Ahad, 24 November 2013

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Angka korban taufan Haiyan hampiri 7,000 orang

Posted:

Angka korban taufan Haiyan hampiri 7,000 orang

Angka korban taufan Haiyan hampiri 7,000 orang

MANGSA taufan Haiyan beratur ketika hujan untuk menerima bantuan makanan di Tacloban semalam.- AFP


TACLOBAN - Bilangan mangsa yang maut atau hilang selepas taufan Haiyan melanda Filipina meningkat menghampiri 7,000 orang semalam.

Taufan yang bertiup melebihi kelajuan 300 kilometer sejam itu merupakan antara terkuat di dunia.

Setakat semalam Manila mengesahkan jumlah korban bertambah kepada 5,235 orang dengan 1,613 mangsa masih hilang dua minggu selepas taufan Super Haiyan meratakan bandar-bandar di beberapa buah pulau di tengah Filipina.

Bencana itu mencetuskan usaha bantuan antarabangsa besar-besaran apabila berpuluh-puluh negara dan pertubuhan bantuan bergegas untuk mengagihkan makanan, air dan khidmat kesihatan kepada lebih 4 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Namun, ketua agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Valerie Amos selepas melawat zon bencana memberitahu, dunia perlu bertindak lebih pantas.

"Lebih banyak perlu dilakukan. Makanan, air bersih dan tempat perlindungan menjadi keutamaan," kata Amos selepas PBB merayu dana bantuan ditingkatkan daripada AS$301 juta (RM967.8 juta) kepada AS$348 juta (RM1.1 bilion).

Menurutnya, masih ramai mangsa terdedah kepada cuaca buruk di sembilan wilayah yang musnah dilanda Taufan Haiyan terutamanya bayi, kanak-kanak dan kaum ibu.

"Saya bimbang bahawa terdapat kira-kira 1.5 juta kanak-kanak berisiko mengalami kurang zat makanan manakala hampir 800,000 ibu mengandung dan menyusu memerlukan zat tambahan," jelas Amos pada satu sidang akhbar di ibu pejabat PBB.

Sementara itu, di bandar Tacloban yang paling teruk dilanda bencana tersebut, mangsa-mangsa terselamat mengadu bantuan yang diterima jauh daripada mencukupi.

"Penyaluran bekalan masih belum stabil. Ia datang sedikit demi sedikit," kata seorang ibu berusia 41 tahun, Maribel Senase di sini.

Kelmarin, Bank Dunia menambah bantuan kecemasan sebanyak AS$480 juta (RM1.5 bilion) kepada Filipina dengan dana keseluruhan PBB kini meningkat kepada hampir AS$1 bilion (RM3.2 bilion).

Ia akan digunakan bagi membina semula infrastruktur kediaman mangsa yang musnah dalam bencana itu. - AFP

Wanita Malaysia mangsa dera minda

Posted:

Wanita Malaysia mangsa dera minda

Wanita Malaysia mangsa dera minda


Aneeta Prem


LONDON - Tiga wanita termasuk seorang rakyat Malaysia yang dikurung selama 30 tahun di sebuah rumah di sini telah dibelasah dan menjadi mangsa penderaan minda, kata polis Britain kelmarin.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika polis masih keliru dengan jenayah tersebut yang disifatkan sebagai kes perhambaan zaman moden terburuk di Britain.

Komander Polis Metropolitan London, Steve Rodhouse berkata, setakat ini mereka cuba untuk memahami 'ikatan ghaib' yang digunakan untuk mengawal mangsa.

"Seorang wanita itu yang berusia 30 tahun telah menjadi hamba sepanjang hidupnya.

"Apa yang kami fahami setakat ini adalah mereka dibelenggu secara emosi selama bertahun-tahun," kata Rodhouse.

"Mudah untuk menggunakan istilah cuci otak (brainwash) bagi menerangkan kes tersebut tetapi saya fikir ia memperkecilkan penderaan emosi yang dialami oleh mangsa," tambahnya.

Beliau juga mendedahkan bahawa dua suspek dalam kes tersebut iaitu seorang lelaki dan wanita yang berusia 67 tahun pernah ditahan dalam tahun 1970-an tanpa memberikan butiran lanjut.

Mereka katanya, ditangkap di sebuah rumah di Lambeth, selatan bandar raya ini pada Khamis lalu.

Pasangan berkenaan yang merupakan rakyat asing juga disyaki melakukan kesalahan imigresen.

Namun, mereka telah dibebaskan secara bersyarat hingga Januari depan sementara menunggu siasatan lanjut dilakukan.

Pasport kedua-duanya dirampas dengan mereka dilarang untuk kembali ke rumah berkenaan.

Rodhouse menambah, kes tersebut adalah 'unik.'

Kesemua wanita itu diselamatkan pada 25 Oktober lalu, seminggu selepas mereka membuat panggilan telefon rahsia kepada sebuah badan amal di Britain.

Ketiga-tiga mangsa terdiri daripada seorang rakyat Malaysia berumur 69 tahun, warga Ireland berusia 57 tahun dan wanita tempatan berumur 30 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, akhbar The Guardian melaporkan polis masih menyiasat kemungkinan penahanan tiga wanita itu mempunyai kaitan dengan ajaran sesat.

Polis bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan akhbar berkenaan.

Namun, pasukan penyiasat setakat ini menolak kemungkinan kes itu mempunyai kaitan dengan eksploitasi seks atau pemerdagangan manusia.

Menurut polis, ketiga-tiga wanita itu memberitahu bahawa mereka telah dipukul.

Menjelaskan jurang masa yang wujud antara pembebasan mereka dan penangkapan kedua-dua suspek, polis berkata, pihaknya perlukan masa untuk memahami keterangan mangsa sebelum melakukan tangkapan.

Dalam serbuan pada Khamis lalu di sini, polis mengambil masa 12 jam menggeledah kediaman suspek. Pihak berkuasa merampas lebih 2,500 bahan bukti yang diisi ke dalam 55 buah beg.

Semua 37 anggota Unit Pemerdagangan Manusia Scotland Yard masih menyiasat kes tersebut.

"Siasatan kes ini mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan," kata ketua unit berkenaan, Detektif Inspektor Kevin Hyland.

Menurutnya, Scotland Yard tidak percaya kes itu ada kaitan dengan mana-mana kumpulan lain. Pihaknya juga tidak mencari mangsa yang lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Scotland Yard memberitahu, pihaknya sedang berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan Ireland tetapi tidak menyatakan butiran lanjut.

Hyland berkata, semasa mereka dijadikan tahanan, semua wanita itu dapat keluar dari rumah tersebut tetapi hanya dalam keadaan terkawal.

Pengasas Pertubuhan Amal Kebebasan, Aneeta Prem yang pernah berhubung dengan ketiga-tiga mangsa memberitahu, kisah duka mereka mendorong orang lain untuk tampil membuat aduan mengenai beberapa kes perhambaan lain.

Semua mangsa yang kini ditempatkan di satu lokasi rahsia telah diselamatkan selepas wanita Ireland berkenaan memberanikan diri untuk menelefon badan amal tersebut pada 18 Oktober lalu selepas melihat program mengenainya di televisyen.

Selepas beberapa panggilan, mereka bersetuju untuk menemui pengasas badan amal tersebut yang diiringi pasukan polis.

"Apabila kami bertemu, mereka memeluk saya dan selain menangis mereka mengucapkan terima kasih kepada pertubuhan kami kerana menyelamatkan mereka," kata Prem. - AFP

Lelaki malu ada payu dara seperti wanita

Posted:

Lelaki malu ada payu dara seperti wanita

Lelaki malu ada payu dara seperti wanita


Hashemzadeh mendapat kehidupan baharu selepas menjalani pembedahan membetulkan dadanya.


LONDON - Seorang lelaki Britain, Farshad Hashemzadeh berasa sangat malu untuk berdepan dengan masyarakat kerana memiliki payudara seperti wanita.

Hanya payudara kanan Hashemzadeh yang membesar seperti buah dada wanita manakala payudara kirinya normal seperti lelaki lain.

"Saya tidak tahu kenapa ia berlaku kepada saya, payudara saya semakin hari semakin membesar sehingga membuatkan saya berasa rendah diri," katanya kepada akhbar The Sun.

Payudara Hashemzadeh mula membesar sewaktu dia berusia 18 tahun dan pada ketika itu, dia tidak tahu apa yang harus dilakukan.

"Saya tidak mahu orang lain melihat 'kelebihan' saya ini. Lelaki lain patut tahu bagaimana keadaan ini boleh menjejaskan kehidupan seharian mereka," katanya.

Ada suatu ketika akibat terlalu tertekan, Hashemzadeh pernah mengambil pisau untuk menoreh payudaranya sendiri sehingga dia dirujuk kepada seorang pakar psikiatri.

Keadaan ganjil yang dialami Hashemzadeh itu dinamakan Ginekomastia iaitu ketidakseimbangan hormon estrogen dan testosteron yang menyebabkan organ tersebut membesar secara tidak normal.

Menurut pakar bedahnya, Dr. Azhar Aslam, kira-kira separuh golongan lelaki mengalami Ginekomastia tetapi pada skala yang kecil. Kos untuk dia menjalani pembedahan tersebut agak tinggi iaitu sebanyak AS$5,000 (RM16,000).

Namun, Hashemzadeh bernasib baik kerana dia mempunyai seorang teman wanita yang prihatin dan menolongnya mendapatkan wang untuk menjalani pembedahan tersebut.

"Saya tidak lagi berasa sedih kerana sudah kembali menjadi seorang lelaki normal malahan, saya beruntung mempunyai seorang teman wanita yang sangat baik," katanya.

Tambah Hashemzadeh, selepas parut kecilya sembuh, dia berasa seperti lelaki yang baru dilahirkan semula. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved