Sabtu, 23 Julai 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Laju macam peluru

Posted:

Laju macam peluru

Laju macam peluru



CHINA sememangnya menggemari pencapaian yang luar biasa. Pada 30 Jun lalu, ia melancarkan dua pencapaian meganya secara serentak. Pertama, jambatan laut terpanjang di dunia dibuka di Qingdao iaitu Jambatan Teluk Jiaozhou. Jambatan itu dianggap satu lagi keajaiban Negara Tembok Besar itu

Namun, projek kedua lebih mengagumkan. Rangkaian rel kereta api laju Beijing-Shanghai dibuka pada hari yang sama. Beribu-ribu orang membanjiri Stesen Kereta Api Selatan di Beijing dengan tiket di tangan.

"Saya sangat teruja," kata Tina Cheng, seorang eksekutif pemasaran teknologi maklumat yang membayar 550 yuan (RM260) untuk tiket kelas kedua kereta api ekspres itu yang turut dikenali sebagai bullet train.

Tiket kelas VIP pula dijual pada harga AS$270 (RM837) sehala.



Perkhidmatan itu melalui tiga majlis perbandaran dan empat wilayah pada kelajuan 330 kilometer sejam (km/j).

Perjalanan dari Shanghai ke Beijing sejauh 1,318 kilometer tidak sampai lima jam. "Ia detik yang membanggakan rakyat China," kata Tina seperti dipetik NBC News.

Landasan kereta api baru itu dibina dalam masa 39 bulan, iaitu hampir setahun lebih awal daripada yang dijadualkan.

Jurutera dan pegawai kereta api telah menguji laluan itu sekurang-kurangnya sebulan sebelum pembukaannya iaitu sehari sebelum Parti Komunis China menyambut ulang tahun ke-90 penubuhannya, 1 Julai lalu.

Kerajaan China telah menjemput hampir 300 kru media dari seluruh dunia bagi menyaksikan 'pertunjukan' itu.

Seratus tahun silam, perjalanan dari Beijing ke Shanghai bukan sahaja berbahaya bahkan memerlukan masa sehingga tiga minggu. Kereta api biasa mengambil masa 10 jam tetapi tren laju hanya empat jam 48 minit.

Sebagai perbandingan, jika anda menaiki kereta api ekspres dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam, ia mengambil masa selama 10 jam untuk sampai.

Pihak berkuasa kereta api berkata, tren laju itu akan mempunyai 180 perjalanan ulang-alik sehari dan boleh membawa 80 juta penumpang setahun.

Teknologi


CHINA memiliki rangkaian tren laju paling komprehensif dan terbesar di dunia.


Dari segi teknikal, ia boleh bergerak selaju 486km/j namun atas faktor keselamatan, kerajaan China menetapkan 300km/j sebagai had purata kelajuan.

Perjalanannya sangat lancar dan pantas. Tetapi apa yang lebih penting, projek itu dibuat sepenuhnya oleh China.

"Teknologi yang kami ada sangat maju," kata Ketua Pereka di Kenderaan Rel CNR Changchun yang menjayakan projek itu, Yang Hong.

"Kami menyerap teknologi import bagi mencipta dan membangunkan produk kami sendiri," tambah beliau.

Para jurutera China mengakui tren laju terbaharu itu telah menyerap banyak idea dari Jerman, Perancis dan Jepun sebelum menukarnya menjadi produk yang lebih baik.

Petugas media turut dibawa melawat kilang CNR yang terletak di Wilayah Jilin. Kilang itu kelihatan seperti sebuah hangar angkasa dengan ramai pekerja Barat memakai baju T Siemens.

Syarikat kejuruteraan gergasi Jerman itu dan Alstom, sebuah konglomerat dari Perancis yang pakar dalam bidang pengangkutan dan sistem janakuasa - telah bekerja untuk CNR selama beberapa tahun dengan membina sistem tren laju itu.

"Kedua-dua tren dan rel dari Alstom dan Siemens ini merupakan teknologi termaju di dunia.

"Berdasarkan platform itu, kami membangunkan kereta api kami sebelum ini, CRH380B yang berkelajuan 380km/j. Kami adalah pemilik penuh hak cipta intelek tren itu," kata Yang.

Dengan memiliki jaringan tren laju terbesar di dunia, China sekurang-kurangnya berjaya menunjukkan yang ia lebih bagus dalam bidang itu berbanding negara pesaing ekonominya yang lain khususnya Amerika Syarikat (AS).

Kelajuan


TREN CRH380C adalah hasil gabungan teknologi Perancis, Jerman dan Jepun.


Sementara banyak bandar di dunia memiliki sistem rel dan kereta api bawah tanah canggih, sebaliknya rakyat AS lebih gemar bergerak menaiki kereta dan kapal terbang.

Hanya baru-baru ini kerajaan Presiden Obama memperuntukkan AS$8 bilion (RM25 bilion) untuk membina jaringan tren laju pertama di AS. Tren terlaju di negara itu pada hari ini ialah Acela Express, berkelajuan 241km/j, yang beroperasi di antara Boston dan Washington.

Perancis, Jepun dan China memang sudah lama terkenal dengan teknologi tren laju. Secara purata tren laju di seluruh dunia beroperasi pada kelajuan 275km/j. Tren konvensional paling laju setakat ini ialah TGV milik Perancis dengan rekod kelajuan 574km/j.

Jepun pula memiliki Shinkansen yang bergerak di atas landasan konvensional. Pada tahun 1996, ujian ke atas Shinkansen berupaya mencecah kelajuan 443km/j. Banyak negara menjadikan Shinkansen sebagai model sistem tren laju mereka.

Pada tahun 2007, jurutera Perancis membuktikan bukan kereta api maglev sahaja yang boleh terapung di landasan. TGV Est V150 rekaan syarikat Alstom, bergerak pada kelajuan 574km/j.

Bagaimanapun, rekod kereta api paling laju di dunia masih dipegang kereta api yang menggunakan teknologi maglev iaitu kusyen udara terapung magnetik.

Tren yang dimaksudkan itu dinamakan MLX01 dan merupakan projek Maglev Chuo Shinkansen Line di Jepun.

Pada tahun 2003, di landasan Yamanashi sepanjang 42 kilometer, kereta api itu stabil pada kelajuan ideal 500 km/j walaupun ia diuji berjaya mencapai 581km/j. Kelajuan ideal bagi kebanyakan tren laju yang membawa penumpang pada hari ini ialah 300km/j sahaja.


PENUMPANG dilayan seperti di dalam kapal terbang.


Tren maglev dipercayai akan menggantikan Shinkansen menjelang tahun 2025 namun kos pembinaannya sangat tinggi, dianggarkan AS$44 bilion (RM136 bilion).

Buat masa ini, tren laju terkini China, CRH380C, merupakan kereta api paling laju yang sedang beroperasi.

Syarikat pembuat model jenis itu berkata, geseran yang dihasilkan kurang 12 peratus daripada model CRH380B.

Model kereta api baharu itu dijangka digunakan China untuk membina projek kereta api di luar negara khususnya di Asia Barat dan AS.

Syarikat-syarikat China kini telah membina teknologi rel di Turki, Iran, Venezuela dan berharap dapat menembusi Britain dan Amerika Syarikat.

"Kami ada hak untuk mengeksport teknologi kami," kata Yang.

Menjelang tahun 2013, China dijangka memiliki rangkaian kereta api laju paling komprehensif di dunia dengan 800 buah tren. Ia juga merupakan sebahagian daripada projek Laluan Sutera yang akan menghubungkan Shanghai dan Singapura dengan melalui Rangoon di Myanmar atau Kunming di Wilayah Yunnan ke New Delhi, Lahore dan Tehran.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

5,000 tiang sokong jambatan terpanjang

Posted:

5,000 tiang sokong jambatan terpanjang

5,000 tiang sokong jambatan terpanjang


JAMBATAN Teluk Jiaozhou dibuka kepada kenderaan awam pada 30 Jun lalu.


SEPANJANG 42 kilometer (km), Jambatan Teluk Jiaozhou yang merupakan jambatan terpanjang di dunia mempunyai empat lorong dan menghubungkan dua daerah dalam Wilayah Shandong iaitu bandar pelabuhan Qingdao dan pulau pesisiran Huangdao.

Perjalanan di antara kedua-dua tempat itu sekarang 30km lebih pendek dan mengurangkan separuh masa perjalanan selama 40 minit sebelum ini. Ia menelan kos AS$2.3 bilion (RM7 bilion) dan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

Jambatan itu yang disokong oleh 5,000 batang tiang. Menurut Guinness World Records, rekod jambatan atas air terpanjang sebelum ini dipegang oleh Tasik Pontchartrain Causeway di Louisiana, Amerika Syarikat namun jambatan China ini lebih panjang empat kilometer.

Selain tren laju, China juga terkenal dengan teknologi pembinaan jambatan. Malaysia sendiri menggunakan kepakaran dari negara itu dalam projek Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Jambatan sepanjang 23.5 kilometer itu merupakan yang terpanjang di Asia Tenggara, menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dan Batu Kawan di bahagian tanah besar. Ia dilaksanakan secara usahasama antara China Harbour Engineering Company Ltd. (CHEC) dan UEM Builders Bhd.

Kos pembinaan jambatan tersebut ialah sebanyak RM3 bilion.

Projek yang telah memulakan pembinaan pada tahun 2008 dijangka siap sepenuhnya pada November 2013.

CHEC merupakan syarikat Fortune 500 yang diketahui terlibat dalam beberapa projek pembinaan jambatan terpanjang di dunia.

Syarikat tersebut sebelum ini diberi kepercayaan membina jambatan kabel terpanjang dunia yang menghubungkan Suzhou dan Nanpong di China.

Ia terlibat dalam 21 projek di Malaysia sejak tahun 1990-an termasuk kerja tebus guna dan perlindungan pantai di Sutera Harbour Resort di Kota Kinabalu, Sabah dan kerja tebus guna tanah di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Lantai lipas bumbung kelawar

Posted:

Lantai lipas bumbung kelawar

Lantai lipas bumbung kelawar

Gua Gomantong di Sandakan, Sabah dihuni berjuta lipas dan kelawar.


BERJUTA-JUTA ekor lipas memenuhi lantai dan dinding gua.


IA mungkin gua yang paling menyeramkan di dunia tetapi Gua Gomantong yang terletak di Sandakan, Sabah, terus dikunjungi ribuan pelancong setiap tahun untuk menyaksikan aktiviti memungut sarang burung selain mengintai penghuninya iaitu berjuta-juta ekor kelawar dan lipas.

Namun, kebanyakan pelancong hanya dapat melihat keunikan gua itu di sekitar pintu masuk dan bukan menjelajah setiap inci gua itu seperti yang dilakukan penerbit televisyen Perbadanan Penyiaran British (BBC), James Brickell. Brickell menyertai ekspedisi itu pada tahun 2009 bagi menyiapkan dokumentari selama 60 minit.

Menurut Brickell, beliau berjaya sampai ke dasar gua itu selepas melakukan aksi abseiling dari ketinggian 90 meter.

"Saya telah menghabiskan banyak masa mendampingi haiwan berbisa dan berbahaya seperti ular, labah-labah bahkan ikan jerung sepanjang kerjaya saya.

Timbunan tahi

"Tetapi saya sangat takutkan ketinggian. Jadi apabila saya tergantung di atas tali pada ketinggian 90 meter di Gua Gomantong, ia mungkin menjadikan saya sama ada lebih berani atau sekadar membawa padah," katanya.

Brickell berkata, jurang di bawahnya sangat menggerunkan. "Semasa melakukan abseiling, saya langsung tidak berani memandang ke bawah," beritahu beliau.

Tambahnya: "Sebenarnya saya yakin ia selamat. Saya cuma perlu menumpukan perhatian semasa menuruni tali itu tetapi berjuta-juta burung walet dan kelawar yang berterbangan di dalam gua menjejaskan tumpuan. Pergerakan haiwan itu bagaikan membentuk satu pusaran di dalamnya.


KELAWAR yang jatuh ke lantai gua akan dimakan hidup-hidup oleh lipas.


"Suara mereka membingitkan telinga. Bunyi bising itu seolah-olah sekumpulan tikus sedang menonton bola sepak di dalam stadium."

Walaupun tanpa cahaya, haiwan itu masih boleh terbang dengan selamat menggunakan gemalokasi iaitu kebolehan untuk mengesan objek di hadapan berdasarkan bunyi gema.

Justeru mereka tidak akan berlanggar sesama sendiri atau terbang menghentam dinding gua.

Lantai gua batu kapur itu pula ialah tempat yang paling tidak selesa di dunia, kata Brickell.

"Pertama, hidung saya ditusuk bau kencing dan najis haiwan. Bau itu datang daripada timbunan bertan-tan tahi kelawar di lantai gua. Jika anda berdiri di tengah-tengah gua, tahi kelawar pasti mengenai baju, topi malah anda dapat merasainya dengan mulut," katanya.

Keadaan itu bukan sahaja tidak menyenangkan bahkan berbahaya kerana paru-paru boleh dijangkiti fungus. Kalau tidak dirawat segera, ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi termasuk batuk berdarah.

Untuk mengelakkan masalah itu, semua kru BBC yang terlibat memakai sut putih penuh menutupi tubuh. "Mengenakan pakaian seperti itu untuk tempoh yang lama ibarat berada di dalam sauna. Pemakainya akan bermandi peluh," terang Brickell.

Sarang burung


BAHAGIAN gua yang lebih dalam hanya dapat dimasuki selepas melakukan aksi abseiling.


Di sesetengah tempat, timbunan tahi kelawar hanya setebal beberapa meter tetapi di tempat lain ia menggunung tinggi. "Pada setiap saat ada saja kelawar yang membuang najis," ujar beliau.

Mencari makan di dalam timbunan tahi itu ialah lipas-lipas gergasi yang tidak terkira jumlahnya.

"Kelawar yang terjatuh akan dimakan hidup-hidup oleh lipas ini. Amat sukar berjalan di sini tanpa terpijak lipas. Ia juga sering memanjat tubuh dan jika tidak berhati-hati ia mampu menyelinap ke dalam pakaian," kata Brickell.

BBC menyiarkan dokumentari bertajuk Cockroach Heaven: Guomantong Caves tahun lalu dalam program Deadly 60 saluran itu.

Kebanyakan pelawat berkata Gomantong lebih tepat dipanggil Gua Sarang Burung atau Gua Lipas.

Gua itu diiktiraf sebagai Pengurusan Gua Sarang Burung Terbaik Di Dunia oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF). Sejak abad ke-13, gua ini telah membekalkan sarang burung terbaik untuk maharaja China.

Gomantong memiliki dua kompleks gua, dinamakan Simud Hitam dan Simud Putih.

Simud Hitam lebih senang dijelajahi. Laluan berpapan yang terpelihara memudahkan penjelajahan ke dalam gua yang istimewa ekologinya ini.

Simud Putih pula merupakan tempat memperoleh lebih banyak air liur sarang burung putih yang lebih berharga.

Memungut sarang burung di Gomantong diselia oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Penuaian hanya dibenarkan kepada pencari sarang burung berlesen sebanyak dua kali setahun iaitu antara Februari dan April dan antara Julai dan September.

Pengujung boleh menyaksikan pemanjat memanjat sehingga ke bumbung gua menggunakan hanya tangga rotan, tali dan galah yang diikat sekali.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Malaysia tewas 3-5 kepada Singapura

Posted:

Malaysia tewas 3-5 kepada Singapura

Malaysia tewas 3-5 kepada Singapura

23/07/2011 10:11pm

SINGAPURA – Malaysia terpaksa bekerja keras pada perlawanan timbal balik nanti setelah tewas 3-5 kepada Singapura dalam perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 bagi zon Asia di Stadium Jalan Besar di sini malam ini.

Pasukan Harimau Malaya seakan-akan melangkah dengan gahnya apabila penyerang Mohd Safee Mohd Sali berjaya menjaringkan gol hanya dalam tempoh 24 saat selepas perlawanan bermula.

Namun pemain Singa Singapura, Aleksandar Duric menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti Malaysia pada minit ke-7 untuk Singapura menyamakan kedudukan 1-1.

Pasukan Malaysia cuba menyerang namun pertahanan Singapura dapat menangkis serangan demi serangan yang dilakukan oleh Harimau Malaya.

Bayangan penyerang Shi Jiayi sering mengucar-kacirkan pertahanan Harimau Malaya.

Singapura memperolehi satu lagi sepakan percuma pada minit ke-21 apabila ketua pasukannya Sharil Ishak dijatuhkan di luar kotak penalti Malaysia yang sepakannya disempurnakan oleh Qiu Li.

Mustafic Fahrudin menjaringkan gol ketiga Singapura pada minit ke-43, manakala Shi Jiayi menjaringkan gol keempat pada minit ke-45.

Malaysia terpaksa bermain dengan 10 orang pemain apabila ketua pasukan Shafiq Rahim dilayangkan kad merah kerana mengasari Qiu Li pada minit ke-50.

Namun ia tidak menyekat semangat pemain Malaysia untuk terus menghasilkan gol apabila Abdul Hadi Yahaya dan Safee Sali masing-masing menjaringkan gol kedua dan ketiga pada minit ke-68 dan ke-69 bagi merapatkan jurang gol.

Namun Duric menghasilkan gol kelima Singapura pada minit ke-80 bagi memberikan kemenangan Singapura 5-3 ke atas Malaysia. – Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Ditipu RM340,000 sindiket kad kredit

Posted:

Ditipu RM340,000 sindiket kad kredit

Ditipu RM340,000 sindiket kad kredit

23/07/2011 7:06pm

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus syarikat kerugian RM340,000 setelah diperdaya sindiket penipuan kad kredit di ibu negara pada 14 Julai lepas.

Mangsa seorang wanita berusia 34 tahun telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan sebuah bank tempatan pada hari tersebut yang mendakwa mangsa kononnya mempunyai tunggakan kad kredit.

Apabila mangsa menafikan memiliki kad kredit berkenaan, wanita tersebut kemudian telah menyambungkan panggilan tersebut kepada seseorang kononnya pegawai Bank Negara.

Pegawai Bank Negara yang menyamar itu kemudiannya memberitahu mangsa bahawa terdapat penipuan kad kredit dan telah memberikan nombor seorang lelaki kononnya pegawai polis.

Lelaki kononnya pegawai polis itu kemudian telah mengarahkan mangsa memindahkan duit dalam akaunnya ke akaun yang lain sebagai langkah keselamatan serta mendakwa wang tersebut akan dikembalikan ke dalam akaun mangsa selepas tiga jam.

Terperdaya dengan penipuan tersebut, mangsa telah membuat dua transaksi bank ke sebuah akaun yang dicadangkan berjumlah RM340,000 keseluruhan pada hari tersebut. - Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Mayat lelaki Singapura ditemui

Posted:

Mayat lelaki Singapura ditemui

Mayat lelaki Singapura ditemui

23/07/2011 6:57pm

KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki rakyat Singapura ditemui dalam bilik sebuah stor kilang perabot di Jalan Bukit Belacan Lembah Jaya dekat Ampang hari ini.

Ketua Polis Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata, mayat Khairil Anwar Abd Karim, 48, yang bekerja sebagai jurulektrik itu ditemui pada pukul 12.30 tengah hari setelah orang awam yang melalui kawasan itu terhidu bau busuk.

"Mangsa di temui dalam keadaan terbaring di atas katil dan mayatnya sudah berwarna hitam, berbau serta bengkak. Berdasarkan keadaan mayat lelaki itu dipercayai mati sejak tiga hari lepas.

"Pemeriksaan di tempat kejadian didapati tiada kesan pecah pada pintu masuk hadapan, manakala pintu bilik di kunci dari dalam dan tiada kesan geledah di dalam bilik itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata mangsa telah mendiami bilik itu sejak lima bulan lepas yang mana pemilik kilang perabot itu adalah dipercayai rakannya.

Beliau berkata mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan namun setakat ini polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut. - Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Dapat AS$100 juta kerana jual laman web

Posted:

Dapat AS$100 juta kerana jual laman web

Dapat AS$100 juta kerana jual laman web


GAMBAR menunjukkan Catherine Cook berdiri di dalam pejabat MyYearbook di salah sebuah pejabatnya di Amerika Syarikat.


NEW JERSEY, Amerika Syarikat (AS) - Seorang gadis, Catherine Cook dan dua saudara lelakinya, David serta Geoff bergelar jutawan selepas laman web ciptaan mereka, MyYearbook dibeli pada harga AS$100 juta (RM296.6 juta) oleh pihak laman jaringan sosial Latin, Quepasa, lapor sebuah akhbar semalam.

David mendapat idea untuk menghasilkan laman web berkenaan semasa dia dan kakaknya menyelak buku tahunan sekolah mereka pada 2005.

Ketika itu, dia berusia 15 tahun, manakala Catherine setahun lebih tua.

Buku tahunan sekolah di AS menyimpan gambar dan nama para pelajar senior selain maklumat mengenai pelbagai pertubuhan serta aktiviti sesebuah sekolah yang dicetak pada setiap tahun.

David dan Catherine kemudian berusaha untuk mencipta buku tahunan digital di Internet dan menamakan laman web tersebut, MyYearbook.

Dalam tempoh enam tahun MyYearbook beroperasi, adik-beradik Cook memperoleh pendapatan AS$17 juta (RM50.5 juta) dengan laman web mereka berjaya menarik minat 70 juta pengguna dan ia dilihat sebanyak 1.2 bilion kali sebulan.

Pada Rabu lepas, Quepasa mengumumkan pengambilalihan MyYearbook berjumlah AS$100 juta dengan AS$82 juta (RM244 juta) melibatkan pemberian saham Quepasa, manakala baki AS$18 juta (RM53.5 juta) lagi dibayar secara tunai. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Gelombang panas landa tengah, timur AS

Posted:

Gelombang panas landa tengah, timur AS

Gelombang panas landa tengah, timur AS


SEORANG penduduk William Dyer, Jr., duduk di atas kerusi untuk menyejukkan diri di dalam Tasik Sabbathday, New Gloucester, Maine, kelmarin.


WASHINGTON - Gelombang panas yang boleh menjejaskan pernafasan melanda kawasan tengah dan timur Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Cuaca panas itu menyebabkan sebahagian penduduk mencari lokasi untuk menyejukkan badan.

Seramai 22 orang sudah meninggal dunia akibat cuaca panas itu.

"Gelombang panas yang berbahaya itu berterusan di kebanyakan kawasan tengah dan timur AS dengan haba keterlaluan dan lembap dijangka meliputi Lembah Ohio dan negeri-negeri di pantai timur penghujung minggu ini," kata Perkhidmatan Cuaca Panas Kebangsaan.

Akhbar New York Times melaporkan seramai 22 orang mati kerana cuaca panas.

Kira-kira 17 negeri berdepan suhu melebihi 37 darjah Celsius.

Perkhidmatan kajian cuaca telah mengeluarkan amaran panas di negeri-negeri tersebut. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Penyokong seksi Putin cuci kereta

Posted:

Penyokong seksi Putin cuci kereta

Penyokong seksi Putin cuci kereta


BEBERAPA wanita yang memakai coli dan seluar pendek membasuh sebuah kereta di Moscow kelmarin.


MOSCOW - Sekumpulan pelajar perempuan muda dan seksi dari Universiti Moscow menjadi perhatian selepas melakukan kerja-kerja membasuh kereta secara percuma di sini kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.

Dengan hanya memakai coli dan seluar pendek, mereka merupakan penyokong kuat Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin yang dijangka membuat pengumuman akan kembali bertanding dalam pilihan raya presiden tahun depan.

Mereka melakukan perbuatan itu bagi menarik sokongan orang ramai supaya menyokong Putin menjadi presiden.

Namun, mereka hanya menawarkan perkhidmatan membasuh kereta itu kepada pemandu yang memandu kereta buatan Rusia seperti Ladas atau Volgas.

"Kami mengadakan perkhidmatan ini kerana sayangkan Putin," kata salah seorang pelajar tersebut.

"Kami pasti hanya sedikit pemandu yang akan menolaknya," kata salah seorang penganjur kempen membasuh kereta untuk Putin itu.

Menurut seorang lelaki, dia tidak pasti gadis-gadis itu benar-benar boleh membasuh kereta.

Namun, dia suka melihat aksi mereka yang seksi itu.

Satu blog yang diberi nama 'Kami Benar-benar Sukakan Putin' telah menarik lebih 110,000 ahli. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tang kini lebih matang

Posted:

Tang kini lebih matang

Tang kini lebih matang



PADA mulanya aktres Tang Wei, 32, menyimpan keinginan menjadi seorang ahli arkeologi atau peguam, tetapi selepas terlibat dengan dengan peragaan sekitar tahun 1997, bintang kelahiran China ini membuat keputusan menceburi bidang lakonan.

Tuah Tang Wei, selepas tamat kursus lakonan di Pusat Akademi Drama pada tahun 2002, bintang berzodiak Virgo itu telah dipilih daripada lebih 10,000 aktres untuk membintangi watak heroin di dalam filem arahan pemenang Oscar, Ang Lee iaitu Lust, Caution pada tahun 2006.

Filem hebat itu turut dibintangi pelakon terkenal Tony Leung Chiu-Wai, Joan Chen dan Lee Hom Wang. Menerusi filem itu Tang memegang peranan sebagai Wong Chia Chi yang memerlukannya belajar dialek Shanghai dan Suzhou. Kesan lakonannya sebagai Wong Chia Chi mengangkat nama Tang sebagai Pendatang Baharu Terbaik di Anugerah Golden Horse di Hong Kong.

Sekelip mata, Tang diulit kemasyhuran selepas memegang peranan di dalam filem pertamanya itu. Tang turut dianugerahkan Trofi Chopard di Festival Filem Cannes, New Weekly Cutting Edge Awards List, Aktres terbaik Anugerah Filem China, Aktres Terbaik Anugerah Majalah Los Angeles, Aktres Terbaik Filem Asia Pasifik dan TV Ekspo, Aktres Terbaik Anugerah Hollywood dan Aktres Baru Terbaik Festival Filem Venice. Dirinya juga disunting sebagai duta bagi produk penjagaan kulit jenama Pond.

Namun, baharu sahaja mengecapi tuah dan kemasyhuran, diri Tang dicalit kontroversi maha hebat. Tang dilaporkan telah menerima 'hukuman' daripada kerajaan China berikutan pembabitannya dalam satu babak ranjang menerusi filem Lust, Caution.

Menerusi babak kontroversi selama tujuh minit di dalam filem pertama Tang itu, dia dikatakan beraksi tanpa seurat benang bersama aktor terkenal Hong Kong, Tony Leung. Menurut laporan Hollywood Reporter cawangan Hong Kong, aktres jelita itu diharamkan daripada muncul dalam sebarang media di China.

Perbadanan kerajaan China yang menaungi media, Pentadbiran Filem Radio dan Televisyen, China (SARFT) juga dilaporkan telah menghantar memo kepada kesemua stesen televisyen dan media cetak di negara itu.

Pada bulan Mac 2008, SARFT turut mengarahkan kesemua stesen televisyen dan media cetak di negara itu untuk mengharamkan pengiklanan produk Pond yang menampilkan Tang sebagai jurucakap dan penghias produk tersebut. Menerusi kontrak dengan Pond, Tang meraih bayaran sebanyak 6 juta yuen (RM3.2 juta).


FIGURA jelita kelahiran China ini menafikan dia terbabit dalam skandal cinta dengan aktor kacak Korea Selatan, Hyun Bin.


Pengumuman mengenai penarikan semula iklan Pond yang membabitkan Tang menerusi semua media China itu dikatakan berbangkit hasil mesyuarat badan perundangan tertinggi China, National People's Congress, di Beijing baru-baru ini.

Mesyuarat tahunan itu menjadi pemangkin kepada sebarang pengenalan atau pembaharuan regulasi-regulasi dan polisi-polisi kerajaan China.

Lust, Caution meraih kutipan mencecah HK$48.8 juta (RM24 juta) sepanjang tayangannya di Hong Kong menjadikannya sebagai filem berbahasa China yang meraih kutipan tertinggi di Hong Kong sepanjang 2007.

Menyesal

Selepas episod hitam menerjah hidupnya, Tang percaya tahun 2010 dan 2011 membuatkan dirinya lebih kuat dan matang sebagai pelakon. Dia juga tidak mahu lagi membincangkan mengenai kontroversi yang melanda dirinya.

"Saya merasakan diri lebih kuat dan matang selepas menghadapi kontroversi yang mengaitkan diri saya.

"Saya percaya setiap hari saya membesar sebagai seseorang dan sebagai seorang pelakon yang baik," kata Tang dalam satu sidang media yang memperkenalkan peranan baharunya di dalam filem Korea arahan Kim Tae-Yong's, Late Autumn. Filem itu turut menggandingkan Tang di samping aktor popular Korea, Hyun Bin.

Kata Tang lagi: "Terdapat banyak perhatian, tetapi saya fikir saya bertuah kerana menjadi seorang pelakon yang dapat memainkan kehidupan ramai orang yang berbeza. Menjadi heroin dalam filem Korea pula, bagi saya merupakan sesuatu yang membuat hati saya sangat teruja".

Pengarah filem Late Autumn, Kim juga percaya kontroversi telah meninggalkan kesan ke atas Tang tetapi dia gembira hasil daripada lakonan Tang di dalam filem itu.

"Tafsiran saya ialah dia sudah menjadi dewasa dan matang disebabkan oleh pengalaman filem Lust, Caution.


TANG WEI diapit aktor terkenal Jepun, Takeshi Kanashiro (kiri) dan aktor tersohor Hong Kong, Donnie Yen.


"Saya sudah menonton lakonan Tang dalam filem itu dan menganggap watak yang dilakonkannya sangat hebat. Pada mulanya memang saya anggap dia sukar untuk berlakon dalam filem arahan saya tetapi kontroversi itu sudah tiga tahun berlalu dan dia sudah benar-benar berubah," kata Kim yang menyebelahi Tang.

Filem Late Autumn telah mencipta fenomena hebat di Korea Selatan. Menyatukan Tang bersama idola Korea Selatan, Hyun Bin, ia mengisahkan tentang dua warga asing yang bertemu secara kebetulan di bandar Seattle, Amerika Syarikat dan jatuh cinta.

Skandal

Walaupun Tang cuba menepis, dia sekali lagi dicalit kontroversi. Kali ini, Tang didakwa menjalin hubungan cinta secara senyap dengan pasangannya di dalam filem Late Autumn, Hyun Bin.

Tahun lepas, media China melaporkan Tang menjadi sebab hubungan cinta Hyun Bin di samping aktres popular Song Hye-gyo putus.

Setelah lama mengunci mulut, pada bulan Julai lalu, Tang akhirnya menjawab mengenai hubungannya bersama dengan aktor Korea itu.

"Hyun Bin merupakan lelaki yang sangat menarik tetapi gosip skandal tersebut adalah tidak benar," katanya.

Hubungan Hyun Bin dan Song Hye-gyo dikatakan retak berpunca daripada Hyun Bin yang sertai Angkatan Tentera Marin Amerika untuk latihan ketenteraan mandatori.

Walaupun dicalit satu demi satu kontroversi, bintang sensasi itu berterusan menjadi buruan penerbit.

Terkini, peminat-peminat Tang bakal menonton hasil lakonan terbaharunya menerusi filem hebat, Wu Xia. Filem aksi itu turut mengandingkan Tang bersama dua aktor popular Hong Kong iaitu Donnie Yen dan Takeshi Kaneshiro.

Wu Xia mengisahkan mengenai pakar seni bela diri yang berdosa, Donnie Yen yang ingin memulakan hidup baharu bersama isterinya, Tang Wei selepas melakukan banyak kejahatan. Namun begitu, kehidupannya tidak tenang apabila dia menjadi buruan seorang detektif, Takeshi Kaneshiro dan juga ketua jahatnya, Jimmy Wang Yu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Komedi seram Hantu Motel

Posted:

Komedi seram Hantu Motel

Komedi seram Hantu Motel

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


BARISAN karyawan drama Wasiat dan Hantu Motel bergambar bersama sewaktu majlis pelancaran dua drama tersebut di Mutiara Damansara minggu lalu.


HANTU MOTEL! Sekali dengar mungkin ada yang menyangka itu naskhah seram yang mampu meluruhkan jantung dengan babak-babak kejutan dan hilai tawa hantu.

Sebenarnya, tiada apa yang perlu dikhuatirkan untuk menonton drama 13 episod yang bakal disiarkan di Astro Prima itu kerana genrenya cuma komedi seram.

Bakal menggeletek penonton dengan lawak bersahaja yang pasti tak kering gusi daripada barisan pelakon tersohor tanah air antaranya Bell Ngasri, Ayu Raudhah dan Shamsul Ghau-Ghau, Hantu Motel turut memberikan pengajaran dari segi mesej kekeluargaan, persahabatan dan percintaan.

Selain itu, drama yang diarahkan oleh Dinesh Samby itu turut dilakonkan oleh pelakon veteran, Maideen dan Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah.

Mengakui tidak berdepan dengan kesukaran memegang watak utama dalam drama itu, Bell Ngasri bagaimanapun terpaksa meneroka sendiri sisi humor dalam dirinya.

"Watak dan skrip dalam kisah komedi seram ini sedikit berlainan daripada drama biasa, syukur alhamdulillah selama proses pembikinan saya dibantu oleh pengarah dan krew produksi untuk membentuk elemen lawak tapi pada masa yang sama terkandung unsur seram dan pengajaran tersendiri," katanya yang ditemui ketika sidang akhbar selepas pratonton drama Wasiat dan Hantu Motel di Cineleisure Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Drama itu mengisahkan dua sekawan bernama Amir dan Salman yang terpedaya dengan skim cepat kaya sehingga hampir diisytiharkan muflis.

Kedua-duanya mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan wang dan membayar kesemua hutang piutang terdahulu sehingga sanggup bermalam di sebuah motel milik datuk mereka.

Sepanjang bermalam di motel itu, mereka berdepan dengan pelbagai helah hantu yang berhasrat menghalau manusia yang cuba mendiami motel itu.

Drama Hantu Motel akan mula menemui penonton pada setiap hari Jumaat bermula 5 Ogos ini pukul 10 malam di Astro Prima (saluran 105).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Dhani nafi Al ikut Maia

Posted:

Dhani nafi Al ikut Maia

Dhani nafi Al ikut Maia


AHMAD AL GHAZALI


PUTERA sulung Ahmad Dhani, Ahmad Al Ghazali, dilaporkan memilih untuk tinggal dengan ibunya, Maia Estianty. Begitu berita terkini mengenai anak selebriti paling sensasi Indonesia, Ahmad Dhani.

Bagaimanapun Dhani dengan tegas menafikan dakwaan tersebut. "Berita itu bohong. Ia hanya rekaan. Al masih di bawah jagaan saya, kalau tidak percaya boleh datang ke rumah," tegas Dhani.

Sementara Dhani sudah memberi komen, soalan yang sama sengaja diajukan kepada 'isteri baharu' Dhani iaitu Mulan. Penyanyi tersebut bagaimanapun tidak memberi sebarang komen.

Sebaliknya dia lebih senang bercerita tentang perancangan untuk dia memberi fokus beribadat sepanjang bulan Ramadan nanti.

"Bulan puasa itu auranya harus lebih baik. Ibadat juga harus lebih baik. Bulan puasa ini saya akan menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga dan meningkatkan amalan saya," katanya yang langsung tidak menjawab soalan tentang Al yang kini tinggal bersama Maia diajukan kepadanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved