin sesiapa juga mampu menjalankan bisnes ini tetapi perlu mengambil pati durian daripada kami," katanya.

Noraini berkata, dia dan suaminya akan mengkaji pasaran jus terlebih dahulu selain mahu membuat kajian untuk menghasilkan durian shake .

Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Abu Bakar Mohd. Diah berkata, jus durian berkenaan berjaya dihasilkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama tiga bulan dengan kerjasama kementerian terbabit.

Kata beliau, pada masa yang sama pihaknya kini masih mengkaji kesesuaian buah tempatan itu dijadikan minuman shake yang boleh dijual pada harga yang lebih murah berbanding jus durian.

Menurut Ahli Parlimen Tangga Batu itu, produk yang telah diinovasikan itu tidak memberi kesan sampingan kepada tubuh.

"Produk ini sebenarnya telah dikaji selama tiga bulan sebelum diperkenalkan dan saya yakin ia mampu menjadi minuman yang popular sama ada kepada penduduk mahupun pelancong di Melaka," katanya yang turut hadir pada pelancaran jus durian Aroma King itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Pahang, Kelantan sama handal

Posted:

Pahang, Kelantan sama handal

Pahang, Kelantan sama handal

Oleh HAFIZ ABBAS
hafiz.abbas@kosmo.com.my

INDRA (tengah) diasak dua pemain Pahang pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.


PAHANG berjaya mengikat juara bertahan, Kelantan dengan keputusan seri 1-1 pada saingan pembuka tirai Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Pada awal babak permainan, kedua-dua pasukan dilihat berusaha mengasak ke arah kubu lawan bagi mencari gol awal.

Pada minit kelapan, Kelantan memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan kapten, Mohd. Badhri Radzi.

Percubaan terbaik skuad Tok Gajah muncul pada minit ke-17 apabila Matias Ruben Conti berjaya menanduk bola ke gawang lawan selepas menerima hantaran lintang Mohd. Saiful Nizam, namun ia sedikit tinggi melewati palang.

Pada minit ke-36, penyerang berbisa Kelantan, Indra Putra Mahayuddin pula berjaya melepasi benteng pertahanan Pahang tetapi rembatannya melepasi tiang gol.

Empat minit sebelum babak pertama berakhir, pemain tengah Pahang, Mohd Amirulhadi Yahya pula merembat dari luar kotak penalti, namun percubaannya itu sedikit tersasar.

Bersambung babak kedua, Pahang dan Kelantan bermula garang untuk mencipta jaringan.

Namun, rentak Kelantan sedikit terencat apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas Fakri Sharani dikenakan kad merah setelah dia mengasari Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-64.

Pada minit ke-80, suasana perlawanan makin panas. Kini, giliran Pahang pula tempang apabila R. Surendran menerima kad merah kerana mengasari tonggak pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin.

Pada minit ke-85, pemain import Pahang, Damion Delano Stewart akhirnya berjaya memecah kebuntuan untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan kencang bagi menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

'Saya tak cakap dia salah guna kuasa'

Posted:

'Saya tak cakap dia salah guna kuasa'

'Saya tak cakap dia salah guna kuasa'

"SAYA tak cakap dia (bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad) salah guna kuasa. Saya cakap dia tidak adil."

Demikian jelas Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar) bagi mengulas kenyataan Azzuddin dalam laporan akhbar semalam yang menepis dakwaan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) itu bahawa Azzuddin telah menyalah guna kuasa ketika memegang jawatan Setiausaha Agung FAM.

Mengulas lanjut perkara itu, Shahidan berkata, Azzuddin tidak menggunakan kuasa yang diberikan kepadanya sebagai Setiausaha Agung FAM dengan lebih adil terutama dalam menjatuhkan hukuman.

"Beliau (Azzuddin) sepatutnya menjatuhkan hukuman dengan adil tanpa perlu mengira pangkat kami. Salah saya kecil, hanya komen mengenai pembayaran gaji pemain tetapi dapat hukuman paling tinggi berbanding orang lain.

"Orang lain (bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) pun buat silap macam saya," kata Shahidan semalam.

Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut mempersoalkan: "Mengapa individu yang turut membuat salah, tidak didenda sampai RM39,000 dan digantung daripada terlibat dengan aktiviti bola sepak sebegitu lama macam saya."

Beliau turut mempersoalkan tindakan FAM untuk meminda Artikel 88 jika benar artikel berkenaan merupakan undang-undang yang adil.

Mengenai keengganan FAM membayar balik wang denda RM39,000 yang dijelaskan beliau sebelum ini, Shahidan berkata, badan induk itu sepatutnya memulangkan duit tersebut dan menghapuskan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Beliau berkata, tindakan undang-undang juga sepatutnya dikenakan kepada Azzuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin FAM, Datuk Taufek Abdul Razak kerana menjatuhkan hukuman yang tidak adil terhadapnya.

Beliau mendakwa individu yang dilantik bukan menerusi undian seperti Azzuddin sepatutnya tidak diberikan tanggungjawab besar termasuk menjatuhkan hukuman kerana mereka cenderung untuk berlaku tidak adil.

"Mereka yang tidak diundi juga tidak sepatutnya memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan bola sepak," katanya.

Shahidan digantung selama 30 bulan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak dan dikenakan denda keseluruhan RM39,000 selain FAM menetapkan bahawa beliau tidak boleh mengemukakan sebarang rayuan berhubung hukuman itu.

Selain Shahidan, individu lain yang dikenakan hukuman kerana melanggar Artikel 88 di bawah Statut FAM 2010-2014 ialah Annuar dan Tunku Ismail yang masing-masing sedang menjalani hukuman penggantungan kerana mengkritik FAM. - Bernama

Giliran Harrif jejak podium utama

Posted:

Giliran Harrif jejak podium utama

Giliran Harrif jejak podium utama

SELEPAS kempunan dalam dua peringkat, pakar pecut negara, Mohd. Hariff Salleh akhirnya meraih kemenangan pada peringkat ketiga perlumbaan berbasikal Jelajah Borneo 2013 semalam.

Pelumba berusia 24 tahun daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) itu memberikan sepenuh tenaga untuk meloloskan diri dalam pemecutan kelompok besar ke garisan penamat.

Dia menamatkan saingan peringkat ketiga dari Penampang ke Kota Kinabalu sejauh 132.6 kilometer (km) dengan mencatat masa 3 jam 20 minit dan 39 saat (s).

Pelumba Synergy Baku Cycling Team, Anuar Manan dan abang kepada Hariff - Mohd. Zambri yang juga mewakili TSG, masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa yang sama.

"Saya amat gembira dengan kejayaan hari ini (semalam). Memang saya sasar untuk mendapatkan kemenangan podium walaupun persediaan saya tidaklah begitu baik memandangkan baru sahaja lepas berpuasa dan Hari Raya.

"Perlumbaan di sini juga banyak melalui kawasan berbukit. Untuk peringkat pertama dan kedua lepas, saya buat macam sedang membuat latihan untuk saya membina kekuatan bagi menghadapi peringkat-peringkat perlumbaan yang berikutnya," kata Hariff.

Harrif berkata, dia agak kecewa kerana tidak dapat melakukan yang terbaik kelmarin (peringkat kedua) selepas basikalnya mengalami kerosakan gear elektronik.

"Akibat daripada itu, saya terpaksa menggunakan basikal gantian yang agak tidak selesa. Hari ini (semalam) saya dapat menggunakan balik basikal saya, jadi saya rasa agak serasi," katanya.

Sementara itu, henjutan bertenaga di garisan penamat membolehkan Anuar berada selesa untuk terus memakai Jersi Hijau selaku Raja Pecut setakat ini dengan 44 mata.

Mengekori di belakang Anuar ialah pelumba Iran, Mehdi Sohrabi daripada Tabriz Petrochemical Team dan pelumba Australia, Paul Van Der Ploeg (Team Corbusier), masing-masing memperoleh 28 dan 27 mata.

"Dengan tahap kecergasan yang hanya 50-50, saya gembira sebab berjaya mendapat tempat kedua dan menaiki podium hari ini.

"Namun untuk peringkat esok (hari ini), saya hanya akan biarkan pakar pendakian yang bekerja dan saya akan cuba untuk mendapatkan kemenangan pada peringkat terakhir.

"Untuk perlumbaan hari ini (semalam), TSG mempunyai kelebihan apabila seorang pelumba mereka berada bersama-sama Mehdi di hadapan.

"Jika saya terlewat membuat percaturan, peringkat ini akan dimenangi salah seorang pelumba TSG ataupun Mehdi," kata Anuar.

Mehdi terus mengekalkan Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan dan Jersi Biru (pelumba terbaik Asia) dengan mengumpul 10:44:27s selepas menamatkan tiga peringkat.

Bagaimanapun, pemilik Jersi Merah (Raja Bukit) bertukar tangan dan kali ini, menjadi milik pelumba Indonesia, Endra Wijaya daripada pasukan Customs Cycling Club.

Selepas saingan semalam, hanya 98 daripada 101 pelumba akan meneruskan cabaran peringkat keempat apabila tiga lagi pelumba tidak dapat menamatkan saingan (DNF).

Peringkat keempat hari ini dari Kota Kinabalu ke Kudasang sejauh 147.1km memberi peluang kepada pakar pendakian mempamerkan kekuatan mereka menakluki Banjaran Crocker.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Stailo

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Underwraps bimbing model Muslim

Posted:

Underwraps bimbing model Muslim

Underwraps bimbing model Muslim

Susunan ALIF ABU BAKAR

AGENSI model Underwraps di New York, Amerika Syarikat (AS) kini berperanan sebagai suara kepada jelitawan-jelitawan Muslimah di seluruh dunia yang sering dinafikan ruang untuk mengembangkan bakat dalam dunia fesyen tanpa perlu melanggar norma-norma keagamaan.

Dalam temu bual bersama laman web fesyen dalam talian popular, Fashionista.com, pengasas Underwraps, Nailah Lymus berharap agar penubuhan agensi itu dapat merapatkan jurang yang tercipta antara terma kesopanan dan fesyen.

"Model-model Muslim datang daripada latar belakang keluarga yang menuntut mereka berpakaian sopan berteraskan ajaran Islam. Bagaimanapun untuk mengekalkan pegangan itu dalam industri (fesyen), ramai yang sanggup menggadaikan prinsip wajib itu," jelas wanita berumur 28 tahun itu.

Matlamat utama agensi itu adalah bagi menyediakan model-model wanita Muslim bekerja bersama pereka-pereka arus perdana, pada masa sama mematuhi hukum agama Islam. Ini termasuk pakaian perlu longgar agar tidak mendedahkan bentuk badan melainkan wajah, tangan dan kaki.

Tambah Nailah: "Sebab itu saya wujudkan agensi ini supaya mereka tidak perlu melanggar peraturan agama. Anda tidak perlu menjadi orang lain untuk berjaya."

Wanita Muslim Amerika itu juga menunjukkan prinsip keutamaan agama menerusi pemakaiannya. Secara peribadi, beliau memulakan langkah dalam industri fesyen AS dengan mereka pakaian kanak-kanak sebelum beralih kepada rekaan untuk golongan dewasa.


EMPAT model baharu yang dipimpin oleh agensi Underwraps.


Nailah yang juga pereka di sebalik label Amirah Creations itu juga berjaya mempamerkan hasil kerjanya buat pertama kali pada Minggu Fesyen New York pada September 2011. Ia sekali gus membuka dimensi baharu penerimaan dunia terhadap fesyen bercorak Islamik yang masih mengekalkan ciri-ciri kesopanan meskipun melalui fasa modifikasi moden.

Ujar Lymus, membangunkan sebuah agensi model Muslim sememangnya amat berisiko memandangkan konsep fotografi yang sering mendedahkan tubuh badan wanita sudah menjadi 'halal' dalam peradaban umum.

"Kami juga serius dalam bekerja dan bersikap profesional sama seperti model lain. Setiap kali ada minggu fesyen, saya akan menghantar anak-anak buah saya untuk sesi uji bakat sama seperti orang lain," jelasnya.

Promosi kesopanan

Berbekalkan empat orang model yang sedang dilatih, Underwraps bukan sahaja ingin melahirkan model wanita yang mampu bekerja dalam industri penuh tekanan itu, tetapi juga mengikis konsepsi negatif yang berkaitan dunia Islam.

Ironinya, pelaburan Nailah jelas terbayar kerana pasaran untuk model-model Muslim kian meningkat. Banyak rumah fesyen antarabangsa merancang untuk melebarkan pengaruh mereka ke negara-negara Islam. Model yang mewakili agama sesebuah negara Islam dengan pakaian yang menepati syarak sudah tentu mampu menarik minat ramai. Sejak menubuhkan Amirah Creations pada tahun 2004, Nailah telah bertemu ramai wanita Muslim yang berminat untuk terlibat dalam profesion sebagai model, namun melupakan niat itu kerana tanggapan yang mereka perlu mendedahkan aurat.

"Saya mahu mempromosikan pakaian sopan, ia merupakan asas kepada agensi ini. Tidak semestinya anda perlu mendedahkan aurat untuk pergi jauh dalam industri," katanya yang menetap dan bekerja di Brooklyn, New York.

UNDERWRAPS cuba membuktikan bahawa model tidak perlu mendedahkan aurat untuk pergi jauh dalam bidang peragaan.


Ketika ini, wanita ini lebih fokus kepada pengambilan model Muslim kerana dia percaya golongan itu jarang diberi peluang oleh industri fesyen antarabangsa. Bagaimanapun dia percaya bahawa permintaan terhadap pakaian sopan tidak lagi berteraskan agama dan budaya, atas sebab itu Nailah mahu Underwraps dikenali lebih kepada ciri kesopanan berbanding orientasi keislaman.

Pandangan Islam

Pandangan Islam terhadap kerjaya model pula pelbagai. Golongan cendekiawan dari pusat pendidikan Darul Uloom Deoband di India telah mengeluarkan fatwa pada tahun 2010 yang mengecam kerjaya model dalam kalangan wanita sebagai tidak bercirikan Islam kerana menjaja tubuh wanita untuk paparan umum.

Namun, menurut Imam Talal Eid, pakar undang-undang Islam dari Boston, AS yang juga bekas ahli Suruhanjaya Kebebasan Beragama Antarabangsa AS, bekerja sebagai model masih boleh diterima asalkan kesopanan itu dikekalkan.

"Anda perlu menunjukkan pakaian itu. Tidak akan ada fesyen tanpa model yang memperagakan pakaian," kata Talal Eid yang mempunyai seorang anak perempuan yang bekerja sebagai pereka untuk Calvin Klein di New York.

Rania Iswarani, pengarang blog fesyen Muslim, Fashfaith.com juga menolak kenyataan bahawa kerjaya seorang model mencetuskan keghairahan tidak menyenangkan terhadap wanita.

Katanya: "Memang penonton melihat mereka tetapi tidak kepada kulit dan anggota badan. Tubuh mereka bersarung pakaian menutup aurat, jadi orang yang melihat sekadar mengagumi kecantikan pakaian yang diperagakan."

Veteran dalam industri juga bersetuju bahawa wujud keperluan model-model sopan yang berfikiran terbuka.

PAKAIAN longgar dan sopan menjadi garis panduan utama Underwraps - Gambar hiasan.


"Saya sentiasa mencari model untuk pakaian Muslimah saya dan agensi model Muslim seperti Underwraps dapat menyelesaikan kekangan tersebut," ujar Melanie Elturk, Ketua Pegawai Operasi dan ketua pereka daripada HauteHijab.com, peruncit pakaian Muslim dalam talian di Chicago, AS.

"Bagi mengelakkan kontroversi terhadap penggunaan model Muslim, kami banyak memaparkan produk jualan dalam bentuk item sahaja. Namun masyarakat perlu faham bahawa sesetengah produk memerlukan tubuh manusia bagi memberi gambaran jelas bagaimana produk tersebut kelihatan," tambahnya.

Sejak dilancarkan, Underwraps menerima lebih 400 permohonan daripada perantis model beragama Islam dari negara-negara termasuk AS, Indonesia, Britain dan Australia.

Agensi milik Nailah dan pereka-pereka Muslim melihat model beragama Islam dalan pasaran fesyen Muslimah kini mula diterima di seluruh dunia.

Barjis Chohan, pereka Muslim Britain yang berguru dengan pereka legenda, Vivienne Westwood, menganggarkan pasaran fesyen Muslimah kini bernilai AS$96 juta (RM311 juta).

Peningkatan penganjuran minggu fesyen seumpama di New York yang dijalankan di bandar-bandar besar Islam seperti Istanbul (Turki), Kaherah (Mesir), Karachi (Pakistan), Jakarta (Indonesia) dan Kuala Lumpur (Malaysia), dijangka meningkatkan nilai itu dari semasa ke semasa.

Elemen flora ceriakan Aidilfitri

Posted:

Elemen flora ceriakan Aidilfitri

Elemen flora ceriakan Aidilfitri


WALAUPUN banyak menggunakan rona pastel, Shahidah bijak memainkan warna dan material bagi menonjolkan koleksi ButtonMyButtons Syawal Spring 2013.


PADA musim lebaran, pasti ramai yang buntu memilih busana untuk digayakan. Majoriti kaum Hawa mengambil jalan selamat dengan menyarungkan baju kurung tradisional sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Jika ada kelainan pun, hanya sekadar manik-manik labuci yang dihias di bahagian dada, lengan dan bawah baju.

Bagi yang inginkan kelainan dan mahu tampak berbeza pada hari lebaran lebih-lebih lagi apabila menghadiri majlis rumah terbuka yang berlangsung sepanjang Syawal, butik ButtonMyButtons menawarkan pilihan yang menarik membuatkan anda tampil elegan dengan koleksi ButtonMyButtons Syawal Spring 2013.

Hasil idea pengasas baju kurung moden yang terkenal dengan sentuhan reben, Shahidah Shariff tampil bersama koleksi yang segar dan unik.

Masih mengekalkan signatur dalam rekaan bajunya iaitu hiasan reben yang bukan sahaja mampu menaikkan seri gaya si pemakai malah, kedudukan reben di bahagian perut boleh menenggelamkan pandangan terhadap bahagian perut buncit.

MEMEY SUHAIZA turut menggayakan koleksi busana ButtonMyButtons Syawal Spring 2013.


Shahidah yang suka menjahit sejak kecil menggunakan material renda dan kain kapas selain bermain dengan rona pastel bagi menyuntik gaya elegan serta kemewahan pada busana yang dipakai.

Bagi mereka yang berminat gaya peplum dan skirt panjang potongan duyung, koleksi tersebut merupakan pilihan yang tepat dengan suntikan konsep retro klasik.

"Ini tahun ketiga ButtonMyButtons tampil bersama fesyen koleksi raya dan paling mengujakan kali ini saya turun padang 100 peratus bagi memberikan sentuhan peribadi ke atas koleksi-koleksi ini.

"Saya mahu tonjolkan sesuatu yang segar, potongan yang ceria, mainan warna, gabungan material renda dan kapas serta tidak lari daripada elemen flora kerana orang suka melihatnya," kata Shahidah.

Tambahnya, pelanggan boleh memilih koleksi yang tersedia atau boleh memilih rekaan sedia ada dan membuat pilihan warna mengikut cita rasa mereka.

"Setiap musim ada warnanya dan bagi koleksi musim bunga, ia bersesuaian dengan semua warna.

"Kombinasi warna tidak menjadi masalah andai bijak memilih ton warna," ujarnya.

Panduan gaya rumah terbuka

Posted:

Panduan gaya rumah terbuka

Panduan gaya rumah terbuka


PASTIKAN solekan berpadanan dengan busana yang digayakan.


LEBARAN merupakan detik penting terutamanya kepada golongan wanita yang amat mementingkan penampilan yang bergaya dan anggun ketika menghadiri rumah-rumah terbuka. Penampilan yang menawan dan bersesuaian pada Aidilfitri mampu menyerlahkan kematangan seseorang wanita agar tampak berkeyakinan kala melangkah ke rumah teman dan sanak- saudara.

Terdapat beberapa perkara perlu diambil perhatian agar penampilan tidak nampak canggung kerana momen itu bakal dipotretkan sebagai kenangan abadi. Mahukah anda berasa ralat melihat foto-foto tersebut 10 tahun akan datang? Ikuti panduan-panduan di bawah:

1) Busana

Pakaian yang bertepatan dan sesuai dengan tubuh merupakan perkara paling kritikal kepada sesetengah wanita. Sama ada persalinan tradisional atau rekaan moden, ia perlu ditetapkan sebulan sebelum perayaan memandangkan tempahan atau pembelian memerlukan rangka masa tertentu.

Jika ingin bergaya glamor, pilihan busana daripada pereka profesional mampu menambah seri feminin dek potongan yang tepat untuk tubuh. Keupayaan mereka tidak perlu dipertikaikan dan antara yang menjadi pilihan ialah hasil kerja pereka Rizman Ruzaini dan Hatta Dolmat.

Busana minimalis dan berpatutan pula boleh didapati menerusi butik dalam talian yang juga menggunakan idea kreatif pereka profesional. Jovian Mandagie dan Rizalman Ibrahim memberi variasi kepada pengguna menerusi kerjasama butik laman dalam talian seperti Zalora dan FashionValet.

Terserah kepada anda sama ada mahu menyarungkan busana pereka profesional atau tukang jahit biasa, perkara paling utama adalah keselesaan memandangkan ia akan dipakai dalam tempoh masa yang lama. Selain itu, pastikan busana tersebut praktikal dengan pergerakan anda.

BUSANA pereka profesional sering menjadi pilihan wanita yang mahukan penampilan eksklusif.


2) Solekan

Busana yang cantik perlu disertakan dengan solekan bersesuaian terutamanya pilihan bedak asas yang secocok dengan kulit. Jangan abaikan kepentingan bedak asas kerana ia mampu membuatkan kulit terus kelihatan segar tanpa sebarang cela.

Solekan tebal perlu dielakkan terutamanya ketika menganjurkan majlis rumah terbuka. Cukup sekadar mencalit gincu rona lembut dan pembayang mata warna natural. Solekan tebal memerlukan penjagaan rapi dan cuba bayangkan ketika anda sibuk melayan tetamu, bulu mata palsu atau celak mengotori wajah. Pasti ia menjadi bahan jenaka teman-teman.

3) Sepatu

Lengkapkan gaya dengan menyarungkan sepatu istimewa sempena lebaran. Kasut tumit tinggi atau baji mungkin sesuai ketika menghadiri rumah terbuka dalam suasana formal seperti di hotel atau dewan. Ia kerana keadaan itu tidak memerlukan banyak pergerakan. Apa yang pasti, padankan ia bersama kebaya singkat atau dres labuh rekaan moden untuk gaya menawan.

Kasut tumit rendah atau sandal pula sesuai untuk mereka yang banyak bergerak bagi mengelakkan kaki sakit pada malam hari. Kasut jenis terbuka sesuai dengan keadaan cuaca negara kita bagi mengelakkan kaki keletihan dan berpeluh.


KAMERA polaroid antara aksesori sampingan yang kian popular bagi merakam momen istimewa lebaran.


4) Haruman

Mungkin sesetengah wanita tidak mengambil perhatian kepada pemakaian haruman ketika berkunjung ke majlis rumah terbuka. Cuaca yang panas menyebabkan badan berpeluh, maka semburan wangian membuatkan badan kembali segar.

Minyak wangi haruman flora dan sitrus mudah menyerlahkan sisi ceria si pemakai. Ia sesuai disemburkan pada waktu siang kerana bau tersebut lebih ringan dan sesuai dengan cuaca yang panas.

Haruman yang sedikit kuat daripada jenis kulit kayu manis dan vanila pula sesuai dipakai pada waktu malam memandangkan cuaca sejuk dan badan tidak berpeluh.

5) Kamera

Jangan abaikan kepentingan kamera kerana setiap detik merupakan momen yang perlu disimpan untuk masa hadapan. Usah risau jika tidak mempunyai kamera digital memandangkan kebanyakan telefon pintar kini mempunyai kamera beresolusi tinggi. Kamera polaroid juga kembali menjadi pilihan kebanyakan pengguna kerana nampak bergaya dan moden.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved