Selasa, 4 Februari 2014

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Idea kreatif bakat muda

Posted:

Idea kreatif bakat muda

Idea kreatif bakat muda

Oleh HAFIZ AHMAD
mohammadhafiz.ahmad@kosmo.com.my

KETIKA melalui jalan raya yang sedang dibaik pulih, kelihatan kon-kon keselamatan berwarna jingga terang tersusun rapi sebagai satu isyarat kepada pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan tidak melalui garisan yang telah dihadkan.

Malangnya, terdapat juga sesetengah pemandu yang mengambil remeh 'amaran' ringkas itu dengan melanggarnya sehingga memecahkan kon yang berketinggian antara 600 hingga 700 milimeter (mm).

Mungkin juga perkara tersebut disebabkan sifat dan bentuk kon itu yang ringan dan mudah teranjak akibat geseran, angin kuat atau kenderaan berat.

Situasi itu memberi kesedaran kepada sekumpulan pelajar untuk mencipta satu produk inovasi untuk meningkatkan keupayaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Idea kreatif mereka berjaya menarik perhatian untuk diangkat sebagai antara yang terbaik dalam pertandingan Cabaran Rekabentuk Nasional 2013 (peringat Universiti).

Kon keselematan

Menghasilkan prototaip yang dipanggil Flexible Barrier (TriBar), Badrul Hisyam Baharom dan Luqman Hamidi Mohd. Hafil dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor berjaya mendapat hadiah pertama dengan menewaskan sembilan wakil dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara.

CYSPO rekaan Muhammad Alif (kiri) dan Mohamad Afif boleh menutup lubang yang terdapat di jalan raya.


TriBar merupakan kon keselamatan yang mampu mengurangkan kemalangan jalan raya terutamanya ketika kerja-kerja membaiki jalan raya. Ia lebih fleksibel dan boleh dilaraskan menjadi dua buah kon.

Menggunakan bahan cadangan plastik polyvinyl chloride (PVC), ia lebih ringan dan fleksibel dari segi berat malah mudah dikendalikan.

"Apabila dibuka, ia akan mempunyai tiga buah kon yang saling bersangkut memandangkan setiap kon disambung dengan dawai plastik," ujar Badrul Hisyam, 22, pelajar semester lima jurusan Seni Reka Perindustrian.

Dia menambah, sambungan dawai itu mudah dilenturkan untuk membuat lengkungan sehingga 30 darjah. Ia memudahkan pihak berkuasa untuk meletakkannya di tempat-tempat operasi tanpa perlu mempunyai kon yang banyak.

Selain itu, tapak TriBar lebih kukuh berdasarkan reka bentuk tiga segi dengan tapak yang rata. Malah, ia lebih menjimatkan memandangkan boleh direnggangkan sehingga 2.7 meter.

"Kosnya lebih efektif kerana harga cadangan untuk sebuah TriBar adalah sekitar RM150 berbanding harga pasaran sebuah kon keselamatan untuk sektor pembangunan sekitar RM120," ujarnya.

Faktor keselamatan turut dipertingkat dengan meletakkan pelekat reflektor dan penggunaan warna terang untuk memudahkan pemandu melihatnya dari jarak jauh.

"Berat bagi sebuah TriBar adalah sekitar satu hingga dua kilogram (kg), lebih ringan berbanding kon komersial sedia ada," jelas Luqman Hamidi, 22.

Bebola elastik

Bagi Mohamad Afif Aiman Mohammad Yusof dan Muhammad Alif Abu Ramli, juga dari UiTM Shah Alam, kerosakan jalan raya seperti jalan berlubang dan retak menjadi kajian utama melalui penghasilan produk yang dinamakan Cylinder Signage for Potholes (Cyspo).


BADAN Cyspo boleh dibuka untuk dijadikan alas jalan berlubang.


Dengan ketinggian 762 mm, ia berfungsi dengan memaklumkan pengguna keadaan jalan raya yang rosak melalui isyarat berlampu pada bahagian atas Cyspo.

"Selain itu, ia juga boleh menutup lubang-lubang kecil menggunakan bebola elastik bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas," ujar Muhammad Alif, 22.

Dia menjelaskan, bebola tersebut akan dialas menggunakan permukaan badan Cyspo yang boleh dibuka menjadi seperti tikar pengalas.

"Apabila dibentangkan, badan Cyspo mempunyai kelebaran lebih kurang 304 mm dan tahan untuk penggunaan sementara," ujarnya.

Jelas Mohamad Afif Aiman, 23, setakat ini prototaip tersebut masih mencari bahan yang sesuai untuk menggantikan bebola elastik untuk kegunaan dalam tempoh jangka masa panjang.

"Jika ada bahan yang sesuai, ia dapat membantu mengurangkan kesesakan akibat kerosakan jalan raya terutamanya di kawasan bandar.

"Pada masa sama, ia boleh digunakan dalam tempoh sementara waktu sebelum proses pembaikan dilakukan oleh pihak berkuasa," ujarnya.

Faktor emosi memainkan peranan penting dalam penghasilan prototaip Smiley Barricade ciptaan Noor Syuhada Husni dan Vivian Lam Shi Wei dari Fakulti Seni Reka dan Teknologi Kejuteraan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.

"Jika kebiasaannya kita melihat kon-kon sedia ada terlalu statik, kami cuba menyuntik rasa 'kegembiraan' pengunjung yang berada di sekitarnya," ujar Vivian.


KON diletakkan di sekeliling jalan yang rosak sebagai isyarat kepada pemandu supaya berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut bagi mengelakkan kemalangan. - Gambar hiasan


Berketinggian sekitar 1,000 mm, ia direka dengan bentuk seperti orang sedang tersenyum. Smiley Barricade tidak hanya diletakkan bersendirian kerana ia boleh disambungkan menjadi satu rantaian panjang.

"Kami merancang meletakkannya di acara keramaian seperti konsert kecil atau pusat beli-belah. Orang ramai yang melihatnya akan berasa aura positif dan ikut tersenyum," jelas Noor Syuhada.

Dia menambah, produk yang menggunakan bahan daripada polietilena ketumpatan tinggi (HDPE) itu mempunyai ketahanan dan tidak mudah rapuh.

"Dari segi keutuhan, ia turut ditampung dengan rekaan penyandang yang membolehkannya berdiri teguh dan tahan daripada tiupan angin atau gegaran sederhana," ujarnya.

Pemenang hadiah utama pertandingan ini menerima RM20,000 dan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis yang diadakan di Menara Matrade, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Terap cintai alam sekitar

Posted:

Terap cintai alam sekitar

Terap cintai alam sekitar


AHLI Persatuan Pandu Puteri, Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang, Selangor turut membantu menanam anak pokok bakau.


SEAWAL pukul 7 pagi, penduduk Kampung Sungai Sepang Besar, Bagan Lalang, Selangor sudah bersiap sedia untuk menyertai Program Pameran dan Ceramah Penjagaan Alam Sekitar dan Khidmat Masyarakat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Pertubuhan Warisan Alam Sekitar Malaysia (WASM).

Tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak, riak wajah mereka menunjukkan semangat jati diri yang tinggi dalam mencurah tenaga membersihkan kawasan kampung mereka.

Program tersebut merupakan salah satu cabang program tanggungjawab sosial korporat yang diadakan di Pusat Aktiviti WASM Pinggir Sungai Sepang Besar, Bagan Lalang, Selangor pada 25 Januari lalu. Ia mendapat kerjasama seluruh warga penduduk yang berbesar hati menjadi tuan rumah bagi melaksanakan program tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat dan Sokongan SKMM, Tengku Zaib Raja Ahmad, kesedaran untuk memelihara dan memulihara alam sekitar harus dipupuk dari rumah lagi.

"Setiap orang perlu tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar dan tidak meletakkan beban tersebut kepada pihak kerajaan atau swasta. Apabila setiap orang memahami peranan masing-masing maka, tidak banyak masalah yang timbul di kemudian hari," katanya yang juga merupakan Pengerusi Bersama WASM.

Dalam program berkenaan, pelbagai acara diatur termasuklah menanam pokok bakau yang melibatkan selebriti dan pelajar sekolah, pertandingan mengutip sampah, aktiviti rekreasi sungai, pertandingan memancing, pameran Go Green, jalur lebar serta aktiviti Klik Dengan Bijak (KDB) yang melibatkan komuniti setempat.

SEORANG pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra, Selangor ceria apabila berjaya memancing seekor ikan.


Mendidik

Pelaksanaan program tersebut juga merupakan salah satu usaha mendidik dan menyedarkan masyarakat untuk melibatkan diri dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Usaha-usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar telah banyak dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Justeru itu, sumbangan masyarakat untuk mempraktikkan amalan yang mesra alam memberi impak yang besar dalam menjamin kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Jangkauan dan Penglibatan SKMM, Eneng Faridah Iskandar menjelaskan, matlamat program tersebut termasuk melaksanakan program kesedaran awam keselamatan internet yang bertemakan "Klik dengan bijak" dalam kalangan penduduk di kawasan berkenaan.

"Melalui program ini, kami berharap dapat melahirkan masyarakat yang literasi terhadap internet dan mewujudkan rasa tanggungjawab dalam kalangan pengguna internet supaya beretika terhadap pengguna lain," ujarnya.

Satu peranti untuk semua

Posted:

Satu peranti untuk semua

Satu peranti untuk semua


MICROSOFT Corporation kini tampil dengan tablet terbaharunya, Surface Pro yang menggunakan sistem operasi Windows 8 Pro.


GERGASI perisian dan perkakasan komputer yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Microsoft Corporation kini memperkenalkan sebuah komputer riba dalam bentuk tablet, Surface Pro yang menggunakan sistem operasi, Windows 8 Pro. Didatangkan dengan paparan skrin ClearType definisi tinggi penuh (HD) seluas 26.92 sentimeter dan 10 poin sesentuh serta papan kekunci yang boleh dibuka, unit pemprosesan pusat peranti ini menggunakan pemproses CoreTM i5 Generasi Ketiga Intel dengan Grafik HD Intel 4000.

Selain itu, ia turut menawarkan slot memori microSDXC, sambungan USB 3.0 dan dua kamera camera web LifeCam HD 720p di bahagian depan dan belakang dengan True Colour, di samping kelengkapan mikrofon dan pembesar suara stereo.

Dengan berat kira-kira 0.9 kilogram dan keupayaan WiFi serta Bluetooth, tablet ini ditawarkan dengan storan 64 gigabait (GB) atau 128GB yang dapat memenuhi segenap aplikasi pengguna pada masa ini.

Aplikasi yang disediakan termasuk Windows Mail dan Messaging, SkyDrive, Internet Explorer 10, Bing dan Xbox Music. Selain itu, pengguna juga boleh memilih aplikasi keperluan daripada ribuan senarai yang terdapat di Windows Store.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved