Isnin, 4 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Impak hebat hero veteran

Posted:

Impak hebat hero veteran

Impak hebat hero veteran

KEJAYAAN Faizal Hussein ini membuka persepsi dalam industri perfileman tempatan bahawa pelakon veteran juga mampu memberikan kesan yang hebat sebagai pelakon utama sesebuah produksi filem.


SETELAH lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, pastinya tanggal 2 Mac lepas memberikan kenangan yang cukup istimewa buat pelakon versatil Faizal Hussien.

Ini kerana tarikh tersebut menyaksikan kejayaannya terpilih sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada majlis anugerah Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) impak lakonannya menerusi filem Bunohan.

Dalam kategori berkenaan Faizal berhasil menewaskan saingan beberapa pencabar lain seperti Shaheizy Sam (Songlap & S.A.M.), Pekin Ibrahim (Bunohan) dan Zahiril Adzim (Bunohan).

Ternyata kejayaan yang diraih oleh anak kepada pelakon dan pengarah terkenal Hussien Abu Hassan ini begitu bermakna memandangkan ia merupakan kejayaan pertama buat dirinya pada acara anugerah yang berprestij seperti FFM ini.

Faizal yang ditemui selepas tamat acara berkenaan, menjelaskan ia merupakan kali kedua dia dicalonkan untuk kategori yang sama setelah kali pertama tercalon pada FFM10 (1992) menerusi filem Kanta Serigala, namun tewas di tangan Eman Manan yang menampilkan lakonan mantap menerusi filem Bintang Malam.

"Sudah tentu kemenangan yang diraih ini memang di luar jangkaan memandangkan saingan hebat pelakon-pelakon lain, meskipun ramai yang meramalkan saya akan menang.

"Lagipun, tujuan saya hadir pada malam ini semata-mata mahu memberikan sokongan serta memeriahkan lagi acara termasuk membawa isteri dan anak-anak saya agar mereka dapat merasai sendiri suasana kemeriahan acara FFM25 ini," ujarnya sambil memegang erat trofi yang dimenanginya itu.

Di sebalik kejayaan yang diraihnya itu, terdapat kisah menarik mengenai pembabitannya dalam filem terbitan Appart Sdn. Bhd. arahan Dain Said itu.

Dedah Faizal, dia hampir-hampir tersingkir daripada membintangi filem tersebut apabila ada pihak yang tidak mahu dia memegang watak utama sebagai Ilham.

"Pada mulanya beberapa pihak yang menjadi penaja untuk projek filem Bunohan tidak mahukan saya menjadi teraju utama dan mereka mahu saya digantikan dengan pelakon lain.

"Bagaimanapun, Dain sebagai pengarah tetap bertegas dan inginkan saya berlakon dalam filem ini. Ternyata kepercayaan yang diberikan kepada saya akhirnya berbaloi dengan kemenangan yang diraih pada malam ini, "ujarnya yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM15,000.

Setelah berlakon dalam pelbagai genre filem sepanjang 30 tahun bergelar anak seni, pelakon yang sudah mencecah usia 45 tahun itu menyatakan Bunohan merupakan filem paling berat yang pernah dilakonkannya.

"Sepanjang terbabit dalam penggambaran Bunohan, pelbagai cabaran yang harus ditempuhi seperti perlu bertutur dalam dialek Kelantan dan menanggung risiko berlakon di sebuah sungai yang dipenuhi buaya ketika penggambaran di Terengganu," ujarnya yang mula aktif sebagai pelakon pada tahun 1982 menerusi filem Senja Merah.

Berkenaan dengan kemenangannya itu juga, Faizal berharap agar ia dapat membuka mata ramai penerbit dan pengarah untuk memberikan kepercayaan kepada pelakon yang dianggap sebagai 'hero tua' untuk memegang watak utama sama ada dalam filem atau drama.

Penantian 30 tahun

Sama seperti Faizal Hussein, pemenang kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Normah Damanhuri juga terpaksa menanti selama 30 tahun untuk meraih anugerah tersebut.

Pada FFM25, Normah mengalahkan Fauziah Nawi (Hoore! Hoore!), Lisa Surihani (Ombak Rindu), Nabila Huda (Jalan Kembali) dan Lana Nordin (Chow Kit).

Menurut Normah, dia sangat bersyukur dengan kemenangannya itu, tetapi berasa sangat terharu kerana terpaksa menanti selama 30 tahun sebelum memenangi anugerah pada acara FFM.

"Sepanjang bergelar pelakon sudah banyak anugerah yang telah saya menang, namun kejayaan pada malam ini pastinya memberikan satu keistimewaan buat diri saya yang sudah lama bergelar anak seni.

"Tipulah kalau saya kata tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang pada malam ini. Namun begitu, saya terus berdoa dan sangat berterima kasih kepada barisan juri yang telah memilih saya," ujarnya.

Menurutnya, memenangi anugerah yang berprestij seperti FFM ini tidak akan membuatkannya lebih selektif dalam memilih watak dan dia bersedia menerima apa sahaja tawaran lakonan yang diberikan kepadanya.

"Dalam filem Songlap saya memegang watak sebagai Rita yang merupakan seorang pelacur tua. Sudah tentu watak tersebut memang cukup mencabar buat diri saya, tetapi akhirnya ia berbaloi dengan kemenangan yang diraih ini," ujarnya.

Kembali berlakon

Selain kategori Pelakon Lelaki Terbaik, turut menjadi tumpuan ramai beberapa kategori utama lain yang menyaksikan persaingan sengit ramai pelakon hebat yang tercalon dalam kategori yang dipertandingkan.

Untuk kategori Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik, ia berjaya dimenangi oleh pelakon muda Syafie Naswip menerusi lakonannya dalam filem Songlap. Dia berjaya menumpaskan pelakon yang lebih senior seperti Bront Palarae (Jiwa Taiko) dan Omar Abdullah (Songlap).

Mengulas mengenai kemenangan yang diraih itu selepas memenangi kategori yang sama pada Anugerah Skrin 2012 yang lalu, Syafie meluahkan rasa terkejutnya dan menjangkakan Omar yang akan memenanginya.

"Kali terakhir saya berlakon adalah pada 2009 menerusi filem Talentime dan selepas itu saya berehat seketika daripada dunia lakonan apabila Yasmin Ahmad meninggal dunia.

"Kemudian saya kembali berlakon dalam filem Songlap secara tidak sengaja kerana pada mulanya saya datang uji bakat untuk membintangi sebuah drama sebelum ini. Saya anggap kemenangan ini satu rezeki yang cukup bermakna," ujarnya yang pernah memenangi kategori sama untuk filem Talentime empat tahun lalu.

Ujar pelakon berusia 21 tahun itu, dengan kemenangannya itu juga akan membuatkan dirinya mahu kembali aktif dalam bidang lakonan pada masa akan datang.

Bunohan monopoli FFM25

Posted:

Bunohan monopoli FFM25

Bunohan monopoli FFM25

POSE Dain Said bersama empat daripada lima Anugerah Perdana yang diraih filem Bunohan.


FESTIVAL Filem Malaysia ke-25 (FFM25) menyaksikan filem Bunohan menang besar apabila berhasil menggondol lapan daripada 24 kategori yang dipertandingkan.

Antara kategori yang dimenangi filem tersebut seperti Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Lakon Layar Terbaik pada acara kemuncak FFM25 yang menawarkan Anugerah Perdana, yang berlangsung malam kelmarin.

Selain itu, filem berkenaan juga turut memenangi tiga kategori lain pada hari perasmian dan penyampaian Anugerah Cipta FFM25 yang berlangsung pada 27 Februari lalu iaitu Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Pengarah Bunohan, Dain Said berkata, dia sangat bangga dan gembira dengan kemenangan tersebut dan menyifatkan filemnya itu diterima baik oleh pihak yang bergiat aktif dalam industri filem tempatan.

"Biarpun filem ini sudah ditayangkan di luar negara dan mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa, saya menganggap kemenangan di negara sendiri sudah tentu lebih penting.

"Pada masa sama saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam pembikinan filem ini dan telah memberikan komitmen 100 peratus sehingga ia siap dihasilkan," ujarnya.

Bagi filem yang menerima pencalonan terbanyak iaitu Songlap menerusi 15 kategori sekadar berpuas hati dengan empat kemenangan iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Penyunting Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Selain itu, filem 29 Februari pula berhasil membawa pulang tiga kategori iaitu Pelakon Harapan Lelaki Terbaik, Pelakon Harapan Wanita Terbaik dan Pereka Kostum/Busana Terbaik.

Enggan ganggu proses pihak berkuasa

Posted:

Enggan ganggu proses pihak berkuasa

Enggan ganggu proses pihak berkuasa

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


ND LALA menegaskan Shila kini akan memberikan tumpuan sepenuhnya hanya terhadap karier seninya.


KONTROVERSI kisah cinta penyanyi muda, Shila Amzah dan pelakon, Sharnaaz Ahmad sebelum ini tercetus gara-gara dikatakan terhalang oleh bapa Shila sendiri iaitu penyanyi veteran, ND Lala.

Kenyataan demi kenyataan dibalas ND Lala dan Sharnaaz. Namun, setelah 'kehilangan' Shila selama seminggu, ND Lala mengambil keputusan untuk menyepikan diri seketika daripada memberikan sebarang kenyataan.

Namun, dia berjanji akan menjawab dilema yang berlaku selama ini melalui sebuah sidang akhbar khas yang akan diadakan kelak.

Menepati janjinya, sebuah sidang akhbar khas telah diadakan di kediaman ND Lala di Taman Hulu Langat Jaya, Batu 9, Hulu Langat, Selangor pada Jumaat, 1 Mac lalu.

Selain sidang akhbar, ND Lala serta keluarganya juga mengadakan majlis doa selamat bagi mendoakan keberangkatan mereka sekeluarga ke umrah pada 7 Mac ini.

Ikuti kenyataan terbaharu yang dibuat oleh ND Lala tentang puteri kesayangannya, Shila Amzah.

Kosmo!: Apakah perkembangan terbaharu karier Shila di China kini?

ND LALA: Shila kini telah menandatangani kontrak selama enam tahun bersama Shanghai Media Group di China yang akan menjadi platform untuk membawa Shila ke peringkat lebih tinggi di sana. Kami telah menubuhkan syarikat Shila Amzah Entertainment Bhd. Syarikat ini adalah khusus untuk mengembangkan bakat Shila ke peringkat antarabangsa. Ia termasuk di Malaysia, Hong Kong dan juga Los Angeles.

Jika tiada halangan, selepas bulan April ini, Shila bakal menetap di China selama paling kurang enam bulan untuk menguruskan kariernya sekali gus mempelajari bahasa Mandarin agar menguasai sepenuhnya bahasa tersebut. Pulang dari umrah kami akan pergi ke China untuk merakam lagu Mandarin.

Sebelum menetap di Shanghai, Shila juga bakal mengadakan sebuah konsert di Lincoln Centre, New York, Las Vegas serta California, Amerika Syarikat. Album tempatan bakal dilancarkan pada bulan Mei tahun ini. Dua single terbaharu akan dikeluarkan secepat mungkin.

Kenapakah sehingga perlu menetap di China?

Ini kerana apabila Shila tinggal di sana, dia boleh beri sepenuh tumpuan untuk mempelajari bahasa dan mengikuti jadual kariernya. Ini kerana Shila akan meluangkan masa selama lapan jam untuk berlatih. Walaupun namanya telah dikenali di Malaysia, namun bagi peringkat antarabangsa, dia masih hijau.

Bolehkah anda komen tentang isu kehilangan Shila dan kisah bersama bekas teman lelaki Shila, aktor Sharnaaz Ahmad?

Saya minta maaf kerana tidak dapat memberi komen tentang perkara ini. Kami membuat keputusan ini kerana tidak mahu sebarang kenyataan mengenainya akan mengganggu proses pihak berkuasa yang sedang dijalankan. Saya harap pihak media menghormati keputusan ini dan kini Shila ingin berikan sepenuh perhatian terhadap kariernya. Terima kasih.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved