Isnin, 8 Julai 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Lima aduan PBNJ sudah selesai

Posted:

Lima aduan PBNJ sudah selesai

Lima aduan PBNJ sudah selesai

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

HAMIDIN (kanan) memaklumkan FAM akan memberi respons terhadap aduan yang dikemukakan mana-mana FA negeri atau kelab.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak pernah 'membisu' berhubung aduan terhadap mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M).

Sebaliknya, FAM akan memberikan respons terhadap setiap aduan yang dikemukakan oleh mana-mana persatuan bola sepak (FA) negeri atau kelab.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan meluahkan rasa kesal terhadap mutu pengadilan Liga M.

Zulkurnain berkata demikian sehari selepas menyaksikan perlawanan antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Selangor pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu.

Menurut Zulkurnain, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) telah membuat lebih daripada lima aduan rasmi kepada FAM, namun tiada satu jawapan yang diterima daripada badan induk itu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memberitahu, pihaknya telah memberikan penjelasan terhadap setiap aduan yang dikemukakan oleh PBNJ.

"FAM tidak pernah mengambil pendekatan berpeluk tubuh. FAM telah memberikan maklum balas terhadap setiap aduan yang dikemukakan PBNJ.

"Saya telah merujuk kepada jawatankuasa berkenaan (Jawatankuasa Pengadil FAM) dan (bekas Setiausaha Agung FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang mengesahkan setiap aduan PBNJ telah dijawab.

"Buat masa ini, apa yang boleh saya sahkan bahawa aduan baharu daripada mana-mana pasukan mengenai mutu pengadilan Liga M masih belum diterima," kata Hamidin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan lain, Hamidin turut mengulas mengenai peraturan pinjaman pemain bagi menghadapi kempen Piala Malaysia 2013 yang akan membuka tirai 17 Ogos depan.

"Mulai musim ini, FAM tidak membenarkan mana-mana pasukan meminjam pemain luar pada kempen Piala Malaysia.

"Peraturan itu telah diumumkan sebelum tirai Liga M bermula musim ini. Jadi, saya berharap tiada sebarang isu ditimbulkan berhubung peraturan ini," katanya.

Tiga pemain terima hukuman

Posted:

Tiga pemain terima hukuman

Tiga pemain terima hukuman


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) hadir menyaksikan final acara bola baling antara Terengganu dan Negeri Sembilan pada Sukma 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil Sabtu lalu.


TIGA pemain bola baling Wilayah Persekutuan yang didapati bersalah membawa masuk minuman keras ke Perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) 2013 minggu lalu, digantung serta-merta daripada terlibat dalam sebarang aktiviti sukan berkenaan.

Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM), Pandak Ahmad berkata, pengurus, jurulatih dan seorang pegawai pasukan terbabit turut dikenakan tindakan sama walaupun mereka tidak terlibat membawa masuk bahan larangan berkenaan ke Perkampungan Sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang.

Beliau berkata, PBBM memandang serius insiden tersebut dan tindakan akan diambil terhadap ketiga-tiga pegawai terbabit yang tidak menjalankan tanggungjawab memantau atlet mereka sepanjang berada di perkampungan sukan.

"Pada perjumpaan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini (semalam), kami usulkan supaya mereka ini digantung sementara kerana dalam insiden pada Rabu lepas, terdapat dua kes iaitu membawa masuk minuman keras dan rogol.

"Berhubung kes rogol, kami serahkan kepada pihak polis. Kami gantung mereka sementara kerana insiden membawa masuk minuman keras ke Perkampungan Sukan adalah salah," kata Pandak semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pegawai pengiring skuad bola baling Wilayah Persekutuan membuat laporan polis mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir oleh atlet lelaki skuad bola baling di Perkampungan Sukan di UPM Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Pandak berkata, berikutan insiden itu, pihaknya akan mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi atlet dan pegawai termasuk pengurus dan jurulatih, yang terlibat dalam sesuatu kejohanan atau temasya sukan.

"Misalnya, dalam kes ini, pegawai pengiring itu berumur 19 tahun dan dia perlu awasi atlet lelaki yang berusia 18 dan 19 tahun. Banyak kemungkinan yang boleh berlaku.

"Dalam SOP itu juga, kami akan nyatakan bahawa membawa minuman keras semasa berlangsungnya sesuatu kejohanan itu adalahsalah bagi seseorang atlet," katanya.

Ketika ini, tiga atlet bola baling lelaki Sukma 2013 ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis berkaitan kes rogol itu.

Ketika-tiga suspek berusia antara 18 dan 19 tahun itu ditahan Jumaat lalu di Perkampungan Sukan berkenaan, sehari selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Jadi contoh baik kepada atlet

Posted:

Jadi contoh baik kepada atlet

Jadi contoh baik kepada atlet


KHAIRY (berdiri tengah) bergambar bersama para atlet yang hadir pada majlis perjumpaan di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya semalam.


PENGURUS dan jurulatih harus bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan disiplin yang baik dalam kalangan atlet bagi menjamin tiada insiden salah laku.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, sebagai jurulatih dan pengurus pasukan, mereka bukan sahaja memberikan nasihat dalam bidang sukan yang diceburi, malah menjadi model yang baik kepada atlet.

"Ini penting terutama membabitkan atlet pelapis, sebagai jurulatih yang berpengalaman seharusnya memberikan contoh yang baik kepada atlet mereka," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan atlet negara di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes seorang pegawai pengiring skuad bola baling Wilayah Persekutuan yang mendakwa dirogol di Perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang Rabu lalu.

Susulan laporan yang dibuat mangsa, polis menahan tiga atlet bola baling lelaki Sukma 2013 bagi membantu siasatan berkaitan kes rogol yang dilaporkan di Perkampungan Sukan tersebut.

Khairy berkata, laporan yang diterima mendapati sebelum kejadian itu berlaku, individu terlibat dikatakan membawa masuk minuman keras ke Perkampungan Sukan, malah diketahui jurulatih mereka.

"Apa yang jurulatih buat. Saya mendapati mereka (jurulatih dan pengurus pasukan) gagal dalam memberikan contoh yang baik kepada atletnya," tegasnya.

Beliau berkata insiden seumpama itu tidak boleh dikompromi dan ekoran itu, satu jawatankuasa yang dianggotai pegawai Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM), Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah ditubuhkan bagi mempercepat siasatan terhadap kejadian tersebut.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu juga bagi menyiasat keselamatan penganjuran Sukma oleh MSN.

Namun, Khairy menganggap insiden itu juga bukan bermakna para atlet mempunyai krisis disiplin kerana baginya, Malaysia mempunyai atlet yang cukup baik seperti jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, malah ribuan atlet datang dan pergi tanpa sebarang masalah.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Skim Penampilan Atlet telah diperkenalkan dalam usaha memasarkan atlet negara yang berbakat untuk menjadi jurucakap atau model sesuatu produk di pasaran.

"Usaha ini bagi membangunkan industri sukan serta meningkatkan 'saham' atlet di pasaran," katanya sambil menambah telah melakukan kerjasama dengan agensi pengiklanan.

Katanya, ketika ini hanya atlet tertentu yang berjaya menarik minat syarikat swasta seperti Datuk Nicol David dan Chong Wei, namun sebenarnya ramai lagi yang megah di peringkat dunia dan kebangsaan, tetapi tidak berjaya menembusi dunia pengiklanan.

Tambahnya, perkara itu kini masih dalam peringkat permulaan dan atlet yang ada tarikan serta mempunyai keterampilan, akan dikenal pasti dan diserahkan kepada casting agency untuk diwujudkan pangkalan data.

"Skim tersebut juga bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan melalui penglibatan sektor swasta terhadap penganjuran sukan di Malaysia.

"Untuk tahun ini sahaja, kerajaan membelanjakan sehingga RM50 juta bagi penganjuran sukan seperti Sukma dan Piala Monsun dan diharapkan pada tahun-tahun akan datang, jumlah itu akan berkurangan," katanya. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved