Isnin, 8 Julai 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Lelaki pilihan Maria

Posted:

Lelaki pilihan Maria

Lelaki pilihan Maria

AKTRES Maria Farida, orangnya cukup cantik, langsing, kulit putih melepak dan wajahnya sentiasa dihias dengan senyuman manis.

Sekali pandang dengan busana hijau terang yang disarungnya, Maria tidak ubah seperti anak dara. Namun hakikatnya tahun ini, pemilik nama sebenar Maria Faridah Atienza itu sudah menjangkau usia 44 tahun.

Tersipu malu saat dipuji, ibu kepada Mizan Ashley, 16, itu yang sudah menjanda lebih 10 tahun tidak menolak andai dia ditemukan jodoh dengan lelaki lebih muda atau lebih tua daripadanya.

"Saya bukanlah jenis yang cerewet dan bukan cari lelaki yang sempurna tetapi pada usia sekarang saya tidak mahu bercinta lama-lama.

"Sebaliknya jika saya bercinta, lelaki itu bakal menjadi suami saya. Saya tidak kisah jika umurnya 30-an atau 60 tahun sekalipun. Janji, lelaki itu ikhlas untuk menerima diri saya bersama anak lelaki kesayangan saya," jawabnya.

Mustahil wanita cantik sepertinya tidak dikejar lelaki terutamanya lelaki yang berstatus dan kaya raya. Akuinya, dia pernah dilamar ramai lelaki kaya, namun, Maria mempunyai sebab untuk menolak semua lamaran itu.

"Tipulah kalau saya kata tidak ada lelaki yang lamar saya. Memang ramai yang melamar tetapi hati tidak berkenan. Kalau saya jenis wanita yang kejar wang ringgit sudah lama saya berkahwin dan sekarang sudah bergelar puan sri agaknya (ketawa).

"Bagi saya tidak kisahlah berapa umur lelaki itu, apa yang penting saya harus cintakan dia bukan kekayaannya. Jika tidak, saya lebih rela tidak berkahwin kerana saya boleh cari duit sendiri tanpa bantuan sesiapa pun," ujarnya serius.

Namun begitu, lelaki yang ingin memenangi hati Maria haruslah mempunyai taraf ekonomi yang stabil.

"Bukanlah saya mahu lelaki yang bergelar jutawan. Memadai lelaki itu mampu menanggung saya dan anak tanpa menyusahkan saya.

"Memang saya mengaku anak saya mempunyai selera yang tinggi. Saya juga suka membeli-belah barangan yang agak mahal tetapi itu semua hasil usaha saya sendiri.

"Jika berkahwin, saya harus mengubah cara perbelanjaan saya selama ini, susahlah. Jadi, lelaki itu harus mempunyai ekonomi yang cukup stabil," tuturnya.

Bagaimanapun sehingga hari ini status Maria masih lagi solo. Katanya jika dia mahu berkahwin, pasti berita gembira itu akan dikongsi bersama.

"Andai benar saya akan berkahwin, jangan risau, saya akan berkongsi berita itu bersama semua orang kerana itu perkara yang baik.

"Jadi, jika saya kata tidak ada maknanya memang saya tidak bersama sesiapalah. Sebelum ini kalau ada pun mereka mendekati saya sebab populariti saya sebagai pelakon.

FIGURA jelita ini mengakui dia gemar membeli-belah barangan yang agak mahal harganya.


"Selain stabil ekonomi dan ikhlas, saya mahu lelaki yang boleh beri komitmen sepenuhnya pada keluarga. Jika memenuhi semua kriteria itu barulah saya akan pertimbangkan untuk berkahwin," balasnya dengan senyuman.

Tidak tergugat

Maria yang mula berlakon sejak usia belasan tahun nampaknya masih laku sehingga ke hari ini walaupun ramai pelakon muda membanjiri industri seni tanah air sejak kebelakangan ini.

Tidak pernah rasa tergugat dengan kemunculan pelakon wanita muda, tegas Maria situasi itu adalah normal untuk aktres seusianya.

"Memang ramai pelakon muda sekarang ini tetapi saya okey sahaja tidak rasa tergugat kerana tawaran lakonan sentiasa ada.

"Ada waktunya, saya perlu menolak beberapa tawaran lakonan kerana jadual yang bertindih. Saya bersyukur dengan apa yang saya ada hari ini," katanya.

Tambahnya, pada usia 40-an, dia kerap ditawarkan watak ibu daripada watak utama dan dia menerima perubahan itu dengan baik.

"Sebelum ini, saya kerap diberikan watak wanita penggoda dan antagonis. Biasalah apabila sudah meningkat usia, ada beberapa watak yang sesuai dengan saya seperti watak ibu.

"Saya tidak kisah membawakan watak seorang ibu kerana saya sudah merasa zaman bawa watak utama dan wanita muda. Selagi saya selesa dengan watak yang diberikan, itu bukan masalah buat saya," tuturnya.

Rehat sebulan

Sepanjang bulan Ramadan, Maria sudah merancang untuk berehat selama sebulan selepas tidak berehat sejak tahun lepas.

Cuma sebelum Ramadan, Maria akan terlibat dengan penggambaran filem Showdown bersama aktres Izara Aishah sebelum berehat panjang.

"Penggambaran filem untuk babak saya hanya seminggu sahaja sebelum Ramadan, jadi selepas itu saya akan berehat dan menikmati bulan Ramadan dengan penuh penghayatan bersama anak.

"Mungkin selepas raya baru saya akan bekerja semula seperti biasa. Saya mahu ambil kesempatan ini untuk menghabiskan lebih masa bersama anak, kadang-kala saya sedar anak saya terasa kerana saya terlalu sibuk bekerja," ujarnya.

Bercerita lanjut tentang Ramadan, kata bintang filem Femina itu, bulan Ramadan akan diisi dengan amal ibadah berbuka puasa bersama keluarganya.

"Bulan Ramadan saya biasa sahaja, solat terawih dan berbuka dengan keluarga. Saya tidak mempunyai kampung di luar ibu kota kerana saya berasal dari Kuala Lumpur.

"Jika orang lain teruja ingin pulang ke kampung pada bulan Ramadan, saya hanya menyambutnya di Kuala Lumpur kerana seluruh keluarga saya berada di sini. Begitu juga dengan hari raya, kami tidak perlu bersesak untuk pulang ke kampung," jawabnya sambil tersenyum.

Lisa Surihani bakal diarah Yusry

Posted:

Lisa Surihani bakal diarah Yusry

Lisa Surihani bakal diarah Yusry

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


LISA SURIHANI pertama kali akan berlakon di bawah arahan suaminya, Yusry. Dia mengaku, tidak mengetahui Yusry merupakan pengarah filem tersebut sehingga diberitahu penerbit.


SEJAK menjadi isteri kepada pengarah dan pelakon Yusry Abdul Halim, ternyata kemunculan Lisa Surihani sama ada di kaca televisyen atau layar perak agak berkurangan.

Berkesempatan menemuinya semasa pelancaran produk kecantikan terbaharu Garnier di Bangsar Village, Kuala Lumpur baru-baru ini, Lisa menjelaskan dia masih lagi aktif dengan kerjaya lakonannya.

Ujar Lisa, suaminya juga langsung tidak menghalang untuk dia terus berlakon, namun mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan yang diberikan lantaran diberikan watak yang pernah dibawakannya sebelum ini.

Selain itu, dia mendedahkan bahawa buat julung-julung kalinya dia akan berlakon dalam sebuah filem yang diarahkan suaminya setelah pernah sama-sama berlakon dalam filem berjudul Ular sebelum ini.

Kosmo!: Lisa memberitahu akan berlakon dalam sebuah filem arahan Yusry, jadi boleh jelaskan lebih lanjut mengenainya?

LISA: Saya ingin meminta maaf kerana tidak boleh mendedahkan lebih lanjut mengenainya memandangkan pihak penerbit akan mengadakan satu sidang akhbar mengenainya nanti. Apa yang boleh saya beritahu bahawa filem tersebut akan diarahkan oleh Yusry dan penggambaran dijangka bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Adakah anda menerima tawaran tersebut kerana ia diarahkan oleh suami sendiri?

Sebenarnya ia bukanlah faktor utama saya terima tawaran itu, sebaliknya saya agak tertarik dengan jalan ceritanya. Lagipun saya diberitahu Yusry akan mengarahkan filem berkenaan sewaktu saya dihubungi oleh pihak produksi.

Bagaimanakah pula kalau timbul dakwaan yang mengatakan tawaran itu diberikan kerana anda merupakan isteri kepada Yusry?

Untuk pengetahuan semua, dakwaan tersebut memang tidak benar sama sekali, malah saya juga tidak terus diterima untuk berlakon dalam filem tersebut. Sebaliknya, saya perlu menjalani sesi uji bakat bersama pihak produksi terlebih dahulu untuk melihat kesesuaian watak yang akan saya lakonkan nanti. Kalau saya gagal dalam uji bakat itu pastinya saya tidak akan diterima berlakon, meskipun ia diarahkan suami sendiri.


LISA dan Yusry masih berharap untuk dikurniakan cahaya mata.


Apakah perasaan anda apabila diberitahu Yusry bakal mengarahkan filem tersebut?

Sebelum ini kami pernah berlakon bersama dalam filem berjudul Ular. Jadi, dapat berlakon dalam filem yang diarahkan oleh suami sendiri pastinya saya berasa cukup teruja. Sebenarnya saya selalu mengikut Yusry pergi bekerja dan dapat melihat sendiri kerja-kerja yang dilakukannya. Semasa menghasilkan filem Vikingdom, saya lihat cara kerja Yusry cukup profesional.

Sebelum ini, anda bernaung di bawah syarikat Metrowealth selama lima tahun sebelum mengambil keputusan untuk keluar. Bagaimanakah pergerakan karier seni anda selepas tidak lagi bersama Metrowealth?

Bagi saya tidak terdapat banyak perbezaan yang ketara. Kalau dahulu ada orang yang menguruskan jadual lakonan serta sesi fotografi, kini saya terpaksa melakukannya sendiri. Sebenarnya ia memberi manfaat buat diri saya untuk mendapat lebih banyak lagi pengalaman. Lagipun semasa hendak keluar dahulu saya ada memberitahu David Teo yang saya ingin berdikari.

Bagaimanakah jadual anda semasa bulan puasa ini?

Setakat ini tiada sebarang penggambaran drama atau filem yang melibatkan saya semasa bulan puasa. Saya lebih banyak terikat dengan aktiviti berbuka puasa yang dianjurkan oleh beberapa produk yang melibatkan saya. Nampak seperti saya tidak banyak kerja, namun apabila melihat jadual, rupa-rupanya saya cuma ada lima hari sahaja waktu bercuti sepanjang puasa nanti. Jadi, waktu yang ada itu saya luangkan untuk berbuka puasa bersama suami dan keluarga.

Ceritakan sedikit tentang kerjasama anda dan produk kecantikan Garnier?

Kerjasama saya dengan Garnier sudah memasuki tahun keempat dan saya memang merupakan pengguna setia produk ini sejak dari sekolah menengah lagi. Produk ini memang cukup sesuai untuk penjagaan kulit muka agar kelihatan sihat dan bersih.

Era FM sambut bayi Ira secara langsung

Posted:

Era FM sambut bayi Ira secara langsung

Era FM sambut bayi Ira secara langsung

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

IRA dan Shazril teruja menanti kelahiran zuriat sulung mereka.


BUAT pertama kalinya dalam sejarah stesen radio, Era FM bakal membuat liputan secara langsung menyambut kelahiran bayi untuk para pendengar setianya.

Lebih menarik, detik kelahiran bayi yang bakal disiarkan secara langsung oleh radio Era FM itu merupakan anak sulung kepada salah seorang penyampai radio tersebut iaitu Ira Mohd. Amin.

Selain Ira yang merupakan satu-satunya penyampai radio wanita Era FM yang sudah berumah tangga dan bakal memiliki anak, Era FM turut mempunyai seorang lagi penyampai wanita iaitu penyanyi dan juga pengacara Dina Nadzir.

Secara tidak langsung, bayi Ira itu juga bakal menjadi bayi baharu untuk stesen radio tersebut.

Menelusuri hati Ira, penyampai berusia 29 tahun itu mengakui, sebagai ahli keluarga Era FM dia teruja bayinya bakal disambut secara langsung oleh stesen berkenaan.

Ujar Ira lagi, ketika bintang Akdemi Fantasia, Zahid berkahwin, Era FM juga membuat siaran langsung majlis perkahwinannya untuk para pendengar setia mereka.

Pada masa yang sama, Ira juga mendedahkan rasa gementar kerana kelahiran sulungnya itu bukan secara normal sebaliknya secara paksa (induced labour).

Ditebak adakah dia bersalin disebabkan liputan secara langsung Era FM itu, ulas Ira, kelahiran secara paksa itu terpaksa dilakukan kerana air ketuban dalam tubuhnya semakin berkurangan.

"Sepatutnya saya dijangka bersalin pada 28 Julai ini. Tetapi, selepas membuat pemeriksaan baru-baru ini doktor dapati air ketuban dalam tubuh saya semakin kurang.

"Doktor beritahu air ketuban yang berkurangan boleh mengancam nyawa bayi jadi saya terpaksa bersalin secara paksa dan kemungkinannya pada minggu depan," ungkap Ira ketika ditemui selepas menjadi tetamu jemputan bagi segmen Johara Pagi Era bersama trio Johan, Ray dan Hanif di radio Era RM, Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Turut dijemput bersama Ira pada segmen Johara Pagi Era ialah suaminya, Shazril Ezani Razali dan juga doktor yang bakal menyambut kelahiran bayi Ira. Perunding Obstetrik & Pakar Sakit Puan, Dr. Thaneemalai Jeganathan.

Mengulas mengenai masalah yang dihadapi Ira, Thaneemalai berkata, Ira mengalami masalah pada plasenta yang menyebabkan bekalan darah dan nutrien berkurangan pada bayi dan menyebabkan bayi berhenti mengitar semula cecair ketuban.

"Bila plasenta tidak berfungsi bayi berhenti mengitar cecair ketuban dan bayi akan kekurangan makanan. Cecair ketuban yang berkurangan boleh menyebabkan anak mati dalam perut. Disebabkan itu, Ira terpaksa bersalin secara paksa bagi mengelakkan perkara itu berlaku," jelasnya.


UNIK. Kelahiran anak sulung Ira bakal mendapat liputan secara langsung Era FM.


Mengulas lanjut, ujar Thaneemalai, punca kekurangan air ketuban disebabkan beberapa faktor seperti uri tidak berfungi dengan baik, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Tuturnya lagi, ibu yang kekurangan air ketuban juga perlu kerap dipantau perkembangan bayinya. Begitu juga Ira yang perlu menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu.

Dalam pada itu, Kosmo! turut menebak hati Shazril mengenai kelahiran bayi sulung mereka itu dan dalam masa yang sama disiarkan secara langsung untuk stesen radio Era FM.

Bagi Shazril, dia tidak keberatan membenarkan radio Era FM membuat liputan secara langsung menyambut kelahiran anak sulungnya nanti.

"Saya okay tetapi bergantung juga keadaan Ira pada masa itu. Kami masih lagi berbincang dengan pihak Era FM mengenai proses rakaman secara langsung itu sama ada ia dibuat semasa proses kelahiran atau ketika menyambut bayi," ujarnya,

Berkongsi lanjut, kata Shazril, dia lebih risau apabila mendapat tahu Ira bakal bersalin secara paksa.

Ulasnya lagi, dia tidak tahu apa sebenarnya prosedur bersalin secara paksa sehingga dijelaskan oleh doktor Thaneemalai dan mendapat maklumat melalui internet.

"Mula-mula saya tidak faham prosedur induce. Tetapi selepas diterangkan oleh doktor dan membuat kajian melalui internet, saya mulai memahaminya tetapi masih berasa gementar," ujarnya yang sentiasa memantau keadaan Ira ketika ini.

Ira yang mendengar jawapan suaminya turut memberitahu, Shazril banyak memberi sokongan malah sentiasa membuat kajian di internet mengenai perkembangan ibu mengandung.

"Ira lebih rajin tengok internet mengenai senaman yang perlu dilakukan oleh ibu mengandung dan bagaimana proses kelahiran melalui paksa dan sebagainya," ungkapnya yang bakal melahirkan cahaya mata lelaki itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved