Ahad, 7 Julai 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Perlu persediaan spiritual

Posted:

Perlu persediaan spiritual

Perlu persediaan spiritual

BERGELAR doktor pakar dalam bidang masing-masing membuatkan pasangan suami isteri, Dr. Nor Faissal Yasin, 37, dan Dr. Julina Md. Noor, 37, sentiasa dihambat kesibukan dengan rutin kerjaya sehari-hari.

Tambahan pula, mereka bertugas di hospital yang berlainan, sekali gus memberi cabaran dalam aspek pengurusan masa berkualiti untuk bersama anak-anak.

Si suami merupakan doktor pakar bedah ortopedik di Hospital Selayang manakala si isteri menjawat jawatan sebagai pakar perubatan kecemasan di Hospital Sungai Buloh.

Bagaimanapun, apabila menjelangnya Ramadan, pasangan yang berputik cinta sewaktu melanjutkan pelajaran di United Kingdom itu, pasti akan berusaha meluangkan masa bersama keluarga sebagai persediaan meraikan kedatangan bulan penuh keberkatan.

"Sebagai doktor, kami terikat dengan jadual kerja masing-masing mengikut masa, malah perlu sentiasa bersedia jika bertugas atas panggilan aktif (oncall). Kadang-kadang, saya bertugas malam dan begitulah sebaliknya.

"Masa untuk bersama keluarga memang agak terbatas tetapi kehadiran bulan Ramadan yang datang setahun sekali akan cuba kami manfaatkan sebaik mungkin," ujar Nor Faissal ketika ditemui Kosmo! di kediamannya yang terletak di Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, sebagai ketua keluarga, beliau akan memastikan beberapa persediaan dalam aspek kerohanian dibuat bagi meningkatkan semangat untuk menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Antaranya termasuklah melakukan amalan berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis dalam bulan Rejab dan Syaaban yang turut dipraktikkan bersama anak-anaknya.

"Jika tidak dapat berpuasa dengan konsisten setiap minggu, paling kurang kami sekeluarga akan berpuasa tiga hari pada bulan-bulan tersebut. Ia sebagai langkah awal untuk mendidik jiwa sebelum menjalani ibadah puasa selama sebulan.

"Selain itu, dua atau tiga kali dalam seminggu, kami akan bangun mengerjakan solat tahajud dan qiamullail secara berjemaah. Pada awalnya, anak-anak mungkin agak liat untuk bangun solat malam kerana rasa mengantuk yang keterlaluan. Ia perkara normal.

"Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengajak anak-anak membuat kebaikan. Lama-kelamaan apabila mereka sudah terbiasa dengan amalan tersebut, ia boleh dilakukan sendirian," ungkap anak kelahiran Banting, Selangor itu.


KELETIHAN berpuasa bukan alasan untuk seseorang itu tidak meningkatkan amal ibadat pada bulan Ramadan.


Semangat berpuasa

Menurut Julina pula, mereka sekeluarga ada mengikuti majlis pengajian ilmu agama di sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang diadakan pada hujung minggu. Jadi, ia juga boleh dianggap sebagai bekalan dalam menghadapi kedatangan bulan Ramadan.

"Apabila kita belajar mengenai fadilat puasa Ramadan dan kebesaran mengenai bulan tersebut, secara tidak langsung ia akan meningkatkan keimanan kita untuk meraikannya dengan sepenuh hati.

"Bukan sahaja golongan dewasa tetapi anak-anak yang masih kecil juga perlu diberitahu tentang kemuliaan bulan ini kerana saya percaya pada peribahasa 'melentur buluh biarlah daripada rebungnya'.

"Jika daripada kecil kita sudah menyemai semangat berpuasa pada anak- anak, insya-Allah, mereka akan istiqamah melakukan kewajipan ini sehingga dewasa kelak," tutur Julina sambil membetulkan tudung anaknya, Syafa Humaira, lima tahun yang sedang membaca Iqra.

Anak sulung pasangan tersebut, Ahmad Muizz, 11, mengakui sudah belajar berpuasa seawal usia enam tahun. Murid tahun lima di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 itu berkata, ayah dan ibunya banyak memberi dorongan untuk melakukan ibadah berpuasa.

"Mula-mula memang rasa susah untuk berpuasa penuh dan bangun solat malam tetapi bila diri sudah dibiasakan dengan amalan tersebut, kita boleh melakukannya," kata Ahmad Muizz sambil tersenyum.

Sementara itu, pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew memberitahu, banyak hadis Nabi SAW yang memperkatakan tentang kelebihan bulan Ramadan.

Bulan mengumpul pahala

Oleh itu, sebagai umatnya, kita haruslah merebut peluang mengutip sebanyak mana pahala yang telah dijanjikan Allah pada bulan tersebut.

Menurut beliau, tiada istilah sudah terlambat untuk membuat persediaan rohani dan jasmani meskipun Ramadan hanya berbaki beberapa hari lagi.

"Banyak pendapat mengatakan jika seseorang itu tidak memperbaiki diri pada bulan Rejab dan Syaaban sebelum tibanya bulan Ramadan, maka amalan puasa mereka mungkin tidak sempurna.

"Harus diingat bahawa rahmat Allah itu terlalu luas. Jika tidak sempat bertaubat dan menyucikan diri pada bulan-bulan yang disebutkan di atas, umat Islam masih mempunyai ruang untuk melakukannya selagi hayat dikandung badan.

"Gunakan masa yang ada sebelum tibanya Ramadan untuk kita mempelajari tentang kemuliaan bulan ini. Baca buku-buku berkaitan fadilat Ramadan yang banyak terdapat di pasaran untuk membuka mata hati kita mengenainya," jelas Ebit Lew.


SEBAGAI ketua keluarga, Nor Faissal sentiasa memastikan anak-anak mendapat didikan agama secukupnya.


Tambahnya, Ramadan perlu disambut dengan perasaan yang penuh gembira seolah-olah untuk bertemu dengan kekasih hati yang amat dirindui.

"Rasulullah dan para sahabat dahulu bersemangat dan sangat teruja menunggu tibanya bulan 1,000 rahmat itu. Malah, Baginda pernah bersabda: 'Barang siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka Allah akan mengampuni segala dosa-dosanya yang lalu.'

"Justeru, tidak hairanlah jika pada bulan ini, ramai pelaku maksiat seperti kaki botol, kaki zina atau orang yang meninggalkan solat akan bertaubat daripada dosa mereka. Semuanya dengan keberkatan Ramadan.

"Sekiranya pada bulan Ramadan ini kita tidak mendapat keampunan Allah, maka kita termasuk dalam golongan mereka yang binasa seperti doa Jibril yang diaminkan oleh Rasulullah ketika sedang menaiki mimbar di Masjid Nabawi," jelasnya.

Peristiwa itu diriwayatkan oleh sahabat Nabi, Ka'ab bin Ujrah r.a, bahawasanya Rasulullah telah bersabda: "Hadirlah ke mimbar."

Maka kami pun telah hadir. Apabila Baginda naik satu anak tangga mimbar, Baginda berkata: "Amin" dan apabila naik anak tangga kedua, Baginda berkata: "Amin" dan apabila naik anak tangga yang ketiga, Baginda berkata: "Amin".

Apabila Baginda turun, kami pun bertanya: "Ya Rasulullah, hari ini sesungguhnya kami telah mendengar sesuatu yang belum pernah kami dengar."

Maka Nabi bersabda: "Sesungguhnya Jibril telah muncul kepadaku dan berkata, 'binasalah dia yang bertemu Ramadan tetapi belum juga diampunkan'. Maka aku berkata, 'Amin'.

"Apabila aku naik anak tangga yang kedua, Jibril berkata, 'binasalah dia yang apabila nama engkau disebutkan di depannya, tidak pula dia berselawat ke atasmu'.

"Aku juga berkata, 'Amin'. Apabila aku naik anak tangga yang ketiga, Jibril berkata, 'binasalah dia yang bertemu kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya yang telah tua tetapi mereka tidak menjadikan ia sebab untuk dia masuk ke dalam syurga'. Aku berkata, 'Amin'."

Sebelum mengakhiri bicara, Ebit Lew turut melahirkan harapan agar setiap umat Islam di negara ini akan memanfaatkan kedatangan bulan Ramadan dengan sebaik mungkin.

"Jangan lupa bahawa pada bulan ini rahmat Allah turun mencurah-curah. Jadi, gunakanlah kesempatan yang ada untuk melakukan segala kebaikan. Bagi mereka yang mungkin merasakan diri mereka jahat, ingatlah bahawa Wahsyi, pembunuh bapa saudara Nabi, Saidina Hamzah Abi Talib juga mendapat hidayah memeluk Islam pada bulan Ramadan.

"Yakinlah dengan janji Allah bahawa setiap dosa pasti diampunkan sekiranya kita bertaubat melainkan dosa syirik kepada-Nya," ungkap beliau.

Teater pertama warga emas

Posted:

Teater pertama warga emas

Teater pertama warga emas


UNSUR tarian balet Polovstsian yang dimuatkan dalam teater ini mendapat pujian pengkritik.


PADA usia emas kebanyakan orang lebih suka menghabiskan masa di rumah berehat bersama keluarga. Bagaimanapun, bagi Yury Lyubimov, pada usia 95 tahun, dia mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menghasilkan pementasan teater pertamanya di Bolshoi Theatre, Rusia.

Teater yang bertajuk Putera Igor itu merupakan versi terbaharu daripada opera Borodin. Lyubimov merupakan ketua dan pengasas Teater Taganka Moscow sejak lima dekad lalu.

Dia juga mendapat sanjungan dari seluruh dunia menerusi nilai seni visual dan uji kaji teater yang telah dihasilkannya. Penglibatan Lyubimov dalam bidang teater terhenti dua tahun lalu. Disebabkan minat yang mendalam dalam bidang teater, dia masih meneruskan kerjayanya itu walaupun pada usia lanjut.

Teater Putera Igor merupakan kolaborasi pertama Lyubimov dan Theatre Bolshoi iaitu salah sebuah institusi komuniti teater yang terkenal di Rusia.

Tahun lalu, Lyubimov mengalami serangan jantung dan telah menetapkan semula tayangan perdana di Bolshoi Theatre enam bulan lalu. Dengan rasa penuh tanggungjawab, dia tetap hadir semasa sesi latihan pada 8 Jun lalu.

Semasa sesi latihan baru-baru ini, Lyubimov hadir dengan memakai selendangnya dan mengadakan perbincangan dengan pembantunya. Sepanjang latihan, dia mengeluh panjang sambil mengangkat-angkat tongkat yang digunakan sejak dia mengalami masalah kesihatan tahun lalu.

Dengan bantuan dua orang komposer, Pavel Karmanov dan Vladimir Martynov, dia berjaya mengurangkan tempoh masa teater itu dari empat jam kepada dua jam setengah mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Bolshoi Theatre sejak 1898.

Nyanyian sepanjang persembahan teater itu diadaptasi daripada sebuah sastera abad ke-12 Rusia yang bertajuk Tale of Igor's Campaign. Karya tersebut berkisar tentang percubaan seorang putera Rusia untuk memerangi puak Polovtsian iaitu masyarakat nomad yang tinggal di selatan negara itu.

Namun, set teater arahannya itu ternyata tiada persamaan dengan set mewah asal yang digunakan di Bolshoi Theatre.

Reka bentuk set teater yang ditonjolkan oleh Lyubimov bercirikan metafora dengan penggunaan bayang-bayang dan tona warna sebagai subjek utama.

Pemuzik terhebat

Semasa babak serangan hendap tentera Putera Igor ke atas Polovtsian, pelakon-pelakon yang terlibat turun ke pentas menggunakan tali yang menghadap cahaya matahari.

"Elemen-elemen tradisional di dalam teater Putera Igor sudah lenyap," ujar pereka set teater itu, Zinovy Margolin yang menggambarkan bekerja di bawah produksi Lyubimov sebagai satu penyeksaan.

"Lyubimov suka mencipta gaya tersendiri dan dia tidak boleh mengubahnya hanya kerana produksinya berada di Bolshoi," jelasnya.


PARA pelakon turun ke pentas menggunakan tali ketika babak serangan hendap.


Persembahan teater merupakan projek panjang untuk seorang komposer, Alexander Borodin yang digelar Mighty Handful di Rusia. Dia merupakan salah seorang daripada lima pemuzik terhebat abad ke-19 selain daripada ikolai Rimsky-Korsakov dan Modest Mussorgsky.

Borodin merupakan seorang ahli kimia profesional yang mengajar di sekolah perubatan dan aktif dalam kempen memperjuangkan hak-hak wanita.

Kemarahan pengkritik

Borodin bekerja dalam teater Putera Igor selama 18 tahun sehingga kematiannya pada tahun 1887. Ketika itu, dia mati bersama timbunan kertas-kertas nota muziknya. Rakannya yang juga merupakan seorang komposer telah menyusun dan mencari nota-nota muzik yang hilang.

Menurut pengarah muzik dan ketua konduktor, Vassily Sinaisky, walaupun teater tersebut merupakan kesinambungan daripada hasil kerja Borodin, Lyubimov memilih muzik yang bersesuaian dengan konsepnya. Dia juga membuang sesetengah rentak sehingga mengakibatkan ia menjadi kucar-kacir.

Perbuatan memendekkan muzik dalam opera itu telah menimbulkan kemarahan para pengkritik. Dalam kalangan mereka bergurau dengan menyanyikan bait-bait yang tiada dalam opera itu.

Namun, mereka ternyata terpikat apabila Lyubimov memasukkan tarian balet Polovtsian dalam teater itu. Tarian itu dicipta oleh Kasyan Goleizovsky pada tahun 1934. Goleizovsky merupakan koreografer berpengaruh besar dalam balet titan George Balanchine.

"Usaha pengarah terhebat abad ke-20 di Bolshoi Theatre ini merupakan sebuah persembahan opera ringan yang mempunyai pelbagai jenis tarian," lapor Kommersant, sebuah akhbar harian di Rusia yang ternyata kurang senang dengan visi radikal daripada seorang pengarah teater terkenal itu.

Dilahirkan sebelum revolusi 1917, Lyubimov telah mengarah produksi teater avant-garde sejak tahun 1960-an. Kebanyakan karyanya diterima baik di Barat terutama selepas kewarganegaraan Sovietnya dibatalkan buat sementara waktu pada tahun 1984 disebabkan pandangannya yang menentang kerajaan.

Selepas menerajui akademi teater di Moscow, Taganka Theatre selama separuh abad, Lyubimov berhenti pada tahun 2011. Akibat prestasi akademi itu jatuh merudum, dia dituduh pemalas dan hanya berminat dengan wang. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved