Bekal hidangan untuk 60 majlis perkahwinanBekal hidangan untuk 60 majlis perkahwinan
Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
DARI jauh kelihatan kepulan asap berwarna putih meresap ke udara dan melepaskan haruman bauan kulit kayu manis, bunga cengkih, lada hitam, bunga lawang dan jintan. Mungkin juga diletakkan serai yang dititik pangkalnya.
Bahan-bahan itu 'dikayuh' menggunakan 'pendayung' sehingga berwarna keemasan. Selesai kerja menumis, sedikit demi sedikit rencah utama iaitu ayam, daging dan sotong dimasukkan ke dalam kawah oleh chef Mohd. Aslah Alias, 42.
Di penjuru lain pula kelihatan beberapa orang wanita berusia 40-an sedang memotong bahan-bahan hiasan seperti timun dan cili merah besar.
Mengetuai aktiviti itu ialah ibu Mohd. Aslah, Ramlah Arshad, 68, yang mempunyai kepakaran dalam bidang masakan sejak lima dekad lalu.
Kerja-kerja memasak itu merupakan aktiviti rutin bagi perniagaan keluarga di bawah jenama Katerer Sri Angsana (Sri Angsana).
Setiap hujung minggu, seawal pukul 3 pagi hingga subuh, anak-anak Ramlah yang seramai tujuh orang akan sibuk menyediakan sajian buat para tetamu di majlis perkahwinan.
Menurut Mohd. Aslah, tahap disiplin tinggi diperlukan dari setiap ahli keluarga yang terlibat kerana menu akan dihantar ke lokasi majlis perkahwinan tepat pada pukul 8.30 pagi.
Bagaimanapun, anak keempat itu memberitahu bahawa kuantiti sajian pada musim cuti sekolah atau sebarang perayaan tidak seperti hari-hari biasa.
Kebiasaannya, Sri Angsana menyediakan hidangan untuk 20,000 tetamu bagi 20 majlis perkahwinan pada hujung minggu. Namun, jumlah tempahan meningkat kepada 30 majlis perkahwinan setiap Sabtu dan Ahad semasa cuti sekolah.

JASMIN menggunakan pembesar suara semasa memberikan arahan kepada kakitangannya.
Rezeki
Ujarnya, tempahan tersebut merupakan rezeki yang tidak mampu ditolak walaupun terpaksa berhempas pulas untuk disediakan.
"Kami tidak sampai hati menolak permintaan pelanggan, apatah lagi sajian ini adalah untuk tetamu yang hadir bagi meraikan hari yang istimewa.
"Ada juga pelanggan meminta kami menghantar makanan jauh dari tempat memasak sehingga sanggup membayar duit minyak, tol dan menanggung sebarang risiko sewaktu penghantaran," jelasnya ketika ditemui di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.
Tepat pada waktu penghantaran, bekas demi bekas dinaikkan ke dalam lori yang sedia menunggu di hadapan dapur masak.
Dengan menggunakan pembesar suara, anak sulung Ramlah, Jasmin, 48, memberikan arahan kepada pekerja supaya hidangan dimasukkan ke dalam lori mengikut pakej tempahan dan memastikan ia sampai ke destinasi yang betul.
Jasmin berkata, mereka turut menyediakan pasukan bantuan sebagai bersiap siaga jika perkara yang tidak diingini berlaku sebarang seperti tersalah hantar jenis hidangan ke rumah pengantin atau makanan rosak.
Mengulas lanjut tentang pakej hidangan, Jasmin berkata, sehingga kini Sri Angsana menyediakan empat pakej katering dengan jumlah pesanan juadah minimum untuk 1,000 orang tetamu.
Harga setiap pakej bermula daripada RM8.80 hingga RM15.80 untuk setiap orang.
Antara juadah wajib yang disediakan ialah nasi beriani, nasi putih, ayam masak merah, daging hitam, dalca sayur, jelatah nanas dan acar buah.
Sehingga hujung tahun ini, Sri Angsana menawarkan sajian daging kambing golek pada separuh harga, iaitu RM500 seekor kepada pelanggan terawal yang membuat tempahan.

TEPAT pukul 8.30 pagi, lori Sri Angsana akan bertolak menuju ke lokasi majlis perkahwinan.
Sepadan dengan harganya, bakal pengantin baharu yang memilih pakej bernilai RM12.80 dan RM15.80 untuk setiap tetamu akan diberikan kek dua tingkat dilengkapi kemudahan meja deejay, sistem audio atau dua set kanopi untuk tetamu utama. Selain itu, mereka juga boleh memilih sepasang persalinan.
Pasangan terawal berkesempatan memilih pakaian baju pengantin koleksi terbaharu rekaan daripada Dwen Raha. Selain pakaian, aksesori seperti kasut, rantai, subang, tiara, tengkolok dan keris turut disediakan.
Pakej itu juga merangkumi set pelamin dengan konsep kain yang dilengkapi dengan barang-barang perhiasan dan laluan pintu gerbang untuk pasangan pengantin.
Cabaran
Menceritakan permulaan Sri Angsana dalam dunia katering, Jasmin berkata, orang tuanya sebenarnya merupakan tukang masak dan mempunyai sebuah kedai makan yang dikenali sebagai Restoran Kita di Jalan Tunku Abdul Rahman pada era 70-an.
Bagaimanapun, restoran tersebut terpaksa ditutup selepas ayahnya meninggal dunia kerana tenaga kerja tidak mencukupi, juga memandangkan adik-beradiknya pada ketika itu masih kecil.
Beberapa tahun kemudian, ibunya kembali membuka sebuah kedai makan baharu dengan nama Restoran Sri Angsana dan mula melibatkan diri dalam dunia katering pada tahun 1996.
Walaubagaimanapun, pada ketika itu Sri Angsana hanya mengambil tempahan untuk kira-kira tiga majlis perkahwinan sahaja.
"Masa itu kami menyediakan sajian di ruang belakang rumah yang terletak di Kampung Pandan.
"Pengalaman itu merupakan antara cabaran buat kami sekeluarga kerana memasak di kawasan yang terhad dan dikelilingi jiran tetangga bukanlah perkara mudah. Ada jiran yang merungut waktu tidur mereka terganggu dengan bunyi tukangan sudip dan periuk belanga seawal jam 3 pagi," ujarnya tersenyum mengimbau kisah silam.
Pada tahun 2007, Sri Angsana mula dikenali ramai dan berjaya memiliki bangunan penyediaan makanan dan pejabat urusan sendiri yang terletak di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.
 RAMLAH (kanan) menurunkan ilmu masakan kepada anak keempatnya, Mohd. Aslah.
|
Perniagaan keluarga
Mengulas lanjut tentang kualiti juadah, Ramlah berkata, segala ilmu masakan dan resipi telah diturunkan kepada anak-anaknya.
Namun beliau memberitahu, resipi-resipi tersebut telah diolah oleh Mohd. Aslah mengikut kesesuaian memandangkan beliau pernah menjadi chef di hotel-hotel terkemuka seperti Hotel Hilton dan Hotel Nikko Kuala Lumpur.
Ciri-ciri baharu hidangan Sri Angsana mengambil kira jenis ramuan yang digunakan agar juadah yang dihasilkan tahan lebih lama dan menjimatkan masa.
"Zaman saya dahulu, bahan-bahan masakan disediakan menggunakan kaedah tradisional seperti batu giling, jemuran, jeruk dan sebagainya.
"Namun, pada hari ini banyak kemudahan untuk memudahkan kerja di dapur yang disediakan seperti perkakas elektrik dan bahan-bahan yang sedia digunakan seperti santan segar," jelasnya yang masih lincah membuat kerja-kerja dapur.
Ujarnya lagi, rempah-ratus yang digunakan dalam masakan Sri Angsana dibeli khas dari Johor bagi memberikan rasa asli nasi beriani.
Selain itu, bagi menangani masalah daging ayam yang dikhuatiri tidak elok dimasak, Sri Angsana menggunakan ayam siap dimasak daripada rangkaian Rasamas.
Dalam pada itu, bagi menjaga kualiti makanan, Sri Angsana juga mengadakan sesi ujian makanan yang dibuka kepada orang ramai pada setiap hujung minggu.
Setiap komen dan kritikan diterima dengan hati yang terbuka bagi memenuhi cita rasa pelanggan dan meningkatkan lagi mutu hidangan serta perkhidmatan yang disediakan perniagaan keluarga berkenaan.
Turut melihat kredibiliti Sri Angsana dalam menyediakan makanan adalah Institut Profesional Baitulmal. Menurut Mohd. Aslah, pusat pengajian tersebut telah menghantar beberapa orang pelajar ke Sri Angsana untuk sesi praktikal dalam bidang penyajian.
Dia yang berbesar hati menerima kedatangan pelajar itu menganggap perkongsian ilmu yang dibuat merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat kepada masyarakat.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari di laman angsanacaterer.blogspot.com atau menghubungi di talian 03-9202 3276.