Isnin, 8 Julai 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Peter berbagi kerjaya

Posted:

Peter berbagi kerjaya

Peter berbagi kerjaya

Oleh ALIF ABU BAKAR

"BILA pertarungan awak seterusnya?" Itu antara soalan yang kerap diterima lelaki kacukan Cina-Inggeris tersebut setiap kali berada di tempat awam.

Menerusi lontaran soalan sedemikian, lelaki berusia 32 tahun itu sememangnya menyedari pelabelan masyarakat terhadap dirinya.

Tidak sia-sia, tempoh hampir 12 tahun bergelumang dalam seni mempertahankan diri campuran (MMA), nama Peter Davis cukup mekar dalam arena sukan tempatan.

"Saya akui orang lebih mengenali saya sebagai atlet MMA berbanding model dan pelakon," luah Peter jujur.

Wajah campuran Peter sering disalah anggap kebanyakan orang. Mereka melihat lelaki itu sebagai orang asing walaupun hakikatnya dia seorang warganegara Malaysia. Tambah Peter: "Ibu saya orang Sabah dan saya boleh berbahasa Melayu, cuma tidak lancar."

Pelat Inggeris Peter jelas kedengaran saat dia cuba berbicara dalam Bahasa Kebangsaan. Mungkin jangka masa yang terlalu lama di England menyukarkan Peter berbahasa Melayu. Dia hanya kembali ke Malaysia pada tahun 2006.

Peter cukup bertuah kerana dikurniakan tubuh tinggi lampai dan struktur wajah sempurna untuk peragaan. Ironinya, sebelum melangkah di pentas-pentas fesyen, Peter terlebih dahulu beraksi di dalam gelanggang MMAC United Kingdom.

Mula mengenali MMA seawal usia 20 tahun, Peter kemudiannya bergiat aktif dalam sukan tersebut dan menyertai beberapa siri pertandingan. Dia kemudiannya menyertai Kejohanan MMA Malaysian Invasion pada penghujung tahun 2012 dan disenaraikan sebagai atlet utama.

"Saya bangga dengan perkembangan drastik MMA di Malaysia. Dalam tempoh dua tahun, ia telah menjadi antara sukan komersial di sini. Mencari gimnasium MMA juga tidak sukar sekarang.

"Sukan ini banyak berjasa kepada saya. Ia memberi saya peluang untuk meluaskan kerjaya sebagai model dan pelakon. MMA telah berjaya meletakkan saya dalam satu bentuk publisiti yang unik," ujar bapa kepada seorang anak lelaki berusia tiga tahun itu.

Wajah tampan milik Peter sedikit pun tidak menerbitkan ketakutan saat bertemu lawan. Baginya, biarlah wajahnya cedera dengan luka tumbukan lawan. Kesempurnaan wajah bukan keutamaan buat Peter.

"Sekarang gegendang telinga saya mengalami kecederaan akibat perlawanan lepas. Perkara sebegini memang tidak dapat dielakkan, jadi saya perlu sentiasa bersiap sedia.


PETER antara petinju MMA tempatan yang bertanggungjawab menaikkan populariti sukan itu di Malaysia.


"Saya pernah ditawarkan tugas mengacara satu majlis baru-baru ini. Namun, malam sebelum majlis itu saya ada perlawanan. Saya menolak tugas mengacara tersebut kerana bimbang kesan kecederaan yang bakal diterima.

"Pernah juga saya datang ke acara rasmi dengan mata lebam akibat tumbukan lawan. Bagaimanapun, ia dapat disembunyikan menggunakan solekan," kongsi Peter dalam tawa.

Dunia model

Usai tamat musim perlawanan, Peter mengurangkan sesi latihannya kepada tiga kali seminggu. Katanya: "Sepanjang musim perlawanan saya perlu berlatih setiap hari tanpa gagal."

Tempoh rehat daripada sebarang kejohanan MMA memberi ruang kepada Peter untuk aktif dalam bidang peragaan. Ketika musim pertunjukan fesyen tanah air, Peter mula menjadi rebutan pereka-pereka tempatan.

Bakat semula jadi Peter membuatkannya mudah diterima industri fesyen, malah sebagai atlet yang terjun ke dalam bidang peragaan, pencapaian Peter boleh dibanggakan.

"Saya memang bukan seorang yang mengambil berat soal fesyen, namun sekarang pengetahuan saya dalam bidang ini semakin berkembang.

"Dalam industri fesyen, saya dapat bertemu ramai individu dari pelbagai latar belakang yang unik. Kelompok ini sangat berbeza daripada yang saya temui dalam kumpulan MMA, jadi saya dapat mempelajari banyak benda baharu."

Mengimbau zaman mudanya, Peter menyatakan bahawa dia seorang lelaki yang cenderung kepada gaya ringkas. Seluar londeh (baggy) dan kasut besar menjadi teman akrabnya sehingga membuatkan dia ditegur teman wanitanya.

"Teman wanita saya telah berkecimpung dalam bidang fesyen kira-kira 15 tahun dan dia selalu menegur pemakaian saya ketika itu.

"Lama-kelamaan saya mula belajar tampil mengikut acara. Saya seimbangkan gaya berpandukan majlis yang dihadiri agar tidak kelihatan berlebihan atau gagal menepati tema.

"Kalau memilih sut, saya pastikan ia mampu berfungsi dengan baik. Maksud saya di sini, ia mempunyai poket dan ruang secukupnya bagi memuatkan dompet, telefon bimbit dan alatan keperluan yang lain," terang Peter.

Pengalaman hampir tujuh tahun dalam bidang peragaan juga mendorong Peter untuk berhati-hati dalam memilih jenama. Meskipun menggemari gaya kasual santai, Peter sering memastikan penampilannya dalam keadaan rapi.

Kecemerlangan Peter dalam dunia peragaan turut menjadi ukuran rumah-rumah fesyen untuk menyuntingnya sebagai wajah rasmi. Bukan itu sahaja, baru-baru ini rezeki Peter bertambah apabila dia dipilih sebagai duta produk Gillette di Malaysia.


LELAKI berusia 32 tahun ini sering menerima tawaran sebagai model bagi pentas-pentas peragaan di Malaysia.


Lakonan

Wajah Peter juga sudah mula mengisi kaca televisyen menerusi beberapa drama televisyen. Karier lakonannya bermula apabila dia disunting pengarah, Yeo Joon Han bagi memegang watak utama dalam filem Sell Out!.

Ekoran kejayaan filem tersebut, bakat lakonan Peter mula dipandang serius pengarah tempatan, malah dia diberi kepercayaan untuk tampil dalam filem arahan Mamat Khalid, Apokalips yang masih menunggu tarikh untuk ditayangkan.

"Dalam Apokalips, saya berdialog seratus peratus dalam bahasa Melayu. Ia memang suatu cabaran besar," ujar Peter yang juga pernah muncul dalam drama bersiri Apa Dosaku yang disiarkan Astro Citra pada tahun 2010.

Rejim kecantikan

Selain mengekalkan kecergasan tubuh dengan melakukan senaman setiap hari, Peter juga tidak mengabaikan soal penampilan. Setiap hari dia akan pastikan mandian paginya berkualiti dan menyegarkan.

Kumis dan jambang dirapi secara harian agar penampilan kekal kemas.

Dedah Peter: "Namun, ketika musim kejohanan MMA, saya kurang menekan- kan soal penampilan. Jadi, selalunya ketika ini saya jarang merapi jambang."

Tidak begitu mengambil peduli tentang krim atau produk penjagaan wajah, Peter bagaimanapun memastikan krim selepas bercukur (after shave) diaplikasikan pada wajah setiap kali mencukur kumis dan jambang.

"Saya juga mengambil suplemen kesihatan bagi mengimbangi keperluan protein. Pemakanan juga dijaga agar diet yang terbaik dapat diterima badan. Sebagai model saya perlu mengekalkan bentuk badan."

Minimalis moden warnai lebaran

Posted:

Minimalis moden warnai lebaran

Minimalis moden warnai lebaran

Oleh HAFIZ AHMAD dan ALIF ABU BAKAR

KOMBINASI dua rona mewujudkan aura istimewa pada pagi Syawal.


TIDAK lengkap hari lebaran tanpa busana yang dihias indah dengan jahitan kerawang dan manik-manik berwarna- warni.

Pereka-pereka tempatan sentiasa hadir dengan rekaan baharu yang dicipta istimewa sempena perayaan terbesar umat Islam itu.

Pereka kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang, Ezuwan Ismail terus melebarkan sayap jenamanya dengan menzahirkan busana sesuai untuk wanita yang inginkan gaya bak selebriti terkenal.

"Jika sebelum ini saya mengeluarkan busana khusus untuk wanita Muslimah, koleksi kali ini menampilkan persalinan moden dan elegan melalui potongan yang lebih terperinci," ujarnya kepada Stailo.

Menggunakan fabrik sifon dan likra, Ezuwan membuat kelainan melalui kombinasi dua rona bagi menampakkan keanggunan kepada si pemakai.

Aura feminin terserlah saat menyarungkan busana labuh rona ungu lembut potongan duyung, dilengkapkan lagi dengan penataan ringkas manik.

Busana Aidilfitri Ezuwan tampak minimalis tanpa perlu taburan manik dan potongan berlebihan agar si pemakai nampak manis ketika berkunjung ke rumah terbuka. Sepuluh koleksi hari lebaran Ezuwan boleh ditempah awal dengan menghubunginya untuk membuat temu janji.

Cetakan geometri Kree

Sekiranya anda wanita urban yang mahukan busana Aidilfitri dengan motif cetakan geometri, maka Kree adalah pilihan terbaik. Jenama tempatan yang berkolaborasi bersama pereka Afiq M itu tampil menyerlah untuk koleksi raya kali ini dengan pilihan baju kurung, dres dan jubah.

Variasi potongan sama ada longgar atau mengikut bentuk tubuh dapat diperoleh pelanggan. Paling penting, pemilihan material seperti likra, satin dan krep (kain nipis daripada sutera, kapas atau benang bulu) menjadikan busana Kree selesa dipakai sepanjang hari.

"Penggunaan warna senada yang diselang-seli dengan rona hijau neon menciptakan penampilan menawan pada pagi Syawal," ujar Afiq M yang menambah, terdapat 26 rekaan bagi koleksi lebaran Kree.

Kesemua busana Kree sudah mula dijual menerusi laman web www.kree.my dan pembelian perlu dibuat secara dalam talian.

Koleksi mutiara Devnani

Posted:

Koleksi mutiara Devnani

Koleksi mutiara Devnani

Oleh AQMAR ALLADAD
aqmar.alladad@kosmo.com.my

JITESH menunjukkan salah satu koleksi mutiara indah daripada Devnani.


MUTIARA merupakan khazanah laut yang cukup unik dan mewah sehinggakan pernah menjadi pilihan Cleopatra pada zaman dahulukala.

Keindahan mutiara menjadikan si pemakai terutama golongan wanita memilihnya untuk dijadikan perhiasan diri kerana ia menampilkan personaliti yang lebih gah.

Menyedari hakikat itu, Devnani Sdn. Bhd. yang merupakan jenama unggul dalam industri perhiasan dan rias diri, sekali lagi mempersembahkan koleksi mutiara terbaharunya.

Pengarah Urusannya, Jitesh Jay Dev- nani berkata, suatu masa dahulu hanya golongan diraja dan orang kaya sahaja yang dapat menghargai keistimewaan mutiara.

"Namun, kini trend pemakaian koleksi mutiara menjadi pilihan semua golongan. Wanita yang ingin tampil anggun tetapi tetap kelihatan mewah menjadikan mutiara sebagai pilihan kerana ia bersesuaian dengan apa jua majlis yang dihadiri.

"Malah, harga yang ditawarkan juga sudah dipelbagaikan mengikut kemampuan pembeli. Jadi, sebab itu ramai wanita mampu memilikinya untuk koleksi peribadi," katanya ketika ditemui di bilik pameran Devnani di Publika Shopping Gallery, Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, kehebatan nilai mutiara juga terletak dari segi rupa bentuk, warna dan tekstur kulitnya.

Bagaimanapun, mutiara bermutu tinggi boleh dinilai berdasarkan kilauannya yang semula jadi.

"Biasanya mutiara akan berbentuk sedikit bujur dan susah untuk dapat yang bentuk bulat sepenuhnya. Koleksi mutiara Devnani tidak sesekali menggunakan mutiara tiruan. Mereka yang sudah biasa dengan mutiara boleh menilainya sendiri.

"Lagipun, keistimewaan mutiara di Devnani yang diimport dari Itali pasti- nya mempunyai kehebatan tersendiri berdasarkan kilauan warnanya," jelas Jitesh lagi.


SERLAHKAN penampilan anda pada musim lebaran nanti
dengan mutiara Devnani.


Koleksi mutiara Devnani didatangkan dalam bentuk barangan kemas seperti loket, subang, rantai tangan dan cincin. Bagi menambahkan lagi kemewahan koleksi itu, terdapat mutiara yang diikat dengan berlian.

"Tambahan berlian di setiap koleksi mutiara, terutamanya rantai menambahkan lagi seri si pemakai. Biasanya, koleksi itu sering digemari oleh pemakai yang mahu nampak ringkas tetapi bergaya," katanya.

Dalam pada itu Jitesh memberitahu, tawaran harga untuk koleksi mutiara, Devnani mengenakan harga berpatutan supaya setiap wanita mampu merasai kehebatan memiliki dan memakai mutiara.

"Harga koleksi mutiara serendah RM180 sehingga RM1,000. Bagi yang ada tambahan aksesori seperti berlian, ia sekitar RM900.

"Mereka yang mahu membeli loket mutiara, ia turut dijual pada harga RM400 manakala gelang pula RM250. Setiap yang dijual boleh dibeli secara berasingan atau set," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved