Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Kebolehbacaan jadi keutamaan
MELIHAT kepada tulisan yang bercorak segi empat, orang ramai pasti sukar untuk mengagak bahawa itu merupakan salah satu cabang dalam seni khat. Namun, keindahannya ternyata mampu menarik minat orang ramai untuk mempelajari serta mengetahui ciri-ciri terkandung dalam seni khat yang dikenali sebagai khat kufi. Khat itu terbahagi kepada pelbagai corak antaranya khat kufi basit, khat kufi musattar, khat kufi mutalasiq, khat kufi muwarraq dan khat kufi murabba. Namun, antara seni khat kufi yang popular di negara kita dewasa ini ialah kufi murabba. Siapa sangka dengan hanya menggunakan perisian komputer, setiap individu boleh mempelajari cara-cara serta kaedah berkarya dengan seni khat kufi murabba secara lebih mudah. "Dengan hanya menggunakan perisian Microsoft Excel, Inkscape dan Adobe Illustrator, semua orang boleh mempelajari serta mempraktikkan kreativiti mereka menerusi khat kufi," ujar seorang jurukhat kufi, Ariff Ashaari, 49. Arif pada asalnya meminati seni khat tradisi iaitu khat nasakh, khat thuluth dan khat diwani kemudian memilih khat kufi sebagai salah satu sumber pendapatan hariannya dengan menjual hasil karya khat tersebut. Menurut Ariff, dia banyak mendapat inspirasi untuk mempelajari seni secara tidak formal menerusi sebuah komuniti di laman Facebook. Komuniti itu banyak membincangkan hal ehwal khat kufi yang adakalanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai. "Saya merupakan antara penggiat awal Friends Of Kufi Square (Foks) sejak 2010. Topik yang sering dibincangkan oleh kami secara keseluruhannya berkisarkan tentang khat kufi sahaja tanpa menyentuh aspek teknikal karya seni khat lain. "Khat kufi kadangkala menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai terutama hal ehwal kebolehbacaan karya-karya kufi. Komuniti ini merungkai pelbagai permasalahan yang sering dilakukan oleh penggiat seni khat serta memberi jalan penyelesaian terbaik terutama aspek teknikal dalam penghasilan seni khat kufi," ujarnya ketika ditanya mengenai objektif utama Foks. Usaha Ariff yang menjadikan khat sebagai mata pencarian dalam hidupnya itu bertepatan dengan satu kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali iaitu "Hendaklah kamu perelokkan tulisan, kerana ia adalah salah satu daripada punca rezeki." ![]() WALAUPUN lebih banyak berkomunikasi di laman Facebook, pertemuan Adrin dan Abdul Wahab baru-baru ini berjaya menerbitkan idea baharu dalam penghasilan karya khat kufi yang mudah dibaca. Nisbah grid Khat kufi bukanlah sebuah karya yang boleh dipandang rendah kerana khat itu juga menggunakan ayat-ayat suci al-Quran sebagai subjek utama dalam setiap penghasilan karyanya. Bukti jelas bahawa khat kufi mempunyai nilai-nilai Islam yang tinggi ialah menerusi hiasan yang terdapat di ruang mihrab masjid yang didirikan oleh Nabi Muhammad SAW di Madinah iaitu Masjid Nabawi. Di ruangan Masjid Nabawi, tertera dua potong ayat al-Quran iaitu surah al-Ahzab, ayat 40 dan surah at-Taubah ayat 128 yang menjadi hiasan utama di kiri serta kanan mihrab masjid itu. Seorang lagi penggiat seni khat kufi yang aktif menerusi Foks, Adrin Zainuddin, 33, memberitahu, setiap ahli Foks juga berusaha untuk menghasilkan karya khat kufi murabba secara kontemporari agar karya kufi mudah diterima oleh segenap lapisan masyarakat. "Kami mula berdialog di laman Facebook sejak 2010 dan kebanyakan topik yang kami bincangkan ialah mengenai eksperimentasi huruf hijaiyah (huruf alif, ba, ta) yang digunakan dalam seni khat kufi. "Kami amat mementingkan disiplin dalam setiap penghasilan karya khat kufi. Disebabkan oleh itu, kami telah memperkenalkan nisbah grid untuk dijadikan panduan oleh setiap ahli untuk memandu kaedah penghasilan karya kufi mereka. Setakat ini, karya yang dihasilkan oleh ahli Foks ternyata boleh dibaca dengan jelas oleh orang ramai," ujar Adrin. Kelompok individu yang meminati kira-kira serta penyelesaian yang melibatkan aritmetik logik dan geometri pasti tertarik kepada seni khat kufi kerana seni tersebut melibatkan teknik penyusunan huruf yang merupakan salah satu asas penting. "Kebanyakan karya kufi yang dijual dewasa ini tidak mengikut piawaian yang betul terutamanya dalam penyusunan huruf. Jurukhat akan menokok tambah fizikal huruf untuk memenuhi ruangan serta untuk mencantikkan hasil karya mereka. "Perbuatan itu secara tanpa sedar telah merosakkan keaslian huruf yang digunakan dalam al-Quran sekali gus menafikan kebolehbacaan sesuatu karya serta menambah kekeliruan orang ramai," tambah Adrin. Menurutnya lagi, komen skeptikal mengenai karya khat kufi daripada golongan artis seni merupakan antara cabaran yang terpaksa dihadam olehnya dan pengiat seni khat kufi yang lain. "Ada antara mereka memberitahu karya kami ini menterbalikkan ayat al-Quran. Tetapi kami mempunyai bukti bahawa kami berada di landasan yang benar kerana berpandukan karya kufi yang terdapat pada Masjid Nabawi dan kaabah," ujarnya. ![]() ADRIN menunjukkan kaedah penghasilan khat kufi dengan menggunakan perisian Microsoft Excel. Dakwah melalui karya khat Selain daripada berkongsi pendapat mengenai seni khat kufi, Foks juga merupakan salah satu medium untuk setiap ahli baharu mempelajari teknik-teknik bagi menghasilkan karya seni itu. Dengan hanya memuat naik hasil karya mereka di laman Facebook, ahli Foks akan membincangkan teknik yang digunakan oleh ahli baharu dan sekiranya mempunyai masalah untuk membaca karya itu, mereka bersama-sama akan membantu membaiki karya tersebut. Tidak hanya tertumpu kepada penghasilan karya kufi yang menarik serta mudah dibaca, karya in juga merupakan salah satu dakwah kepada orang ramai. "Khat kufi berupaya menarik golongan bukan Islam untuk meminati karya seni umat Islam. Ia setidak-tidaknya membangkitkan rasa minat mereka dan memberi informasi bahawa Islam juga mempunyai karya seni hebat," ujar pengasas laman Facebook Foks, Abdul Wahab Khalid,39. Beliau memberi contoh penghijrahan dua penulis khat bertaraf dunia sehingga menyebabkan mereka memeluk Islam iaitu Fuad Koachi Honda dari Jepun dan Muhammad Zakariya dari Amerika Syarikat setelah mendalami teknik-teknik seni khat. Menurut Abdul Wahab yang juga merupakan seorang guru subjek Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Datok Keramat, Kuala Lumpur, tempoh untuk mempelajari khat kufi adalah singkat jika dibandingkan dengan seni khat yang lain. "Di sekolah, saya juga mengajar murid-murid lakaran seni khat iaitu khat nasakh dan khat riqah. Dengan perkembangan teknologi yang boleh diaplikasikan pada penghasilan seni khat, murid-murid akan lebih meminati khat kufi. "Kewujudan Foks di laman Facebook berupaya memartabatkan seni khat kufi ke tahap yang lebih tinggi. "Kami berdebat mengenai perkara yang melibatkan pemahaman orang ramai terhadap karya seni umat Islam. Selain itu, kami juga berusaha menjaga kesucian seni khat yang rata-ratanya terdiri daripada ayat-ayat al-Quran," ujarnya yang juga memegang jawatan sebagai exco dalam Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK). | ||
Perkembangan seni khat seiring teknologi Posted: Perkembangan seni khat seiring teknologi
PERKEMBANGAN gaya penulisan khat kufi di Malaysia dianggap kian berkembang dan digunakan secara meluas sama ada untuk hiasan atau pun untuk tujuan dakwah. Lihat sahaja logo rasmi yang digunakan Muzium Kesenian Islam Malaysia. Logo muzium dibina dalam bentuk karya kufi murabba dan ini jelas menunjukkan signatur pada muzium tersebut. Apa yang penting dalam seni khat ialah, kebolehbacaan sesuatu tulisan dan mesej yang ingin disampaikan menerusi setiap karya khat. Yang Di Pertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK), Mohammed Yusof Abu Bakar, 82 memberitahu, penghasilan karya khat kufi seharusnya mengikut perkembangan teknologi. "Khat kufi lahir di negara Iraq dan ia dihasilkan dalam bentuk batu-bata. Ia disusun dan digunakan sebagai hiasan dalam masjid serta rumah. Jika dilihat, hasil karya khat kufi ketika itu sama dengan karya yang menggunakan komputer seperti yang dihasilkan oleh komuniti Foks. "Apa yang saya dapat lihat, kandungan yang ada pada seni khat kufi masa kini tidak sedikit pun mengubah cara tradisional khat itu. Cuma kaedah penghasilannya sahaja yang berbeza. Tambahan lagi, ia dapat disiapkan pada masa yang singkat," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Walaupun seni khat tersebut boleh dihasilkan melalui komputer, Mohammed Yusof menegaskan bahawa setiap umat Islam perlu tahu untuk menulis tulisan Jawi dengan tangan kerana ia merupakan tunjang dalam penghasilan penulisan khat yang menarik. "Selain daripada ayat-ayat al-Quran yang dihasilkan menggunakan karya khat kufi, saya cadangkan agar golongan muda mengaplikasikan karya tersebut dengan menggunakan kata-kata hikmah atau perumpamaan yang akan menarik perhatian orang ramai," ujarnya yang telah menzahirkan karya khatnya pada wang kertas baharu keluaran Bank Negara Malaysia. | ||
Posted: Mangsa gempa masih melarat![]() SEMENTARA menunggu program pembangunan semula yang tidak nampak hujung pangkalnya, ramai mangsa gempa hidup melarat di tapak-tapak setinggan. RAKYAT Haiti dilihat membanjiri gereja pada pertengahan Disember lalu. Mereka hadir ke situ bagi memperingati ulang tahun kedua bencana gempa bumi yang telah membunuh kira-kira 250,000 orang di negara paling miskin di benua Amerika itu. Tinggalan sisa istana presiden dan gereja yang rosak teruk menjadi lambang kegagalan bantuan antarabangsa yang tidak pernah mencapai tujuannya. Di sebalik runtuhan Gereja Our Lady of the Assumption selepas gegaran sekuat tujuh magnitud, Jean Wilber, 40, bersama ibunya menetap di kem sementara yang didirikan di situ. "Saya telah berada di sini selama dua tahun dan sukar bagi saya untuk berpindah dari tempat ini yang menjadi saksi kehilangan dua kaki saya," kata Wilber yang mengakui memang sukar untuk meneruskan hidup. Kemusnahan Berdasarkan fakta yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ratusan ribu orang telah dipindahkan dari khemah pada tahun 2011 dan sebanyak 1.1 juta kanak-kanak kini menerima bantuan makanan setiap hari. Malangnya, kerja-kerja pembinaan semula negara tersebut amat perlahan. Bencana yang berlaku pada 12 Januari 2012 itu telah membunuh dan mencederakan satu per enam daripada seluruh populasi negara Caribbean tersebut. Sekurang-kurangnya 250,000 kediaman di ibu kota telah musnah. Haiti dikenali sebagai negara miskin di Hemisfera Barat yang sering diperintah oleh golongan elit yang mengamalkan rasuah. Kira-kira 80 peratus daripada penduduknya hidup daif di bawah garis kemiskinan. Lebih setengah juta penduduk yang hilang harta benda akibat gempa tersebut ditempatkan di kem sementara sekitar ibu kota. Mereka juga berhadapan dengan wabak taun yang telah membunuh hampir 7,000 orang sejak November 2010. Kebanyakan penduduk negara tersebut terdiri daripada penganut Roman Katolik dan tempat-tempat beribadah menawarkan khidmat memperingati bencana tersebut sepanjang hari serta membuka pintu kepada mangsa terselamat yang masih trauma dengan kejadian tersebut. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban termasuk 100 pegawainya dan menggesa bantuan antarabangsa supaya terus menyalurkan bantuan bagi membina semula negara tersebut dua tahun selepas bencana. ![]() SEORANG wanita terlalu hiba apabila melihat kembali tapak rumahnya yang telah musnah dua tahun lalu. "Walaupun banyak yang telah dilaksanakan termasuk membersihkan sisa runtuhan bangunan dan penempatan semula mangsa, namun masih ramai rakyat Haiti yang memerlukan bantuan antarabangsa," ujar Ki-Moon. Wakil Khas PBB ke Haiti, Michaelle Jean berkata, pengabaian telah menyumbang kepada peningkatan angka kematian. Dia juga menegaskan bahawa ketiadaan undang-undang dan peraturan untuk menyeragamkan kerja-kerja pembinaan kini menjadi punca runtuhan bangunan. Janji bantuan Terkejut dengan kesan yang ditinggalkan selepas bencana paling buruk abad ini, komuniti antarabangsa menjanjikan wang bantuan berjumlah berbilion dolar untuk pembinaan semula negara yang lebih baik. Buktinya, terdapat ura-ura yang menyatakan sejumlah AS$3 juta (RM9.18 juta) diperuntukkan di bawah pelan pembangunan semula yang akan diketuai oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Bill Clinton, namun ia hanya tinggal angan-angan. Kurang separuh daripada AS$4.59 bilion (RM14 bilion) yang diperuntukkan telah diterima dan diagih manakala tabung bantuan agensi-agensi juga mengalami kekurangan dana. Lebih daripada 50 peratus runtuhan akibat gempa telah dibersihkan, namun hanya sedikit yang telah dibaiki. Kebanyakan daripada ratusan ribu mangsa yang meninggalkan Port-au-Prince selepas gempa telah kembali semula ke ibu kota yang sesak itu kerana terdesak untuk mencari kerja dan makanan. Ironinya, negara tersebut terus kekurangan peluang pekerjaan. Bekas penghibur karnival dan penyanyi pop, Michel Martelly mengangkat sumpah sebagai Presiden Haiti yang baharu pada Mei lalu. Dia berjanji akan membawa perubahan yang sangat diperlukan oleh negara tersebut. Ternyata, Martelly berhadapan dengan ahli parlimen yang kebanyakannya adalah musuh politik beliau, hinggakan tempoh masa selama lima bulan diperlukan untuk melantik seorang Perdana Menteri. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |