Jumaat, 21 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Merealisasi arboretum Sungai Besi

Posted:

Merealisasi arboretum Sungai Besi

Merealisasi arboretum Sungai Besi

SEPERTI biasa sejak kira-kira 15 tahun lalu, Ramlan Abu Sien memulakan rutin pekerjaannya memeriksa pokok-pokok di Hutan Simpan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Jika ada dahan reput jatuh ke tanah, Ramlan terlebih dalu memeriksanya dikhuatiri menghempap tumbuhan herba yang lebih kecil. Selepas itu, barulah dahan tersebut dialihkannya ke tepi denai.

Tindakannya itu, bagi memastikan semua tumbuhan termasuk bersaiz kecil dapat terus hidup dan membesar.

Bagaimanapun, tugas lelaki berusia 40-an itu bukan mudah, dia yang dibantu seorang ranjer lain perlu meronda di hutan berkenaan mengikut jadual yang ditetapkan. Ia bagi memastikan hutan simpan tersebut bebas daripada penceroboh dan akhirnya merosakkan khazanah alam yang amat bernilai itu.

Sambil melalui denai-denai hutan, tangannya tidak duduk diam dengan mengopek kulit pokok atau membuang daun-daun di ranting.

"Semua tumbuhan, tidak kira pokok balak atau herba dalam pemantauan kami. Ini kerana, khazanah berharga itu perlu terus hidup untuk manfaat kita bersama.

"Pokok balak misalnya, mengambil masa cukup lama untuk mencapai ketinggian dan saiz yang besar. Justeru, kita perlu ada rasa tanggungjawab untuk memastikannya tidak lenyap sekelip mata," tegas Ramlan.

Menceritakan pengalamannya menyaksikan tumbesaran pokok-pokok, Ramlan memberitahu, tumbuhan kategori balak kayuan keras hanya membesar 0.8 sentimeter setahun.

Bagi tumbuhan herba kecil pula, Ramlan menambah, ia juga tidak menjalani tumbesaran pantas dan boleh rosak atau patah sekiranya dihempap dahan reput.

"Pokok-pokok tersebut perlu dijaga kerana Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP) mempunyai matlamat menjadikan Hutan Simpan Sungai Besi sebagai arboretum kebangsaan," katanya turut berkongsi hasrat sama.


Mohd. Puat memegang kulit pokok minyak beruk.


Paling luas

Arboretum ialah kawasan khusus yang dijadikan lokasi tanaman semula tumbuhan kategori terancam, jarang ditemui dan hampir pupus termasuk spesies renek dan herba untuk tujuan pemuliharaan, kajian saintifik serta pendidikan.

Pengarah JPWP, Rusli Tahir berkata, semua tumbuhan kategori tersebut termasuk yang mempunyai khasiat penyembuhan akan ditanam semula.

"Kira-kira 24 tumbuhan dikenal pasti untuk dipulihara di hutan simpan ini. Antaranya, balau laut, cengal, bitangor bukit, penaga lilin, kerian dot, kembang semangkuk, salam serta beberapa jenis meranti.

"Kita akan berusaha sedaya upaya menjadikan hutan simpan ini sebagai arboretum kebangsaan," kata beliau.

Terletak kira-kira 14.2 kilometer dari pusat bandar raya, Hutan Simpan Sungai Besi merupakan hutan simpan paling luas di Kuala Lumpur.

Ia melibatkan keluasan 42.29 hektar bersempadan antara Lapang Sasar Menembak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi di sebelah barat dengan kawasan perumahan penduduk Alam Damai di timur.

Walaupun menjadi hutan simpan paling luas di Kuala Lumpur, khazanah tersebut hanya melibatkan 0.23 peratus daripada keseluruhan 29,200 hektar 'rimba batu' di ibu negara.

Rusli menyifatkan, hutan tersebut sebagai permata di tengah-tengah Kuala Lumpur kerana berupaya menjadikan kawasan persekitaran lebih nyaman.

"Bayangkan jika tiada langsung hutan di bandar raya ini seperti yang berlaku di beberapa bandar raya di Amerika Syarikat atau Eropah, persekitaran udara pasti menjadi lebih teruk.


MEREDAH denai di Hutan Simpan Sungai Besi pasti memberi pengalaman berharga kepada orang ramai.


"Jika dicampur keluasan semua hutan simpan di Kuala Lumpur termasuk Hutan Simpan Bukit Lagong Tambahan, Hutan Simpan Bukit Nanas dan Hutan Simpan Sungei Puteh, keluasan keseluruhan cuma 68.27 hektar dan masih sangat kecil," katanya.

Sehingga kini, terdapat lebih 200 spesies tumbuhan hutan hujan khatulistiwa di Hutan Sungai Besi sejak diwartakan sebagai hutan simpan pada 8 April 1932.

Akar terbesar

Lebih menarik, Ketua Unit Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dr. Mohd. Puat Dahalan memberitahu, Hutan Simpan Sungai Besi menyimpan spesies akar dipercayai terbesar dan terpanjang di Malaysia.

Menurut Mohd. Puat, akar tersebut, ventilago melaksensis mempunyai ukur lilit 30 sentimeter serta menjangkau sehingga 100 meter panjang dan berusia lebih 35 tahun.

"Kita sedang berusaha memasukkan tumbuhan akar itu ke dalam Malaysia Book of Records," kata Mohd. Puat.

Mohd. Puat menambah, ia turut menyimpan dua spesies dipterokarpa daripada jenis balak kayuan keras iaitu meranti paang dan balau membatu dianggar berusia lebih 70 tahun dengan ukur lilit 75 sentimeter.

Spesies yang jarang ditemui dan mempunyai nilai penyembuhan pula ialah akar sekunyit yang digunakan secara tradisional merawat resdung atau sinusitis.

Halia kesing yang membantu melawas angin dalam badan atau uluran, serta pokok hempedu beruang yang berupaya meningkatkan tenaga tubuh sebagaimana tongkat ali juga terdapat di hutan ini.

"Bagi memelihara kekayaan sumber semula jadi di sini, hutan ini tidak pernah dibuka kepada orang awam sebagaimana hutan lipur atau rimba lain.

Pendedahan

"Bagaimanapun, kita sedang berusaha memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kewujudan dan kepentingan hutan ini kepada warga Kuala Lumpur.

"Melalui kerjasama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), program kesedaran seperti Save Our Rainforest Race dirancang khusus untuk beri pendedahan kepada awam," ujar Mohd. Puat.

Program yang menggalakkan orang ramai melakukan pemuliharaan terhadap spesies-spesies tumbuhan yang semakin sukar ditemui itu akan diadakan pada 29 Mac ini di Hutan Simpan Sungai Besi.

"Tidak ramai yang tahu kewujudan hutan simpan di Sungai Besi. Lagipun, tiada papan tanda dipasang.

"Apabila Peka cuba memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan hutan di kawasan bandar, kita berharap ia memberi manfaat besar kepada semua orang.

"Kita mahu mereka daripada tidak tahu tentang kewujudan hutan ini, menjadi tahu, mengambil berat bertanggungjawab memelihara hutan," ujar Mohd. Puat.

Sehubungan itu, beliau berharap kepelbagaian khazanah flora yang terdapat di hutan simpan tersebut dikekalkan untuk manfaat generasi seterusnya.

Ujar beliau, kewujudan hutan tersebut juga membolehkan burung, ular, serangga dan haiwan kecil mendiaminya sekali gus melengkapkan kitaran ekosistem tanpa gangguan.

Sekiranya sasaran menjadi arboretum kebangsaan tercapai pada tahun ini, Hutan Simpan Sungai Besi akan membuka lembaran baharu dalam dunia penyelidikan sekali gus memberi manfaat terhadap manusia dan alam sekitar.

Kisah pengeluar garam di Gujerat

Posted:

Kisah pengeluar garam di Gujerat

Kisah pengeluar garam di Gujerat


SUASANA iklim di kawasan tersebut boleh mencecah suhu 40 darjah celsium pada waktu siang.


LANDSKAP padang pasir di Little Rann, Kutch iaitu sebuah negeri di sebelah barat Gujerat, India dipenuhi kira-kira 70,000 orang buruh yang menjadikan garam sebagai sumber pendapatan mereka.

Kawasan tersebut menghasilkan kira-kira 70 peratus daripada garam di India yang merupakan pengeluar ketiga terbesar sumber tersebut di dunia selepas China dan Amerika Syarikat.

Hampir 50 peratus daripada pengeluaran garam di India adalah untuk kegunaan domestik manakala selebihnya untuk kegunaan industri kimia.

Penghasilan garam untuk kegunaan domestik lebih dipelopori oleh pengeluar-pengeluar kecil yang digelar sebagai Agariya oleh masyarakat tempatan.

Agariya dipercayai telah menghuni kawasan yang terletak kira-kira 235 kilometer (km) dari Ahmedabad dan 150 km dari ibu pejabat daerah Kutch itu sejak berabad-abad lamanya.


PENGHASILAN garam untuk kegunaan domestik dipelopori oleh golongan Agariya.


Mereka hanya mengetahui satu saja cara untuk meneruskan hidup iaitu menghasilkan garam daripada air bawah tanah.

"Air tanah di sini adalah 11 kali ganda lebih masin daripada air laut, ia dipam menggunakan gerek dan kemudian diisi ke dalam petak-petak kecil di atas tanah dengan keluasan 25 x 25 meter persegi.

"Selepas disinari pacaran matahari, air ini akan beransur-ansur bertukar menjadi garam," kata Mohammad Farukh Pathan, Pegawai Pelancongan Gujarat.

Menurut beliau, Agariya yang merupakan salah satu masyarakat termiskin di negara itu memperoleh hasil sebanyak 10 hingga 15 tan garam dari setiap petak. Setiap keluarga hanya dibenarkan menjaga 30 hingga 60 petak.

Selepas menuai hasil, mereka akan menghantar garam tersebut kepada syarikat-syarikat garam di seluruh India setiap 15 hari dengan menggunakan trak dan kereta api.

Malangnya, walaupun terpaksa bekerja dalam suasana iklim dengan suhu mencecah 40 darjah celsius pada waktu siang dan 5 darjah celsius pada waktu malam, mereka hanya memperoleh pendapatan sekitar RM3.20 sen per tan garam.


SETIAP petak boleh menghasilkan kira-kira 10 hingga 15 tan garam.


Mereka juga terpaksa memberhentikan penghasilan garam apabila tiba musim tengkujuh pada bulan Oktober hingga Mac kerana petak-petak di kawasan tersebut akan ditengelami air dari sungai Surajbari.

Selain terpaksa menghentikan operasi ketika musim tengkujuh, buruh-buruh di kawasan tersebut turut terdedah kepada penyakit berbahaya antaranya, tekanan darah tinggi, penyakit mata dan kulit.

Hal ini disebabkan oleh angin yang membawa hablur garam dan pancaran matahari yang terik di kawasan itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


116 peserta menyertai kayuhan santai

Posted:

116 peserta menyertai kayuhan santai

116 peserta menyertai kayuhan santai


ISKANDAR (dua dari kiri) melepaskan para peserta program Kayuhan Santai melibatkan 116 peserta di Setiu, Terengganu baru-baru ini.


KAYUHAN. Seramai 116 peserta menyertai program Kayuhan Santai sejauh 32 kilometer anjuran Majlis Belia Daerah Setiu (MBDS), Terengganu serta Pejabat Belia dan Sukan Daerah Setiu di Setiu, Terengganu baru-baru ini.

Program tersebut yang turut mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga disempurnakan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Iskandar Jaafar.

Pengerusi MBDS, Zokri Othman berkata, para peserta terbabit memulakan kayuhan basikal di Bandar Permaisuri, Setiu sehingga Kampung Rhu sebelum berpatah balik ke Perpustakaan Awam di bandar itu.

"Program yang diadakan bertujuan merapatkan hubungan semua lapisan masyarakat selain menjadi aktiviti riadah memberi manfaat kepada mereka," ujarnya.

Matt Cafe rai 100 anak yatim

Posted:

Matt Cafe rai 100 anak yatim

Matt Cafe rai 100 anak yatim


MOHAMAD menyampaikan sumbangan makanan kepada sebahagian daripada 100 anak yatim Asrama Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payung, Marang, Terengganu baru-baru ini.


DIRAI. Seramai lebih 100 anak-anak yatim Asrama Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payung, Marang dirai oleh Matt Cafe di Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Pengarah Operasi Matt Cafe, Mohamad Harun berkata, program itu diadakan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat pihaknya terhadap masyarakat setempat termasuk anak yatim.

"Pada program itu, kita menghidangkan makanan ayam goreng dan salad Matt Cafe kepada anak-anak yatim ini ujarnya.

Warga SMK PPPTR anjur program di Ulu Tembeling

Posted:

Warga SMK PPPTR anjur program di Ulu Tembeling

Warga SMK PPPTR anjur program di Ulu Tembeling


WARGA Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak bergambar bersama penduduk Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling, Pahang baru-baru ini.


MESRA. Seramai 33 warga Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (SMK PPPTR) berkampung selama dua hari di Kampung Mat Daling, Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Pengetua sekolah berkenaan, Abdul Razak Ismail berkata, program tersebut diadakan bagi memberi peluang kepada warga SMKPPPTR terdiri daripada guru dan kakitangannya merasai kehidupan masyarakat pedalaman Ulu Tembeling."Kita berpeluang melalui pengalaman perjalanan menggunakan bot selama empat jam dari Kuala Tahan dengan pelbagai cabaran termasuk tiga kali menolak bot kerana air cetek berikutan musim kemarau," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Dua objek ditemui di Lautan Hindi

Posted:

Dua objek ditemui di Lautan Hindi

Dua objek ditemui di Lautan Hindi


PESAWAT AP-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia adalah antara pesawat yang dikerah untuk mengesan lokasi dua objek yang ditemui selatan Lautan Hindi semalam.


SEPANG - Penemuan dua objek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan operasi pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi berdekatan Perth, Australia boleh menjadi petunjuk kuat bagi merungkai kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) itu sejak 8 Mac lalu.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia menganggap semua maklumat yang diterima sebagai penting sebagaimana sebelum ini apabila pihaknya menerima laporan satelit China yang mengesan objek di Laut China Selatan.

Menurut beliau, dalam penemuan terbaharu itu, pihaknya menerima maklumat dua objek tersebut dirakam menggunakan satelit lain yang belum lagi dapat disahkan tarikh imej diambil.

"Pada pukul 10 pagi ini (semalam) Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia, Tony Abbot yang memberitahu tentang dua objek yang mungkin mempunyai kaitan dengan pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi.

"Pihak berkuasa Australia di Kuala Lumpur telah memberikan taklimat kepada saya tentang situasi itu dan Menteri Luar Australia juga telah bercakap dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman," katanya pada sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Ahli keluarga akan ke Australia

Posted:

Ahli keluarga akan ke Australia

Ahli keluarga akan ke Australia

SEPANG - Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) akan menerbangkan ahli keluarga penumpang pesawat MH370 ke Australia sekiranya imej satelit yang mengesan dua objek di Lautan Hindi itu adalah MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak MAS untuk membawa keluarga penumpang ke sana.

"Jika ia (objek) disahkan pesawat (MH370), kita akan aturkan untuk membawa ahli keluarga ke sana (Australia)," katanya di sini semalam.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia yang menyelaras usaha mengesan pesawat MH370 di Koridor Selatan sebelum ini mengesahkan penemuan dua objek dalam imej satelit yang diambil di selatan Lautan Hindi.

Dalam imej satelit yang dirakamkan 2,500 kilometer dari Perth itu, salah satu objek tersebut dilaporkan sepanjang 24 meter.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Wan Ahmad menang saman fitnah

Posted:

Wan Ahmad menang saman fitnah

Wan Ahmad menang saman fitnah


WAN AHMAD (kiri) berbual dengan peguamnya, Datuk Mohd. Hafarizam Harun sebaik keluar dari mahkamah selepas memenangi saman fitnah terhadap Mohamad Sabu dan Mustafa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi semalam memerintahkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana memfitnah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berhubung isu 'Projek IC' di Sabah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong ketika membenarkan saman Wan Ahmad, memutuskan bahawa plaintif berjaya membuktikan kesnya terhadap Mohamad atau Mat Sabu dan Mustafa selaku defendan.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua defendan itu membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Wan Ahmad.

Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan Wan Ahmad terhadap pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, Ketua Pengarang akhbar itu Ahmad Lutfi Othman dan penulis artikel Aziz Muda.

Heng Cheong berkata, mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan Angkatan Edaran Enterprise adalah pencetak akhbar Harakah, Ahmad Lutfi sebagai ketua pengarang dan Aziz sebagai penulis artikel berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan Wan Ahmad membayar kos berjumlah RM20,000 kepada ketiga-tiga defendan itu.

Pada 5 Mac tahun lepas, Wan Ahmad memfailkan saman dengan mendakwa Mohamad mengeluarkan kata-kata fitnah dalam artikel bertajuk Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai dan Ragu Peranan SPR - Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan dalam Harakah edisi Jumaat 1-3 Feb 2013 selepas ditemu ramah pada 29 Jan 2013.

Dalam penyataan tuntutannya, Wan Ahmad mendakwa defendan mengeluarkan perkataan fitnah bahawa beliau tidak boleh dipercayai kononnya kerana terbabit dengan pengeluaran kad pengenalan biru dalam 'Projek IC' di Sabah.

Sementara itu, Wan Ahmad yang hadir dalam prosiding semalam melahirkan rasa gembira atas keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya.

"Dengan keputusan itu, saya bersyukur dan gembira kerana ia telah membersihkan nama saya, maruah diri dan menamatkan beban malu diri saya dan keluarga akibat kenyataan fitnah itu," katanya sambil menambah bahawa kewibawaan SPR juga turut tercalar akibat fitnah itu.

Kesemua defendan yang tidak hadir dalam prosiding semalam diwakili peguam Azhana Mohd Khairuddin. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


MINI semakin premium

Posted:

MINI semakin premium

MINI semakin premium

Oleh SHAWKATH AZDE dan HAIKAL RAMAN
garaj@kosmo.com.my

SELEPAS mendapat hak pemilikan jenama MINI pada tahun 1994, BMW AG melakukan transformasi total pada model ikonik jenama Britain itu. MINI kini berwajah moden, segar, sarat dengan teknologi dan saiznya lebih besar. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan itu ciri-ciri yang ada pada sesebuah kereta BMW.

Tindakan itu mencetuskan dua reaksi berbeza dalam kalangan peminat MINI di serata dunia. Bagi para pemilik MINI generasi lama, mereka nyata kecewa dengan tindakan BMW AG. Ada juga peminat yang tidak mahu mengiktiraf model MINI generasi baharu keluaran syarikat Jerman itu sebagai sebuah MINI.

Bagi golongan itu, pembangunan MINI baharu sudah menyimpang daripada idea asal pencipta kereta itu iaitu Alec Issigonis. MINI mula diperkenalkan pada era pasca-Perang Dunia Kedua sebagai sebuah kereta bajet yang bersaiz kecil, mampu milik, kos rendah dan untuk orang ramai.

Reaksi kedua memenuhi keperluan kelompok pengguna urban yang mahu sebuah kereta bersama pakej pemanduan menyeronokkan, gaya hidup dan menitikberatkan gaya fesyen. Permintaan itu berjaya dipenuhi oleh BMW AG dengan tawaran kereta kompak premium MINI generasi baharu.

Sepanjang pemilikan MINI sejak 20 tahun lalu, BMW AG berjaya memperkenalkan tiga generasi MINI baharu ke persada antarabangsa. Di pasaran tempatan, tugas membawa masuk dan memasang rangkaian produk MINI dipertanggungjawabkan kepada BMW Group Malaysia (BMW Malaysia).


MODEL Cooper S tampak lebih sporty hasil padanan bampar dan bolong kemasukan udara di bahagian bawah gril.


Baru-baru ini, BMW Malaysia melalui entiti di bawahnya iaitu MINI Malaysia membawa masuk dua model MINI generasi ketiga iaitu Cooper dan Cooper S.

Kenderaan generasi baharu itu didakwa telah melepasi fasa pembaharuan pada aspek keseronokan pemanduan, kualiti, teknologi termaju dan gaya baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Dr. Gerhard Pils memberitahu, model generasi ketiga itu bukan kenderaan naik taraf tetapi sebuah kereta baharu yang bakal menetapkan melonjakkan penanda aras dalam segmen kereta premium kompak.

Tiga mod pemanduan

Katanya, MINI generasi ketiga didatangkan dengan enjin baharu cekap penggunaan bahan api sekali gus mengurangkan pembebasan karbon. MINI Cooper menggunakan enjin petrol tiga silinder berkapasiti 1.5 liter manakala Cooper S diberi padanan enjin empat silinder bersesaran 2.0 liter.


MINI generasi ketiga menawarkan keluasan ruang simpanan kargo yang lebih luas untuk kelegaan pemiliknya.


Kedua-dua unit enjin itu diadun bersama teknologi pengecas turbo, sistem pancutan terus bahan api dan kawalan aci sesondol. Semuanya boleh diubah pada bahagian pengambilan masuk udara dan bahan api serta bahagian ekzos. Transmisi yang digunakan ialah enam kelajuan automatik.

Teknologi baharu itu didakwa mampu membantu menjimatkan penggunaan petrol sehingga 27 peratus jika dibandingkan generasi sebelumnya. Pengguna turut ditawarkan tiga mod pemanduan iaitu MID, Sport dan Green yang boleh ditetapkan menerusi tombol boleh laras di bahagian tuil gear.

Mod Green sesuai untuk pemanduan santai manakala Sport pula untuk pemanduan lebih agresif. Pilihan tetapan MID menggabungkan kedua-dua mod Sport Green dan Sport.

Bagi merealisasikan pemanduan ala go-kart, pasukan arkitek MINI melakukan kiraan matematik untuk mengimbangi binaan saiz kenderaan yang besar tanpa menjejaskan kualiti pemanduan go-kart warisan MINI sebelum ini.

Saiz lebih besar

Jika dibandingkan dengan model generasi kedua, dimensi saiz MINI baharu kini lebih panjang sebanyak 98 milimeter (mm), 44mm lebih lebar dan 7mm lebih tinggi.

SKRIN paparan berwarna untuk sistem sambungan dan audio ditempatkan pada bahagian tengah papan pemuka.


Pembesaran MINI juga menyumbang kepada aspek peningkatan keselesaan pemandu dan penumpang bahagian hadapan apabila ruang tambahan kelegaan kaki ditingkatkan sebanyak 23mm. Volum simpanan barang dalam but MINI turut ditingkatkan kepada 211 liter.

Reka bentuk bahagian luaran model Cooper tidak jauh berbeza dengan model sebelumnya. Malah ia bukannya menambat perhatian biarpun ada komponen yang sudah diperhalusi seperti garis badan, sil bahagian tepi dan pelindung roda.

Melangkah masuk ke dalam kabin, ada beberapa perubahan yang dilakukan benar-benar logikal. Instrumen meter dikembalikan kedudukannya pada bahagian hadapan stereng.

Sebelum ini, meter itu dipasang pada bahagian konsol tengah. Bolong udara kini berbentuk segi empat dan bukannya bulat seperti generasi kedua. Pembaharuan yang lain ialah suis pembuka tingkap kini dipasang pada bahagian pintu.

Bagi model Cooper S, perbezaannya melibatkan penggunaan lampu LED pada lampu utama dan padanan lampu DRL LED. Ia nampak sedikit sporty hasil gayaan gril radiator, warna bampar dan paip ekzos yang dipasang pada bahagian tengah di bawah bampar belakang. Tambahan lain ialah fungsi enjin automatik start/stop dan sistem kemasukan tanpa kunci.

Cooper dan Cooper S ditawarkan dalam warna oren, kelabu, merah, biru dan kelabu. Warna bumbung kereta, perumah cermin sisi dan jalur atas bonet ditawarkan dalam pilihan warna putih atau hitam.

Nissan Juke 2014

Posted:

Nissan Juke 2014

Nissan Juke 2014

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN
garaj@kosmo.com.my



DI Geneva, Switzerland baru-baru ini, Nissan memperkenalkan Nissan Juke dengan wajah baharu selepas hampir tiga tahun berada di pasaran global. Model unik itu membuka lembaran baharu dalam segmen crossover kompak.

Nissan Juke disifatkan sebagai sebuah jentera segar dalam kelasnya dan mencetuskan saingan langsung kepada beberapa model taruhan baharu seperti Ford EcoSport dan Honda Vezel.

Biarpun Juke menyimpang jauh daripada rekaan konvensional, ia tetap mencatatkan prestasi yang agak impresif. Rekod jualan terkumpul dalam tempoh 40 bulan ialah 420,000 unit. Statistik jualan 2013 ialah 135,000 unit di peringkat antarabangsa.

Semakin menyerlah

Juke dengan reka bentuk menyerlah diberi pengemaskinian semula dengan perubahan estetik pada beberapa bahagian. Perubahan paling ketara ialah aplikasi enjin baharu. Wajah hadapan menerima solekan baharu dengan mereka semula lampu atas dan diadun bersama lampu DRL LED bi-intensity. Lampu utama pula dipasang penutup kanta baharu bersama mentol jenis Xenon.


SET lampu belakang mempamerkan rekaan luar biasa dan cukup menarik jika dibandingkan dengan model sebelumnya.


Rekaan jeriji turut mendapat perhatian pengeluar dari Jepun itu apabila memadankan signatur korporat baharu Nissan pada komponen berkenaan. Kelongsong cermin sisi dipasangkan lampu signal LED yang selari dengan trend semasa. Tidak cukup dengan itu, perumah itu dilengkapi kamera untuk sistem Around View Monitor.

Bampar belakang tampak lebih agresif hasil padanan lampu berbentuk boomerang dengan teknologi LED light guide technology agar Juke tampil lebih menyerlah pada waktu malam. Sebagai pilihan buat pelanggan, Juke didatangkan dengan tiga pilihan rim bersaiz 16 inci untuk model asas dan 17 atau 18 inci untuk varian premium.

Tiga pilihan enjin

Bagi menjadikannya lebih praktikal, but kereta itu diubah untuk membolehkan kapasiti ruang simpanan barang ditingkatkan kepada 354 liter atau 40 peratus lebih luas berbanding model sebelumnya. Kerusi belakang Juke boleh direbahkan dan ruang bagasi kini terbahagi kepada dua aras untuk simpanan barang.

Terdapat tiga pilihan enjin iaitu dua unit enjin petrol dan satu enjin diesel. Enjin petrol 1.2 liter DIG-T menggunakan teknologi pancitan terus dan pengecas turbo yang canggih berkuasa 115PS dengan tork 190Nm.


BUMBUNG Juke boleh dibuka bagi menikmati udara segar ketika memandu di kawsan luar bandar.


Walaupun enjin 1.2 liter kedengaran seperti tidak bermaya namun prestasinya menyamai output enjin 1.6 liter. Enjin 1.2 liter DIG-T lebih ringan dan lebih ekonomikal dengan beberapa teknologi mesra alam seperti Automatic Stop/Start. Prestasi penggunaan minyak yang direkodkan secara rasmi ialah 5.5 liter setiap 100 kilometer.

Enjin 1.6 DIG-T pula ditambah baik untuk meledakkan kuasa tork pada pusingan enjin rendah di bawah paras 2,000rpm. Antara ciri-ciri baharu enjin itu ialah nisbah kebuk pembakaran lebih tinggi iaitu 9.5. Tambahan lain ialah teknologi kurang geseran dan cooled Exhaust Gas Recirculation.

Untuk transmisi pula, selain pilihan enam gear manual, Juke 1.6 DIG-T 4WD turut ditawarkan dengan transmisi baharu Xtronic yang lebih jimat bahan api dan lebih kuasa pecutan. Untuk kemudahan pemandu, ada tiga mod pemanduan disediakan iaitu Normal, Sport dan Eco.

Nissan Juke sememangnya crossover yang menarik sudah ada ditawarkan di negara jiran seperti Indonesia. Jika ada yang berminat, tidak perlu risau kerana sudah ada peniaga kereta import membawa masuk model ini ke pasaran tempatan.

Nissan Skyline R33 GT-S

Posted:

Nissan Skyline R33 GT-S

Nissan Skyline R33 GT-S

Oleh FARID AWALUDIN
garaj@kosmo.com.my


HUD asal hadapan digantikan kepada jenis gentian karbon.


INDUSTRI automotif di Jepun mula bangkit secara drastik selepas perang dunia kedua berakhir. Walaupun pernah dikutuk kereta sebagai tin biskut di Amerika Syarikat, industri automotif Jepun akhirnya diterima dunia. Resipi automobil keluaran negara matahari terbit mudah, kualiti, kualiti dan kualiti.

Namun ada satu lagi faktor yang mendorong kebangkitan landskap automotif Jepun sehingga menjadi tumpuan dunia. Ia mampu menghasilkan kereta sports pada harga rendah tetapi boleh ditala dan menandingi jentera berprestasi tinggi keluaran Eropah dan Amerika Syarikat.

Antara syarikat Jepun yang dimaksudkan ialah Mitsubishi. Syarikat itu berjaya mengeluarkan model Lancer Evolution dengan enjin turbo 2.0L bersama sistem pacuan empat roda (4WD).

Jika bajet tidak mencukupi untuk melamar sebuah Evo, anda masih ada pilihan lain yang turut menelan belanja besar seperti Lancer 1.8 GSR yang dilengkapi komponen berprestasi seperti Evo. Bezanya hanya melibatkan saiz sesaran enjin.


KIT badan lengkap GT-R disarung pada model R33.


Kolum modifikasi kali ini memaparkan jentera Nissan Skyline R33 GT-S milik Hafis Hazam yang berasal dari Johor Bahru, Johor. R33 bukannya salah sebuah model daripada varian GT-R. Ia sebenarnya sebuah Skyline versi mampu milik.

Biarpun kereta ini tidak sehebat model GT-R, jangan memandang prestasinya sebelah mata kerana R33 masih berada dalam liga kereta berprestasi tinggi.

Mitsubishi R33 GT-S standard didatangkan bersama enjin RB25DET mampu menjana kuasa kuda setinggi 250PS dengan bantuan sistem pengecas turbo. Biarpun begitu, enjin varian GT-S hanya memacu kedua-dua roda belakang.

Berbekalkan minat mendalam terhadap model GT-R, Hafis memulakan langkah melaksanakan aktiviti modifikasi pada kereta itu agar tampak hampir sama seperti spesifikasi model GT-R.

Sedikit sentuhan dilakukan pada bahagian enjin agar ia mampu meledakkan kuasa tambahan sepertimana yang dikehendaki pemiliknya. Perkara pertama dilakukan ialah menggantikan unit intercooler sedia ada kepada model daripada varian GT-R untuk meningkatkan aliran udara masuk bagi merealisasikan kadar pembakaran dalam yang lebih kuatdalam kebuk pembakaran.


SISTEM intercooler berkapasiti besar digunakan untuk menjayakan saluran udara yang lebih tinggi ke dalam enjin.


Sebuah fuel regulator dari Sard dipasang pada sistem penyampaian bahan api untuk meningkatkan aliran minyak petrol ke dalam enjin. Paip ekzos asal telah digantikan dengan paip jenis tahan karat berukuran 3.8 inci sebelum diakhiri dengan peredam bunyi jenama HKS Dragger.

Sesudah menjayakan penggantian komponen asal, pemiliknya memasang seunit komputer piggy-back Greddy E-Manage pada ECU enjin asal untuk membolehkan enjin itu ditala untuk peningkatan kuasa yang lebih berprestasi.

Bagi mengimbangi kestabilan kenderaan sewaktu pemanduan, sistem suspensi asal digantikan dengan penyerap hentak boleh laras sepenuhnya daripada jenama Tien. Kebanyakan penggemar kereta Jepun lebih mempercayai jenama Tein ekoran respons yang dihasilkan menepati keperluan pemanduan harian mahupun di litar lumba.

Melangkah masuk ke dalam bahagian kabin, perkara pertama yang jelas terpapar ialah tempat duduk hadapan R33 GT-R. Untuk memantau ledakan boost, Hafis mengambil inisiatif memasang sebuah meter bacaan boost Greddy untuk perkara itu.

Reka bentuk luaran Skyline Hafis tidak jauh bezanya daripada sebuah GT-R. Ia disebabkan pemiliknya menyarungkan satu set bodykit lengkap GT-R edisi terhad Nismo 400R. Komponen dimaksudkan ialah bampar hadapan, skirt sisi dan bampar belakang.

Bonet ditanggalkan bagi memberi laluan kepada jenis bonet gentian karbon mirip model R33 GT-R buatan RaceCraft. Hafis juga berkesempatan memperoleh spoiler belakang boleh laras R33 GT-R untuk melengkapkan tranformasi jentera kesayangannya.

Akhir sekali, untuk menjadikannya tampak agresif, Hafis memilih menggunakan rim replika Rays Engineer TE37 bersaiz 18X10jj yang dibaluti tayar Hankook berukuran 245/45/R18 di bahagian hadapan manakala tayar Continental (saiz sama) disarung pada roda belakang.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


FAM hukum denda PBNJ, KAFA

Posted:

FAM hukum denda PBNJ, KAFA

FAM hukum denda PBNJ, KAFA

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

SUAR dibaling ke arah sebuah bas penyokong Perak di luar Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 18 Januari lalu.


"KAMI hanya mahu menegakkan kebenaran." Itu reaksi pengurus Perak, Datuk Azhar Ahmad ketika diminta mengulas hukuman denda yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) semalam.

PBNJ didenda sebanyak RM19,458.14 kerana tindakan segelintir penyokong Johor Darul Takzim (Johor DT) pada perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin 18 Januari lalu.

Dalam insiden tersebut, cermin belakang kereta milik Azhar pecah sehingga FAM mengarahkan PBNJ membayar pampasan bernilai RM4,458.14 kepada pengurus Perak itu sebagai ganti rugi.

"Secara jujurnya, saya masih trauma dengan insiden yang berlaku di Larkin sebelum ini. Biarlah hukuman ini menjadi pengajaran kepada pihak yang berkenaan,

"Kalau tidak ambil tindakan, mungkin perkara ini akan berlaku lagi. Saya masih hairan mengapa masih ada invidu yang mahu memecahkan cermin kereta saya, sedangkan Johor DT menang dalam aksi itu.

"Saya harap semua penyokong tempatan mengekalkan nilai harmoni dalam bola sepak. Sukan ini bukanlah mengajar kita berperang, sebaliknya kita seharusnya mengekalkan perpaduan," kata Azhar ketika dihubungi Kosmo! semalam.

FAM turut mendenda PBNJ yang mengaku bersalah terhadap dua lagi pertuduhan - menyalakan suar selepas tamat perlawanan selain gagal menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi.

Secara keseluruhan, PBNJ didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan termasuk kes kerosakan kereta milik Azhar, yang membawa hukuman denda RM5,000 setiap satu pertuduhan.

"Saya berpendapat keputusan FAM sudah adil. Kepada penyokong-penyokong Perak, saya berharap mereka terus berdisiplin dan tidak menimbulkan sesuatu perkara yang buruk kepada PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak).

"Jika tidak, PAFA akan sekali lagi menanggung hukuman selepas FAM mendenda PAFA RM20,000 baru-baru ini," tambah Azhar.

Selain PBNJ, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) juga tidak terlepas hukuman daripada FAM.

KAFA didenda RM15,000 selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan ketika Kelantan menentang Sime Darby FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu 18 Januari lalu.

Tiga pertuduhan tersebut adalah membakar kertas flash card, mengeluarkan kata-kata kesat selain tidak menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi.

Setiap pertuduhan berkenaan dikenakan denda sebanyak RM5,000.

Waspada perangkap Australia

Posted:

Waspada perangkap Australia

Waspada perangkap Australia

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my


BARISAN pemain negara berazam melakar kejutan pada pertemuan penting menentang Australia di Stadium Azlan Shah, Ipoh petang ini.


"JANGAN lalai walaupun satu saat." Itu amaran pengendali Malaysia, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah kepada anak-anak buahnya menjelang pertemuan getir menentang Australia pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh, Perak petang ini.

Atas kertas, Malaysia yang kini menghuni tangga kedua di belakang Australia, memiliki peluang cerah untuk mara ke final jika merekodkan keputusan seri atau tidak tewas dengan jumlah jaringan besar ke atas skuad juara bertahan itu.

Ini kerana pasukan di tempat ketiga, Korea Selatan mampu memadamkan impian Malaysia ke final jika menang besar ke atas Afrika Selatan dalam satu lagi aksi peringkat kumpulan.

Justeru, Dhaarma Raj menuntut anak-anak buahnya memberikan komitmen yang tinggi selain mengekalkan fokus 100 peratus sepanjang perlawanan ketika menentang The Kokkaburas.

"Australia pasukan No. 1 dunia, kita pula menghuni ranking ke-13. Kebanyakan pemain Australia sudah beraksi 200 hingga 300 perlawanan antarabangsa sementara Malaysia pula ramai pemain baharu.

"Namun, itu tidak bermakna kita tidak boleh cuba sedaya upaya dan sekurangnya-kurangnya dapatkan keputusan seri. Kalau kalah sekalipun, saya harap kami tidak kalah lebih daripada 4-0.

"Kita juga mempunyai kelebihan melalui pukulan sudut penalti kerana kita ada Faizal (Saari). Cuma saya harap semua pemain dapat beri tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan esok (petang ini).

"Kita perlu berwaspada setiap masa apabila menentang lawan kuat seperti Australia kerana dalam tempoh 10 saat terakhir juga mereka berupaya menjaringkan gol," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah Dhaarma Raj, perlawanan menentang Australia petang ini juga merupakan ujian sebenar barisan muda Malaysia sebelum menghadapi Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang bulan depan.

"Jika mereka dapat berikan sesuatu yang positif, maka ia akan banyak membantu mereka untuk diserap dalam skuad utama ke Cabaran Juara-Juara 1 nanti.

"Saya harap dengan sorakan hebat penyokong-penyokong mereka akan dapat lakukan yang terbaik. Kita mempunyai peluang untuk ke final dan kami akan cuba mencipta kejutan esok (petang ini)," jelasnya.

Kelantan tekad bangkit

Posted:

Kelantan tekad bangkit

Kelantan tekad bangkit

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

KETUA jurulatih Kelantan, Steve Darby mahu anak-anak buahnya melupakan kekalahan kepada kelab Vietnam, Visaai Ninh Binh dalam saingan Piala AFC minggu lalu.

Sebaliknya, Darby menuntut The Red Warriors kembali pada saingan Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam malam ini.

Darby berkata, kekalahan 2-3 kepada Vissai Ninh Bin di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Selasa lalu tidak menjejaskan tumpuan barisan pemainnya untuk berdepan Gergasi Merah dalam perlawanan itu nanti.

"Seperti mana yang kita ketahui, Selangor turut beraksi dalam saingan Piala AFC dan mereka baru saja pulang dari Vietnam.

"Sudah pastinya mereka sedikit penat selepas mengharungi perjalanan yang jauh.

"Situasi itu memberikan sedikit kelebihan buat Kelantan, jadi saya mahu para pemain memanfaatkan kesempatan tersebut dengan mempamerkan aksi mantap seterusnya meraih tiga mata," katanya semalam.

Menurut Darby, moral barisan pemainnya berada pada tahap terbaik dan mereka sudah bersedia mencuri tiga mata berharga di gelanggang lawan.

Darby turut memberitahu, kekalahan kepada kelab Vietnam itu Selasa lalu memberi ruang kepadanya untuk mengenal pasti kelemahan yang ada.

"Saya akan mempertaruhkan barisan terkuat dalam misi mencuri tiga bagi mengukuhkan kedudukan kami dalam carta Liga Super," jelas Darby.

Kelantan kini berada di tangga kedua liga dan berkongsi 13 mata dengan Terengganu, namun berkelebihan satu perlawanan berbanding skuad Peteh itu.

Sementara itu, peledak import Kelantan, Francis Forkey Doe bertekad mempamerkan ketajaman penyudah sekiranya diberikan peluang untuk beraksi malam ini.

Forkey Doe berkata, tugasnya kini ialah merobek gawang lawan bagi memastikan The Red Warriors membawa pulang tiga mata penuh.

"Saya tidak mempunyai sebarang tekanan walaupun menentang bekas pasukan lama. Apa yang penting bagi saya ialah memberikan aksi terbaik," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Wanita dan hak asasi

Posted:

Wanita dan hak asasi

Wanita dan hak asasi

WANITA mempunyai hak untuk hidup sama seperti lelaki.


PADA tarikh 8 Mac 2014, Hari Wanita telah disambut di seluruh dunia. Kebanyakan isu yang diketengahkan ialah berkaitan dengan hak dan diskriminasi terhadap wanita yang juga merupakan isu sejagat.

Tidak kurang juga dibangkitkan isu mengenai keganasan rumah tangga bagi menunjukkan perbezaan gender masih menjadi masalah dalam mewujudkan keharmonian dalam kehidupan berumah tangga.

Perbincangan tentang hak-hak wanita dalam Islam juga sentiasa mendapat kritikan negatif bukan hanya oleh masyarakat Barat tetapi juga oleh aktivis wanita Islam yang menganut pemikiran liberal.

Keluhan wanita Islam yang ditindas disebabkan amalan budaya dilihat bersifat berat sebelah dan sistem perundangan tidak praktikal sehingga interpretasi undang-undang yang dipakai memberikan impak negatif terhadap wanita.

Persepsi ini juga dipengaruhi oleh penulisan-penulisan orientalis Barat yang mentafsirkan kedudukan wanita Islam melalui kaca mata amalan budaya yang menyebabkan agama Islam dianggap sebagai agama yang menindas kaum wanita.

Kekeliruan ini ditambah pula oleh deklarasi antarabangsa seperti Committee on the Elimination of Discrimination against Women (CEDAW) yang dilihat mengutamakan konsep kesamaan gender dan menjadikan undang-undang Islam sebagai halangan utama bagi pelaksanaan inti pati deklarasi tersebut.

Adat

Pada masa yang sama, kebanyakan adat yang diamalkan oleh orang Islam, lebih-lebih lagi di negara-negara Islam seringkali menunjukkan layanan yang buruk terhadap wanita.

Ini termasuklah dalam pengamalan poligami yang tidak mengikut prinsip Islam dan perbuatan menceraikan isteri tanpa sebab yang munasabah.

Selain itu, amalan perkahwinan anak-anak perempuan yang belum mencapai umur perkahwinan dan menafikan hak asasi untuk mendapat akses kepada pembelajaran di sesetengah negara memberi persepsi negatif terhadap wanita Islam.


PERBINCANGAN hak-hak wanita Islam sentiasa mendapat kritikan negatif daripada Barat dan aktivis wanita Islam yang menganut pemikiran liberal.


Kesemua masalah yang disebutkan bukan ajaran Islam tetapi amalan budaya hidup sebahagian daripada masyarakat yang tidak mengamalkan prinsip Islam sebenar. Undang-undang Islam telah mengangkat darjat wanita dengan memansuhkan amalan tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup pada zaman jahiliah.

Al-Quran menyatakan bahawa wanita mempunyai hak untuk hidup sama seperti lelaki dan ini bertepatan dengan maqasid al-syari'ah, iaitu memelihara nyawa.

Tindakan membunuh anak perempuan disebabkan kebimbangan terhadap rasa malu, keaiban dan kemiskinan telah ditempelak oleh al-Qur'an dengan amat keras dalam surah al Nahl, ayat 57 hingga 59.

Daripada hadis yang telah diriwayatkan dalam himpunan Sunan Abu Dawud, Rasulullah SAW bersabda: "Jika sesiapa mempunyai anak perempuan dan tidak menanamnya hidup-hidup atau menghinanya, atau lebih mengutamakan anak lelaki berbanding dengan anak perempuan itu, Allah akan memasukkannya ke syurga."

Hadis ini tidak menyebut tentang anak lelaki. Malah, ulama menekankan kepentingan tanggungjawab keibubapaan bagi memberikan penjagaan kepada seseorang anak sejak dalam rahim ibu lagi.

Justeru, bapa sebagai penyumbang kewangan utama perlu memastikan ibu memperoleh makanan yang berkhasiat dan sihat pula daripada aspek rohani serta jiwanya.

Umur perkahwinan

Tugas ini berterusan sehinggalah anak tersebut lahir dan kedua-dua penjaganya bertanggungjawab untuk memberikan penjagaan dan perlindungan kepadanya sehinggalah mencapai umur perkahwinan (umur wanita boleh membuat keputusan terhadap kepentingan dirinya).

Selepas perkahwinan pula, hak penjagaan diserahkan kepada suaminya. Jika tidak, dia terus berada dalam penjagaan bapa atau penjaganya jika tidak berkahwin atau bercerai.

Prinsip yang diasaskan pada konsep kebajikan atau kepentingan anak (maslahah) telah diasaskan dengan sempurna dalam undang-undang Islam sebagaimana yang terkandung di dalam kitab-kitab Fiqah yang masyhur seperti tulisan alNawawi, Syed Sabiq dan sebagainya.

Ia mempertanggungjawabkan ibu bapa untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak termasuklah perkembangan dan keperluan mereka.

Ibu bapa juga bertanggungjawab terhadap penjagaan harian, kawalan dan membuat keputusan dalam semua urusan disebabkan ketidakmampuan kanak-kanak tersebut untuk membuat keputusan bagi dirinya.

Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam menggalakkan pemupukan minda dengan memberikan pendidikan yang sewajarnya sebagai persediaan kepada kanak-kanak tersebut pada masa hadapan.

Atas sebab inilah, Rasulullah SAW mengajar ibu bapa supaya mendidik anak mendirikan solat ketika berusia tujuh tahun, iaitu umur mumayyiz dan membimbing mereka dengan penuh kesabaran dan secara berterusan.

Setiap ujian pasti ada penyelesaian

Posted:

Setiap ujian pasti ada penyelesaian

Setiap ujian pasti ada penyelesaian


MANUSIA akan melalui beberapa fasa psikologi sekiranya ditimpa musibah. - Gambar hiasan




PERKEMBANGAN kes kehilangan pesawat MH370 sentiasa dinanti orang ramai.




TERDAPAT ujian yang boleh diselesaikan segera, tidak kurang pula menuntut kesabaran tinggi.


KEHILANGAN pesawat penumpang MH370 masih lagi menjadi misteri. Seluruh dunia masih tertanya-tanya mengenai punca kehilangan dan nasib yang menimpa penumpang dan kru pesawat terbabit.

Sekiranya persoalan seperti ini terus berlegar dalam pemikiran kita, bayangkan bagaimana pula perasaan ahli keluarga mangsa yang terlibat secara langsung dengan tragedi ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Bagaimanapun, pada akhirnya itulah kehidupan. Sebagai manusia, kita diuji dengan pelbagai cara. Ada perkara yang boleh diselesaikan dengan cepat tidak kurang pula ujian yang memerlukan kita lebih banyak bersabar.

Sesetengah insan diuji dengan kesakitan malah ada yang diuji dengan kehilangan ahli keluarga tersayang. Apa-apa pun bentuk ujian yang kita lalui, pada akhirnya ia bergantung kepada kekuatan psikologikal manusia untuk menghadapinya.

Teori

Seorang ahli psikiatri, Elisabeth K├╝bler-Ross mengemukakan satu teori bagaimana manusia secara kebiasaannya melalui beberapa fasa apabila diberikan ujian yang besar.

Pada peringkat awal, seseorang individu yang ditimpa sesuatu kecelakaan akan cuba menafikan hakikat bahawa mereka sedang ditimpa musibah. Peringkat penafian antara tahap paling teruk yang perlu dihadapi oleh mangsa.

Mereka seboleh-bolehnya akan mengatakan bahawa perkara buruk itu sebenarnya tidak terjadi.

Pada fasa kedua, mangsa yang terlibat akan dirundung perasaan marah dan cemas terhadap situasi yang sedang berlaku.

Dalam kebanyakan kes, mangsa akan mencari seseorang atau pihak untuk melepaskan rasa marah mereka. Ia bukan sesuatu hal yang pelik. Sekurang-kurangnya cara itu mampu meredakan sedikit tekanan perasaan yang mereka dialami.

Fasa ketiga pula, individu yang ditimpa musibah mula mempertimbangkan keadaan dan situasi yang sedang berlaku. Mereka mula menilai aspek positif dan negatif sesuatu kejadian.

Misalnya, mereka yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya akan mula memberitahu diri bahawa sekurang-kurangnya mereka sekadar lumpuh tetapi masih diberikan peluang oleh Tuhan untuk terus bernyawa.

Fasa selanjutnya ialah individu terbabit akan mengalami perasaan kemurungan yang teruk. Sebenarnya, ia merupakan satu proses yang normal. Keadaan itu memberikan peluang kepada individu untuk menguruskan sesetengah perkara dalam mengharungi pengalaman buruk itu.

Pada peringkat terakhir, secara perlahan-lahan seseorang yang ditimpa musibah sudah mula boleh menerima hakikat dengan kejadian yang berlaku.

Kekuatan psikologi

Kekuatan psikologi seseorang amat dituntut dalam usaha untuk sampai ke peringkat itu. Sesetengah individu boleh menerima hakikat kejadian buruk dengan lebih cepat malah ada yang mengambil masa yang lebih lama.

Pengalaman seperti itu sebenarnya dialami oleh manusia setiap waktu terutamanya apabila kita menerima berita kematian atau ditimpa musibah. Bagaimanapun, ada perkara yang boleh kita hadapi dengan cara yang positif. Selain itu, terdapat juga perkara yang menyebabkan kita mengambil masa yang agak lama untuk menerima kenyataan.

Perkara itu bergantung kepada kekuatan mangsa yang pernah mengalami pengalaman yang sama sebelum ini. Sekiranya kita pernah melalui pengalaman seumpama itu, musibah yang terjadi mungkin dapat dihadapi dengan lebih tenang.

Oleh itu, bagi kebanyakan orang dewasa dan berumur, mereka lebih mudah menerima berita kematian saudara-mara atau kesakitan jika dibandingkan dengan golongan remaja. Pengalaman golongan dewasa yang banyak kali melalui perkara itu memberi kekuatan kepada mereka.

Dalam kes kehilangan pesawat MH370, ia merupakan proses yang sedang dilalui oleh ahli keluarga mangsa. Sesetengah mereka pastinya sedang mengalami tekanan psikologikal yang teruk dan ada juga yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pihak tertentu. Keadaan itu merupakan satu proses psikologikal yang dialami oleh semua manusia.

Sebagai manusia, kita perlu menerima hakikat bahawa setiap yang terjadi itu telah pun berlaku. Sekiranya kita mampu meramal apa yang akan berlaku pada masa hadapan, manusia pastinya menghindari diri daripada sebarang musibah.

Sekiranya kita semua tahu kejadian buruk yang akan menimpa pesawat MH370, pastinya tidak ada seorang pun yang menaikinya pada hari tersebut. Namun, perkara itu pastinya mustahil untuk dizahirkan.

Apabila setiap insan ditimpa musibah seperti ini, percayalah bahawa ada manusia lain yang mungkin sedang diuji dengan musibah yang lebih teruk. Bagaimanapun, dengan perkembangan dan perkhabaran yang sering dikemas kini mengenai pesawat tersebut, sekurang-kurangnya kita masih mempunyai harapan bahawa seramai 239 orang penumpang dan anak kapal berkemungkinan masih selamat.

Harapan itu pasti membuatkan kita semua mampu terus bertahan.

Kepada semua ahli keluarga yang terbabit, bersabarlah. Semua rakyat Malaysia dan seluruh dunia akan terus bersama-sama anda. Ia bukan hanya ujian untuk anda, tetapi juga ujian untuk kita semua. Semoga ada cahaya terang di hadapan sana.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Pesona

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Jenama tempatan bertaraf antarabangsa

Posted:

Jenama tempatan bertaraf antarabangsa

Jenama tempatan bertaraf antarabangsa

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

RITA sentiasa mengemas kini maklumat mengenai perkembangan perniagaan syarikatnya.


"SEGELINTIR mencebikkan bibir dan selebihnya mempertikaikan keberkesanan produk penjagaan kulit yang saya jual bersama arwah ibu."

Itulah antara secebis pengalaman yang masih terkesan di ingatan Pengarah Urusan Nouvelles Visages (NV) Sdn. Bhd., Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 29, ketika dia dan ibunya, Allahyarhamah Sosilawati Lawiya memperkenalkan NV, 20 tahun lalu.

Kritikan yang dihamburkan itu disahut dengan usaha yang gigih dalam memperkenalkan jenama produk NV kepada orang ramai.

Dalam tempoh kurang 10 tahun, Sosilawati berjaya mengembangkan perniagaan dengan memiliki lebih 300 kedai di seluruh negara termasuk di Brunei, Singapura dan Thailand. Bagaimanapun, pada Ogos 2010, negara dikejutkan dengan berita pembunuhan kejam Sosilawati bersama empat yang lain di Banting, Selangor.

Seorang bekas peguam dan tiga pekerja ladang dituduh melakukan jenayah tersebut selepas Sosilawati dilaporkan hilang setelah mengeluarkan wang sebanyak RM4 juta untuk urusan jual beli tanah di Pulau Pinang.

Ekoran itu, Erni Dekritawati yang mesra dipanggil Rita menggalas tugas besar bagi menerajui legasi perniagaan produk kosmetik NV.

Empat tahun sudah berlalu dan Disember ini genaplah 20 tahun usia NV dalam pasaran kosmetik tempatan.


WISMA NV di Cyberjaya merupakan pusat sehenti produk-produk NV.


Ternyata, Rita berjaya mengemudi perniagaan tersebut yang kini mempunyai lebih 500 rangkaian jualan di seluruh negara dengan 8,000 pelanggan sehari.

"Saya mula membantu ibu sejak berusia sembilan tahun. Ketika itu, kami sekeluarga tinggal di Selayang. Saya dan ibu membuka kedai kecil produk penjagaan kulit di Ampang Park, Kuala Lumpur.

"Peluang perniagaan kosmetik jenama tempatan pada ketika itu seperti mustahil untuk dilakukan kerana orang ramai lebih mempercayai produk-produk antarabangsa seperti Loreal dan Estee Lauder," katanya mengimbas kembali ketika peringkat awal perniagaan tersebut.

Diyakini

Selari dengan perubahan zaman, anak sulung daripada enam adik-beradik itu berkata, perniagaan kosmetik tempatan mula diyakini dan mendapat tempat di hati pengusaha lain.

"Namun, saya menganggap perubahan ini satu persaingan yang sihat.


NV menganjurkan Program Turun Padang pada Julai tahun lalu bagi mempromosikan produknya.


"Saya perlu menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan produk-produk dengan kepelbagaian kegunaan," jelasnya ketika ditemui di Wisma NV di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Sehingga kini, NV telah memperkenalkan lebih 200 produk kecantikan menggunakan pelbagai herba yang kaya dengan khasiat penjagaan kulit wajah dan badan.

Antara produk tersebut termasuklah, pencuci muka sabun hitam NV, susu pencuci muka NV, pembersih kulit NV, krim harian NV dan krim malam NV.

Dalam pada itu, kejayaan tersebut turut berdepan detik hitam apabila berlaku produk tiruan NV di pasaran.

Pegawai Perhubungan Awam NV Cawangan Kampung Baru, Suhaili Awang Teh, 28, berkata, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang menjual produk berkualiti rendah menggunakan bungkusan dan jenama NV.

Ekoran itu, katanya, beberapa pelanggannya telah datang ke pusat operasi NV di Kampung Baru bagi meluahkan rasa tidak puas hati.

"Kami menerima aduan daripada pengguna yang mengatakan produk NV ini tidak mendatangkan sebarang hasil positif dan mereka rasa tertipu. Namun, apabila diperiksa produk yang dibawa mereka, kami mendapati ia bukanlah produk asli.

"Mengambil langkah pencegahan, kami telah menghantar pasukan pemantau ke kedai berkenaan kerana ia telah mencalarkan imej NV," jelasnya yang telah bekerja selama tiga tahun di syarikat tersebut.

Menurut Suhaili, masih ramai yang tidak mengetahui keseluruhan produk keluaran syarikatnya.

Ini kerana, mereka beranggapan NV hanya menjual produk penjagaan wajah.

RITA banyak memperlajari ilmu perniagaan daripada arwah ibunya, Sosilawati.


Produk kesihatan

Hakikatnya, NV telah menghasilkan pelbagai jenis produk kesihatan seperti minuman kolagen tinggi serat, minuman kopi kolagen, kolagen buah-buahan NV, barangan kosmetik dan set bersalin.

Justeru, dalam setiap dua tahun sekali, NV akan mengadakan jualan langsung produk-produk baharu dengan membuat pemotongan harga mencecah 70 peratus.

Menurut Pengarah NV, Erni Rineelawati, 24, dia masih ingat niat murni arwah ibunya yang ingin berkongsi kecantikan dengan semua orang.

Anak kelima itu memberitahu, arwah merupakan seorang wanita yang cintakan kecantikan dan berhasrat berkongsi rahsia tampak jelita dengan wanita lain.

Justeru, bagi meneruskan hasrat arwah ibunya, anak gadis yang dipanggil Rinee itu sentiasa memantau prestasi pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang terletak di Sri Rampai, Kuala Lumpur.

Rinee memberitahu, pasukan R&D syarikat itu sedang berusaha mencipta formula-formula baharu bagi menghasilkan produk yang disukai oleh generasi Y.

"Dahulu, arwah ibu berjaya menambat hati pengguna wanita pada peringkat usia 40-an dan kini tiba giliran kami untuk menyediakan produk terbaik bagi menarik minat golongan yang meningkat dewasa.

"Golongan remaja pada hari ini lebih cenderung menggunakan produk yang mudah dipakai dan dijual pada harga berpatutan," jelasnya.

Mengulas lanjut tentang penerus legasi NV, Rinee berkata, kesemua enam adik-beradiknya memainkan peranan masing-masing dalam memastikan syarikat kecantikan itu terus berkembang.

"Dua abang saya, Erwan Suwari Rizuwan, 28, dan Md. Erwan Nasri, 27, menguruskan bahagian pengeluaran produk manakala kakak kedua, Erni Erinawati Sofea, 25, merupakan Pengarah Operasi Nouvelle Symphony, salah satu anak syarikat NV.

"Saya pula, selain memikul jawatan pengarah, saya juga merupakan duta produk NV," jelasnya.

Adik bongsunya, Siti Nur Fatimah, masih lagi bersekolah dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.

Tambahnya, syarikat NV tidak pernah 'duduk diam' dan sentiasa bergerak aktif dalam mencari pelanggan-pelanggan baharu.


RITA (tiga dari kanan) bergambar bersama adik-beradiknya pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.


Kursus

Dia dan kakaknya, Rita sentiasa mengadakan kursus kepada pengguna luar bandar seperti di Kedah dan Pulau Pinang untuk memberi pendedahan tentang cara-cara penjagaan kulit dan khasiat produk NV.

Selain memberikan tanggapan positif tentang produk tempatan, Rinee juga mengambil kesempatan berkongsi pengetahuan dan mengajar orang ramai tentang cara solekan menggunakan produk NV.

Dalam usaha mengekalkan dan mengembangkan perniagaan NV, mereka tidak lupa tanggungjawab terhadap masyarakat.

Sungguhpun bergelar seorang usahawan wanita, isteri dan ibu kepada dua orang anak, Rita masih memperuntukkan sedikit masanya dengan mengadakan program ilmiah yang dibuka kepada orang ramai.

Pada Jun dan Julai tahun lalu, syarikat NV dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat dan Kumpulan Utusan telah menganjurkan beberapa majlis ilmiah, antaranya, Program Imarah Kasih Ramadan, Program Bicara Wanita dan Program Diskusi Wanita.

Program-program dijalankan NV lebih menjurus kepada memperkasakan kaum wanita dan berkongsi ilmu keagamaan bersama tetamu jemputan terkenal.

Antara yang menjayakan program amal tersebut termasuklah pasangan pendakwah selebriti Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dan Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood serta Nur Heliza Helmi.

NV perkenal enam produk spa terbaharu

Posted:

NV perkenal enam produk spa terbaharu

NV perkenal enam produk spa terbaharu


SEMPENA ulang tahun ke-20 tahun ini, NV menawarkan enam produk baharu yang didatangkan dalam Set Segar NV dan Set Spa Keperluan NV.


SEMPENA meraikan ulang tahun ke-20, syarikat kecantikan Nouvelles Visages (NV) Sdn. Bhd. menawarkan enam produk spa terbaharu sebagai menghargai pelanggan setianya.

Menurut Pengarah Urusannya, Erni Dekritawati Yuliana Bukhari, produk-produk yang dilancarkan merupakan cetusan idea daripada pelanggannya sendiri.

"Ramai pelanggan yang meminta supaya kami menghasilkan produk-produk spa yang diperbuat daripada pelbagai jenis herba tempatan.

"Ini dapat memberi peluang kepada mereka yang sibuk bekerja memanjakan diri dengan membuat lulur sendiri menggunakan produk itu di rumah," jelasnya.

Enam produk itu ialah semburan asas badan, losen badan, gel badan, lulur garam, krim badan dan skrub badan.

Bagaimanapun, enam produk itu didatangkan dalam dua set iaitu Set Spa Segar NV untuk mereka yang seharian berada di luar dan Set Spa Keperluan NV bagi suri rumah.

Erni memberitahu, kebanyakan produk yang dihasilkan membantu membersihkan kulit, melembapkan kulit, penyahtoksikan kulit, melangsingkan tubuh, menghaluskan pori dan menghindarkan iritasi.

Dalam pada itu, sempena pengenalan produk, NV turut menawarkan potongan harga sebanyak 50 peratus.

"Harga asal satu set produk spa bernilai RM167. Bagaimanapun, sempena melancarkan produk baharu ini, kami menawarkan harga serendah RM83.50 kepada pelanggan," ujarnya yang berharap pelanggan berpuas hati dengan formula baharu herba tempatan itu.

Sementara itu, sebagai pelengkap urutan, NV turut memberikan tiga minyak urutan secara percuma yang terdiri daripada minyak urut epal, kesturi dan lavender.

Orang ramai yang berminat boleh membeli secara terus di tiga cawangan di Kampung Baru, Cyberjaya dan Ampang atau membuat pembelian secara dalam talian menerusi laman web serta laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman rasmi www.nouvelles-visages.com.my atau menghubungi talian 03-2691 5153.

Pengamal media anjur karnival amal

Posted:

Pengamal media anjur karnival amal

Pengamal media anjur karnival amal

Oleh AZIZI MAJID


PERLAWANAN futsal turut memeriahkan Karnival Amal Media Johor 2014 di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.


SIAPA sangka pengamal media yang kerja hakikinya membuat liputan berita, sebenarnya mempunyai kebolehan berniaga. Itulah yang dibuktikan oleh sekumpulan pengamal media yang menyertai aktiviti jualan but kereta sempena Karnival Amal Media Johor 2014 di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Seramai 10 orang pengamal media dari pelbagai agensi media termasuk Ketua Biro Utusan Johor, Luqman Haziq Abdullah menyertai jualan amal yang julung-julung kali dianjurkan oleh Kelab Media Johor (KMJ) itu.

Antara yang dijual ialah barangan terpakai, pakaian, kasut, majalah, makanan dan minuman pada harga yang murah kerana matlamat utama jualan bukanlah untuk mencari keuntungan, sebaliknya untuk beramal.


BEBERAPA orang pengunjung menyokong usaha amal dengan menyertai program derma darah.


Presiden KMJ, Mohammad Fauzi Ishak berkata, jualan amal menerusi jualan but kereta antara aktiviti yang dijalankan sepanjang karnival sehari itu berlangsung bermula dari 9 pagi sehingga 10 malam.

Beliau berkata, aktiviti lain yang dijalankan ialah bola sepak jalanan, peraduan mewarna dan karaoke. Hasil yuran penyertaan dan sewaan tapak dimasukkan ke dalam tabung amal kelab tersebut.

"Karnival sehari ini diadakan bagi mengumpul dana bantuan untuk disalurkan kepada ahli dan mereka yang kurang bernasib baik di luar sana.

"Ia juga dilihat mampu menjadi platform untuk mengeratkan lagi hubungan petugas media massa di negeri ini dengan masyarakat setempat," katanya ketika ditemui di karnival amal itu.


PELBAGAI corak dan warna tudung dijual menerusi but kereta.


Mohammad Fauzi berkata, meskipun sibuk dengan tugasan harian, KMJ tidak pernah melupakan golongan yang kurang bernasib baik.

Justeru, beliau berkata, pelbagai program kebajikan telah dan akan dianjurkan pada masa hadapan bagi memastikan KMJ sentiasa aktif dalam program-program kemasyarakatan dan khidmat komuniti.

"Berdasarkan sambutan baik daripada orang ramai, kita merancang menganjurkan karnival amal ini pada masa hadapan selain boleh menjadi program tahunan kelab," ujar beliau.

Pengalaman baharu

Bagi Jurugambar The New Straits Times Press (NSTP), Nur Aisyah Mazalan, beliau menyertai jualan amal itu untuk mengisi masa lapang selain menimba pengalaman baharu sambil beramal.

"Saya rasa begitu seronok kerana barangan yang saya jual seperti tudung dan baju-baju terpakai mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada pengunjung.

"Bagi saya, bukan keuntungan semata-mata yang dicari sebaliknya ingin mencari pengalaman baharu yang berbeza daripada tugasan harian saya sebagai jurugambar," jelas Nur Aisyah.


PENIAGA coklat ini melayan pelanggan yang datang ke gerainya.


Pengalaman sama dikongsi oleh Wartawan The Star, Yee Xiang Yun yang turut sama menyertai jualan amal tersebut dengan menjual barangan seperti pakaian, kasut, beg dan aksesori wanita.

"Tak sangka pula lebih 20 koleksi baju saya dan rakan berjaya dijual selain barangan lain, dan jumlah kutipan yang diperoleh lebih RM200.

"Saya juga dapat beramah mesra bersama orang ramai yang hadir memeriahkan karnival amal ini," ungkap Xiang Yun sambil tersenyum.

Sementara itu, seorang pengunjung, Ahmad Asif Saharuddin, 29, yang hadir bersama isteri dan anak-anaknya mengakui, begitu tertarik dengan konsep karnival iaitu berhibur tetapi sambil beramal.

"Saya juga turut membeli barang-barang yang yang bukan sahaja murah tetapi berkualiti. Selain itu, saya seronok melihat wartawan dan jurugambar berniaga. Tak sangka, mereka berkebolehan berniaga," katanya.

Karnival yang dihadiri lebih 2,000 pengunjung tersebut turut mendapat tajaan dan sokongan daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Investment Bhd., KPJ Healthcare Bhd., Johor Corporation dan syarikat penerbangan Firefly.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved