Ahad, 7 Julai 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kuartet anak wayang

Posted:

Kuartet anak wayang

Kuartet anak wayang

BERBICARA dalam bahasa industri dan filem yang mereka sayangi, empat sekawan Bront Palarae, Iedil Putra, Amerul Affendi dan Megat Shahrizal mempunyai agenda yang tidak dapat dilenturkan. Dalam kemeriahan industri perfileman Malaysia yang lazimnya mahu hadir dalam warna-warna ceria dan bersifat komersial, ada banyak sisi lain yang sedang dilupakan sebahagian kelompok pengkarya sedia ada.

Ketepikan sementara soal kutipan tiket yang selalunya mengecewakan karyawan filem itu sendiri, sebagai pelakon dan dalam masa yang sama sebagai penggemar filem tegar, ada banyak persoalan tidak kurang juga benih kekecewaan yang bersarang di dalam kepala mereka.

Mereka mahu berkarya dan sekiranya karya yang mahu mereka lestarikan itu tidak mampu membentuk sejalur aliran, setidak-tidaknya ia boleh membuahkan pemikiran. Secara kebetulan yang sememangnya menjadi momen bermakna buat mereka, keterlibatan bersama dalam karya yang berjudul Bikin Filem itu sangat seiring dengan kecintaan mereka.

"Kalau kita lihat sebelum ini, sudah ada gelombang baharu yang datang ke dalam industri filem kita. Lihat kembali filem-filem arahan Yasmin Ahmad misalnya, sudah ada gelombang baik yang dibawa ketika itu.

"Bila Yasmin meninggal dunia, hilang sedikit gelombang pembikin filem sebenar. Mungkin kita dapat lihat filem seperti Bunohan dan Songlap yang menunjukkan sisi lain yang boleh kita banggakan. Jadi, kami mahu jadi sebahagian daripada gelombang itu," jelas Eidil Putra yang membawa watak pelakon popular bernama Ijam Ashburn dalam filem yang sudah selesai penggambaran itu.

Tambah pelakon yang dikenali menerusi filem Ngorat itu juga:

"Malangnya, apabila masuk panggung, orang kita pula tak mahu menonton. Walaupun tak banyak kutipan tapi filem macam ini diiktiraf di luar negara. Ramai orang luar yang berbangga dengan produk yang kita hasilkan.

DARI kiri: Megat Shahrizal, Amerul Affendi dan Iedil Putra. Mereka berpendapat penghasilan filem harus menyeluruh dan tidak menjadikan pulangan keuntungan sebagai satu-satunya sasaran pengkarya.


"Untuk terus kuat, kita tak boleh lemah dengan hal-hal macam ini. Selagi penonton ada, ada platform untuk berkarya, semua itu tak jadi masalah besar pada orang industri," katanya yang melahirkan rasa bertuah kerana turut terlibat dalam produksi yang dibiayai oleh Astro Shaw itu.

Berkongsi nada yang sama, Bront yang membawa watak Berg dalam filem arahan Nik Amir itu berkata: "Daripada apa yang kami capai di set Bikin Filem tempoh hari, saya percaya filem ini akan menjadi sebuah filem yang saya mahu berkongsi dengan orang ramai. Sebuah filem yang seronok dan senonoh."

Belum mencanak popular tetapi semangat dan keseriusan yang ditunjukkan oleh pelakon filem Bunohan, Amerul yang banyak tersenyum pula menambah: "Dahulu saya hampir bakar semua sijil yang diperoleh semasa belajar tetapi dengan adanya pembikin seperti Dain Said dan karyawan yang sealiran, kesedihan itu terbalas," katanya sambil merujuk kepada situasi penghasilan filem-filem bercorak ringan yang bermotifkan keuntungan semata-mata.

"Kami tidak marah tetapi jangan meletakkan standard atau satu konsep filem sahaja yang dimahukan oleh audiens," si pembawa watak guru itu bertukar pandangan.

Menoleh ke arah Megat Shahrizal, pelakon yang barangkali masih kurang mesra dalam kalangan peminat hiburan itu begitu kritis menterjemah senario lambakan filem-filem di pasaran ketika ini. Katanya, pembikin filem boleh diumpamakan seperti ibu bapa.

"Jika ibu bapa hanya memberikan satu jenis makanan kepada anak-anaknya, contohnya mi segera. Mi segera itu sedap tapi tidak berkhasiat. Jika mahu anak-anak membesar dan sihat, makanan yang diberi harus bervariasi dan bernutrisi," katanya.

Sama juga hal dengan industri filem tempatan, penonton tidak seharusnya disogokkan dengan filem yang sama.

"Kita kena hasilkan filem yang di luar jangkaan walaupun tak ada bajet yang tinggi. Masih ramai orang di luar sana yang nak buat filem yang betul, bukan filem syok sendiri," luah Megat Shahrizal yang pernah berlakon dalam filem Tanda Putera.

Bikin Filem sebagai tribute

Ditulis oleh Redza Minhat dan diarahkan oleh pengarah filem Kil iaitu Nik Amir, filem yang berkisar tentang semangat empat sekawan yang mahu membikin sebuah filem tentang kemunculan makhluk asing itu seperti mahu mendedikasikannya kepada pembikin filem sedia ada.

Judul Bikin Filem itu sendiri sudah menampakkan asas kepada semangat filem yang diterjemahkan oleh pembikin filem generasi baharu.

"Perkara itu (semangat filem), Redza (penulis skrip) dan Nik Amir (pengarah) yang kena jawab. Semangat sinema yang menjadi penjalin persahabatan kami sama dengan

MEGAT SHAHRIZAL sudah berkecimpung lama dalam teater dan lakonan cuma kurang publisiti.


cerita Bikin Filem. Cuma dalam filem, sekumpulan sahabat yang telah lama berpisah dan semangat itu wujud apabila semuanya terlibat dalam filem ini. Kehadiran Datuk Aziz Sattar, Dain Said dan Mamat Khalid juga menjadi peniup semangat semasa proses penggambaran, karya-karya mereka kami jadikan sebagai pembakar semangat dan inspirasi," kata Bront.

Berbalik soal gelombang pembikin filem generasi baharu, Bront agak ragu-ragu mengenai gelombang yang diperkatakan pada awal perbualan.

"Nafas baharu, wajah baharu. Tapi yang lama tetap ada, dan harus ada. Saya tak nampak pun gelombang sebenarnya, mungkin ombak-ombak yang datang sekali-sekala sahaja, belum cukup konsisten dan impak. Dari segi khalayak pula, situasi sekarang lebih bagus sebab penonton ada filem-filem perisa baharu sebagai santapan, macam ada lauk baharu," katanya ketawa.

Mengajak Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 itu bercakap tentang naskhah dan keseimbangan antara unsur hiburan dan moral, kata Bront:

"Saya rasa fungsi utama filem untuk menghiburkan khalayak, sebab mereka ke pawagam, beratur beli tiket dan luangkan masa dua jam untuk tengok filem sebagai hiburan. Aspek pembelajaran itu disulam melalui penceritaan, tapi pembelajaran bukan santapan utama khalayak pembayar tiket. Kita ada dokumentari untuk itu."

Buah tangan kedua pengarah yang diperkenalkan menerusi Kil itu bukanlah sebuah filem berskala mega namun semangat dan misi karyawan terbabit menunjukkan satu penyatuan. Nama-nama seperti Nadiya Nissa, Sharifah Amani, Siti Saleha terselit bukan sahaja sebagai penyeri bahkan membawa imej komersial kepada naskhah yang seakan-akan bebas itu.

Beto Kusyairy buat Najib ketawa

Posted:

Beto Kusyairy buat Najib ketawa

Beto Kusyairy buat Najib ketawa

KENANGAN bekerja menjadi maskot Along banyak mendedahkan Beto ke dunia lakonan.


PELAKON Beto Kusyairy mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri. Kebanyakan yang menyanjungi lakonan figura bernama Nurkusyairy Zakuan itu adalah kerana sandaran bakat dan usaha keras pelakon itu yang dilihat semakin menonjol.

Satu persatu naskhah lakonannya meletakkan nama Beto semakin ke atas. Namun, empunya diri kekal merendah diri biarpun terlibat dalam banyak naskhah termasuklah telefilem Tersasar Di Jalan Mu, Runtuhnya Sebuah Dosa, Takbur Seorang Isteri dan Uri serta beberapa buah filem termasuklah Syaitan, Kami The Movie, Nur Kasih The Movie, Sesuatu Yang Tertinggal dan Chow Kit.

"Saya tidak anggap diri sudah popular. Bahkan tidak terlintas untuk memikirkan tentang hal itu kerana mahu memberi tumpuan terhadap kerja saya sebagai pelakon," ujar lulusan Diploma Perhotelan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berusia 33 tahun itu.

Dalam mencipta nama, Beto tidak berhenti-henti memburu naskhah-naskhah yang berkualiti. Selain bakal muncul dengan beberapa buah filem seperti Bravo 5, Balun dan Gila Baby, Beto kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem CEO.

Digandingkan bersama pelakon Remy Ishak, Christine Suzanne dan Deanna Yusoff dalam filem arahan pengarah muda, Razaisham Rashid itu, jelas Beto, dia tidak ragu-ragu biarpun bekerja di bawah arahan 'orang baharu'.

"Sebuah naskhah komedi boleh menjadi filem yang bagus jika pengolahannya dilakukan secara bijak. Sebagai seorang pelakon, menjayakan watak seperti yang diinginkan dianggap sebagai kejayaan biarpun bergenre serius mahupun komedi.

"Namun, soal pengarah baharu atau lama tidak menjadi masalah besar. Selepas latihan membaca skrip, kepercayaan saya kepada pengarahnya juga semakin bertambah," kata pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Tribute P. Ramlee pada Jun lalu menerusi telefilem Selagi Cinta Berzikir itu.

Filem CEO yang diterbitkan oleh ARAfilm Sdn. Bhd. mula menjalani penggambaran selama 25 hari sejak Jun lalu. Ia dijangka ditayangkan di pawagam seluruh negara pada suku pertama tahun hadapan.

Drama Korea, bahasa Melayu

Posted:

Drama Korea, bahasa Melayu

Drama Korea, bahasa Melayu

KESERASIAN kelihatan jelas dalam persahabatan Ezzaty (kiri), Jin-sung dan Hanez (kanan).


TIGA anak muda berjiwa seni lakon, menyantun bahasa dan pergaulan dalam satu acara. Seorang diterbangkan jauh dari Korea Selatan manakala puteri yang berdua lagi iaitu aktres kelahiran Malaysia sedang belajar selok-belok perjalanan seni negara yang sudah menempa fenomena di mana-mana.

Hanez Suraya, Kim Jin-sung dan Ezzaty Abdullah bersatu dalam rangka drama yang sama. Dengan tajuk Autumn Di Hatiku, drama 28 episod ini bakal menceriakan jiwa dan pandangan khalayak yang gemarkan sesuatu yang santai namun memberikan suasana cantik untuk ditonton.

Sejak 3 Julai lalu, drama bersiri arahan MJ Woo dan Edmund Yeo ini sudah menemui khalayak di siaran portal Tonton. Bersiaran lima minit setiap episod, drama ini ditayangkan pada setiap hari pada pukul 12 tengah hari.

Berlatarbelakangkan sebuah kafe di Shah Alam, drama ini mengisahkan tentang seorang wanita bernama Nina yang meminati dunia K-Pop sehingga dia bertemu dengan seorang lelaki Korea bernama Park Au-tum (Kim Jin-sung).

Nina berusaha keras untuk mendapatkan cinta Au-tum dan terpaksa melalui pelbagai cabaran. Dia memerlukan pertolongan rakan baiknya, Zidick lakonan Aiman Hakim. Drama ini turut dibintangi Anas Ridzuan.

Berkongsi budaya

Kata Hanez, aktres yang meningkat naik sejak drama Sedetik Cinta ini, dia banyak belajar tentang budaya Korea semasa terlibat dengan penggambaran drama ini. Menariknya, dia dapat mengenali selok-belok pergaulan dan sedikit sebanyak tentang Korea Selatan daripada Jin-sung yang ramai menggelarkannya JS.

"JS ini seorang yang suka berkawan. Jadi semasa penggambaran, semuanya berjalan dengan mudah. Tambahan pula, kami sudah melalui proses pembacaan skrip sebelum itu dan menemui titik hubungan kimia antara kami," ujarnya yang membawakan watak Nina.

Ezzaty juga dapat merasakan suasana yang sama. Proses penggambaran yang berlangsung selama lapan hari dijalani tanpa tekanan dengan semua pelakon yang terlibat sangat baik dan tidak sombong. Malah, dia bersyukur menjadi salah seorang pelakon untuk melengkapkan drama ini.

Buat JS yang membawakan watak Au-tum, kumbang berusia 27 tahun yang fasih berbahasa Melayu ini tidak merasakan perbezaan besar dalam budaya kerja. Katanya, segala-galanya hampir sama, bezanya dia seorang sahaja pelakon Korea yang berada di lokasi penggambaran.

"Kalau sebut tentang perbezaan, skala di Korea Selatan lebih besar berbanding di Malaysia. Di sana, lebih banyak kamera dan pasukannya lebih besar. Saya juga merasakan skrip dan cara berlakon juga tidak sama," ujar JS yang mengaku mempunyai masalah untuk menghafal skrip walaupun sudah boleh berbahasa Melayu.

Tidak obses K-Pop

Menyentuh tentang budaya, baik Hanez mahupun Ezzaty, mereka berasa beruntung kerana dapat mempelajari budaya luar. Ia merupakan pengalaman dan pembelajaran baharu buat mereka yang masih hijau dalam lapangan lakonan tempatan.

"Saya sebagai Nina perlu belajar bahasa Korea. Malah, saya juga dapat merasa memakai pakaian tradisional Korea iaitu hanbuk," ujar Hanez.

"Untuk watak Jaja yang obses dengan K-Pop, saya perlu mempelajari cara pemakaian orang Korea untuk sesuai dengan cerita. Jujurnya, saya sukakan lelaki Melayu yang berwajah Korea," ketawanya yang turut membawa seekor ular peliharaan bernama Baby ke sesi penggambaran.

Ironinya, walaupun cerita ini menerima penglibatan daripada seorang pelakon Korea Selatan dan mempamerkan orang tempatan yang gilakan K-Pop, ketiga-tiga pelakon ini mengaku tidak terikut-ikut dengan demam atau fenomena tersebut.

Segala pembelajaran dan kaji selidik hanya dilakukan atas nama pelakon dan karakter yang memerlukan mereka mendalami budaya Korea. Begitu juga dengan JS yang mengaku tidak minat dengan K-Pop dan wanita Korea yang dirasakan tidak mempunyai wajah dengan kecantikan semula jadi berbanding wanita Malaysia.

SAKSIKAN keceriaan dan gelagat Hanez (kanan), JS (tengah) dan Ezzaty dalam drama bersiri Autumn Di Hatiku yang disiarkan di portal Tonton pada setiap hari.


Ketawa Hanez mendengar celoteh JS bersambut dengan pandangannya tentang demam K-Pop. "Jujurnya, saya memang tidak minat dengan K-Pop. Entah kenapa, tetapi saya cuba menonton drama Full House kegilaan ramai untuk rujukan saya dalam drama Autumn Di Hatiku ini. Saya juga belajar bagaimana orang Korea berpakaian dan saya gemar melihat fesyen mereka," katanya.

Pandangan yang sama dilontarkan oleh Ezzaty yang sebelum ini terlibat dengan drama Tanah Kubur dan Epilog Cinta Kirana.

"Saya tidak obses dengan budaya Korea sama ada filem atau lagu-lagu mereka. Walaupun ramai rakan saya meminati K-Pop tetapi, saya tidak terdorong. Namun begitu, saya juga sempat menonton beberapa drama popular Korea seperti My Girl dan My Sassy Girl untuk rujukan," terang Ezzaty.

JS 'jual' Autumn Di Hatiku

Setahun mengambil masa untuk mempelajari bahasa Melayu, JS mengaku visual yang ditanamnya berlainan dengan pandangan sepasang matanya yang kini menatap kecantikan Malaysia.

"Dulu saya bayangkan Malaysia ini terlalu banyak kereta. Waktu itu saya belum pernah tengok gambar suasana di Malaysia. Setiba saya di sini, saya terkejut dengan apa yang saya nampak. Berlainan daripada fikiran saya," jujurnya bersuara.

Apabia ditanyakan tentang fenomena K-Pop yang melanda dunia namun dia tidak meminatinya, JS melontarkan pandangan yang ikhlas.

"Saya memang tidak minat K-Pop. Tetapi pada pandangan saya, K-Pop ini diminati kerana ramai yang mengidolakan pelakon atau penyanyi dari Korea. Lagu-lagunya juga senang ditangkap dan sampai ke pendengaran khalayak. Tetapi, memang tidak sesuai dengan saya kerana saya sudah tua," ketawanya yang masih solo ini.

Ditanyakan tentang faktor penjualan drama ini untuk khalayak, Ezzaty dan Hanez serentak bersuara.

Jerit mereka kehadiran JS yang tampan sudah semestinya merupakan titik jual drama yang mempamerkan suasana yang berlainan daripada drama-drama yang sedia ada.

Sambil tersenyum, JS membalas dan menutup sesi perbualan pada petang Rabu lalu dengan berkata: "Faktor penjualan drama ini adalah kerana ada orang Korea pertama yang berlakon di Malaysia."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved