Panggil saya Sein QudsiPanggil saya Sein Qudsi
 MEMINATI filem sejak di bangku sekolah rendah, Sein mengakui dia memasuki bidang nyanyian dan lakonan terlebih dahulu sebagai langkah awal untuk berjinak-jinak dengan dunia hiburan. Dia menganggap zaman menyanyi bersama MOB dan Ruffedge sebagai zaman 'cuba-cuba'.
|
JALAN kehidupan setiap manusia dan segala macam kehidupan atau ciptaan yang berkembang serta bergerak pasti ada evolusi tersendiri. Berbunyi mudah namun catatan dalam ranjau yang dilalui ada ketika tidak terduga.
Lelaki dengan nama Syed Hussein Syed Mustafa itu juga punya catatan evolusi. Dahulu dia penyanyi. Sempat menganggotai dua kumpulan vokal suara MOB dan Ruffedge, dia kemudian terevolusi oleh persekitaran, usia dan kematangan. Nyanyian seperti hilang dalam kamus karier apabila lakonan pula mengambil tempat.
Sejak lima tahun lepas, landskap kariernya berubah. Daripada seorang pelakon biasa dia mahukan sesuatu yang lebih, sesuatu yang mengisi obsesi dan kemahuannya sejak kecil. Pernah hampir setahun berdiam diri, Sein kemudian membuka buku baharu. Dia kembali ke perut industri dengan haluan berbeza apabila muncul sebagai pembikin filem.
Gila tonton VHS
"Saya tak anggap kehadiran saya sebagai pembikin filem ini satu evolusi atau transformasi. Sebenarnya ia bukan berubah tetapi inilah hakikat saya. Macam orang nampak orang yang mencangkul tanah, lazimnya orang itu terus dianggap sebagai pekebun atau petani, tapi mungkin orang itu ada benda lain yang dicari.
"Macam saya pula, dari dahulu lagi saya ada dunia filem saya sendiri. Sejak umur lapan tahun lagi saya sudah gila tengok filem. Masa sekolah rendah, saya sanggup kayuh basikal beberapa kilometer dan berulang-alik ke kedai sewa video, cari filem. Ketika itu filem masih dalam bentuk VHS. Nak beli tak berduit, guna pun duit saku sekolah, jadi sewa sahaja.
"Setiap malam kerja saya tengok filem, selalu bangun lambat sehingga ponteng sekolah pasal filem. Tapi bila masuk sekolah menengah, saya mula berkawan dan masa itulah saya sertai MOB, bersama-sama dengan Shaheizy Sam, kemudian dengan Ruffedge pula. Bagi saya, zaman itu ialah zaman cuba-cuba. Minat saya masih terhadap filem tapi belum nampak jalan," cerita Sein mengenai perjalanannya.
Di ruang kerja yang dinamakan Camewerk Studios, milik bersama dua rakan sealiran, Aqasha dan Zain Hamid itu, Sein bercerita hampir terlondeh kesemuanya. Dia hanyut dalam kisah kembaranya ke London bersama isteri dan anak-anak untuk mendalami ilmu perfileman, tentang penghijrahan dalaman yang dilalui, tentang rakan-rakan dalam industri serta cita-cita yang sedang diusahakan.
Korek duit simpanan
"Belajar ilmu filem memaksa saya berjimat. Langsung tak usik duit berlakon drama terakhir waktu itu, dapat cek saya akan simpan. Bila rasa duit sudah cukup, barulah saya tunaikan cek-cek bayaran lakonan, korek semua duit simpanan. Tengok duit lebih RM100,000 dalam tangan, rasa macam boleh beli apa sahaja, tapi bila tukar kepada mata wang pound sterling, dapatlah beberapa puluh ribu sahaja. Dengan itu kami sekeluarga terbang ke London, duduk sana dan belajar.
"Orang dengar macam seronok tapi saya dapat dua benda, satu belajar ilmu filem dan satu lagi belajar untuk terus hidup.
"Ilmu kehidupan akan beri efek kepada 'barang' yang kita buat selain ilmu filem," tuturnya merangkumkan proses pembelajaran dan keputusan yang telah diambil sebelum bergelar pengarah dengan filem pertamanya berjudul Langgar.
Untuk pengarah yang baru pertama kali mengarahkan filem, jumlah kutipan Langgar sebanyak RM1.6 juta semasa ditayangkan di pawagam pada tahun lepas tidaklah suatu catatan yang memalukan.
"Tolak campur dengan pulangan di Astro First, rasanya Langgar itu sudah cukup okey untuk saya. Kalau lebih baik daripada itu mungkin akan memudaratkan saya. Mungkin saya akan jadi sombong, kalau kutipannya buruk daripada jumlah itu, tetap akan memudaratkan saya juga, jadi itulah yang terbaik pada waktu itu," katanya yang dalam proses praproduksi untuk filem terbaharu berjudul Bangunan terbitan bersama Suar Channel.
Dijayakan bersama Aqasha, Zain dan Khir Rahman, filem berkenaan terhasil daripada penemuan luar biasa yang dilalui bersama dua rakannya itu.
"Asalnya kami tengah buat kajian untuk sebuah filem lain, ia hasil penemuan istimewa kami bertiga dan kami sepakat untuk jadikan ia sebuah filem," jelas Sein.
Bangunan hanya dilakonkan oleh Sein, Aqasha dan Khir sahaja, tiada pelakon lain mahupun pelakon wanita.
"Ia sebuah filem genre misteri berkisar sejarah hidup kami bertiga. Ia bukan fiksyen tetapi realiti," kata Sein yang juga sedang mempersiapkan diri untuk memulakan pengarahan filem Penculikan Amar Affendi terbitan bersama KRU Studios sekitar Ogos nanti.
Filem bukan drama
Sebagai seorang pelakon, bapa anak tiga itu sudah terbiasa benar dengan lakonan drama televisyen, namun apabila memilih pengarahan sebagai fokus, Sein belum berminat untuk menghasilkan drama.
"Buat filem dengan dengan drama sangat lain. Kecintaan saya lebih kepada filem. Bagi saya sinema atau filem ada magis," ungkapnya.
Filem juga mengubah kaca matanya terhadap makna kehidupan yang dicari-cari selama ini.
"Saya buat filem bukan untuk membuktikan apa-apa, sekarang ialah fasa bikin filem. Saya dan rakan-rakan yang lain percaya kami di sini kerana bakat yang diasah dengan ilmu. Kami mahu praktikkan dan percaya ada tanggungjawab yang harus dilakukan," katanya mudah.
Mengajak Sein bercakap soal skeptikal segelintir penonton terhadap filem tempatan, khususnya filem Melayu, dia tidak mahu pendapat penonton filem di Malaysia dipandang rendah.
"Mereka ada ilusi tapi tak tahu apa yang mereka suka. Pengarah kena tahu dan faham hal itu, tahu ilusi penonton tetapi penceritaan harus daripada pengarah sendiri dan beri cerita yang penonton suka," lontar Sein.
Jika industri perfileman tempatan dilihat semakin goyah ekoran kemerosotan jumlah kutipan tiket di pawagam, Sein memberi satu konotasi.
Dia percaya naiknya sesebuah empayar hasil daripada kejatuhan sesebuah empayar yang lain. Sein mengaitkan falsafah itu dengan situasi perfileman tempatan yang dikatakan sedang berdepan zaman susut keyakinan peminat.
"Kalau filem tempatan sekarang tengah berdepan zaman kejatuhan, sekarang jugalah zaman kebangkitan itu sedang bermula," kata Sein yang tidak menjadikan pandangan sesetengah individu yang tidak menonton filem Melayu sebagai suatu kesalahan.
Katanya: "Kalau filem itu bagus, orang akan bercakap. Apabila orang mula bercakap, orang yang tidak mahu menonton filem Melayu akan rasa hendak tengok filem Melayu. Jadi tak salah pun kalau ada orang tak suka filem Melayu, saya sendiri pun tak suka dan tak tengok filem Hindustan. Bagi saya filem Hindustan ialah ilusi kegembiraan orang India."
Jauh menyelongkar dan mendapatkan gambaran yang jelas tentang lensa filem daripada pengarah filem generasi baharu itu, di hujung perbualan, lelaki yang pernah dikenali sebagai Sein Ruffedge ini membuat satu permintaan: "Tolong letak nama saya sebagai sebagai Sein Qudsi. Cukuplah, jangan panggil saya Sein Ruffedge lagi, saya kini mewakili diri saya, sebagai pelakon, penulis skrip dan pembikin filem, saya bukan Ruffedge lagi, panggil saya Sein Qudsi."
Ungkap Sein, Qudsi dipilih kerana itu nama leluhur keluarganya.