Selasa, 9 Julai 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Melihat kebesaran ciptaan Allah

Posted:

Melihat kebesaran ciptaan Allah

Melihat kebesaran ciptaan Allah

PADA 8 Julai lalu, umat Islam telah meneropong ke langit untuk melihat anak bulan awal bagi menandakan tarikh 1 Ramadan.

Jika dahulu ibu bapa ataupun nenek kita kerap menceritakan setiap kali pengumuman puasa atau raya dibuat pasti terdapat perbezaan tarikh berbanding yang tercatat pada kalendar.

Mohd. Hairul Nadhwa Rusman, 28, masih mengingati saat-saat menanti tarikh pertama bulan puasa ketika dia bersekolah dalam darjah dua iaitu ketika kali pertama dia belajar berpuasa.

"Saya rasa berdebar, tambahan pula apabila abang dan kakak menakut-nakutkan saya kononnya berpuasa boleh menyebabkan seseorang itu pengsan.

"Namun, ibu dan ayah beri semangat supaya berpuasa, jadi saya berbelah bahagi pada masa itu," katanya ketawa.

Jika puasa tidak jadi pada keesokan hari, anak ketujuh daripada lapan orang adik-beradik itu berasa gembira kerana dia masih boleh makan pada waktu siang untuk sehari lagi.

Dia yang telah berkahwin dan tinggal di Sabah mengakui mahu mendidik anak-anaknya nanti berpuasa sama seperti ibu bapanya mendidik anak-anak.

Pengalaman zaman kanak-kanak Mohd. Hairul sudah pasti turut dilalui mereka yang sama generasi, namun kini segala-galanya telah berubah.

Tahap kejituan tarikh yang terpapar pada kalendar sekarang sangat tinggi, jika dinyatakan ia jatuh pada hari esok, maka pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pasti pada tarikh yang sama.

Penetapan tarikh 1 Ramadan dan 1 Syawal tahun Hijrah ditentukan secara hisab dan rukyah di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Menurut Prof. Datuk Dr. Mohd. Zambri Zainuddin, keadaan tersebut berlaku kerana semua data yang dikumpul sejak tahun 1960-an seperti masa, tempat dan cuaca telah direkodkan.

Dengan rekod yang sedia ada, tarikh satu hari bulan dari Malaysia dan Indonesia disusun untuk menentukan tarikh tepat bulan Hijrah.

Antara syaratnya, keterangan anak bulan mesti lebih atau sama pada sudut dua darjah dari ufuk dan umur bulan tersebut ialah lapan jam ke atas.

Rata-rata masyarakat Malaysia sering kali mengaitkan astronomi atau falak syarie dengan aktiviti melihat anak bulan untuk menentukan tarikh kalendar, tarikh puasa serta arah kiblat sahaja.

Barangkali ia telah menjadi stereotaip. Ilmu angkasa dalam Islam hanya tidak terhenti setakat itu. Hakikatnya, jelas Zambri, Nabi Ibrahim merupakan manusia pertama yang mencerap langit menurut catatan al-Quran pada ayat 74 hingga 79 dalam surah al-An'aam.

Ayat tersebut menerangkan bahawa Nabi Ibrahim mencari Tuhan dengan memerhati peredaran matahari dan bulan.

Kemajuan sains astronomi dalam dunia Islam mencapai kemuncak sekitar kurun keenam hingga ke-18 apabila Khalifah al-Makmun menubuhkan Baitul Hikmah yang menjadi tempat pengumpulan cendekiawan pada masa itu.

Khalifah Abu Jafar al-Ma'mun ibn Harun (786-833), sering dikenali sebagai al-Ma'mun atau al-Makmun, merupakan seorang khalifah Kerajaan Bani Abbasiyyah dari tahun 813 sehingga 833 Masihi. Baginda ialah putera kedua kepada Khalifah Harun al-Rasyid dan menjadi khalifah bagi menggantikan abangnya, al-Amin.

Banyak buku sains berbahasa Yunani yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab telah membuat pembetulan terhadap kesalahan dalam teori yang dibuat oleh Ptolemy. Claudius Ptolemy hidup antara tahun 90 hingga 168 Sebelum Masihi.

Beliau merupakan penulis berketurunan Yunani-Romawi dari Iskandariyah, Mesir, tetapi memegang warganegara Rom. Beliau dikenali sebagai ahli nujum, matematik dan geografi.


KEMUDAHAN astronomi di Maragheh ini pernah mendapat perhatian dunia suatu ketika dahulu.


Tokoh terkenal

Teori Ptolemy menyatakan bahawa semua benda sempurna dalam bentuk bulatan walhal ia berbentuk bulat bujur.

Terang Zambri, ramai tokoh Islam yang terkenal dalam bidang astronomi seperti al-Biruni mempunyai teknologi peralatan falak yang sangat jitu. Al-Biruni merupakan seorang sarjana Muslim dan pakar dalam pelbagai bidang pada kurun ke-11. Beliau diiktiraf sebagai ilmuan terhebat ketika era kegemilangan Islam dan mahir dalam ilmu seperti matematik, astronomi dan sains semula jadi.

Al-Biruni juga amat dikenali sebagai pakar sejarah, ahli kronologi dan bahasa. Sebanyak 95 daripada 146 buah buku yang ditulisnya didedikasikan kepada astronomi, matematik dan subjek yang berkaitan geografi matematik.

Antara tinggalan yang masih boleh dilihat pada hari ini ialah Balai Cerap Maragheh di Iran. Ia menjadi tumpuan para astronomi di seluruh dunia pada waktu itu dan Balai Cerap Ulugh Beg di Samarkand, Uzbekistan.

Terdapat tiga cabang dalam bidang astronomi iaitu astrometri, fotometri dan spektroskopi. Selain falak syarie, ilmu falak sebenarnya mempunyai banyak kegunaan kepada umat Islam terutamanya dalam ibadah.

Antaranya, kedudukan bintang-bintang di langit dapat menentukan arah kiblat pada waktu malam.

"Terdapat lebih 128 ayat dalam al-Quran yang menyebut mengenai ilmu falak," terang Zambri ketika ditemui di Makmal Fizik Angkasa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Kata Zambri, ilmu falak perlu dipelajari oleh setiap umat Islam demi menjaga kemashalatan umum. Sebagai contoh, planet Zuhrah pernah mempunyai permukaan yang sama dengan Bumi, tetapi telah mengalami kesan rumah hijau sehingga ia menjadi kering.

Kandungan karbon dioksida dalam planet tersebut kira-kira 98 peratus menyebabkan segala kelembapan planet tersebut telah tiada.

"Ilmu seperti menentukan arah kiblat menggunakan kedudukan bintang amat penting supaya kita tidak terlalu bergantung kepada kuasa luar," jelasnya.

Ilmu angkasa lepas juga diperlukan bagi membolehkan manusia bersedia jika wujud sebarang ancaman.

Misalnya, kes jatuhan meteorit di Rusia beberapa bulan lalu tidak dapat dikesan kerana teknologi kini hanya mampu memantau benda asing berukuran lebih 100 meter.

Ilmu astronomi juga penting supaya tidak berlaku kecelaruan maklumat terutamanya dalam dunia teknologi maklumat.

Pernah tersebar fakta mengatakan bahawa arah kiblat berubah selepas beberapa siri gempa bumi, namun dakwaan itu disangkal oleh Zambri.

Hujahnya, Bumi terdiri daripada dua paksi iaitu putaran dan magnet. Paksi putaran sentiasa stabil pada sudut 23.5 darjah, manakala paksi magnet terdiri daripada kutub utara dan selatan yang ada perubahan, tetapi terlalu sedikit.

Justeru, tiada isu perubahan arah kiblat kerana paksi putaran Bumi sentiasa stabil.

"Terdapat dua tarikh yang boleh menentukan dengan tepat arah kiblat pada tahun ini iaitu pada 28 Mei, pukul 5.16 petang dan 16 Julai, 5.28 petang," ungkapnya.

Jika dibuat perbandingan di negara-negara Asia Tenggara, Malaysia agak ketinggalan berbanding Thailand dan Indonesia, namun terdapat peningkatan kesedaran dengan wujudnya persatuan peminat ilmu falak.

Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datin Dr. Azizan Baharuddin berkata, sains dalam Islam bertujuan supaya umatnya mengenali dan mendekatkan diri dengan Tuhan serta untuk kemashalatan manusia sejagat.


ASTROLAB ini digunakan untuk mendapatkan arah kiblat.


Ilmu sains

Saintis Islam tidak pernah memisahkan agama dengan sains sehinggakan pakar bedah, al-Zahrawi mereka alat pembedahan dengan meletakkan potongan ayat al-Quran pada alatannya.

"Alat Astrolab yang merupakan komputer pertama di dunia dicipta oleh seorang wanita bernama Fatima. Ia jelas menunjukkan bahawa Islam tidak pernah menafikan hak wanita dalam mendalami ilmu pengetahuan," ungkap Azizan ketika ditemui di ibu pejabat IKIM, Kuala Lumpur.

Fatima Muhammad Al-Fihri merupakan pengasas institusi pendidikan tertinggi di peringkat sarjana yang masih beroperasi sehingga kini iaitu Universiti Qarawiyyin di Fes, Maghribi.

Selain untuk mengenal Tuhan dan beribadat, sains sangat berguna untuk kemudahan masyarakat seperti pembuatan jam.

Ia berbeza dengan ilmu pengetahuan Barat yang begitu mahal dimiliki, malah sesetengah ilmunya tidak memberi manafaat kepada awam.

Ilmu pada zaman Yunani pula didasari oleh agama anutan mereka pada waktu tersebut iaitu Paganisme. Ilmunya banyak bersifat idea tanpa bukti.

Menurut Azizan, pemisahan agama dengan ilmu berlaku pada kurun ke-17 apabila golongan Prostetan melakukan bantahan terhadap penyelewangan gereja Katolik ketika Zaman Gelap Eropah.

Sejak itu, berlaku pemisahan dan Perang Epistomologi antara golongan yang percayakan tuhan dan mereka yang tidak percayakan tuhan iaitu ateis.

"Dengan memerhati alam sekitar, kita melihat kebesaran Allah sekali gus menambahkan keimanan selain dapat menghormati kejadiannya," katanya sambil menolak istilah alam semula jadi. Kepada Azizan istilah yang lebih tepat adalah alam tabii.

Al-Quran yang diturunkan kepada manusia bersifat relevan untuk semua zaman.

"Kebanyakan ilmuan Islam membuat penemuan baharu secara tidak sengaja seperti bermimpi dan dibuktikan dengan melakukan kajian," kata Azizan yang menyarankan supaya umat Islam membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya.

Ladang Orellana ternak Tarantula

Posted:

Ladang Orellana ternak Tarantula

Ladang Orellana ternak Tarantula


Seorang pekerja mengambil kotak yang berisi anak labah-labah yang baru menetas di sebuah premis di ladang tersebut.


SEBAGAI seekor haiwan peliharaan, serangga berkaki lapan itu sangat mudah dan murah untuk dijaga. Tiada masalah, baik dan senyap, malah agak berbulu.

Labah-labah tarantula yang bersaiz besar mungkin boleh menjadi pilihan kepada pencinta haiwan peliharaan.

Sebuah ladang di Chile menjalankan perniagaan eksport haiwan itu ke Asia, Eropah dan negara Amerika Syarikat untuk dijual kepada syarikat menjual haiwan eksotik.

Ia dijual pada harga AS$25 (RM79.64) termasuk pengangkutan dan perlu diberi makan seminggu sekali, lebih baik diberi makan lipas atau ulat hidup.

Tarantula mampu hidup sehingga 25 tahun terutamanya betina.

"Bukan semua orang boleh menjaga anjing atau kucing. Tarantula lebih murah dan tidak perlu diberi banyak perhatian.

"Dalam keadaan dunia telah berubah, teknologi canggih dan televisyen kabel memudahkan orang ramai belajar mengenai haiwan eksotik," kata doktor haiwan di ladang itu, Juan Gonzales.

Ladang tersebut dimiliki oleh Juan Pablo Orellana yang merupakan seorang ahli argonomi. Dia mengumpul dan memelihara tarantula jenis bulu rosea Chile (Grammostola rosea).

Ladang Orellana mengeksport lebih kurang 30,000 ekor tarantula setiap tahun. Ia dibungkus dalam kotak yang dibuat lubang berserta sijil sebagai pedigri.

"Bagi saya, bahagian paling seronok adalah ketika keluar mencari labah-labah baharu," kata Orellana.

Dia mengumpul haiwan daripada kelas araknid itu di bukit-bukau di luar ibu negara Chile, Santiago selain membela dan membiak spesies-spesies yang paling susah dicari.

Hanya 11 spesies tarantula dikelaskan secara saintifik, tetapi dia mendakwa terdapat 20 jenis yang berbeza.


SEEKOR tarantula yang berwarna merah turut dipelihara di ladang Orellana.


Kemudahan pembiakan

Ladang itu mempunyai spesies tarantula berwarna pelangi, merah pada bahagian abdomen, manakala yang lain mempunyai kulit berona tembaga dan kelainan pada jumlah bulu.

Selepas memenuhi rumahnya dengan labah-labah peliharaan, Orellana menubuhkan syarikat yang dipanggil Andespiders dengan menggaji beberapa orang ahli keluarganya.

Di kemudahan pembiakan, kebanyakan pekerjanya terdiri daripada golongan wanita.

"Ia merupakan kerja yang memerlukan intensif dan kepakaran, jadi saya lebih gemar pekerja wanita kerana haiwan ini mudah terjejas. Jika terpatah kaki atau terjatuh boleh menyebabkan kematian haiwan ini," terang Orellana.

Proses pembiakan melibatkan dan memerlukan sentuhan yang lembut. Ia mengambil masa dua setengah hingga tiga tahun bagi membesarkannya sehingga ke saiz yang boleh dijual.

Dalam pada itu, Gonzales berkata, tarantula mesti dipisahkan antara satu sama lain.

"Tarantula tidak boleh hidup bersama walaupun dengan pasangan sendiri. Ia mula bergaduh apabila sudah dewasa dan kita perlu memisahkannya bagi menggelakkan kanibalisme," ujar Gonzales.

Pelanggan terbesar mereka ialah Amerika Syarikat berdasarkan jumlah kuantiti dalam satu jualan, manakala para pembeli Eropah membeli kurang tarantula, tetapi pemilihan terhadap jenis lebih meluas, tambah Gonzales.

Dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini, ladang itu turut membekalkan labah-labah kepada Universiti Antofagasta, utara Chile yang sedang menjalankan kajian melawan kanser.

Kajian dibuat menggunakan racun labah-labah Chile dan kala jengking.

Di ladang itu, terdapat premis seakan-akan hospital, pekerja wanita dalam jubah putih dan menyarung sarung tangan getah serta topeng muka.

Mereka sedang memisahkan beratus-ratus labah-labah yang baru menetas ke dalam bekas plastik bersaiz kecil yang memiliki lubang-lubang pernafasan.

Pekerja-pekerja wanita itu sedang bekerja bagi memenuhi tempahan jualan sebanyak 3,000 ekor labah-labah dari Jerman.

Cuma, terdapat satu spesimen yang tidak akan dijual, seekor tarantula berwarna seperti kopi bernama Rufina. Ia merupakan hidupan besar yang diberikan oleh Orellana kepada isterinya ketika kali pertama membuat temu janji. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved