Sabtu, 3 Ogos 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tuisyen online percuma

Posted:

Tuisyen online percuma

Tuisyen online percuma


KAEDAH tuisyen online itu mudah kerana ia hanya perlu menghasilkan video tutorial dengan menggunakan komputer dan kemudian dimuat turun ke YouTube.


SUDAH menjadi lumrah dunia, ramai orang yang berminat untuk menggunakan pelbagai bentuk perkhidmatan di internet yang boleh membantu mereka melakukan urusan seharian.

Urusan seharian itu semakin mudah selepas internet dicipta yang menyebabkan semua maklumat dan perkhidmatan boleh diperoleh menerusi hujung jari anda.

Justeru, pusat tuisyen secara online yang mengenakan bayaran turut diperkenalkan menerusi internet.

Cuma ibu bapa perlu mempunyai wang yang mencukupi untuk menggunakan perkhidmatan itu.

Namun, bagi seorang lelaki, Edmond Yap yang berumur 33 tahun, dia telah memperkenalkan platform unik iaitu pusat tuisyen online secara percuma sejak pertengahan tahun 2012.

Menerusi laman web www.edunation.my, para pelajar sekolah menengah tingkatan dua hingga lima dapat mempelajari subjek Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Prinsip Akaun, Biologi dan Kimia secara tutorial di internet tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Laman web www.edunation.my mengandungi video untuk para pelajar dan diajar dalam bahasa Melayu.

Pertemuan dengan Edmond baru-baru ini di pejabatnya merungkaikan segala persoalan tentang perkhidmatan itu.

Suasana di E203A, Tingkat 2, Sayap Timur, Metropolitan Square, Damansara Perdana, Selangor tempat pejabat tuisyen online itu cukup sunyi.

YouTube

Hanya Edmond, isterinya, Tasha Ong dan Ketua Pendidikan Edunation, Sugain Maniam yang kelihatan.

"Guru-guru atau sukarelawan yang terdiri daripada pensyarah atau pelajar universiti hanya menghantar video kepada kami.

"Mereka tidak perlu datang ke sini, mudah bukan," jelas Edmond.

Menerusi kaedah itu, para sukarelawan akan menghasilkan tutorial dengan menggunakan komputer meja, komputer bimbit atau tablet yang menggunakan perisian Camstudio, Smooth Draw, Quick Time atau Cam Studio.

"Sejurus sahaja siap, mereka akan menghantar video tutorial itu menerusi e-mel kepada kami.

"Video itu akan dimuat turun ke laman perkongsian video YouTube untuk diakses oleh orang ramai terutamanya pelajar secara percuma," jelas Edmond.

Setakat ini terdapat lebih 30 orang sukarelawan separuh masa yang membantu menyiapkan video tutorial ini di samping lapan orang pekerja sepenuh masa.

Namun, bagaimana lelaki yang gemar tersenyum ini memperoleh idea untuk mewujudkan tuisyen online secara percuma ini?

Kata lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam, Universiti Adelaide, Australia ini, dia pernah bekerja sebagai seorang jurutera selain memiliki perniagaan sendiri dalam bidang konsultan.

Kekurangan

"Walaupun gaji dan wang yang diterima agak lumayan tetapi dalam hati saya seperti terdapat kekurangan yang tidak boleh saya jelaskan kepada orang lain.

"Saya bekerja dan mempunyai bisnes tetapi masih tidak mendapat kepuasan,' katanya.

Sejarahnya bermula sejak lelaki ini bersekolah menengah lagi.

Dia sering datang ke rumah kebajikan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Namun terdapat satu peristiwa yang melibatkan seorang remaja lembam bernama John yang memerlukan bantuan saya untuk menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah pada tahun 2009.

"John memerlukan bantuan tetapi saya tidak cekal malah melarikan diri dan sehingga sekarang saya tidak pernah pergi ke mana-mana rumah kebajikan kerana rasa bersalah yang menghantui diri.

"Entahlah, apa nasib John sekarang," katanya dengan nada sedih.

Namun, selepas menonton laman ucapan inspirasi www.ted.com mengenai Akademi Khan membuatkan dia teruja.

"Video itu agak ringkas iaitu kurang 15 minit tetapi ia adalah mengenai akademi itu yang menyediakan tuisyen online secara percuma kepada para pelajar di seluruh dunia.

"Saya tergamam selama 10 minit sambil merenung kembali video itu selama beberapa kali," cerita Edmond.

Tidak lama selepas itu, dia menubuhkan tuisyen edunation secara percuma iaitu pada Mei 2012.

Bagaimanapun, bukannya mudah untuk memperoleh dana bagi menjayakan cita-citanya itu.

Kata Edmond, dia perlu menjual perniagaan untuk memperoleh modal permulaan.

"Malah, untuk menjimatkan perbelanjaan, saya dan isteri hanya makan makanan di gerai yang harganya murah selain kami amat mementingkan setiap barangan yang kami beli.

"Perbezaan harga beras sebanyak 50 sen pun diambil kira,' katanya.

Dia juga hanya mempunyai aset iaitu sebuah kereta Honda Accord tahun 1996.

Edmond turut menumpang kondominium ayahnya.

Lebih 30 buah syarikat yang dikunjungi lelaki ini untuk mendapatkan dana.

"Ada wakil syarikat yang menyatakan saya gila dan melakukan perkara yang sia-sia.

"Pada akhirnya, saya menemui pengasas Kolej Asia Brickfields iaitu Raja Singam.

"Saya hanya membentangkan kertas kerja selama 10 minit. Dia (Raja Singam) diam sejenak sebelum bersetuju untuk memberikan bantuan.

"Dia menghulurkan dana sebanyak ratusan ribu ringgit setahun untuk membantu saya," katanya.

"Selain itu, dia juga berusaha mendapat bantuan dana daripada beberapa buah syarikat korporat.

Justeru, tuisyen secara online itu kemudian masih kekal bertahan sehingga kini.

Menyentuh dengan lebih lanjut tentang tuisyen itu, Maniam berkata, pihaknya akan memperkenalkan beberapa subjek video tutorial untuk pelajar sekolah rendah pada hujung tahun ini.

"Selain itu, kami juga akan memaksimumkan penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter bagi membolehkan para pelajar bertanya mengenai mata pelajaran tertentu secara maya.

"Lebih mudah, lagipun laman sosial itu dapat digunakan untuk perkara yang berfaedah dan bukan sia-sia," katanya.

Cerita berbeza dua wanita

Posted:

Cerita berbeza dua wanita

Cerita berbeza dua wanita

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

ASMAHAN berharap telefon pintar Chili keluaran syarikatnya dapat diterima para pengguna telefon di negara ini.


WANITA ini tidak lekang mengukir senyuman serta ketawa yang mampu memikat sesiapa sahaja.

Namun, dalam senyum, ketegasannya memperjuangkan kepentingan alam semula jadi di negara ini seharusnya dipuji.

Malah, pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) EcoKnights, Yasmin Rasyid yang berumur 38 tahun itu menyatakan wang ringgit tidak menjadi keutamaan.

"Memang wang ringgit itu perlu, saya mengasaskan EcoKnights tanpa mengharapkan imbuhan cuma bertekad ingin memupuk semangat sukarelawan terutama kepada golongan muda," katanya.

Bertempat di pejabatnya yang terletak di 41, Lorong Burhanuddin Helmi 11, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, wanita yang berasal dari Pasir Putih, Ipoh, Perak ini teruja bercerita mengenai kisah hidupnya.

Wanita yang mempunyai dua orang zuriat ini dilahirkan dalam keluarga campuran Cina dan India Muslim.

Kata Yasmin, minatnya terhadap NGO alam sekitar mula berputik semasa menuntut di Universiti Duke, Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS).

"Saya mengambil ijazah dalam bidang berkaitan biologi marin. Semasa cuti semester, saya sering terlibat dengan aktiviti NGO di AS.

"Tidak dinafikan di AS para aktivis NGO lebih aktif. Namun, banyak NGO di negara ini telah mengikut langkah yang serupa," ujarnya.

Jelasnya, dia kurang berminat untuk bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Zaman internet

Menurutnya, pada zaman internet, dia boleh membuat kerja di luar pejabat.

"Sekarang zaman internet. Urusan kerja bukan sekadar boleh dilakukan di pejabat semata-mata tetapi juga di mana-mana sahaja.

"Kediaman malah di kedai kopi pun boleh kerja atau tugasan boleh dilakukan asalkan rajin dan ada semangat," ujarnya.

Prinsip wanita bertubuh langsing itu adalah untuk menyelesaikan setiap urusan secepat mungkin.

"Jika ditangguh berkali-kali, apa sahaja yang kita lakukan tidak dapat diselesaikan," katanya.

Sepanjang menjadi isteri, ibu dan Pengasas EcoKnights itu bersyukur kerana dia boleh membahagikan masa antara kerja dengan keluarganya.

"Malah, saya mempunyai suami, anak-anak dan rakan sekerja yang banyak mendorong saya," kata Yasmin.

Lucu


YASMIN banyak belajar menguruskan NGO alam sekitar semasa menuntut di Universiti Duke, Amerika Syarikat.


Ada cerita lucu mengenai Yasmin untuk dikongsikan.

Dahulu, wanita ini tidak mahir berkebun malah untuk menjaga pokok kaktus pun dia tidak tahu.

"Cangkul pun saya anggap sesuatu yang agak aneh," katanya.

Namun, pengasas NGO alam sekitar itu sanggup belajar dengan mengetepikan perasaan malu.

"Kini, saya mempunyai kebun mini yang sarat dengan pokok-pokok hiasan di rumah," katanya.

Selain itu, beliau juga boleh memasak makanan tradisional Negeri Sembilan iaitu masak lemak cili api.

Lain pula kisahnya dengan seorang lagi wanita, Asmahan Sulaiman apabila dia tidak sabar menunggu produk sulungnya iaitu telefon bimbit Chili 5 bakal dipasarkan tidak lama lagi.

Sebuah kilang pembuatan telefon itu terletak di Johor.

"Saya sedar Instant Communication yang mengeluarkan telefon pintar Chili perlu bersaing dengan jenama terkenal sedia ada seperti Samsung, HTC dan BlackBerry

"Namun Chili 5 juga hebat, ia ada aplikasi khidmat pesanan ringkas percuma iaitu x-Com sama seperti WeChat, WhatApp dan Line," ujarnya.

Tambah Asmahan, bateri telefon pintarnya mampu bertahan 40 peratus lebih lama berbanding telefon pintar yang lain.

Menurutnya, ia juga boleh digunakan untuk membuka pintu.

"Malah, perisian yang terdapat dalam telefon itu membolehkan pembayaran dibuat untuk perkhidmatan pengangkutan awam dan tambah nilai telefon bimbit," katanya.

Dia juga memberikan jawapan tentang soalan kenapa dia menggunakan nama Chili.

Nama itu menggambarkan cabai yang menyebabkan si pemakannya akan berasa pedas.

"Mudah untuk diingati," katanya.

Menurutnya, dia mendapat idea itu secara kebetulan semasa menjamu selera di sebuah restoran makanan segera bersama suaminya.

Tambah bekas peguam ini, harga yang ditawarkan untuk Chili juga berpatutan iaitu RM550 seunit.

"Warna dan logo telefon pintar itu juga boleh dihasilkan mengikut cita rasa pelanggan," ujarnya.

Kemunculan bangkai aneh

Posted:

Kemunculan bangkai aneh

Kemunculan bangkai aneh

Susunan SYALMIZI HAMID


BENTUK kepala makhluk ganjil yang ditemui di Pantai Pukehina, Teluk Penty, New Zealand baru-baru ini.


PENEMUAN pelbagai bangkai haiwan aneh di seluruh dunia menimbulkan pelbagai spekulasi tentang kewujudan haiwan misteri.

Antara yang mencuri tumpuan termasuklah bangkai haiwan yang digelar sebagai raksasa laut yang mempunyai gigi besar yang ditemui di sebuah pantai di New Zealand baru-baru ini.

Seorang wanita, Elizabeth Ann telah merakamkan video penemuan bangkai itu di Pantai Pukehina, Teluk Plenty, New Zealand dengan sebahagian tubuh haiwan itu telah hilang.

"Adakah sesiapa yang boleh memastikan apakah makhluk ini? Ia memiliki kepala yang besar serta gigi kacip yang panjang. Badannya mungkin sepanjang sembilan meter. Tetapi, sebahagian tubuhnya sudah terputus," kata Ann.

Wanita itu berkata, makhluk tersebut mungkin telah diserang haiwan lain sebelum ia mati.

"Makhluk besar itu terdampar selepas ribut kuat. Penduduk sekitar juga tidak tahu tentang makhluk pelik itu dan ia menimbulkan pertanyaan (kemunculan bangkai makhluk itu) dalam kalangan mereka," katanya.

Ada pihak yang mengandaikan bahawa ia mungkin bangkai buaya air masin, ikan lumba-lumba, belut laut gergasi atau dinosaur.

Bagaimanapun seorang pakar haiwan mamalia, Anton van Helden menolak kesemua andaian itu dengan menyatakan bahawa ia hampir menyamai bentuk ikan paus pembunuh yang kerap ditemui di Fiji dan Teluk Plenty.

Gambar-gambar bangkai itu turut dihantar ke Jabatan Konservasi dan Akuarium Hidupan Laut Kelly Tarlton's di Auckland, New Zealand untuk dikenal pasti spesiesnya.

Seterusnya, beberapa keping foto makhluk menyerupai ikan paus yang dijumpai oleh anggota-anggota tentera laut Iran di Teluk Parsi turut menimbulkan persoalan orang ramai.

Hodoh

Berdasarkan gambar yang dilihat itu, seorang pengguna internet yang mengaku bahawa dia merupakan pakar biologi menjelaskan bahawa begitu sukar untuk mengenal pasti jenis makhluk tersebut.

Menurut pengarah di Institut Sains Marin, Universiti California, Amerika Syarikat, Dr. Gary Griggs, haiwan itu diandaikan sebagai ikan paus.

"Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya tentang ikan paus dan tulangnya, ia merupakan ikan paus. Bagaimanapun dengan keadaan tubuhnya yang semakin mereput itu, sukar juga untuk mengesahkan bahawa ia adalah haiwan berkenaan," kata Gary.

Dalam pada itu, seekor haiwan misteri yang hodoh dan sering menyerang lembu penternak telah berjaya dibunuh oleh penternak di Belarus baru-baru ini.

Haiwan itu dikatakan menyamai gambaran tentang makhluk legenda di Amerika Latin, chupacabra yang menghisap darah haiwan ternakan.

Chupacabara menghisap darah selepas ia menggigit kaki haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.

Penemuan haiwan ganjil itu dikatakan boleh menjadi kunci untuk menyelesaikan misteri seekor haiwan yang ditemui oleh seorang petani Ukraine pada tahun lalu.

Haiwan yang ditemui itu dikatakan mutasi musang yang berlaku akibat keracunan radiasi selain teori lain menyatakan bahawa ia adalah haiwan hibrid yang menjadi bahan ujian kimia dan biologi yang dilakukan di sebuah kilang pembangunan senjata milik bekas Kesatuan Soviet.

Ahli-ahli biologi pernah mendedahkan bahawa ia merupakan anjing rakun yang dibiakkan di sebuah kilang Soviet pada tahun 1939.

Haiwan itu dikatakan telah dilepaskan ke hutan ketika Perang Dunia Kedua bermula.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Pengawal keselamatan maut ditembak di Kajang

Posted:

Pengawal keselamatan maut ditembak di Kajang

Pengawal keselamatan maut ditembak di Kajang

03/08/2013 8:31pm

KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan maut selepas ditembak seorang lelaki di Lorong C 3/24 di Cheras Perdana, Kajang di sini, menjadikannya kejadian tembakan kelima yang berlaku minggu ini.

Dalam kejadian pada kira-kira 1.30 petang tadi, Balamurali Balakrishnan, 36, yang berada di ruang tamu rumahnya maut selepas suspek melepaskan empat das tembakan yang mengenai dada mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, mangsa mati di tempat kejadian manakala ibunya yang berada di bilik tidur rumah itu tidak diapa-apakan.

"Suspek yang datang ke rumah mangsa menggunakan kereta Iswara berwarna hitam dipercayai masuk melalui pintu yang tidak berkunci sebelum melepaskan empat das tembakan yang menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Abdul Rashid berkata, mangsa merupakan bekas banduan serta dibebaskan dari penjara pada Jun dan dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah stesen LRT dekat sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa pernah terbabit dengan lima kes dadah dan polis akan menyiasat sama ada kejadian itu berunsurkan dendam atau sebaliknya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. - Bernama

Penumpang panik punca bot karam

Posted:

Penumpang panik punca bot karam

Penumpang panik punca bot karam

03/08/2013 8:28pm

KOTA TINGGI - Seorang mangsa yang selamat menceritakan bagaimana penumpang bot pancung yang turut dinaikinya menjadi panik setelah bot dipukul ombak, sehinga menyebabkan bot itu karam.

"Kami panik lalu berkumpul di bahagian tepi sebelah bot menyebabkannya tidak seimbang dan terbalik. Bila sudah jatuh ke laut, saya dapat dengar orang dan kanak-kanak menjerit dalam gelap," kata Edey Muliadi, 26, ketika ditemui di Pengkalan Daerah Maritim Tanjung Sedili di sini hari ini.

Pengendali jengkaut di Puchong, Selangor ini berkata, sejurus selepas itu, cuaca mulai hujan dan mereka cuba berpaut pada bot yang sudah terbalik itu, namun ia karam selepas beberapa minit kerana tidak dapat menampung berat mereka.

Dia berkata, dia bersama tiga lagi mangsa yang selamat kemudiannya berenang dan berpaut pada dua bekas minyak petrol dari bot itu yang terapung.

Dalam kejadian pukul 10 malam itu, sebuah bot pancung yang dipercayai membawa 44 warga Indonesia untuk pulang menyambut Aidilfitri di Batam, karam antara perairan Sedili dan Penawar di sini akibat dipukul ombak besar.

Mereka sebelum itu dipercayai berlepas dari Tanjung Siang. - Bernama

Dua sahabat baik maut kemalangan

Posted:

Dua sahabat baik maut kemalangan

Dua sahabat baik maut kemalangan

03/08/2013 6:01pm

ALOR SETAR - Niat dua sahabat untuk mengunjungi ibu rakan mereka yang terlantar sakit di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut digilis sebuah kenderaan di Kilometer 72.3 Lebuh Raya Utara Selatan menghala Utara, Pendang dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Ekhromee Muhammad Fauzee, 19,

dan Muhammad Mohd Rozi, 19, terpelanting ke lorong laluan kanan selepas motosikal dinaiki mereka bergesel dengan sebuah lagi motosikal rakan mereka, Mohamad Fairuzi Musa.

Muhammad Ekhromee dan Muhammad maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan

beberapa bahagian badan lain manakala Mohamad Fai ruzi, 19, cedera ringan. - KOSMO!

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Wakil rakyat bergusti di Parlimen

Posted:

Wakil rakyat bergusti di Parlimen

Wakil rakyat bergusti di Parlimen

WAKIL rakyat pemerintah dan pembangkang bergusti di lantai Parlimen Taiwan di Taipei semalam.- AP


TAIPEI - Wakil rakyat Taiwan bertindak membaling air dan bergusti sesama mereka dalam satu pergaduhan di Parlimen semalam berhubung isu pembinaan sebuah lagi loji nuklear di negara itu.

Berpuluh-puluh wakil rakyat pemerintah dan pembangkang bergaduh semasa mereka cuba merampas podium. Mereka saling membaling air botol dan cawan plastik.

Dua wakil rakyat turut jatuh ke lantai semasa mereka bergelut dalam insiden memalukan itu yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

Parlimen Taiwan dijadual mengundi untuk mengadakan referendum bagi menghentikan pembinaan loji nuklear keempat itu yang dikenali sebagai Nuke 4 dekat sini.

Namun, parti pembangkang, Parti Demokratik Progresif (DPP) memberitahu, pengundian tersebut akan ditangguhkan ke minggu hadapan ekoran pergaduhan tersebut.

DPP menentang pembinaan loji itu kerana faktor keselamatan. Namun, parti pemerintah, Kuomintang memberi amaran pemansuhan fasiliti itu akan menyebabkan kekurangan bekalan kuasa dan menjejaskan sektor ekonomi.

Insiden terbaharu itu turut mencetuskan kritikan awam dalam forum di internet dan laman web sosial.

"Parlimen ini lebih kelam-kabut daripada sebuah pasar dengan wakil-wakil rakyat memperbodohkan diri mereka sendiri," kata seorang pembaca akhbar China Times, Dick Wang.

Kebimbangan mengenai loji nuklear itu meningkat sejak reaktor nuklear Fukushima bocor selepas bahagian timur laut Jepun dilanda tsunami pada tahun 2011. - AFP

22 maut gudang senjata meletup diserang roket

Posted:

22 maut gudang senjata meletup diserang roket

22 maut gudang senjata meletup diserang roket


API menjulang tinggi selepas sebuah gudang menyimpan senjata meletup di wilayah Hom, Syria kelmarin.- Reuters


DAMSYIK - Seramai 22 orang maut selepas sebuah gudang senjata api meletup akibat serangan roket di bandar Homs kelmarin, kata sebuah kumpulan penentang dan sejumlah penduduk.

Serangan berlaku di daerah yang dikuasai oleh pemerintah Syria.

Beberapa letupan menyebabkan api menjulang tinggi ke udara. Ia juga mengakibatkan kerosakan teruk dan mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang kebanyakannya penyokong Presiden Bashar al-Assad.

Seorang pegawai di pejabat gabenor di Homs berkata, kira-kira 10 buah roket mengenai kawasan kejiranan Zahra dan berhampiran kompleks sukan.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata, berpuluh-puluh mangsa yang lain turut cedera.

Menurut seorang penduduk, letupan berlaku selama lebih sejam selepas dentuman pertama. Ia didakwa berlaku di daerah Wadi Dahab dan al-Walid.

"Sejumlah roket mengenai kawasan itu. Gudang senjata mula meletup tetapi, kami tidak pasti jika roket tersebut yang menyebabkan letupan," katanya.

Letupan di Homs berlaku ketika Bashar melawat sebuah bekas kubu kumpulan penentang dekat Damsyik sempena Hari Tentera Arab Syria kelmarin.

Lebih 100,000 orang terkorban sejak penentangan terhadap pemerintahan keluarga Bashar selama empat dekad di Syria bermula pada Mac 2011.

Pemberontakan itu kemudian bertukar menjadi perang saudara hingga memaksa berjuta-juta rakyat meninggalkan kediaman masing-masing. - AP

408 belon udara panas pecah rekod dunia di Britain

Posted:

408 belon udara panas pecah rekod dunia di Britain

408 belon udara panas pecah rekod dunia di Britain


KEADAAN langit di Chambley bertukar menjadi penuh warna-warni sejurus 408 buah belon udara panas berlepas ke udara dan mencipta rekod dunia.- Agensi


CHAMBLEY - Sebanyak 408 buah belon udara panas mengambil bahagian dalam usaha untuk mencipta rekod baharu dunia di Chambley di sini, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Semua belon itu berlepas dari sebuah pangkalan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Chambely kelmarin dalam percubaan untuk mencipta rekod pelepasan belon udara panas paling banyak di dunia.

Acara itu berlangsung pada Festival Belon Udara Panas Antarabangsa Lorraine Mondial bertempat di Chambley-Bussieres Aerodrome di Perancis.

Sejurus kesemua belon udara panas itu berlepas ke udara keadaan langit mula menjadi sangat luar biasa dan penuh warna-warni.

Percubaan kali ini dilakukan bagi memecahkan rekod yang dicatatkan sebelum ini pada festival yang sama dengan 343 buah belon udara panas berjaya diterbangkan ketika itu.

Rekod yang dilakukan itu telah memecahkan rekod sebelum ini yang dicatatkan pada 2009.

Festival popular itu telah berlangsung di Paris sejak tahun 1989. Ia telah menarik minat ramai pemilik belon udara panas di seluruh dunia. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Mood Diana berubah selepas bersalin

Posted:

Mood Diana berubah selepas bersalin

Mood Diana berubah selepas bersalin

PERTAMA kali menatap wajah anak sulungnya, pelbagai perasaan yang menerjah jiwa dan raga pelakon dan pengarah Farid Kamil.

Kagum dan gembira tetapi dalam masa yang sama sedih melihat ciptaan Allah yang cukup sempurna keluar dari rahim isterinya, Diana Danielle di depan mata seterusnya memangku dan melaungkan azan di telinga anak lelakinya itu.

Hasil perkongsian hidup Farid bersama pelakon jelita Diana Danielle, pada 2 Julai lalu seorang bayi lelaki seberat 4.39 kilogram dilahirkan di sebuah hospital di Sydney, Australia.

"Saya masuk melihat proses kelahiran tersebut. Selama empat jam Diana berasa sakit akhirnya anak kami selamat dilahirkan dengan sempurna.

"Kali pertama tatap wajah anak saya, pelbagai perasaan muncul - kagum, gembira dan sedih. Baru saya faham perasaan kasih sayang seorang ayah," tutur Farid Kamil buat kali petama kepada media tentang kelahiran anaknya itu.

Semasa kelahiran anaknya itu, Farid sekadar berkongsi perasaan gembiranya menerusi laman sosial Twitter.

Farid dan Diana bernikah pada 3 November 2012 di Hotel Falmingo Ampang, Kuala Lumpur.

Selepas beberapa bulan berumah tangga, Diana berhijrah sementara ke Sydney, Australia untuk melanjutkan pelajaran di negara itu.

Sementara Farid pula, berulang-alik dari Malaysia dan Australia memandangkan dia mempunyai beberapa projek lakonan dan juga pengarahan di Malaysia.

DIANA bakal kembali ke Malaysia bersama bayinya pada Aidilfitri ini.


Mengulas lanjut mengenai anaknya itu, ujar Farid, dia belum memberikan nama kerana masih mencari nama yang sesuai.

"Ada beberapa nama yang kami senaraikan tetapi saya mahu tunggu sehingga 15 malam terakhir Ramadan, manalah tahu ada satu nama yang akan muncul dan ia menjadi pilihan saya untuk anak itu nanti," ungkapnya yang menggelarkan dirinya babah sementara Diana pula ibu.

Farid juga memberitahu, anak yang dipanggil baby sementara belum mempunyai nama itu belum didaftarkan kelahirannya.

Berkemungkinan besar, kata Farid, dia akan mendaftar bayinya itu ketika pulang berhari raya nanti.

"Di Sydney, orang luar memang tidak digalakkan mendaftar kelahiran di sana dan ia memang sukar untuk berbuat demikian," jelas Farid lagi.

Diana murung

Panjang bercerita tentang anaknya itu, Farid turut disoal mengenai keadaan Diana.

Luah pelakon filem Lagenda Budak Setan itu, Diana tidak mengalami sebarang komplikasi sebelum dan selepas bersalin.

"Cuma moodnya bertukar sehingga 360 darjah. Dia mengalami mother blues. Dia terlalu menjaga anaknya sehinggakan dia tidak benarkan saya memegang anak terlalu lama.

"Malah, dia juga takut orang mendekati anaknya," tuturnya yang memberitahu Diana dijaga saudaranya ketika berpantang di Australia.

Bicara Farid lagi, Diana bagaimanapun tidak melalui rejim pantang yang serius. Dia tidak bertungku atau menggunakan herba-herba.


PERKAHWINAN Farid dan Diana kini sempurna dengan kelahiran bayi sulung mereka.


Jelas Farid, Diana cuma mengenakan bengkung dan memakan makanan tambahan sahaja.

Disebabkan keadaan Diana itu, Farid meminta agar Diana berpantang sehingga 100 hari bagi memulih dan menguatkan dalaman pelakon filem Magika itu.

Ditebak adakah ibu mertuanya sudah ke Australia menjenguk Diana dan cucunya, Farid yang pada mulanya enggan mengulas mengenai perkara itu akhirnya membuka mulut.

"Saya sebenarnya enggan komen lebih-lebih. Pada saat-saat akhir Diana ingin bersalin, dia ada meluahkan rasa kecewa terhadap ibunya.

"Apa yang saya boleh cakap, jika dia (ibu mertua) ingin berjumpa dengan anak dan cucunya, dia harus berjumpa dengan saya dahulu," tegas Farid.

Bukan berdendam, jelas Farid, dia mahu ibu mertuanya berjumpanya terlebih dulu bagi menyelesaikan segala kemelut yang berlaku antara dirinya dan wanita bernama Norsiah Ramli itu.

Ujarnya lanjut, banyak cerita yang dia dengar yang keluar daripada mulut ibu mertuanya mengenai dirinya dan Diana.

"Saya risau berlaku perkara yang tidak diingini terhadap Diana dan bayi kami. Jadi, baik dia berjumpa saya terlebih dulu sebelum bertemu Diana dan cucunya," jelas Farid.

Tambahnya, kekecewaan Diana bermula sejak ibunya tidak merestui perkahwinan mereka.

Sebelum ini, Farid juga pernah menyuarakan kekecewaannya dengan sikap ibu mertuanya menerusi laman sosial Twitter.

Patah tangan

Farid yang ditemui pada majlis sidang akhbar drama Jodoh Itu Milik Kita di Restoran Teeq, Pusat Beli-Belah Lot 10, Kuala Lumpur, turut disoal mengenai lengannya yang dilihat berbalut.

Dedah Farid, pada bulan lalu dia mengalami kemalangan ketika menunggang motosikal.

Akibat daripada kemalangan itu, kata Farid, bahu kirinya patah dan dia terpaksa menjalani pembedahan bagi menyambungkan semula tulangnya itu.


KENANGAN. Pasangan Farid dan Diana bersama ibu Diana (kiri) dan ibu Farid (kanan) pada majlis perkahwinan mereka yang berlangsung 2 Julai tahun lepas.


"Awal bulan depan saya akan menjalani satu lagi pembedahan bagi memulihkan tulang bahu kiri saya," ujarnya yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Bagi Farid, kemalangan tersebut merupakan kejadian paling kritikal yang pernah dilaluinya.

Sebelum ini, Farid pernah mengalami kecederaan di tempurung lutut kirinya ketika melakonkan babak aksi dalam filem Dampak.

Ungkap Farid lanjut, kerana kecederaannya itu, penggambaran drama Jodoh Itu Milik Kita yang turut dibintangi oleh pelakon Tiz Zaqyah dan Nabila Huda terpaksa ditangguhkan seketika.

Mengulas mengenai wataknya dalam drama Jodoh Itu Milik Kita yang diadaptasi daripada novel popular Sara Aisha itu, ujar Farid, dia bersyukur watak Aariz Danial tidak memerlukannya melakukan adengan lasak.

Jelasnya, watak Aariz mengisahkan tentang seorang lelaki yang terpaksa menggantikan tempat adiknya, Syafiq yang sepatutnya berkahwin dengan Dahlia.

Taufiq Batisah selesa di negara sendiri

Posted:

Taufiq Batisah selesa di negara sendiri

Taufiq Batisah selesa di negara sendiri

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

TAUFIK BATISAH mengakui lagu-lagu dendangannya sebelum ini belum memikat pendengar di Malaysia.


MELIHAT kepada perkembangan industri hiburan di Malaysia, kehadiran ramai artis luar seperti dari Singapura telah merancakkan lagi persaingan dengan artis tempatan.

Ketika ini, terdapat segelintir artis Singapura seperti Aaron Aziz dan Adi Putra yang mampu menambat hati peminat, manakala dalam bidang seni suara nama-nama seperti Aliff Aziz, Awi Rafael dan Sleeq turut mencuri tumpuan.

Sehubungan itu, juara Singapore Idol musim pertama, Taufik Batisah berkata, dia sememangnya berbangga apabila semakin ramai artis Singapura yang mencipta nama di negara ini.

"Mencari rezeki dan mengembangkan bakat seni di negara orang bukanlah satu kerja yang mudah, apatah lagi usaha keras perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai peminat.

"Berkenaan kejayaan rakan-rakan artis dari Singapura yang kini sudah bertapak kukuh di Malaysia, saya anggap ia merupakan rezeki masing-masing dan berbaloi dengan pengorbanan yang dilakukan," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Madagascar 3 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apabila ditanya sama ada pernah terlintas di hatinya untuk mengikut jejak langkah rakan-rakan senegaranya itu, Taufik menyatakan keinginan itu selalu bermain di fikirannya.

Tambahnya, dia pernah cuba melakukannya dengan melancarkan beberapa buah album di negara ini dahulu, namun lagu-lagunya belum mampu memikat pendengar di Malaysia.

"Secara jujurnya saya tidaklah mencemburui rakan-rakan artis yang sudah menempa nama, tetapi kejayaan mereka itu telah menjadi pembakar semangat untuk saya mengikut jejak langkah mereka," jelas penyanyi berusia 32 tahun itu.

Menurut Taufik, biarpun belum berhasil mencipta kejayaan di Malaysia, dia mengakui buat masa ini dia lebih selesa untuk terus bertapak di negara sendiri.

Jelasnya, tawaran untuk membuat persembahan dalam pelbagai acara di Singapura tidak putus-putus, malah berasa bangga kerana mempunyai peminat yang selalu menyokong kerjaya seninya.

"Setakat ini saya mahu terus mengembangkan lagi karier nyanyian saya di negara sendiri. Lagipun, saya bukan sahaja diterima oleh masyarakat Melayu, malah saya mempunyai ramai peminat yang terdiri daripada kaum-kaum lain.

"Apatah lagi jadual kerjaya seni saya juga sentiasa padat dengan pelbagai undangan nyanyian diterima. Jadi, saya tidak kisah sekiranya lebih popular dan diterima di negara sendiri," ujarnya.

Album baharu

Bercerita lebih lanjut berkenaan dengan karier nyanyiannya pula, kata Taufik, dalam tempoh terdekat ini dia akan muncul dengan sebuah album baharu.

Ujarnya, memandangkan kali terakhir dia menghasilkan album ialah pada tahun 2008 dengan judul Suria Hatiku, penyanyi berkenaan memberitahu, sudah tiba masanya dia lahir dengan produk terkini.

"Kalau dilihat kepada industri hiburan di seluruh dunia menyaksikan penjualan album memang mengalami penurunan. Bagaimanapun, saya tetap memberanikan diri menghasilkan album baharu demi memenuhi permintaan peminat.

"Untuk album baharu ini ia masih dalam peringkat proses rakaman dan mengandungi sebanyak 10 buah lagu. Ketika ini saya baru sahaja selesai merakamkan dua buah lagu," jelasnya.

Album itu dijangka berada di pasaran pada penghujung tahun ini.

Ana Dahlia doakan kebahagiaan bekas suami

Posted:

Ana Dahlia doakan kebahagiaan bekas suami

Ana Dahlia doakan kebahagiaan bekas suami

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

ANA menegaskan buat masa ini dia belum terdesak untuk berkahwin kali ketiga.


SEBELUM ini pelakon Ana Dahlia pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Nadzri atau Chef Riz yang juga anak kepada chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih popular dengan panggilan Chef Wan.

Namun begitu, jodoh mereka tidak berpanjangan. Kedua-duanya mengambil keputusan untuk bercerai tahun lalu setelah berkahwin tidak sampai setahun.

Berpeluang bertemu dengan Ana ketika rakaman program Melodi Raya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini, ada cerita terbaharu tentang pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti Pilih Kasih musim pertama itu.

Kosmo!: Bagaimana kehidupan anda setelah hampir setahun bergelar janda?

ANA DAHLIA: Setakat ini tiada perubahan besar yang berlaku terhadap diri saya, malah saya selesa dengan kehidupan sekarang di samping fokus kepada kerjaya lakonan.

Segala kejadian yang menimpa diri saya sebelum ini menjadi pengajaran yang paling berguna. Sekurang-kurangnya pengalaman itu membuatkan saya lebih berhati-hati.

Setelah dua kali gagal dalam perkahwinan, adakah anda serik untuk berkahwin lagi?

Sudah tentu saya tidak serik untuk berkahwin lagi kerana dalam Islam pun perkahwinan itu merupakan suatu perkara yang sangat dituntut. Namun begitu, setakat ini saya belum lagi bertemu dengan lelaki yang sesuai.

Lagipun, jodoh dan pertemuan ini sudah ditentukan oleh Allah. Buat masa ini saya belum rasa terdesak untuk mendirikan rumah tangga buat kali ketiga.

FIGURA ini mengambil sikap enggan bermusuh dengan orang lain.


Macam mana pula hubungan anda dengan Chef Wan?

Bagi saya Chef Wan merupakan seorang bapa yang sangat baik dan dia cukup menyayangi saya.

Malah dulu, dia tetap menerima saya sebagai menantu meskipun dia tahu saya seorang janda sebelum berkahwin dengan Chef Riz.

Apa yang membuat saya lebih terharu ialah apabila beliau meluahkan rasa sedihnya dan seperti tidak percaya bahawa saya dan Chef Riz sudah bercerai.

Begitu juga apabila saya bertemu dengan Chef Riz dalam mana-mana acara, kami masih bertegur sapa kerana saya enggan bermusuh dengan sesiapa. Dia juga pernah menjadi suami saya dahulu.

Boleh komen tentang khabar angin yang mengatakan Chef Riz akan berkahwin?

Sekiranya khabar angin tersebut benar, saya cuma boleh cakap alhamdulillah dan tahniah serta meminta dia fokus kepada rumah tangga. Sebagai bekas isteri, saya cuma mampu mendoakan yang terbaik buat dirinya.

Sepanjang bergelar janda, adakah ada mana-mana lelaki yang ingin rapat dengan anda?

Tidak dinafikan ada yang ingin menjalinkan hubungan serius dengan saya.

Namun begitu, pengalaman lampau membuatkan saya kini lebih matang dan selalu timbul perasaan syak wasangka terhadap mana-mana lelaki yang cuba mendekati saya.

Apa aktiviti anda sepanjang bulan puasa ini?

Biasanya ada artis yang mengambil keputusan untuk berehat, tetapi saya masih meneruskan aktiviti lakonan.

Sekarang saya tengah sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Mat Cepat sebanyak 13 episod untuk siaran RTM.

Tahun ini, saya akan menyambut hari raya di kampung halaman di Taiping, Perak bersama keluarga.

Untuk persiapan Aidilfitri pula saya lebih banyak menempah kuih raya kerana tidak ada masa untuk membuatnya.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved