Isnin, 4 Mac 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Nukilan seni Kaer Azami

Posted:

Nukilan seni Kaer Azami

Nukilan seni Kaer Azami

Oleh ALIF ABU BAKAR

REKAAN Kaer mampu menyerlahkan sisi segak lelaki yang ringkas.


NAMANYA pernah meledak menerusi rancangan realiti TV nyanyian popular negara, Akademi Fantasia (AF) musim kedua terbitan Astro pada tahun 2004.

Meskipun gagal mendapat tiga tempat teratas pada peringkat akhir AF, Wan Mohammad Khair Wan Azami Hamzah tetap dijulang sebagai juara di hati peminatnya.

Rentetan seni hidup lelaki yang senang dipanggil Kaer Azami itu terus mekar apabila lagu dendangannya, Izinku Pergi menerima sambutan hangat. Populariti lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik tulisan Sulu Sarawak itu juga kekal sehingga ke hari ini.

Lagu berhantu itu juga diangkat sebagai pemenang kategori balada pada Anugerah Juara Lagu ke-22 pada tahun 2007. Ia turut diangkat sebagai Lagu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun yang sama.

Ironinya, jejaka berusia 28 tahun itu tidak menyepi dalam dunia seni tanah air. Empat tahun menimba ilmu dalam kursus perniagaan di sebuah universiti swasta di Jakarta, Indonesia, Kaer sebenarnya secara senyap telah membina empayar kecil dalam dunia fesyen busana jejaka.

"Segalanya bermula ketika saya menghadiri sebuah majlis di Jakarta. Sebelum ke majlis tersebut, saya buntu memikirkan pakaian apa yang sesuai untuk digayakan. Idea bagi menghasilkan pakaian yang ringkas terus datang dan saya bertekad hadir dalam persalinan rekaan sendiri.

"Pada majlis tersebut, ada seorang lelaki menegur saya dan bertanya tentang pakaian yang saya pakai. Dia sangat tertarik dengan rekaan yang saya buat dan terus meminta saya mereka pakaian yang sama untuknya," imbas Kaer yang turut memiliki diploma seni bina dalaman.

Peluang yang hadir itu dimanfaatkan sepenuhnya Kaer bagi membina namanya di bumi Indonesia. Saban hari, hasil kerja Kaer mula dipandang pencinta fesyen di sana, malah dia juga membuat keputusan bagi memasarkan jenamanya ke beberapa buah negara lain seperti Itali dan Filipina.

Kombinasi seni

Menjadikan Jakarta sebagai pusat pergerakan label pakaiannya, anak jati Petaling Jaya, Selangor itu kini bersedia membawa pulang eksperimen beraninya ke Malaysia.

Sebagai permulaan, Kaer giat mempromosikan produknya secara kecil-kecilan, termasuk membuka gerai di bazar Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada penghujung November tahun lalu. Difahamkan, sebanyak 80 peratus item berjaya dijual di bazar tersebut.

Usaha bagi menempatkan rekaannya, Kazami Homme dan Quhji di sebuah butik dalam negara, telahpun berjaya dilaksanakan.

Mereka yang ingin melihat sendiri atau teringin menyarungkan pakaian rekaan Kaer bolehlah mengunjungi Butik Seethrough Concept Store, Bangsar, Kuala Lumpur. Kedua-dua koleksi Kaer telah pun diletakkan di butik itu sejak awal bulan Februari lalu.

Sementara itu, mengikut perkiraan awal, Kaer telah bersiap sedia untuk menjalankan pertunjukan fesyen sulungnya pada bulan Mei depan.

Ujarnya lagi: "Saya mengidamkan pertunjukan fesyen yang unik dan sarat dengan unsur kesenian. Oleh yang demikian, saya sangat senang dapat bekerjasama dengan pereka arca muda yang sedang meningkat naik iaitu Faiz Yunus.

"Saya berasa terpanggil untuk sama-sama mengangkat penggiat seni sebegini ekoran kurangnya publisiti yang mereka terima. Fesyen adalah cabang daripada kesenian dan saya melihat kolaborasi ini sebagai satu medium sempurna bagi mengembangkan industri seni negara."

PERCUBAAN awal Kaer telah menerima sambutan yang menggalakkan.


Kazami Homme

Tatkala mengamati setiap helaian rekaan Kaer, rasa kagum terus terbit dalam diri. Bagaimana seorang penyanyi bersuara lunak, memiliki bakat luar biasa mencipta pakaian penuh artistik dan teliti dari segi strukturnya?

Mungkin secara semula jadi, Kaer telah dianugerahkan kepintaran dalam nukilan kesenian. Kecintaannya sendiri terhadap lapangan tersebut pula membantu pelantun lagu Menjelma itu membawa busana karyanya ke peringkat antarabangsa.

Pada awalnya, koleksi bernama Quhji menjadi percaturan Kaer. Ia tertumpu kepada rekaan bersifat eksperimental dan avant garde, sesuai untuk lelaki yang berani mencuba sesuatu di luar kebiasaan dan lari daripada gaya harian tipikal.

Menurut Kaer, Quhji bukan pakaian yang direka mengikut musim tetapi bercirikan episod. Ia mempunyai kesinambungan unik, yang bermaksud setiap keluaran adalah sambungan penceritaan rekaan sebelumnya.

Selepas selesa dengan keutuhan Quhji, Kaer dengan berani memperkenalkan rekaan baharu di bawah nama Kazami Homme. Berbeza daripada Quhji, Kazami Homme dipusatkan kepada pakaian sedia pakai yang ringkas dan stailo.

"Item seperti kemeja, jaket, seluar pendek dan panjang, kasut, sandal dan baju T antara yang diberi fokus dalam koleksi Kazami Homme. Material yang saya gunakan pula pelbagai termasuk kapas, fabrik biri-biri (wool), twil dan poliester," bicara anak kedua daripada empat beradik itu.

Pelayaran karier

Pertemuan Stailo dengan Kaer baru-baru ini, bukan sahaja membicarakan tentang profesion baharu jejaka berbintang Virgo itu, malah turut menyentuh lanjutan kerjayanya dalam bidang seni suara.

"Sebelum ini ramai orang mengenali saya sebagai penyanyi dan kini saya bersedia untuk turut dikenali sebagai seorang pereka fesyen," tegas Kaer penuh semangat.

Sudah lebih dua tahun, Kaer tidak tampil dengan material untuk album baharu. Bagaimanapun, ia bukan bermaksud minat terhadap nyanyian itu telah terkubur. Dia masih aktif memenuhi undangan nyanyian untuk beberapa majlis.

"Sekiranya berkesempatan menghasilkan album baharu, saya akan tumpukan kepada aspek artistik. Lagu-lagu di dalamnya tidak hanya sedap didengar tetapi mempunyai mesej tersirat dan penceritaan bermakna," jelas Kaer.

Menyifatkan nyanyian sebagai hobi dan bukan karier utama pilihannya, Kaer merasakan dirinya mempunyai kepelbagaian seni yang perlu diasah. Dia enggan bakat yang ada itu terpendam tanpa dikembangkan.

Tambah Kaer, dia seorang individu yang sukar melekat terhadap satu-satu pekerjaan. Jika boleh, dia mahu mencuba nasib dalam beberapa cabang seni.

Jaket ikut susuk tubuh

Posted:

Jaket ikut susuk tubuh

Jaket ikut susuk tubuh

JAKET dengan pelapik bahu juga perlu disesuaikan dengan bentuk badan.


SOALAN: Apakah panduan bagi memilih jaket atau blazer bersama seluar yang sesuai untuk pelbagai bentuk badan?

- Omar Khalif, Mutiara Damansara

JAWAPAN: Di sini saya senaraikan tip-tip yang boleh dijadikan rujukan bagi memilih jaket, blazer dan seluar yang sesuai untuk pelbagai potongan:

Panduan bagi bentuk badan berkontur

* Ciri-ciri: Bahu menurun, pinggang penuh, pinggul atau perut bulat dan rusuk lebar.

* Pemilihan jaket atau blazer: Disebabkan garis luar badan yang membulat, anda perlu elakkan daripada memakai pakaian yang lebih bersegi kerana ia akan menjadikan penampilan kurang menarik dan tampak menggeleber.

Elakkan juga sut butang berganda (double breasted) berjalur halus dan lapel atau kolar depan lebar dengan padanan seluar slack potongan geleber (baggy).

Penampilan itu bakal membuatkan anda kelihatan seperti memakai kostum untuk filem gangster ala Godfather. Ia juga akan menampakkan badan anda lebih lebar, terutamanya jika ia tidak dibutangkan.

Untuk penampilan lebih cool, hebat dan segak, pilih sut butang sebaris (single breasted) yang ditempah khas untuk anda. Jika anda memilih untuk memakai jaket kasual, pastikan ia sedikit longgar dan biarkan lengan mencecah buku lima.

* Pemilihan seluar: Bagi anda yang mempunyai pinggul dan perut yang membulat, pilihlah seluar yang leper pada bahagian depan.

Rekaan sebegitu akan menjadikan anda kelihatan lebih menarik, sama ada untuk acara formal atau kasual. Pilih fabrik lembut dan ditenun longgar. Elakkan fabrik yang ditenun rapat, keras dan berkilat.


LELAKI badan berkontur perlu mengelakkan jaket butang berganda.


Panduan bagi bentuk badan segi tiga

* Ciri-ciri: Bahu lebar, pinggang kecil, pinggul menirus, rusuk berbentuk V.

* Pemilihan jaket atau blazer: Anda cukup beruntung kerana boleh mengenakan pelbagai variasi rekaan fesyen. Bagaimanapun, elakkan daripada memakai pakaian yang lebih menonjolkan bahu seperti pad bahu dalam blazer.

Ia membuatkan anda tampak pelik dengan bahu yang kelihatan lebih lebar dan tinggi daripada biasa. Dengan bahu yang lebar anda boleh memakai sut dengan lapel yang lebih besar dan lebih segak jika anda menggayakan jaket butang berganda.

Perlu diingat, dengan pinggang yang menirus dan kecil, jaket atau blazer anda seharusnya tidak melebihi garisan pinggang. Elakkan memakai jaket yang tidak berstruktur dan lurus kerana ia membuatkan anda kurang menarik.

* Pemilihan seluar: Anda bertuah kerana memiliki bentuk tubuh yang boleh menggayakan padanan baju, kemeja dan seluar yang mengikut bentuk badan.

Pilihlah seluar dengan lisu berganda (double pleat) atau seluar jean yang mengikut bentuk tubuh. Fabrik yang ditenun rapat dan jenis fabrik yang sedikit berkilat juga sesuai digayakan.

Panduan bagi bentuk badan segi empat

* Ciri-ciri: Ukuran bahu, pinggang dan pinggul hampir sama serta rusuk lurus.

* Pemilihan jaket atau blazer: Untuk nampak lebih dinamik, pilih jaket atau blazer yang memberikan fokus kepada bahu anda. Pilihan yang tepat ialah jaket yang memiliki pelapik pada bahagian bahu.

Anda sesuai mengenakan jaket potongan butang berganda tetapi jika anda mempunyai perut yang sedikit buncit, anda perlu memilih jaket butang sebaris.

Bagi jaket kasual pula, pilihlah yang berpotongan lurus dan sedikit panjang daripada garisan pinggang. Paling penting, anda harus selesa dan yakin dengan keterampilan diri agar ia dapat memberikan impak imej yang positif dan hebat dalam penampilan.

* Pemilihan seluar: Individu dalam kelompok potongan badan segi empat perlu mengelakkan memakai jean yang ketat kerana mereka tidak memiliki bahu yang bidang.

Mengikut kesesuaian, anda boleh menggayakan slack potongan chino bersama jaket butang sebaris atau berganda. Anda juga bertuah kerana boleh memilih banyak jenis fabrik untuk dijadikan pakaian tanpa memberi impak negatif terhadap penampilan imej.

Sentimen cinta Muslimah

Posted:

Sentimen cinta Muslimah

Sentimen cinta Muslimah

Oleh ALIF ABU BAKAR

BLAUS rona lembut ini pasti menyerlahkan keayuan.


CINTA merupakan nilai paling kerap dibicarakan individu. Sama ada dalam hubungan kekasih, suami isteri mahupun sesama sahabat, cinta sering menjadi kayu ukur dalam sesuatu keputusan.

Begitu juga dalam dunia fesyen, kecintaan terhadap sesuatu gaya mendorong seseorang memilih penampilan yang mampu melambangkan personaliti diri mereka.

Perkataan cinta dalam bahasa Rusia, lyubove barangkali asing dalam kamus harian kita. Oleh yang demikian, seorang pengusaha label Muslimah tempatan, Hani Mohd., 27, tampil berbeza dengan memperkenalkan jenama fesyennya, MoyaLyubove.

Sentimen cinta dalam pakaian Muslimah rekaannya menarik pandangan mata dan mampu menggetar hati kaum Adam yang mengerling ke arah wanita berbusana MoyaLyubove.

"Kami menyediakan banyak item berkonsep Muslimah. Antaranya ialah blaus yang didatangkan dalam lima koleksi seperti MoyaElyda, MoyaNezara dan MoyaDhuhaa.

"Setiap koleksi blaus dihasilkan daripada material berbeza. MoyaElyda menggunakan sepenuhnya kapas Itali manakala MoyaNezara pula diperbuat daripada campuran likra kosong dan bercetak.

"Potongannya longgar dan sengaja direka kembang agar syarat menutup aurat itu tidak lari. Kami mahu mendidik pembeli kami berfesyen dengan cara yang betul terutamanya dari segi hukum berpakaian yang dianjurkan agama Islam," jelas Hani yang juga bertugas sebagai seorang peguam.

Banyak menerapkan rona pastel, blaus-blaus MoyaLyubove juga bermain dengan blok warna seperti merah, ungu cair, hitam dan putih kekelabuan (off white).

Penataan coraknya juga kurang dan lebih menekankan kepada busana polos yang ringkas. Tetapi usah risau, wanita yang sukakan pakaian bercorak boleh memilih busana dengan cetakan puak (tribe).

Kelebihan pada blaus daripada MoyaLyubove itu juga terletak pada fungsinya. Zip pada bahagian depan blaus memudahkan wanita yang menyusukan anak untuk melakukan tugas itu tanpa gusar.

Selendang

Sementara itu, bagi melengkapkan gaya minimalis, tutup kepala anda dengan selendang koleksi Zahra keluaran MoyaLyubove. Variasi warna lembut tanpa sebarang corak pasti membuatkan anda selesa, tambahan pula ia diperbuat daripada sifon georget.

"Selendang kami juga direka lebih besar daripada biasa supaya ia dapat menutup penuh bahagian depan tubuh," ujar Hani.

Bagi mendapatkan harga istimewa item-item MoyaLyubove, anda boleh pergi ke laman rasmi Facebook MoyaLyubove menggunakan nama MoyaLyubove.

Seterusnya, klik butang Like dan tulis mesej anda pada ruangan Message dengan menyatakan 'saya mengetahui tentang MoyaLyubove daripada akhbar Kosmo!'.

Tawaran tersebut dibuka bermula hari ini sehingga penghujung Mac ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved