Positif telan dugaanPositif telan dugaan
MENERUSI banyak laporan media Indonesia, sukar sekali mencari sisi positif seorang penyanyi dangdut yang menggunakan nama pentas Dewi Perssik. Hampir semua laporan yang dibuat adalah tentang sensasi dan kontroversi yang dicipta wanita berusia 26 tahun itu.
Malah jika dirujuk namanya dalam enjin carian Internet google, kebanyakan informasi yang tertera juga adalah tentang sisi kurang enak seorang Dewi. Dewi berbogel, Dewi erotik, Dewi bercakaran dan macam-macam lagi.
Ironi yang terjadi apabila bertemu dengan penyanyi dangdut dan pelakon yang sedang meledak dengan filem terkininya, Pacar Hantu Perawan serta single Diam-Diam bersama bos syarikat pengurusannya, Republik Cinta Management, Ahmad Dhani.
Dia yang juga akrab disapa DePe seorang yang secara total berbeza dengan penampilan diri sebagai Dewi Perssik. Dewi di luar wilayah bekerja dan memakai nama sebenarnya Dewi Murya Agung adalah seorang wanita biasa yang serba ringkas dan paling senang menyendiri sehingga digelar sebagai 'anak tidak gaul' (sombong).
Banyak yang ditumpahkan DePe saat pertemuan santai kami yang diatur oleh Iman Tang, lelaki yang bertanggungjawab merealisasikan sesi temu bual itu. DePe hadir ke Malaysia untuk memenuhi undangan membuat persembahan secara komersial pertamanya untuk Konsert Fiesta Indonesia baru-baru ini.
Di sebuah kafe di dalam sebuah pusat membeli-belah di ibu kota, DePe mencurah rasa, yang kebanyakannya adalah tentang kisah duka dan ranjau hidupnya sehingga dia kini semakin tegar menjalani segala kesulitan dengan sebuah senyuman biar jauh di relung hati, ada remuk yang teredam.
DePe membuka bicara dengan memberitahu segala kesulitan yang dilalui dikongsi bersama anaknya yang bakal menginjak usia empat tahun, Felice Gabriel pada 15 November ini.
Felice juga adalah teman baiknya, malah pada usia yang begitu mentah, anak kecil itu sudah seperti mengerti setiap ranjau dan pahit yang terpaksa ditelan ibunya itu sehingga dia kerap menjadi 'ubat pelali' dan memujuk setiap rasa yang menjeruk di hati DePe.
"Dialah motivasi hidup saya. Setiap kali berhadapan dengan musibah, kepada Felice saya curahkan segalanya, kepada dia saya menangis. Dia adalah ubat saya yang telah menghilangkan semua derita," katanya penuh semangat.
Penyanyi dan pelakon itu kemudian membogelkan kisah hidupnya. Memberitahu dia terjun ke dunia hiburan kerana minat yang mendalam, pada awalnya, keinginan tersebut ditentang keras oleh ibu dan bapanya yang disifatkan oleh DePe sebagai fanatik agama. Apa lagi untuk melihat dia bergoyang dan 'buka-bukaan' untuk khalayak.
Namun sudah seperti takdir hidupnya, DePe akhirnya lolos masuk ke industri seni.

DEWI PERSSIK atau DePe mempunyaidua personaliti berbeza. Sebagai DePe seorang seniman, dia nampak begitu terbuka, namun sebagai seorang Dewi Murya Agung iaitu dirinya yang sebenar, dia seorang yang sederhana dalam kehidupan.
"Mahu tahu bagaimana semuanya terjadi? Waktu itu, usia saya 17 tahun, di sebuah majlis berunsur agama, saya sedang menjadi qariah. Di majlis anjuran datuk saya itu, diserikan dengan sedikit hiburan dan dihadiri oleh beberapa artis senior yang pada saat itu bertanya siapa mahu membuat persembahan.
"Saya tertarik dan memberitahu ibu namun ditentang keras. Kata ibu, saya harus melepaskan tudung kalau mahu menyanyi dan dia menentang keinginan saya.
"Tanpa mempedulikan ibu, saya membuka tudung dan mula menyanyi. Saya nyanyi lagu Kuch Kuch Hota Hai dan dari situ kerjaya seni saya bermula," ujarnya sambil sesekali disulam ketawa kecil mengimbas momen lama.
Bagaimanapun bukan mudah menjadi anak seni. Sejak awal kemunculan dirinya selalu digulir kontroversi. Ditanya tentang pencetus kontroversi terutama berkaitan imej erotiknya, DePe mempertahankan diri.
Katanya dia tidak seksi. Malah bukan seorang yang percaya diri. Apa yang ditonjolkan di pentas dengan goyang dan imejnya itu adalah cermin Dewi Perssik. Bukan Dewi Murya Agung.
Tentang kontroversi atau sensasi pula, dia membidas: "Saya tidak cipta sensasi, tapi orang yang mencungkil dan mengambil kesempatan mensensasikan saya. Dan saya percaya tak ada artis yang suka atau berulang kali membaca kisah atau cerita dirinya yang sentiasa dicop kontroversi.
"Hidup saya sejak menjadi anak seni lapan tahun lalu penuh fitnah. Namun Allah itu adil, apabila pintu rezeki saya di ufuk timur ditutup, Dia buka pintu rezeki di ufuk barat dan Alhamdulillah walau selepas lapan tahun saya masih tegar di sini."

DEPE hanya terbabit dengan filem berunsur seram. Katanya, dia teringin untuk berlakon dalam filem genre lain, namun belum mempunyai rezeki.
Dugaan dan fitnah yang dimaksudkan artis yang lahir di Jember, Jawa Barat, Indonesia itu termasuklah kisah pertikaian dengan aktivis Islam yang menentang penampilan seksi dan goyang erotiknya sebagai pengdangdut sehingga dia hampir tidak boleh muncul dalam sebarang persembahan dan panggung-panggung persembahannya dibakar.
Saat rezeki bergoyang di pentas dangdut ditutup, pintu menjadi pelakon pula terbuka.
"Saya tidak bisa pernah berlakon. Saya belajar sendiri bagaimana mahu menjadi pelakon. Sama seperti bagaimana saya belajar bergoyang dengan hanya melalui internet dan melihat liuk lentok penyanyi pujaan saya, Shakira," katanya yang telah terbabit dengan lebih enam filem berunsur seram yang hampir semua daripadanya adalah hasil idea dia sendiri.
Namun kini kabut gelap itu mula beransur nampak cahaya. Sebaik dia mengikat kontrak menjadi artis di bawah naungan RCM serta bermain filem, namanya mendadak naik.
Dari satu pentas ke pentas lain, sehingga kadang dia harus menyewa helikopter untuk bergegas mengisi permintaan klien, dalam masa yang sama sibuk berlakon, jadual seorang ratu sensasi seperti DePe padat. Padat dengan rezeki yang tidak pernah kurang dilimpahi oleh Allah buat dirinya.
Menganggap dirinya sebagai seorang seniman, bukan penyanyi atau pelakon, kata DePe, hal yang membuat dia tidak berundur dari dunia seni juga adalah kerana dia ikhlas dan sentiasa positif melihat masa depannya.
"Sementelah saya telah berjanji dengan ibu dan anak saya bahawa saya tidak akan pulang ke kampung selagi saya tidak sukses. Selagi keluarga mendokong saya, anak cintakan saya dan Allah terus melindungi saya, saya okay," katanya penuh semangat.
Trauma

DEPE mengaku dia tidak mempunyai kawan di kalangan artis. Dia lebih senang menyendiri.
Menjadi wanita, apatah lagi artis yang sentiasa dikelilingi lelaki, gender itu bukan satu tabu buat Depe. Namun bagi Depe, untuk menjalin satu hubungan baharu dengan lelaki, dia tidak tahu menterjemah hal itu sebagai trauma atau apa.
Semuanya kerana dia yang kini memegang status janda sudah gagal dua kali dalam institusi kekeluargaan.
Perkahwinan pertamanya dengan seorang pelakon, Saiful Jamil berlaku pada usia dia 18 tahun sebaik dia merantau ke Jakarta. "Keluarga saya fanatik agama, jadi tiada istilah cinta sebelum kahwin, justeru saya kahwin awal sebaik bertemu mantan suami," katanya yang kemudian bercerai dua tahun kemudian sebelum berkahwin semula dan diceraikan untuk kesekian kali saat usia baru menginjak 23 tahun.
Kini akui DePe, dia sangat takut untuk menyimpul sebuah hubungan baharu. Tambahnya serius: "Kadang pria membuat saya takut, maka tidak mungkin terjadi perkahwinan untuk saya dalam masa terdekat ini."
Ujarnya lagi, dia tidak tahu mahu mengklafikasikan hal itu sebagai trauma atau tidak, tetapi bagi DePe jika dia bertemu jodoh kembali nanti, lelaki itu harus dewasa dan matang supaya dia mampu berkongsi suka dan duka hidup selain menghormatinya sebagai ketua keluarga.
Full content generated by Get Full RSS.