Isnin, 3 Februari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Rasa berbeza mengikut spesies

Posted:

Rasa berbeza mengikut spesies

Rasa berbeza mengikut spesies

DARIPADA sebuah kawasan hutan belantara, Dr. Ibrahim Shuib, 66, mendapat ilham untuk membangunkan tanah yang dibelinya pada tahun 2001.

Kesibukannya sebagai doktor perubatan di klinik miliknya sendiri iaitu Poliklinik Ibu Kota di Seri Gombak, Selangor tidak menghalang beliau untuk berbakti kepada tanah miliknya itu.

Beliau melakukan kerja-kerja menebang pokok-pokok dan membersihkan kawasan hutan seluas lapan hektar di Kampung Sungai Jang, Kerling, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor itu secara berperingkat-peringkat.

Idea asal beliau ialah untuk membangunkan projek tanah vetenari Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan tersebut bagi menjadikannya sebagai destinasi agropelancongan di Kuala Kubu Bharu.

Hasil usaha Ibrahim selama 13 tahun ternyata telah membuahkan hasil. Kini, beliau giat mempromosikan pelancongan berasaskan pertanian dan ternakan haiwan di ladang Great Farm miliknya itu.

Persekitaran yang dikelilingi 200 jenis tumbuh-tumbuhan dan haiwan ternakan seperti ayam, itik dan kambing merupakan tarikan utama pengunjung ke Great Farm yang menjanjikan suasana seperti di kampung halaman sendiri.

Pengunjung juga berpeluang menikmati buah-buahan tempatan yang dipetik secara terus dari pokok-pokok di ladang itu.

Tidak hanya tertumpu kepada sektor agropelancongan, Great Farm turut menternak lebah kelulut yang menghasilkan madu dan dijual secara komersial.

"Lebah kelulut merupakan antara tarikan utama pengunjung ke Great Farm. Kira-kira 150 sarang kelulut yang terdiri daripada 22 spesies serangga itu diternak di sekeliling ladang ini. Pengunjung dapat melihat proses mengambil madu dan kitaran kehidupan kelulut secara mendalam," ujar Ibrahim ketika ditemui Kosmo! di ladangnya.

MOHAMED menggunakan vakum yang dilengkapi dengan sistem saluran untuk menyedut madu dari kantung madu kelulut.


Spesies serangga

Kelulut merupakan sejenis serangga dan berbeza dengan lebah madu. Namun, ia boleh menghasilkan madu seperti lebah madu. Ia boleh ditemui di hutan hujan tropika. Antara spesies atau koloni kelulut yang diternak oleh Ibrahim ialah Tetrigona, Homotrigona, Odontotrigona, Lophotrigona dan Tetragonilla. Kebanyakan spesies kelulut tergolong dalam keluarga Melipononi di bawah pecahan Trigona.

Habitat asal kelulut ialah di permukaan batang pokok-pokok di kawasan hutan. Penternak perlu memotong pokok yang menjadi habitat asal untuk dibawa pulang. Kemudian, kotak lebah dibuat di bahagian atas potongan pokok itu untuk memudahkan proses pengambilan madu.

Menurut Ibrahim, kelulut yang diternak di Great Farm diambil dari pelbagai jenis pokok di kawasan hutan negeri Kedah, Perak, Kelantan dan Perlis.

"Rasa setiap madu kelulut berbeza mengikut spesies. Kebanyakan madu kelulut rasanya manis malah ada juga mempunyai rasa masam. Dianggarkan sebanyak 18.5 peratus air terkandung dalam madu kelulut yang menyebabkan teksturnya lebih cair berbanding madu lebah.

"Setiap botol madu kelulut keluaran Great Farm dijual dengan isipadu 350 milimeter. Setiap koloni kelulut juga menghasilkan madu dalam jangka masa berbeza. Bagi spesies Geniotrigona yang bersaiz besar, hanya dua kali proses pengambilan untuk mendapatkan sebotol madu. Bagi spesies Laedriceps, ia mengambil masa selama enam bulan untuk mendapatkan sebotol madu kerana saiznya kecil," ujar lelakia yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu.


IBRAHIM menunjukkan kotak menternak kelulut di atas batang pokok yang diambil dari hutan.


Di sekitar Great Farm, Ibrahim yang dibantu oleh tiga orang pekerjanya telah menanam lebih 200 jenis tanaman buah-buahan seperti kuini, belimbing besi, kedondong, mangga dan jambu. Tanaman itu membantu pemakanan kelulut yang mengambil nektar atau cecair yang diproses secara semula jadi untuk menghasilkan madu.

Kepelbagaian sumber pemakanan kelulut untuk menghasilkan madu juga membezakan spesies serangga itu dengan lebah madu. Bagi lebah madu, serangga itu hanya mengambil nektar daripada satu sumber iaitu bunga.

Daun dan resin atau getah pokok yang ditanam di sekitar ladang merupakan sumber makanan kelulut. Sumber makanan yang baik juga membantu menyumbang kepada penghasilan madu yang berkualiti dan berkhasiat.

Metabolisme

"Kelulut menjadikan resin di pokok jenis dipterocarp seperti meranti, keruin dan merawan di kawasan hutan sebagai sumber pemakanan untuk dibawa pulang ke sarang. Resin pokok-pokok hutan itu mengandungi antioksida yang tinggi. Ia merupakan agen pembersih bahagian dalaman badan yang membantu merangsang sel ketahanan tubuh manusia," jelasnya yang berpengalaman selama empat dekad dalam bidang perubatan.

Antara kelebihan lain pengambilan madu kelulut kepada setiap individu ialah ia membantu meningkatkan kadar metabolisme dalam badan, agen kecantikan dan merawat pelbagai penyakit dan kecederaan dalaman. Madu kelulut juga digunakan dalam rawatan perubatan tradisional.

Seorang pengguna madu kelulut dalam kaedah rawatan, Sub Inspektor Mohd. Rodzi Ismail, 50, berkongsi pengalaman, luka di ibu jari kakinya berjaya disembuhkan dalam jangka masa yang singkat setelah menggunakan madu itu sebagai penawar.

SPESIES Laericeps merupakan kelulut yang paling lambat menghasilkan madu kerana saiznya yang kecil.


Luka kering

Menurutnya yang bertugas di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bharu, ibu jari kaki kanannya dihempap bongkah besi sewaktu beliau sedang bertugas.

"Akibat insiden itu, saya menerima tujuh jahitan pada ibu jari kaki. Saya juga diberi pelepasan bertugas selama dua minggu. Selain itu, saya juga menghidap penyakit diabetes dan kebiasaannya setiap luka di badan saya mengambil masa yang lama untuk sembuh.

"Perkenalan saya dengan Ibrahim telah membuka jalan penyelesaian terbaik untuk merawat luka itu. Beliau menyarankan saya minum dan meletakkan tiga titis madu di bahagian yang luka sebelum membalutnya. Pada keesokan hari, luka di jari kaki saya sudah kering dan mengambil masa yang singkat untuk sembuh," jelasnya.

Mengakui ibu jari kakinya berdenyut sepanjang malam selepas madu disapu, dia berasa gembira apabila luka itu kering pada kadar segera. Selain itu, dia juga dapat menyambung tugasannya selepas tempoh cuti sakit.

Selain madu, propolis atau struktur binaan sarang kelulut dan kantung yang menyimpan madu yang diperbuat daripada resin pokok juga boleh digunakan dalam perubatan. Pengunjung di Great Farm berpeluang menikmati propolis yang boleh dimakan secara terus apabila proses pengambilan madu dijalankan.

Menurut Penyelia Great Farm yang bertanggungjawab dalam hal ehwal tanaman dan kelulut, Mohamed Mat Salleh, 64, kebanyakan pengunjung di ladang tersebut tertarik untuk melihat proses pengambilan madu kelulut dari sarang.

Jelas Mohamed yang merupakan individu yang menjalankan proses tersebut setiap hari, madu kelulut mudah diambil kerana spesies lebah itu tidak menyengat.

Ibrahim telah melakukan beberapa inovasi untuk memudahkan proses mengambil madu dari sarang. Dalam usaha untuk memudahkan proses itu, beliau telah menggunakan vakum atau pembersih hampa gas dengan saluran penyedut.

"Kantung yang menyimpan madu di dalam sarang bersaiz kecil dan ia juga mudah pecah apabila disentuh. Vakum yang telah diubah suai itu membantu mempercepatkan proses pengambilan madu. Saluran penyedut juga mudah menembusi setiap kantung madu," jelasnya yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Khasiat perubatan propolis

Posted:

Khasiat perubatan propolis

Khasiat perubatan propolis

PROPOLIS dan kantung madu yang baru diambil daripada sarang boleh dimakan dengan segera.


SELAIN madu kelulut, propolis iaitu sejenis campuran resin yang dihimpunkan serangga berkenaan daripada sumber-sumber botani sebagai penutup ruangan terbuka kecil dalam sarang merupakan antara produk yang boleh dihasilkan melalui penternakan serangga itu.

Menurut pemilik Great Farm, Dr. Ibrahim Shuib, bagi tujuan komersial dan perubatan, dianggarkan sebanyak 3,000 produk boleh dihasilkan daripada propolis.

"Mengikut sarang spesies kelulut terlibat, propolis terbahagi kepada dua jenis iaitu propolis lembut dan keras serta rapuh.

"Antara manfaat bahan tersebut ialah ia dapat membantu melancarkan peredaran darah sebelum masuk ke dalam tisu badan manusia," jelasnya.

Tambah beliau, propolis berbau herba itu juga boleh dimakan sebaik sahaja ia dikeluarkan dari sarangnya. Ini kerana sifat semula jadi serangga itu yang menitik beratkan aspek kebersihan dalam sarang dan juga tempat tinggal ratu.

"Selain itu, propolis juga bersifat antibakteria, antivirus dan antikulat," ujarnya yang mengisar dan menapis bahan berkenaan sehingga saiz 75 mikron untuk dijadikan kapsul.

Produk sampingan lain penternakan kelulut ialah roti lebah, yang kaya dengan kandungan asid folik dan vitamin D kompleks. Ia dikatakan baik untuk kulit dan sistem badan manusia. Seperti propolis, roti lebah juga boleh dimakan sejurus dikeluarkan daripada sarang.

Menurut Ibrahim, asid folik dalam roti lebah juga membantu fungsi otak.


BUDI (kanan) diajar cara-cara menguruskan sarang kelulut sebelum bergelar usahawan.


Latihan keusahawanan

Selain memberi fokus pada penternakan kelulut, Ibrahim turut menawarkan pembelajaran berbentuk teori dan praktikal mengenai penternakan serangga itu.

Menurutnya, pengajian meliponikultur itu mengambil masa selama dua tahun.

"Sepanjang tempoh itu, peserta akan dilatih mengenai asas-asas perniagaan madu kelulut. Tidak hanya tertumpu kepada aspek perniagaan, mereka juga diajar mengenai kaedah menternak kelulut dan pengkomersialan produk," jelasnya.

Melalui pengajian itu, yuran sebanyak RM120,000 telah ditetapkan oleh pihak Great Farm untuk pelajar yang terlibat. Yuran tersebut termasuk kos penginapan, makanan dan pembelajaran sepanjang kursus itu.

Demi meringankan beban individu terlibat, pihak Great Farm juga membantu pelajar mencari penaja untuk membiayai yuran pengajian tersebut. Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) merupakan antara koperasi yang menanggung perbelanjaan pelajar meliponikultur di ladang berkenaan.


PROPOLIS dan kantung madu yang baru diambil daripada sarang boleh dimakan dengan segera.


Menurut pelajar meliponikultur Great Farm, Budi Ariff Nawawi, 27, sungguhpun baru mengikuti kursus itu selama tiga bulan, namun pelbagai perkara yang telah dipelajarinya setakat ini.

Jelasnya, teori taksonomi iaitu pembelajaran mengenai kehidupan kelulut seperti spesies dan kitaran hidup serangga itu merupakan asas dalam meliponikultur.

"Setiap hari, rutin pembelajaran saya lebih tertumpu kepada kaedah-kaedah penternakan kelulut secara terperinci. Usaha untuk menternak serangga ini memakan masa yang panjang. Justeru, pengetahuan mengenainya perlu ada sebagai persediaan untuk menjadi usahawan kelak.

"Saya melihat kelulut mempunyai nilai komersial yang tinggi. Bukan sekadar madu, malah propolis dan roti lebah merupakan produk yang boleh dijual melalui penternakan ini," ujarnya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Apabila tamat pengajian, Budi Ariff, yang merupakan pelajar yang bernaung di bawah Koperasi Meliponini Kuala Lumpur Berhad, akan memiliki sijil pengajian meliponikultur.

Sehubungan itu, katanya, dia merancang untuk mencari tanah yang sesuai bagi penternakan serangga itu di Baling, Kedah.

"Saya menyasarkan 1,000 sarang kelulut sebagai permulaan usaha penternakan itu," ujarnya. - MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Pelarian Syria perlu perlindungan

Posted:

Pelarian Syria perlu perlindungan

Pelarian Syria perlu perlindungan

Oleh ISMAIL AMSYAR MOHD SAID


LEBIH tiga juta rakyat Syria lari meninggalkan tanah air mereka.


KRISIS politik berdarah terus menekan kehidupan rakyat Syria yang menyebabkan semakin ramai rakyat negara ini terpaksa melarikan diri dan menjadi pelarian di negara-negara jiran.

Ironinya, Syria pada satu ketika merupakan negara kedua terbesar dunia yang menjadi tuan rumah kepada pelarian iaitu pelarian Palestin.

Namun kini, negara itu pantas bertukar menjadi negara pengeluar orang pelarian.

Situasi ini menyebabkan ketidakstabilan politik kepada negara yang terpaksa menanggung pelarian Syria.

Selepas hampir tiga tahun perang saudara melanda Syria dan mengorbankan lebih 100,000 nyawa, masih belum ada tanda-tanda krisis itu akan berakhir.

Penderitaan

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, dalam ucapan pembukaan pada Persidangan Ikrar Kemanusiaan Antarabangsa Kedua untuk Syria yang diadakan di Kuwait baru-baru ini berkata, konflik yang berpanjangan di Syria telah bertukar menjadi krisis serantau.

"Lebanon, Jordan, Turki, Iraq dan Mesir kini menjadi rumah kepada lebih tiga juta rakyat Syria yang lari meninggalkan tanah air mereka," katanya.

Menurut beliau, lebih 80 peratus rakyat Palestin yang berada di Syria memerlukan bantuan kemanusiaan. Apa yang membimbangkan beliau ialah kemungkinan berlakunya kebuluran.

Krisis orang pelarian itu katanya, telah mencetuskan penderitaan yang teruk dan ia ada kaitan dengan ketidakstabilan serta konflik di rantau ini.

Keadaan itu boleh dilihat menerusi insiden letupan bom kereta dan keganasan pandangan politik yang berbeza-beza di Iraq dan Lebanon.

"Ketidakstabilan itu menjejaskan pembangunan ekonomi negara sekitar. Sehubungan itu, kita perlu membantu negara yang menjadi tuan rumah kepada pelarian ini," katanya sambil menambah tiada negara dan tiada sesiapa perlu mengalami penderitaan atau bencana kerana rakyat Syria memerlukan pertolongan.

Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres dalam ucapannya pada persidangan yang dihadiri perwakilan dari 62 negara dan lebih 29 pertubuhan serantau ini memuji ajaran Islam dalam melindungi orang pelarian.

Menurut beliau, kemurahan hati dan kesediaan negara-negara Islam yang berjiran dengan Syria memberi perlindungan kepada pelarian negara tersebut terkandung dalam ajaran serta tradisi Islam.

"Sebenarnya, ayat paling indah yang pernah saya baca mengenai perlindungan pelarian bukan dari Konvensyen Orang Pelarian 1951 tetapi dari surah At-Taubah, ayat 6. Ayat itu bermaksud, "Jika seseorang daripada kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia mendengar firman Allah, kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman."


SEBAHAGIAN daripada delegasi yang menghadiri Persidangan Ikrar Kemanusiaan Antarabangsa Kedua untuk Syria di Istana Bayan, Kuwait.


"Ini adalah contoh luar biasa toleransi dan komitmen agama untuk perlindungan pelarian dalam Islam," kata Guterres yang juga mantan perdana menteri Portugal.

Beliau berkata, kemurahan hati jiran-jiran Syria perlu diganjari dengan sokongan besar-besaran antarabangsa dalam semangat tolong menolong yang amat penting bagi memastikan perlindungan bagi mereka yang melarikan diri daripada konflik berdarah itu.

Bantuan kewangan

"Negara-negara di rantau ini bukan semata-mata memerlukan bantuan kewangan yang kukuh, mereka juga memerlukan pihak lain membantu untuk menanggung beban mengambil dan memberi perlindungan kepada pelarian," katanya sambil menyeru semua negara supaya cuba membuka sempadan mereka untuk pelarian.

Pesuruhjaya Tinggi UNHCR itu dalam menjelaskan kepentingan membantu pelarian berkata, negara-negara yang menjadi tuan rumah kepada pelarian supaya terus menerima rakyat Syria.

Negara-negara itu katanya, bukan sahaja memberi perlindungan tetapi pada masa yang sama menanggung kos yang amat tinggi.

"Tekanan ini dirasakan dalam semua peringkat kehidupan kerana defisit belanjawan semakin meningkat. Ini menjejaskan pertumbuhan ekonomi, pekerjaan, gaji dan harga barangan di seluruh rantau ini.

"Keadaan ini menyebabkan rakyat tempatan terpaksa bergelut dengan keperitan hidup," katanya.

Menurut Guterres, kesan kehadiran lebih 860,000 pelarian berdaftar di Lebanon sama seperti yang berlaku di beberapa buah negara lain. Misalnya, Amerika Syarikat lebih 66 juta pelarian tiba secara mendadak, 17 juta di Jerman dan lebih 280 juta di China.

"Akibat kebanjiran pelarian, jumlah penduduk Lebanon kini mencapai paras yang dijangka hanya berlaku pada tahun 2050.

"Menjelang akhir tahun ini, Bank Dunia menganggarkan pengangguran di Lebanon akan meningkat dua kali ganda dan 170,000 rakyat Lebanon berdepan dengan risiko kemiskinan," jelas beliau.

Satu kajian bersama Bank Dunia dan PBB menganggarkan, konflik itu telah mengurangkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di Lebanon hampir tiga peratus setahun, mengakibatkan kerugian sehingga AS$7.5 bilion (kira-kira RM25.1 billion).

Sementara itu, Jordan, negara yang miskin sumber menurut Guterres, kerajaan negara itu membayar beratus-ratus juta dolar tambahan subsidi bagi memastikan orang pelarian mendapat bekalan air, roti, gas dan elektrik pada harga yang sama dibayar rakyat Jordan.


KANAK-KANAK Syria ini bermain di kem pelarian Reyhanli iaitu kawasan sempadan Syria.


Dianggarkan kerajaan Jordan membelanjakan kira-kira AS$1.7 bilion (kira-kira RM5.7 billion) setakat ini untuk menanggung pelarian tersebut.

Beliau menambah, Turki membelanjakan AS$2.5 bilion (kira-kira RM8.4 bilion) untuk membantu pelarian Syria. Namun, sejak krisis itu meletus, kebanyakan negara menggunakan belanjawannya sendiri.

Sementara itu, di utara Iraq, jumlah penduduk Dohuk meningkat sebanyak 10 peratus kerana kebanjiran pelarian.

Menurut laporan awal Pelan 5 Tindak Balas Serantau UNHCR (RRP5) untuk tempoh Januari hingga Disember 2013, jumlah pelarian Syria yang berdaftar di Mesir mengatasi jangkaan awal 100,000.

Tiada khemah

Sehingga November 2013, jumlah pelarian Syria di Mesir berjumlah 130,000 orang.

Dengan ketiadaan khemah pelarian, pelarian Syria pada masa kini tinggal di tiga buah kawasan bandar di Mesir termasuk Greater Kaherah, Iskandariah dan Damietta juga kawasan pekan di seluruh negara, tambah laporan itu.

Menurut Guterres, berdasarkan jumlah ketibaan tahun lalu, UNHCR menjangkakan jumlah orang pelarian di rantau sekeliling Syria akan meningkat sehingga 4.1 juta menjelang akhir tahun 2014.

"Keperluan dan rakyat tempatan yang memberi perlindungan kepada mereka di negara-negara jiran adalah besar.

"Ketika konflik berterusan dan negara-negara jiran semakin menanggung beban yang berat, saya berharap lebih banyak negara tampil menyediakan perlindungan tambahan kepada pelarian Syria," tambahnya.

Persidangan Ikrar Kemanusiaan Antarabangsa Kedua untuk Syria diadakan di Kuwait pada 15 Januari lalu bertujuan mengumpul AS$6.5 bilion (RM21.7 bilion) untuk kira-kira 11.6 juta rakyat Syria yang terpaksa meninggalkan rumah mereka. Mereka berdepan dengan kesengsaraan hidup baik di tanah air mahupun di negara jiran.

Persidangan sehari itu yang dirasmikan Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah dan dipengerusikan oleh Ban Ki-moon bagaimanapun hanya dapat mengumpul AS$2.4 bilion (RM8.03 bilion). – BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved