Sabtu, 23 Julai 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Laju macam peluru

Posted:

Laju macam peluru

Laju macam peluru



CHINA sememangnya menggemari pencapaian yang luar biasa. Pada 30 Jun lalu, ia melancarkan dua pencapaian meganya secara serentak. Pertama, jambatan laut terpanjang di dunia dibuka di Qingdao iaitu Jambatan Teluk Jiaozhou. Jambatan itu dianggap satu lagi keajaiban Negara Tembok Besar itu

Namun, projek kedua lebih mengagumkan. Rangkaian rel kereta api laju Beijing-Shanghai dibuka pada hari yang sama. Beribu-ribu orang membanjiri Stesen Kereta Api Selatan di Beijing dengan tiket di tangan.

"Saya sangat teruja," kata Tina Cheng, seorang eksekutif pemasaran teknologi maklumat yang membayar 550 yuan (RM260) untuk tiket kelas kedua kereta api ekspres itu yang turut dikenali sebagai bullet train.

Tiket kelas VIP pula dijual pada harga AS$270 (RM837) sehala.



Perkhidmatan itu melalui tiga majlis perbandaran dan empat wilayah pada kelajuan 330 kilometer sejam (km/j).

Perjalanan dari Shanghai ke Beijing sejauh 1,318 kilometer tidak sampai lima jam. "Ia detik yang membanggakan rakyat China," kata Tina seperti dipetik NBC News.

Landasan kereta api baru itu dibina dalam masa 39 bulan, iaitu hampir setahun lebih awal daripada yang dijadualkan.

Jurutera dan pegawai kereta api telah menguji laluan itu sekurang-kurangnya sebulan sebelum pembukaannya iaitu sehari sebelum Parti Komunis China menyambut ulang tahun ke-90 penubuhannya, 1 Julai lalu.

Kerajaan China telah menjemput hampir 300 kru media dari seluruh dunia bagi menyaksikan 'pertunjukan' itu.

Seratus tahun silam, perjalanan dari Beijing ke Shanghai bukan sahaja berbahaya bahkan memerlukan masa sehingga tiga minggu. Kereta api biasa mengambil masa 10 jam tetapi tren laju hanya empat jam 48 minit.

Sebagai perbandingan, jika anda menaiki kereta api ekspres dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam, ia mengambil masa selama 10 jam untuk sampai.

Pihak berkuasa kereta api berkata, tren laju itu akan mempunyai 180 perjalanan ulang-alik sehari dan boleh membawa 80 juta penumpang setahun.

Teknologi


CHINA memiliki rangkaian tren laju paling komprehensif dan terbesar di dunia.


Dari segi teknikal, ia boleh bergerak selaju 486km/j namun atas faktor keselamatan, kerajaan China menetapkan 300km/j sebagai had purata kelajuan.

Perjalanannya sangat lancar dan pantas. Tetapi apa yang lebih penting, projek itu dibuat sepenuhnya oleh China.

"Teknologi yang kami ada sangat maju," kata Ketua Pereka di Kenderaan Rel CNR Changchun yang menjayakan projek itu, Yang Hong.

"Kami menyerap teknologi import bagi mencipta dan membangunkan produk kami sendiri," tambah beliau.

Para jurutera China mengakui tren laju terbaharu itu telah menyerap banyak idea dari Jerman, Perancis dan Jepun sebelum menukarnya menjadi produk yang lebih baik.

Petugas media turut dibawa melawat kilang CNR yang terletak di Wilayah Jilin. Kilang itu kelihatan seperti sebuah hangar angkasa dengan ramai pekerja Barat memakai baju T Siemens.

Syarikat kejuruteraan gergasi Jerman itu dan Alstom, sebuah konglomerat dari Perancis yang pakar dalam bidang pengangkutan dan sistem janakuasa - telah bekerja untuk CNR selama beberapa tahun dengan membina sistem tren laju itu.

"Kedua-dua tren dan rel dari Alstom dan Siemens ini merupakan teknologi termaju di dunia.

"Berdasarkan platform itu, kami membangunkan kereta api kami sebelum ini, CRH380B yang berkelajuan 380km/j. Kami adalah pemilik penuh hak cipta intelek tren itu," kata Yang.

Dengan memiliki jaringan tren laju terbesar di dunia, China sekurang-kurangnya berjaya menunjukkan yang ia lebih bagus dalam bidang itu berbanding negara pesaing ekonominya yang lain khususnya Amerika Syarikat (AS).

Kelajuan


TREN CRH380C adalah hasil gabungan teknologi Perancis, Jerman dan Jepun.


Sementara banyak bandar di dunia memiliki sistem rel dan kereta api bawah tanah canggih, sebaliknya rakyat AS lebih gemar bergerak menaiki kereta dan kapal terbang.

Hanya baru-baru ini kerajaan Presiden Obama memperuntukkan AS$8 bilion (RM25 bilion) untuk membina jaringan tren laju pertama di AS. Tren terlaju di negara itu pada hari ini ialah Acela Express, berkelajuan 241km/j, yang beroperasi di antara Boston dan Washington.

Perancis, Jepun dan China memang sudah lama terkenal dengan teknologi tren laju. Secara purata tren laju di seluruh dunia beroperasi pada kelajuan 275km/j. Tren konvensional paling laju setakat ini ialah TGV milik Perancis dengan rekod kelajuan 574km/j.

Jepun pula memiliki Shinkansen yang bergerak di atas landasan konvensional. Pada tahun 1996, ujian ke atas Shinkansen berupaya mencecah kelajuan 443km/j. Banyak negara menjadikan Shinkansen sebagai model sistem tren laju mereka.

Pada tahun 2007, jurutera Perancis membuktikan bukan kereta api maglev sahaja yang boleh terapung di landasan. TGV Est V150 rekaan syarikat Alstom, bergerak pada kelajuan 574km/j.

Bagaimanapun, rekod kereta api paling laju di dunia masih dipegang kereta api yang menggunakan teknologi maglev iaitu kusyen udara terapung magnetik.

Tren yang dimaksudkan itu dinamakan MLX01 dan merupakan projek Maglev Chuo Shinkansen Line di Jepun.

Pada tahun 2003, di landasan Yamanashi sepanjang 42 kilometer, kereta api itu stabil pada kelajuan ideal 500 km/j walaupun ia diuji berjaya mencapai 581km/j. Kelajuan ideal bagi kebanyakan tren laju yang membawa penumpang pada hari ini ialah 300km/j sahaja.


PENUMPANG dilayan seperti di dalam kapal terbang.


Tren maglev dipercayai akan menggantikan Shinkansen menjelang tahun 2025 namun kos pembinaannya sangat tinggi, dianggarkan AS$44 bilion (RM136 bilion).

Buat masa ini, tren laju terkini China, CRH380C, merupakan kereta api paling laju yang sedang beroperasi.

Syarikat pembuat model jenis itu berkata, geseran yang dihasilkan kurang 12 peratus daripada model CRH380B.

Model kereta api baharu itu dijangka digunakan China untuk membina projek kereta api di luar negara khususnya di Asia Barat dan AS.

Syarikat-syarikat China kini telah membina teknologi rel di Turki, Iran, Venezuela dan berharap dapat menembusi Britain dan Amerika Syarikat.

"Kami ada hak untuk mengeksport teknologi kami," kata Yang.

Menjelang tahun 2013, China dijangka memiliki rangkaian kereta api laju paling komprehensif di dunia dengan 800 buah tren. Ia juga merupakan sebahagian daripada projek Laluan Sutera yang akan menghubungkan Shanghai dan Singapura dengan melalui Rangoon di Myanmar atau Kunming di Wilayah Yunnan ke New Delhi, Lahore dan Tehran.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

5,000 tiang sokong jambatan terpanjang

Posted:

5,000 tiang sokong jambatan terpanjang

5,000 tiang sokong jambatan terpanjang


JAMBATAN Teluk Jiaozhou dibuka kepada kenderaan awam pada 30 Jun lalu.


SEPANJANG 42 kilometer (km), Jambatan Teluk Jiaozhou yang merupakan jambatan terpanjang di dunia mempunyai empat lorong dan menghubungkan dua daerah dalam Wilayah Shandong iaitu bandar pelabuhan Qingdao dan pulau pesisiran Huangdao.

Perjalanan di antara kedua-dua tempat itu sekarang 30km lebih pendek dan mengurangkan separuh masa perjalanan selama 40 minit sebelum ini. Ia menelan kos AS$2.3 bilion (RM7 bilion) dan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

Jambatan itu yang disokong oleh 5,000 batang tiang. Menurut Guinness World Records, rekod jambatan atas air terpanjang sebelum ini dipegang oleh Tasik Pontchartrain Causeway di Louisiana, Amerika Syarikat namun jambatan China ini lebih panjang empat kilometer.

Selain tren laju, China juga terkenal dengan teknologi pembinaan jambatan. Malaysia sendiri menggunakan kepakaran dari negara itu dalam projek Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Jambatan sepanjang 23.5 kilometer itu merupakan yang terpanjang di Asia Tenggara, menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dan Batu Kawan di bahagian tanah besar. Ia dilaksanakan secara usahasama antara China Harbour Engineering Company Ltd. (CHEC) dan UEM Builders Bhd.

Kos pembinaan jambatan tersebut ialah sebanyak RM3 bilion.

Projek yang telah memulakan pembinaan pada tahun 2008 dijangka siap sepenuhnya pada November 2013.

CHEC merupakan syarikat Fortune 500 yang diketahui terlibat dalam beberapa projek pembinaan jambatan terpanjang di dunia.

Syarikat tersebut sebelum ini diberi kepercayaan membina jambatan kabel terpanjang dunia yang menghubungkan Suzhou dan Nanpong di China.

Ia terlibat dalam 21 projek di Malaysia sejak tahun 1990-an termasuk kerja tebus guna dan perlindungan pantai di Sutera Harbour Resort di Kota Kinabalu, Sabah dan kerja tebus guna tanah di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Lantai lipas bumbung kelawar

Posted:

Lantai lipas bumbung kelawar

Lantai lipas bumbung kelawar

Gua Gomantong di Sandakan, Sabah dihuni berjuta lipas dan kelawar.


BERJUTA-JUTA ekor lipas memenuhi lantai dan dinding gua.


IA mungkin gua yang paling menyeramkan di dunia tetapi Gua Gomantong yang terletak di Sandakan, Sabah, terus dikunjungi ribuan pelancong setiap tahun untuk menyaksikan aktiviti memungut sarang burung selain mengintai penghuninya iaitu berjuta-juta ekor kelawar dan lipas.

Namun, kebanyakan pelancong hanya dapat melihat keunikan gua itu di sekitar pintu masuk dan bukan menjelajah setiap inci gua itu seperti yang dilakukan penerbit televisyen Perbadanan Penyiaran British (BBC), James Brickell. Brickell menyertai ekspedisi itu pada tahun 2009 bagi menyiapkan dokumentari selama 60 minit.

Menurut Brickell, beliau berjaya sampai ke dasar gua itu selepas melakukan aksi abseiling dari ketinggian 90 meter.

"Saya telah menghabiskan banyak masa mendampingi haiwan berbisa dan berbahaya seperti ular, labah-labah bahkan ikan jerung sepanjang kerjaya saya.

Timbunan tahi

"Tetapi saya sangat takutkan ketinggian. Jadi apabila saya tergantung di atas tali pada ketinggian 90 meter di Gua Gomantong, ia mungkin menjadikan saya sama ada lebih berani atau sekadar membawa padah," katanya.

Brickell berkata, jurang di bawahnya sangat menggerunkan. "Semasa melakukan abseiling, saya langsung tidak berani memandang ke bawah," beritahu beliau.

Tambahnya: "Sebenarnya saya yakin ia selamat. Saya cuma perlu menumpukan perhatian semasa menuruni tali itu tetapi berjuta-juta burung walet dan kelawar yang berterbangan di dalam gua menjejaskan tumpuan. Pergerakan haiwan itu bagaikan membentuk satu pusaran di dalamnya.


KELAWAR yang jatuh ke lantai gua akan dimakan hidup-hidup oleh lipas.


"Suara mereka membingitkan telinga. Bunyi bising itu seolah-olah sekumpulan tikus sedang menonton bola sepak di dalam stadium."

Walaupun tanpa cahaya, haiwan itu masih boleh terbang dengan selamat menggunakan gemalokasi iaitu kebolehan untuk mengesan objek di hadapan berdasarkan bunyi gema.

Justeru mereka tidak akan berlanggar sesama sendiri atau terbang menghentam dinding gua.

Lantai gua batu kapur itu pula ialah tempat yang paling tidak selesa di dunia, kata Brickell.

"Pertama, hidung saya ditusuk bau kencing dan najis haiwan. Bau itu datang daripada timbunan bertan-tan tahi kelawar di lantai gua. Jika anda berdiri di tengah-tengah gua, tahi kelawar pasti mengenai baju, topi malah anda dapat merasainya dengan mulut," katanya.

Keadaan itu bukan sahaja tidak menyenangkan bahkan berbahaya kerana paru-paru boleh dijangkiti fungus. Kalau tidak dirawat segera, ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi termasuk batuk berdarah.

Untuk mengelakkan masalah itu, semua kru BBC yang terlibat memakai sut putih penuh menutupi tubuh. "Mengenakan pakaian seperti itu untuk tempoh yang lama ibarat berada di dalam sauna. Pemakainya akan bermandi peluh," terang Brickell.

Sarang burung


BAHAGIAN gua yang lebih dalam hanya dapat dimasuki selepas melakukan aksi abseiling.


Di sesetengah tempat, timbunan tahi kelawar hanya setebal beberapa meter tetapi di tempat lain ia menggunung tinggi. "Pada setiap saat ada saja kelawar yang membuang najis," ujar beliau.

Mencari makan di dalam timbunan tahi itu ialah lipas-lipas gergasi yang tidak terkira jumlahnya.

"Kelawar yang terjatuh akan dimakan hidup-hidup oleh lipas ini. Amat sukar berjalan di sini tanpa terpijak lipas. Ia juga sering memanjat tubuh dan jika tidak berhati-hati ia mampu menyelinap ke dalam pakaian," kata Brickell.

BBC menyiarkan dokumentari bertajuk Cockroach Heaven: Guomantong Caves tahun lalu dalam program Deadly 60 saluran itu.

Kebanyakan pelawat berkata Gomantong lebih tepat dipanggil Gua Sarang Burung atau Gua Lipas.

Gua itu diiktiraf sebagai Pengurusan Gua Sarang Burung Terbaik Di Dunia oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF). Sejak abad ke-13, gua ini telah membekalkan sarang burung terbaik untuk maharaja China.

Gomantong memiliki dua kompleks gua, dinamakan Simud Hitam dan Simud Putih.

Simud Hitam lebih senang dijelajahi. Laluan berpapan yang terpelihara memudahkan penjelajahan ke dalam gua yang istimewa ekologinya ini.

Simud Putih pula merupakan tempat memperoleh lebih banyak air liur sarang burung putih yang lebih berharga.

Memungut sarang burung di Gomantong diselia oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Penuaian hanya dibenarkan kepada pencari sarang burung berlesen sebanyak dua kali setahun iaitu antara Februari dan April dan antara Julai dan September.

Pengujung boleh menyaksikan pemanjat memanjat sehingga ke bumbung gua menggunakan hanya tangga rotan, tali dan galah yang diikat sekali.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved