Jumaat, 21 Disember 2012

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Coupe tiga pintu

Posted:

Coupe tiga pintu

Coupe tiga pintu

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

HYUNDAI benar-benar berdiri atas kata-kata "New Thinking. New Possibilities." Produk-produk baharunya benar-benar lari daripada imej bosan dan kereta murah seperti sebelum ini.

Kini, Hyundai boleh dikatakan sebagai kuasa baharu dalam pasaran penting dunia seperti Amerika Utara dan Eropah. Pengguna sudah tidak lagi teragak-agak untuk menjadikan Hyundai sebagai jenama alternatif kepada kereta buatan Jepun mahupun Eropah.

Hyundai menunggu agak lama untuk tiba di statusnya sekarang. Kini, jenama dari Korea Selatan itu tidak lagi menoleh ke belakang. Setiap produknya ditunggu ramai dan mendapat rebiu meluas di seluruh dunia. Sebenarnya, kejayaan Hyundai banyak disumbang oleh reka bentuknya yang tidak konvensional. Ditambah dengan senarai ciri yang tidak memerlukan pembeli membayar pada harga premium.

Tahun lalu, Hyundai sekali lagi membuat kejutan pada Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara (NAIAS 2011). Di sana, sebuah model coupe tiga pintu dipersembahkan kepada dunia buat kali pertama.

Veloster. Ia dibina atas inspirasi model konsep asal yang dipertontonkan kepada umum pada Seoul Motor Show 2007. Seperti biasa, rekaan luarannya berpaksikan kepada bahasa rekaan fluidic sculpture yang memberi penekanan kepada aspek garis tubuh, aerodinamik, dinamik dan dramatik.

Pakej lengkap


RUANG kabin Veloster menampilkan rekaan yang sporty, moden dan futuristik.


Jentera itu membezakan dirinya daripada coupe konvensional menerusi konfigurasi tiga pintu yang unik. Sekali pandang, macam tidak ada pintu kerana hendalnya disorok bagi mengekalkan reka bentuk coupe yang sporty. Pintu itu sememangnya praktikal dan mudah digunakan untuk tujuan keluar masuk ke ruang tempat duduk belakang.

Perlu tahu juga bahawa pasukan jurutera Hyundai sanggup berhabis tenaga dan masa untuk menghasilkan struktur yang sesuai untuk pemanduan sebelah kiri atau kanan. Maksudnya, jika ia untuk pasaran Amerika Syarikat (pemanduan sebelah kiri) pintu belakang tersebut tetap berada di bahagian belakang tempat duduk penumpang, begitulah sebaliknya.

"Veloster membuktikan evolusi yang dialami oleh jenama Hyundai di pasaran Eropah. Model ini datang dalam satu pakej lengkap meliputi aspek kualiti, keselamatan dan kecekapan," kata Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Operasi Hyundai Motor Europe, Allan Rushforth.

Veloster menjengah pasaran tempatan apabila ia dilancarkan secara rasmi oleh pengedar kenderaan Hyundai di Malaysia, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) pada 30 November lalu.

"Veloster adalah konsep yang benar-benar inovatif. Ia menggabungkan reka bentuk sporty dengan praktikaliti dan kemudahan. Coupe ini menampilkan rekaan pintu 1 + 2 yang revolusionari, sambil memiliki aspek aerodinamik yang berasaskan kepada konsep reka bentuk fluidic sculpture," kata Pengarah Urusan HSDM, Lau Yit Mun.

Coupe itu ditawarkan pada harga bermula RM116,888 (di atas jalan), bergantung kepada varian yang dipilih. HSDM berharap Veloster akan mendapat sambutan hangat di sini, sebagaimana respon yang diterimanya di seluruh dunia.

Sejak dilancarkan pada 2011, hampir 120,000 unit Veloster berjaya dijual. Ia juga memperoleh banyak pengiktirafan terutama di AS dan Kanada.

Di pasaran Eropah, Veloster didatangkan dengan unit enjin petrol GDI yang mampu menghasilkan kuasa 140PS. Enjin itu bagaimanapun tidak dipasang pada Veloster yang dijual di sini. Sebaliknya ia digantikan oleh unit enjin Gamma MPI bersesaran 1.6 liter berkuasa 132PS dan tork maksimum 158Nm.

Enjin dengan sistem DVVT dan DOHC itu turut memiliki fungsi Mechanical Lash Adjuster (MLA). MLA berperanan mengurangkan geseran injap. Sekali gus membuatkan enjin tahan lebih lama, menjimatkan dan tidak bising.


FASCIA tengah papan pemuka diisi dengan sistem audio bersama skrin sentuh yang dipadankan bersama empat unit pembesar suara dan dua tweeter.


Transmisi klac berkembar

Sebagai model yang dilihat mampu meningkatkan imej Hyundai, Veloster didatangkan dengan teknologi terbaik termasuklah transmisi klac berkembar enam kelajuan automatik. Ia merupakan transmisi pertama seumpamanya yang dibina oleh Hyundai.

Transmisi tersebut dikatakan lebih cekap dan ringan, demi meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api serta merendahkan pengeluaran emisi.

Tahu tentang masih ada segelintir pemandu yang mahukan transmisi manual, HSDM ada menawarkan varian tersebut. Jadi, selepas ini jangan lagi merungut tiada varian manual untuk memenuhi selera pemanduan anda.

Pemanduan mantap Veloster disumbang oleh talaan suspensi yang terdiri daripada topang MacPherson, pegas gegelung, penyerap hentak gas dan bar penstabil bersaiz 24 milimeter (mm) untuk roda hadapan.

Suspensi belakang pula terdiri daripada jenis torsion beam V yang ringan. Kolaborasi sistem suspensi itu menawarkan pengendalian meyakinkan dan mengurangkan olengan tubuh kenderaan.

Kalau berminat, Veloster hadir dalam tiga varian iaitu 1.6 liter bertransmisi manual, automatik dan Premium. Varian Premium dibezakan menerusi bumbung panoramik, lampu utama jenis reflector dengan butiran LED, kamera mengundur, tempat duduk dibalut kulit dan banyak lagi.

Jika anda memilih varian Premium, ia juga hadir dengan rim aloi bersaiz 18 inci yang warnanya sama dengan warna badan kereta.

Ruang kokpit Veloster menekankan aspek sporty. Warna hitam mendominasi ruang tersebut bersama rekaan papan pemuka dan konsol tengah yang kemas. Butang penghidup enjin diletakkan di tengah-tengah konsol. Di atasnya, terletak sistem audio dengan skrin sentuh dan butang kawalan pendingin hawa.


BUTANG penghidup enjin yang berubah warna latar mengikut mode OFF, ACC atau ON.


Apa yang pasti, Veloster bukan coupe biasa. Ia membuktikan kesungguhan Hyundai untuk berdiri sama tinggi dengan pembuat kenderaan berpengaruh yang lain. Oh ya, Veloster kini sudah boleh dipandu uji dan dilihat secara dekat di semua bilik pameran Hyundai di seluruh negara!

Kereta sport empat pintu!

Posted:

Kereta sport empat pintu!

Kereta sport empat pintu!

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


MODEL empat pintu coupé pertama keluaran BMW M GmbH ini jelas berbeza dengan model M6 Coupé melalui pintu belakang ekstra dan jarak titik roda yang lebih panjang.


DALAM dunia reka bentuk kenderaan sekarang, terdapat gayaan baharu yang dikenali sebagai coupé. Sebelum ini, ia merujuk kepada kereta dua pintu dengan bentuk sporty tetapi mempunyai but. Paling dekat dengan kita ialah Proton Putra, Hyundai Coupé atau Kia Forte Koup.

Kereta berbentuk begitu banyak ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat (AS). Harus tahu, Honda Accord mempunyai versi coupé di sana.

Kini, coupé telah didefinisikan semula dan tidak terhad kepada kereta dua pintu sahaja. Contoh coupé generasi baharu ialah Mercedes CLS, Volkswagen Passat CC dan Hyundai Sonata.

Identiti coupé boleh dilihat pada bentuk bumbung yang rendah dan menariknya mempunyai empat pintu. Senang kata, coupé generasi baharu ialah kereta penumpang dengan bumbung yang rendah dan gayaan sleek.

Lebih menarik, Hyundai Sonata misalnya mempunyai saiz dalaman yang luas dengan kelegaan kepala selesa, walaupun dari luar nampak seperti sempit.

Rekaan tersebut dicapai melalui manipulasi perkadaran (proportion) yang dilakukan oleh perekanya. Arus reka bentuk masa kini juga berubah apabila banyak kereta menggunakan konsep kotak 2.5 berbanding kotak tiga.

Kotak pertama merujuk kepada bonet depan. Kotak kedua merujuk kepada ruang pemandu dan penumpang, manakala kotak ketiga ialah but. Dari segi visual, kereta moden nampak seperti mempunyai but yang pendek dan ruang sempit.

Hakikatnya melalui kaedah kotak 2.5, but belakang ditarik ke bahagian penumpang belakang. Sebab itu yang nampak pada mata kasar hanyalah suku daripada saiz sebenar but. Jika dibuka, ruangnya jauh terperosok ke dalam.

Menurut laporan agensi berita Newspress, BMW mengeksploitasi gayaan coupé tersebut pada model baharunya, M6 Gran Coupé. Model tersebut nampak begitu sleek seperti peluru. M6 Gran Coupé adalah varian ketiga dalam famili M6.

Model itu membawa jenama prestasi M yang dipakejkan dengan ciri-ciri mewah dan penampilan estatik. Bahagian hadapan M6 Gran Coupé didominasi oleh corong masukan udara yang besar, lampu utama LED adaptive dan gril krom M yang direka khas untuk model itu.

Signatur jenama M


Stereng dan konsol tengah dipenuhi oleh butang kawalan.


Arca roda yang mengembang pula menunjukkan saiz lebar spesifik untuk model M6 Gran Coupé. Cermin sisi aerodinamik, rim aloi M bersaiz 20 inci dan ekzos berkembar pula adalah signatur jenama M.

Pada bahagian apron belakang terdapat peresap (diffuser) yang diperbuat daripada gentian kaca. Ia diperkukuhkan dengan plastik (CFRP) yang mengoptimumkan aliran udara pada bahagian bawah kereta.

Menariknya, material yang kuat itu turut digunakan pada bahagian bumbung. Struktur gentian tersebut boleh dilihat dengan jelas. Ia nyata menarik dan nampak agresif.

Pada bahagian kabin, ruangnya diisi oleh tempat duduk pemandu dan penumpang M Sport dengan balutan kulit Merino. Kerusi belakang nampak seperti khusus untuk dua penumpang sahaja. Walaupun model itu adalah sporty, namun penyandarnya boleh direbahkan mengikut format 40:60 seterusnya memberi ruang bonet tambahan daripada 460 liter kepada 1,265 liter.

Berada kemas di dalam bonet hadapan yang panjang ialah enjin V8 M TwinPower Turbo berkuasa 560hp.

Enjin bersesaran 4,395cc tersebut mempunyai tork setinggi 680Nm dan putaran enjin maksimum 7,200rpm. Pecutan dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) hanya mengambil masa 4.2 saat dengan kelajuan maksimum 249.45km/j.

Walau bagaimanapun, kelajuan tersebut bukanlah prestasi sebenar memandangkan ia disekat melalui kawalan elektronik.

Bertanggungjawab dalam mengalih kuasa ke atas jalan ialah transmisi M Double Clutch dengan DRIVELOGIC. Sistem pengurusan elektronik transmisi tersebut memastikan seleksi gear yang betul untuk traksi optimum.

Selain itu, pemandu disediakan dengan sistem Launch Control untuk pecutan maksimum, Low Speed Assistance untuk lebih keselesaan dan Auto Start-Stop untuk menambah kecekapan penggunaan bahan api.

Bagi pemanduan dan pengendalian berkesan terutama ketika pecutan selepas keluar selekoh, dalam keadaan jalan dan cuaca yang mencabar, sistem Active M Differential pada gandar belakang akan membahagikan kuasa di antara roda-roda untuk mendapatkan cengkaman yang maksimum.

Limited Slip Differential (LSD) multi-disc yang dikawal secara elektronik pula sama-sama bekerja dengan sistem Dynamic Stability Control (DSC) dalam membahagikan pacuan kuasa di antara roda kanan dan kiri belakang dengan pantas dan tepat mengikut keadaan situasi pemanduan.

Untuk menghentikan kereta ini, BMW memberi opsyen kepada pembeli brek seramik gentian M. Diperbuat daripada gentian kaca kompaun seramik, cakera tersebut lebih tahan terhadap suhu panas, ringan dan tahan lama.


Enjin ini memiliki sistem pengecas turbo twin-scroll, manifold ekzos cross-bank, sistem pancitan petrol berketepatan tinggi, injap pemasaan boleh ubah VALVETRONIC dan Double Vanos.


Ciri-ciri lain pada M6 Gran Coupé ialah Head-up Display dan Park Distance Control. Opsyen berasingan yang ditawarkan ialah kamera undur, Bantuan Lampu Puncak, Info Had Kelajuan, Lane Departure Warning, Surround View dan BMW Night Vision dengan pengecaman pejalan kaki.

Lebih menarik, pengguna boleh menyambung telefon pintar mereka kepada kereta dan menggunakan aplikasi berasaskan Internet. Apabila dipasarkan pada Mei tahun depan, harga yang ditawarkan bermula dari €f7,490 atau kira-kira RM485,000.

Lexus hasilkan LFA terakhir

Posted:

Lexus hasilkan LFA terakhir

Lexus hasilkan LFA terakhir


INILAH LFA terakhir yang dikeluarkan dari kilang Lexus di Motomachi, wilayah Aichi, Jepun.


14Disember 2012 menyaksikan supercar terakhir keluaran Lexus, LFA keluar dari kilang Lexus di Motomachi, wilayah Aichi, Jepun. LFA sememangnya memberi impak besar kepada produk masa depan Lexus, terutama dalam aspek aplikasi komponen-komponen gentian karbon.

Ketika LFA terakhir itu keluar dari kilangnya, Ketua Jurutera LFA, Haruhiko Tanahashi berkata, "Saya hidup untuk menghasilkan supercar sejak sedekad lalu. Tidak ramai yang berpeluang menghasilkan sebuah supercar bertaraf dunia daripada satu lakaran kasar. Saya gembira kerana diberi peluang tersebut."

Produksi di LFA Works bermula dua tahun lalu melibatkan 170 orang pekerja yang dipilih khas. Mereka terdiri daripada pekerja dari bahagian pengilangan alat ganti, pemasangan dan cat. Secara puratanya, hanya sebuah LFA dihasilkan sehari. - Newspress

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved