Ahad, 7 Julai 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Dulu pelukis ilustrasi kini penulis novel

Posted:

Dulu pelukis ilustrasi kini penulis novel

Dulu pelukis ilustrasi kini penulis novel

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

ENCHELAH berjaya menyiapkan Lembayung Cinta dalam masa dua bulan.


GRADUAN jurusan Seni Reka Grafik dari Institut Teknologi Mara (ITM), Enche Abdullah Abdul Kadir, 49, atau mesra disapa Enchelah memulakan kerjaya sebagai pereka bentuk di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1989 hingga 1993.

Sepanjang bertugas di DBP, selain bertanggungjawab menghasilkan kulit muka hadapan buku, beliau juga berpeluang membuat ilustrasi buku cerita kanak-kanak.

Selepas berhijrah ke Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini membuat keputusan menulis blog wwwenche.blogspot.com yang menceritakan tentang skop tugasnya di ITBM.

Menurut Enchelah, trend kegilaan masyarakat membaca blog-blog di laman maya membakar semangatnya untuk menulis.

"Justeru, saya turut menyelitkan kisah hidup sendiri yang ditulis dalam bentuk diari. Setiap hari saya sentiasa mengemas kini laman blog tersebut termasuk mengendalikan segmen pantun dan puisi yang sentiasa mendapat sambutan.

"Melalui blog inilah, saya berkenalan dengan seorang penulis novel, Norzailina Nordin yang banyak memberi dorongan pada saya untuk melibatkan diri dalam dunia penulisan," ujar Enchelah mengenai detik awal sebelum bergelar penulis.

Selepas mempelajari teknik menyiapkan novel daripada Norzailina dalam aspek membuat sinopsis keseluruhan, plot atau jalan cerita dan membina watak, Enchelah terus memulakan karya sulungnya yang berkonsepkan kisah hidupnya.

Bagaimanapun, iklan peraduan menulis novel remaja anjuran sebuah syarikat penerbitan membuat Enchelah dalam dilema.

Beli komputer riba

"Ketika itu, hati saya berbolak-balik sama ada untuk menyiapkan novel kisah sendiri yang 90 peratus siap atau menulis novel remaja.

"Setelah fikir masak-masak, saya terus menghentikan penulisan novel tersebut. Dalam tempoh dua bulan, saya berjaya menyiapkan novel remaja bertajuk Lembayung Cinta," jelas Enchelah yang mendisiplinkan diri menulis setiap hari.

Dalam usaha menyiapkan novelnya, Enchelah sanggup mengeluarkan wang untuk membeli sebuah komputer riba dan akan menaip draf cerita sewaktu makan tengah hari di luar pejabat.

Selepas mendapat ilham untuk menulis, beliau akan mencatatnya di atas kertas dan menyimpannya sebelum disemak semula di rumah.

Demi cinta yang mendalam terhadap dunia penulisan, Enchelah sanggup menyendiri daripada bersantai bersama kawan-kawan pada waktu senggang semata-mata untuk menyiapkan novel Lembayung Cinta.

"Alhamdulillah, pengorbanan saya terbalas jua apabila novel pertama terpilih antara lima pemenang hadiah penghargaan dalam peraduan tersebut," jelasnya sambil tersenyum.

Sebuah lagi novel remaja yang dihasilkan oleh Enchelah bertajuk Puteri 9 Sepuluh. Ia diterbitkan pada 2012 oleh Pelangi Novel Sdn. Bhd.

Selain itu, buku bergambar Puteri Saadong yang dihasilkan Enchelah turut diterbitkan oleh ITBM dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris serta Jepun. Buku tersebut telah dibawa ke Pesta Buku Kanak-Kanak 2013 yang berlangsung di Bologna, Itali pada Mac lalu.

Naskhah Puteri Saadong juga telah dibawa ke Singapura pada akhir Mei lalu sempena Festival Kandungan Kanak-Kanak Asia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Enchelah, layari blog wwwenche.blogspot.com atau facebook.com/enchelah.

Kambing golek untuk berbuka

Posted:

Kambing golek untuk berbuka

Kambing golek untuk berbuka


GERAI kambing golek yang diusahakan Yan Nor Azman sejak Februari lalu sentiasa mendapat sambutan ramai.


APABILA memikirkan juadah untuk berbuka puasa, pasti pelbagai jenis menu terbayang di fikiran. Bagi kaum ibu pula, sudah tentu mereka tidak menang tangan dalam menyediakan hidangan berbuka untuk seisi keluarga.

Jika sudah bosan ke bazar Ramadan atau membuat tempahan berbuka di hotel, apa kata kunjungi gerai Kambing BMX yang terletak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Menyediakan menu tetap berupa kambing golek, gerai itu dibuka setiap hari sepanjang Ramadan tahun ini. Sebungkus kambing golek yang disajikan dengan sos lada hitam istimewa, mayonis dan salad segar, mampu membuka selera anda untuk menikmatinya ketika berbuka.

Menurut pemiliknya, Yan Nor Azman Bidin, 39, jenama Kambing BMX sudah lima tahun diusahakan melalui perniagaan tempahan katering dan majlis akikah.

"Jualan menerusi gerai ini baru sahaja dimulakan sejak Februari lalu. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Setiap hari, seekor kambing akan dipanggang untuk jualan.

"Pada setiap hari Ahad, kami turut menyediakan hidangan sup kambing yang boleh dinikmati secara percuma oleh para pelanggan.

"Ia sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan yang sentiasa memberi sokongan pada perniagaan kami," jelas Yan Nor Azman sambil memberitahu, pihaknya memperuntukkan kira-kira lima ekor kambing untuk dibuat sup dan diberi percuma pada setiap hari Ahad.

Selain gerai di Bandar Tun Razak, beliau turut membuka gerai di bazar Ramadan Tasik Permaisuri sepanjang bulan puasa ini. Malah, pihaknya turut menerima tempahan kambing golek jika ada sesiapa yang berminat untuk membelinya.

Laksa lima rasa Prince Hotel & Residence

Posted:

Laksa lima rasa Prince Hotel & Residence

Laksa lima rasa Prince Hotel & Residence


KEBAB antara menu yang pasti menepati selera pelanggan.


Prince Hotel & Residence menawarkan juadah menyelerakan dengan hidangan bufet ala kampung sempena bulan Ramadan ini.

Bertemakan Balik Kampung, variasi hidangan dari seluruh Malaysia disatukan bagi memberi kepuasan kepada pelanggan bermula 9 Julai hingga 8 Ogos.

Chef Eksekutif, Donald Pezar berkata, mereka telah melakukan persediaan yang rapi dalam memilih menu bersesuai dengan tema.

"Kami berharap, pelanggan yang datang bersama keluarga serta teman dapat merasai pengalaman dan kepuasan ketika berada di Prince Hotel & Residence," ujarnya kepada media yang menghadiri previu menu Ramadan baru-baru ini.

Pelanggan bakal dihidangkan dengan menu seperti kerabu pucuk paku, bubur lambok, rendang daging, nasi kandar dan sate.

"Menu istimewa ialah sup signatur hotpot, kambing panggang kuzi dan laksa dengan lima perasa berlainan," ujar Chef Pezar.

Jika inginkan sajian yang berbeza, pelanggan boleh memilih masakan ala Cina, India dan Barat. Terdapat juga pelbagai jenis kuih-muih tradisional, buah-buahan segar dan kurma.

Ketika menjamu selera, pelanggan bakal dihiburkan kumpulan Seri Nusantara II yang memainkan muzik ghazal.

Lagu-lagu ghazal, asli dan moden menjadi pilihan kumpulan itu untuk dipersembahkan sepanjang Ramadan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved