Selasa, 4 Februari 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Giliran Jimenez buat laporan polis

Posted:

Giliran Jimenez buat laporan polis

Giliran Jimenez buat laporan polis

Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my

BALJIT (tengah) menjawab soalan pemberita selepas membuat laporan polis berhubung insiden di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan semalam. Turut kelihatan Jimenez (kanan) dan Fahmi.


KETUA jurulatih Johor Darul Takzim (Johor DT), Cesar Ferrando Jimenez membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan di dalam terowong masuk ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu.

Jimenez yang juga pengurus skuad Harimau Selatan membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan kira-kira pukul 2 petang semalam.

Turut mengiringi Jimenez ialah peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Onn Jabar dan Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Fahmy Yahya.

Baljit memberitahu, laporan itu dilakukan bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku sambil menyatakan Jimenez merupakan mangsa dalam kejadian tersebut.

"Terlalu banyak tohmahan mengenai insiden itu. Fakta juga tidak diberi dengan jelas dan disebabkan itu, dia (Jimenez) tampil buat laporan bahawa sebenarnya dia yang diserang oleh jurulatih kecergasan T-Team dan pemain yang memakai jersi No. 16 pasukan tersebut.

"Dalam insiden tersebut, kolar bajunya telah ditarik oleh jurulatih kecergasan T-Team, itu sebenarnya yang berlaku.

"Dia (Jimenez) diserang termasuk dengan kata-kata kesat dan selain daripada itu, tiada apa yang berlaku," dedahnya kepada pemberita.

Tambah Baljit, PBNJ juga akan menyiasat secara terperinci berkaitan perkara berkenaan termasuk mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat fitnah atau tohmahan tidak berasas.

"Pada masa sama, PBNJ akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan dalam satu kenyataan akhbar mengesahkan salah seorang pegawai skuad Johor DT telah membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut.

Beliau berkata, laporan polis itu telah dirujuk kepada pasukan penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan siasatan sedang dijalankan.

Kelmarin, pemain T-Team, pihak pengurusan dan jurulatih kecergasan pasukan berstatus kelab itu membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden tersebut.

Pemain dan jurulatih kecergasan T-Team yang didakwa terlibat ialah pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih, Stefano Impagliazzo.

Tonggak import T-Team trauma

Posted:

Tonggak import T-Team trauma

Tonggak import T-Team trauma

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


PENOLONG jurulatih T-Team, Azlan Johar (kiri) memerhatikan pemain import, Patrich Wanggai menjalani latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.


DUA tonggak import T-Team, Fabio Flor De Azevedo dan Evaldo Rodrigues, dilaporkan mengalami tekanan selepas insiden panas yang berlaku pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu.

Lebih mengejutkan, Rodrigues dan Fabio Flor turut dikatakan enggan lagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan mahu pulang ke negara kelahiran mereka, Brazil dalam masa terdekat.

Satu sumber memberitahu, kedua-dua pemain itu kini berada dalam keadaan trauma selepas kejadian tersebut.

Rodrigues didakwa telah dikasari ketika menuju bilik persalinan sebaik tamat separuh aksi babak pertama ketika berdepan Johor Darul Takzim (Johor DT).

Fabio Flor pula dikatakan telah diugut oleh seseorang dan kedua-dua pemain itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, malam kelmarin ekoran insiden tersebut.

Menurut sumber itu lagi, Rodrigues dan Fabio Flor mula menganggap situasi mereka semakin tidak selamat.

"Jangan kata pergi ke kedai makan, keluar dari bilik pun mereka sudah takut. Apa yang boleh saya katakan, mereka dalam keadaan trauma.

"Saya difahamkan kedua-dua pemain itu mahu balik ke Brazil selepas mendapati keselamatan mereka mula diancam.

"Ini sudah tentu memberikan masalah kepada pihak pengurusan T-Team.

"Bagaimana pasukan T-Team mahu mendapatkan lagi dua khidmat pemain import jika kedua-dua pemain terbabit tetap mahu menamatkan kontrak mereka serta-merta.

"Saya juga difahamkan mereka sedang mempertimbangkan untuk membuat aduan secara rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa berhubung kes yang terjadi di Larkin," jelas sumber itu lagi kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Jamshah Mustafa telah mengesahkan menerima empat laporan daripada T-Team berhubung insiden panas di Larkin.

Selain Rodrigues dan Fabio Flor, jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo turut dilaporkan menjadi mangsa kekasaran dalam insiden tersebut.

'Jangan hanya tahu salahkan FA'

Posted:

'Jangan hanya tahu salahkan FA'

'Jangan hanya tahu salahkan FA'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


SEBAHAGIAN pemain Kuala Lumpur yang hadir di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin untuk memberi keterangan.


DILUAH mati emak, ditelan mati bapa. Itu perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan nasib skuad bola sepak Kuala Lumpur yang dibelenggu gejala rasuah baru-baru ini.

Selepas dikatakan menghadapi krisis kewangan menjelang sepak mula Liga Premier musim lalu, tindakan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang terdesak memburu penaja akhirnya 'makan tuan' apabila para pemain mendakwa terpaksa berdepan beberapa arahan 'tidak masuk akal'.

Natijahnya, lima pemain Sang Helang digantung seumur hidup sementara baki 17 pemain Kuala Lumpur dikenakan denda RM5,000 seorang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk amaran keras kelmarin.

Biar apa jua yang berlaku, seorang pemerhati bola sepak menyifatkan senario itu tidak wajar diletakkan atas bahu mana-mana persatuan negeri semata-mata.

Sebaliknya, beliau mempersoalkan kredibiliti FAM menjaga 'anak' yang dilanda krisis seperti KLFA sehingga terpaksa berdepan situasi berkenaan termasuk isu rasuah.

"Jangan hanya tahu salahkan persatuan negeri (FA) dan juga pemain setiap kali berlakunya unsur rasuah.

"Apa lagi yang FA boleh lakukan jika berdepan krisis kewangan yang serius dan tidak lagi mempunyai pilihan lain bagi membayar tunggakan gaji pemain.

"Sebagai 'bapa', FAM seharusnya sedar gejala negatif ini hanya memalukan keluarga sendiri," katanya kepada Kosmo! semalam.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak mempertahankan keputusan jawatankuasa itu yang hanya mendenda pemain-pemain berkenaan.

Ini kerana, menurut beliau, kesemua pemain berkenaan berada dalam istilah under duress (bawah tekanan) pihak penaja setiap kali beraksi.

Taufek mendakwa, ada juga di antara pemain Sang Helang yang turut dipukul selain keselamatan keluarga terancam jika tidak mematuhi arahan berkenaan.

Mengulas lanjut, pemerhati itu menjelaskan FAM sepatutnya mengendalikan isu itu secara efektif sebelum mana-mana pasukan didatangi bookie.

"Kes ini cukup berat, siapa sangka rasuah kini boleh berlaku dengan macam-macam cara, hendak mendapat campur tangan menteri (Kementerian Belia dan Sukan) sudah tentu tidak boleh... jadi apa lagi yang FA boleh lakukan selain memohon pertolongan FAM.

"Saya difahamkan, ia bukan kes baharu kerana selain Kuala Lumpur, ada juga pasukan lain pernah berdepan senario yang sama sehingga terhumban ke saingan Liga FAM beberapa tahun sebelum ini," katanya.

Untuk rekod, lima pemain Kuala Lumpur - Fadhullah Yunsifar, Phoo Kai Lun, Khairul Anuar Shafie, Jeremy Danker dan Hafizi Rosle sebelum ini didenda sebanyak RM20,000 dan digantung seumur hidup atas kesalahan itu.

Ketua jurulatih dari Slovakia, Stanislav Lieskovsky, penolong pengurus Rosli Omar dan pegawai pasukan, Saari Jani pula antara tiga pegawai yang disabitkan kesalahan dan turut menerima hukuman serupa pada 20 Disember tahun lalu.

Seramai 17 pemain yang didenda RM5,000 pula ialah Muhammad Syafiq Johari, Mohd. Munir Amran, Muhammad Taufiq Mohd. Shukor, Ahmad Jihad Ismail, Muhamad Rafeef Raya, Mohd. Badrul Hisyam Azmi, Mohamad Ar'Rauf Roslee, Hishamuddin Othman, Muhammad Hanis Mohtar, Ahmad Dashila Tajudin, Azizon Abdul Kadir, Benedict Martin, Muhammad Syazwan Mohamed Rani, J. Mughilan Kartik, Muhammad Azwan Jatin, S. Sivaraj dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved