Isnin, 4 Mac 2013

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Dua kampung lagi kena ceroboh

Posted:

Dua kampung lagi kena ceroboh

Dua kampung lagi kena ceroboh

SEBAHAGIAN penduduk di Kampung Labian berkumpul di Dewan Embara Budi di Felda Sahabat, Lahad Datu semalam.


LAHAD DATU - Penduduk di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian di sini semalam gempar apabila menerima maklumat mendakwa sekumpulan 40 individu bersenjata mencurigakan yang menaiki dua buah bot mendarat di kawasan tersebut.

Kehadiran kumpulan yang didakwa mempunyai kaitan dengan pengganas Sultan Sulu tersebut kemudian dilaporkan oleh seorang penduduk berusia 36 tahun di sebuah balai polis di sini.

Sumber memberitahu, lelaki tersebut memberitahu dia menerima panggilan daripada seorang ketua kampung pada pukul 8.45 pagi semalam yang mendakwa melihat kehadiran sekumpulan lelaki yang menaiki dua buah bot besar kelmarin.

"Laporan itu juga menyebut lelaki bersenjata tersebut telah membeli makanan secara pukal sekaligus menggemparkan penduduk di dua buah kampung tersebut" katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Tanjung Labian dikenali sebagai Ridal, 32, mendakwa, dia terdengar bunyi teriakan orang yang berlari menuju ke sebuah dewan.

"Kami kemudian nampak ada beberapa penduduk Kampung Tanjung Batu yang sama-sama menuju ke dewan. Mereka kata ternampak sekumpulan lelaki keluar dari kawasan ladang kelapa sawit menuju ke Kampung Tanjung Batu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata, pihaknya sudah menghantar sepasukan anggota untuk memantau kawasan terbabit.

"Kita sedang menyiasat jika ada kumpulan yang benar-benar telah memasuki kedua-dua kampung berkenaan," kata beliau.

Bagaimanapun, menurut beliau, pada masa ini, keadaan di kedua-dua kampung itu terkawal dengan pasukan keselamatan sedang membuat kawalan rapi.

Dengan perkembangan terbaharu itu, pihak penceroboh kini telah masuk ke lima buah kampung dengan didahului Kampung Tanduo sejak 12 Februari lalu sebelum diikuti Kampung Seri Jaya, Siminul dekat Semporna dan Kunak.

Kampung Tanjung Batu dan Kampung Labian terletak kira-kira empat kilometer dari Kampung Tanduo.

Luas kawasan yang diceroboh kira-kira 500 meter persegi.

Ketika pertempuran antara pengganas Sultan Sulu dengan pihak polis di Kampung Tanduo, dua anggota polis Komando VAT 69 telah disahkan meninggal dunia. Mereka ialah Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46.

Zulkifli kemudian dinaikkan pangkat kepada Asisten Superintendan manakala Sabarudin pula mendapat pangkat Sarjan.

Tiga pula cedera iaitu Koperal Azman Ampong, 38, Koperal Mohd. Tarmizi Hashim, 32, dan Konstable Mohamad Qaiyumaiqal, 22.

Polis yang membuat serangan balas kemudian telah menembak mati seramai 12 orang pengganas.

Sementara itu di Kampung Seri Jaya pula, seramai enam anggota termasuk seorang pegawai disahkan meninggal dunia.

Mereka ialah Superintendan Ibrahim Lebar, 52; Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27; Sarjan Abdul Azis Sakirun, 48; Koperal Salam Togiran, 42; Asisten Superintendan Michael Padel, 36, dan Sarjan Baharin Hamit, 49.

Jumlah pengganas yang dibunuh juga seramai enam orang.

Pengganas Sultan Sulu rancang bakar kampung

Posted:

Pengganas Sultan Sulu rancang bakar kampung

Pengganas Sultan Sulu rancang bakar kampung


PENDUDUK Kampung Seri Jaya bergegas meninggalkan
rumah selepas mendengar kampung mereka akan dibakar pengganas Sultan Sulu semalam.


SEMPORNA - Tragedi berdarah yang mengorbankan enam anggota polis di Kampung Seri Jaya, Simunul di sini menakutkan penduduk kampung selepas mereka mendengar khabar angin kumpulan pengganas itu merancang membakar kampung mereka.

Seorang penduduk, Nazmah Datugis, 40, berkata, sejak tercetus khabar angin itu, dia dan ahli keluarga membuat keputusan meninggalkan kampung itu buat sementara kerana bimbang dengan khabar angin tersebut.

"Kami terpaksa meninggalkan rumah kerana kumpulan tersebut tidak berhati perut dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh," kata Nazmah yang sedang berkemas untuk meninggalkan kampungnya semalam.

Wandi Ipong, 52, pula berkata, khabar angin sejak kelmarin itu membuatkan dia dan penduduk kampung berasa tidak selamat walaupun menyedari pihak polis memberi jaminan keadaan di kampung tersebut masih terkawal.

"Kami dan beberapa penduduk tidak sanggup menanggung risiko untuk terus tinggal di sini," kata Wandi.

Tambah Wandi lagi, dia dan keluarga akan berpindah buat sementara waktu ke rumah kenalannya di kampung berhampiran dan hanya akan pulang semula selepas keadaan benar-benar aman.

Sementara itu, Ketua Kampung Seri Jaya, Panglima Ramlee Saraman berkata, beliau tidak dapat menghalang tindakan beberapa penduduk yang ingin berpindah ke tempat lain.

"Saya sudah menasihati semua penduduk supaya bertenang namun ada sebahagian penduduk tetap mahu pindah," kata Ramlee.

Sementara itu, tinjauan di pekan Semporna mendapati walaupun keadaan tenang namun penduduknya hidup dalam keadaan berjaga-jaga.

Beberapa kedai dilihat hanya membuka separuh premis untuk urusan perniagaan.

Selain itu, difahamkan, sebahagian nelayan turut enggan turun ke laut kerana bimbang dengan kejadian berdarah yang merebak ke sini.

Seorang nelayan, Ibrahim Jailani, 40, berkata, nelayan-nelayan terutamanya dari Kampung Seri Jaya mengambil keputusan untuk tidak menangkap ikan sejak Sabtu lalu.

"Jika esok keadaan lebih tenang, baru nelayan bercadang turun ke laut. Hasil tangkapan ikan merupakan sumber pendapatan penduduk di sini," katanya ketika ditemui semalam.

Bagi Abdullah Sapayani, 55, pula, walaupun tiada serangan terbaharu di pekan ini namun penduduk masih berada dalam ketakutan.

"Tindakan polis menyerbu dan menembak balas tindakan kumpulan pengganas yang membunuh anggota polis merupakan tindakan tepat," kata Abdullah.

Seorang suri rumah, Norpaidah Samat, 40, berkata, sejak tinggal di sini pada tahun 1970, ini merupakan insiden berdarah pertama yang dilaluinya.

Sejak tercetus pergolakan itu, Norpaidah berkata, dia sekeluarga terpaksa menggunakan tilam dan kusyen tempat duduk untuk diletakkan di dinding rumah sebagai benteng.

"Saya takut. Anak-anak saya juga ramai yang masih kecil," katanya.

Dana tambahan RM600 juta

Posted:

Dana tambahan RM600 juta

Dana tambahan RM600 juta


NAJIB bersalaman dengan para peserta yang menghadiri majlis Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM600 juta dalam usahanya memperkasakan lagi usahawan-usahawan Bumiputera sekali gus melonjakkan penglibatan mereka ke arena global.

Ketika mengumumkan dana tambahan itu, Perdana Menteri berkata, RM400 juta akan dikendalikan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

"Sebanyak RM100 juta akan dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk pembangunan korporat bagi pertambahan ekuiti Bumiputera," kata beliau sebelum merasmikan Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 di sini semalam.

Sementara itu, kata beliau, RM100 juta akan diberi kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad bagi membantu usahawan Bumiputera mendapat lokasi strategik di pusat beli-belah ternama bagi memasarkan jenama antarabangsa.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kenaikan had pinjaman kepada usahawan di bawah kendalian Mara dan Tekun daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Selain itu, beliau turut menaikkan had pembiayaan di bawah kendalian Mara daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Najib berkata, dana tambahan yang dikendalikan oleh EPU itu akan digunakan untuk program-program strategik seperti memperkasakan usahawan Bumiputera dengan pendekatan yang berinovasi agar usahawan-usahawan itu dapat memperluaskan pasaran serta menyediakan infrastruktur yang lengkap.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menggalakkan agar usahawan Bumiputera dapat meningkatkan prestasi dan kemahiran masing-masing supaya dapat terus berdaya saing dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata untuk berjaya.

Sekiranya seseorang usahawan Bumiputera itu mempunyai kebolehan, tanpa tandatangan sesiapa pun mereka layak untuk bersaing mendapatkan kontrak, kata Najib.

"Kita tidak mahu pengusaha-pengusaha sebegini sebab kalau kita beri (kontrak) berdasarkan mereka yang buat begini, maka kita tidak akan bangunkan satu budaya baharu dalam kalangan usahawan Bumiputera," kata Najib.

Beliau turut memberi contoh kontrak Transit Aliran Ringan yang diberi baru-baru ini, sebanyak 45 peratus daripada jumlah nilai kontrak telah diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera berdasarkan merit kerana mereka telah dikenal pasti sebagai layak dan berkebolehan dalam melaksanakan projek-projek yang diberikan. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved