Rabu, 2 Januari 2013

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


500,000 terputus bekalan air

Posted:

500,000 terputus bekalan air

500,000 terputus bekalan air

Oleh NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my


RUMAH pam di Pudu Hulu Baru yang gagal berfungsi menjadi punca krisis bekalan air di Lembah Klang sejak seminggu lalu.


KUALA LUMPUR - Sebanyak 107,760 akaun pengguna membabitkan setengah juta isi rumah di sekitar Lembah Klang terpaksa menghadapi krisis bekalan air yang dijangka berlarutan selama seminggu sehingga Selasa depan.

Gangguan bekalan air yang melibatkan pengguna di daerah Gombak dan sebahagian kawasan di Kuala Lumpur itu berpunca daripada kegagalan sistem pam di dua lokasi berasingan iaitu di rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru.

Rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi dalam keadaan melebihi kapasiti mencecah 220 juta liter sehari (JLH) berbanding kapasiti asal reka bentuk sebanyak 136 JLH manakala rumah pam Pudu Hulu Baru pula gagal berfungsi ekoran kerosakan papan suis utama.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Datuk Ruslan Hassan berkata, bekalan air dijangka pulih secara berperingkat mulai hari ini dan pulih sepenuhnya dalam tempoh tujuh hari memandangkan kawasan yang terlibat dengan krisis air kali ini agak besar.

PENDUDUK di Flat Seri Melaka, Cheras beratur untuk mendapatkan bekalan air bersih semalam.


"Setelah kerja memperbaiki pam yang rosak selesai hari ini (semalam), kita jangka tempoh baik pulih penyaluran air ke kawasan-kawasan yang terlibat akan mengambil masa.

"Ini memandangkan kekurangan bekalan rezab bekalan air sedia ada telah hampir pada paras kosong dengan permintaan harian di ibu kota, Selangor dan Putrajaya sebanyak 4,400 JLH berbanding bekalan sebanyak 4,436 JLH," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan penduduk di Flat Sri Melaka, Cheras di sini semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Lee Miang Koi dan Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred.

Dalam perkembangan berkaitan, Ruslan mendakwa kelewatan kerajaan Selangor membangunkan sistem pengepaman tambahan baharu di rumah pam Wangsa Maju menjadi antara punca gangguan bekalan air di kawasan itu.

Menurutnya, sistem pengepaman sedia ada terpaksa diuruskan di peringkat melebihi tahap keupayaan sehingga projek berkenaan siap sepenuhnya akhir tahun ini.

"Pihak Syabas telah mengemukakan cadangan membina sistem itu kepada kerajaan pada tahun 2009 dan pelan pembangunan projek serta pinjaman itu telah diluluskan pada Mac tahun lalu.

"Namun sehingga kini, kita difahamkan projek tersebut masih lagi di peringkat rundingan reka bentuk oleh kerajaan Selangor dan dijangkakan projek itu akan mengambil masa setahun untuk disiapkan jika dilaksanakan pada kadar segera," katanya.

Ruslan berkata, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) oleh kerajaan Persekutuan atau projek lain yang dicadangkan kerajaan Selangor perlu dilaksanakan dengan segera bagi menyelesaikan krisis bekalan air di negara ini dalam jangka masa panjang.

"Sistem pengepaman tambahan sekarang ini hanya bersifat penyelesaian jangka pendek," ujarnya.

Penduduk rayu diatasi segera masalah air

Posted:

Penduduk rayu diatasi segera masalah air

Penduduk rayu diatasi segera masalah air

SEORANG pesara, Mohd. Isa Bujai, 58, terpaksa mengangkat air menggunakan tangga berikutan kawasan perumahannya di Flat Seri Melaka, Cheras terputus bekalan air.


KUALA LUMPUR - Penduduk yang terlibat dalam krisis bekalan air menggesa pihak yang terlibat dalam pengurusan air di Lembah Klang supaya segera menyelesaikan masalah yang membelenggu kehidupan mereka sejak seminggu lalu.

Tinjauan Kosmo! di Flat Sri Melaka, Cheras di sini mendapati penduduk semakin hilang sabar dengan masalah yang dialami sehingga menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Salah seorang penduduk, Mohd. Khadzari Mohd. Daie, 66, mendakwa penduduk tidak diberikan notis pemberitahuan mengenai gangguan bekalan air di kawasan itu.

"Ramai penduduk di sini tidak sempat menyimpan air sebab tiada notis memaklumkan kawasan ini tiada air selama seminggu.

"Sepatutnya, beritahu lebih awal selain menyediakan lori tangki bagi membolehkan penduduk mendapat air," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Hafizullah Kulop, 26, berkata, kedua-dua ibu bapanya terpaksa pulang ke kampung di Bukit Mertajam, Pulau Pinang buat sementara waktu kerana tidak sanggup berdepan dengan ketiadaan bekalan air.

"Mereka sudah tua dan masing-masing berusia dalam lingkungan 70-an, jadi sudah tentu mereka tidak larat nak angkat air lebih-lebih lagi tiada kemudahan lif di flat ini," katanya.

Musalmah Shafie, 58, pula berkata, dia terpaksa membeli bekalan air mineral dengan banyak memandangkan suaminya terlantar sakit dan memerlukan bekalan air bersih.

"Sekarang ini kadangkala stok air mineral di beberapa buah pasar raya di sekitar Bandar Tun Razak dan Bandar Sri Permaisuri juga habis dijual," ujarnya.

Bantuan RM100 dibayar 15 Januari

Posted:

Bantuan RM100 dibayar 15 Januari

Bantuan RM100 dibayar 15 Januari

Oleh SYED AHMAD
ZULKARNAIN SYED ALI
zulkarnain.ali@kosmo.com.my


KESERONOKAN murid mendapat wang bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 seorang pada tahun lalu akan berulang mulai 15 Januari ini. Gambar kecil, Dr. Mohd. Puad.


SEREMBAN – Kerajaan menepati janji untuk membantu meringankan beban ibu bapa dengan menyalurkan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 yang bakal dinikmati kira-kira 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mulai 15 Januari ini.

Berdasarkan pekeliling Kementerian Pelajaran, wang tersebut akan disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada pihak sekolah sebelum diserahkan sepenuhnya dalam bentuk tunai kepada ibu bapa.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menegaskan, pihak sekolah tiada hak membuat sebarang pemotongan termasuk untuk yuran Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

"Duit RM100 ini mesti diserahkan kepada ibu bapa, sama ada mereka mahu menggunakannya untuk bayar yuran PIBG itu hak mereka tetapi saya menegaskan pihak sekolah tidak mempunyai hak untuk membuat apa-apa potongan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Lawatan Rasmi Kolej Tunku Kurshiah di Bandar Enstek, Nilai, di sini semalam.

Mohd. Puad membuat peringatan itu selepas mengambil kira bantahan sesetengah ibu bapa mengenai tindakan pihak sekolah membuat potongan yuran sewaktu skim bantuan khas persekolahan itu dilaksanakan buat pertama kalinya pada tahun lepas.

"Kita tidak mahu ada lagi aduan pihak sekolah buka meja untuk agih wang bantuan dan di tepinya pula ada meja lain untuk bayar yuran, Wang RM100 ini hak ibu bapa," ujarnya.

Selain sekolah kerajaan yang mempunyai lima juta pelajar, bantuan tersebut turut diagih kepada pelajar sekolah lain seperti sekolah jenis kebangsaan, persendirian dan agama.

Bantuan itu diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2013 bagi meringankan beban ibu bapa tanpa mengira latar belakang serta pendapatan untuk menguruskan persekolahan anak-anak.

Bagi ibu bapa yang tidak mahu mengambil bayaran tersebut, mereka boleh memulangkannya kepada sekolah yang kemudian mengembalikannya kepada Kementerian Pelajaran.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved