Rabu, 12 Disember 2012

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Kembali ke dunia kanak-kanak

Posted:

Kembali ke dunia kanak-kanak

Kembali ke dunia kanak-kanak

Oleh RADIAH SAORI

BERARAK, menyanyi, bergambar dan belajar menari balet dengan karakter kartun kegemaran ramai merupakan satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

Watak-watak popular seperti Hello Kitty dan teman lelakinya, Dear Daniel pasti antara karakter yang ditunggu si cilik.

Tidak ketinggalan Pingu si penguin comel, Barney si raksasa ungu, Angelina Ballerina yang pandai menari balet dan Bob The Builder. Semua karakter itu dengan pelbagai aktiviti keriangan lain hanya boleh dirasai apabila anda berkunjung ke Taman Tema Keluarga Puteri Harbour, Nusajaya, Johor.

Jika memikirkan watak-watak yang ada di dalam taman tema setinggi empat tingkat itu, sudah pasti ramai yang beranggapan ia hanyalah untuk kanak-kanak, tetapi jangan mudah terpedaya kerana orang dewasa juga pasti teruja apabila dapat mengimbau semula zaman remaja mereka.

Berkeluasan 7,432 meter persegi dan dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang, tarikan utama taman tema itu sudah tentu Bandar Hello Kitty, yang pertama seumpamanya di luar Jepun.

Terletak di tingkat dua bangunan terbabit, bandar yang dihiasi warna merah jambu itu memiliki beberapa ruang untuk pengunjung melakukan aktiviti yang menarik.

Bagi peminat setia Hello Kitty, sudah tentu tidak akan melepaskan peluang memasuki rumah watak kucing comel itu yang lengkap dengan ruang tamu, bilik tidur, bilik mandi dan dapur.

Bagaikan berada di rumah sebenar, peralatan dan perhiasan yang terdapat di rumah tersebut semuanya berkaitan Hello Kitty, keluarganya serta teman lelakinya, Daniel.


KARAKTER comel Hello Kitty dan Daniel antara tarikan utama di taman tema ini.


Jika berkunjung ke Bandar Hello Kitty, jangan lupa merasai pengalaman memasuki Wishful Studio.

Di sini pengunjung berpeluang membuat dan membawa pulang barang kemas, mencuba pakaian kostum di studio foto serta melawat salon kuku. Jangan lepaskan peluang menghiasi kuku anda dengan watak-watak Sanrio.

Di samping itu, pengunjung boleh membuat biskut berbentuk Hello Kitty di studio cookie dan membuat anak patung Kitty anda sendiri.

Jika masih belum puas dengan semua itu, masuklah ke taman permainan di Friendship Land. Anda boleh menunggang permainan cawan teh atau bergambar bersama Hello Kitty dan rakan-rakan.

Kunjungan ke taman itu, pasti kurang sempurna jika tidak melihat persembahan tarian dan nyanyian oleh Hello Kitty dan rakan-rakannya. Pasti anda terhibur tatkala melihat persembahan tersebut.

Tarikan pelancong

Seorang pengunjung, Jesslyn Quek, 34, memberitahu, dia sanggup datang dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru untuk membawa dua anak perempuannya berusia enam dan dua tahun ke semata-mata untuk bertemu dengan Hello Kitty kesayangan mereka.

"Kedua-dua anak saya amat meminati kartun Hello Kitty dan mereka amat seronok dengan pelbagai aktiviti yang disediakan di sini selain dapat bergambar bersama karakter kesayangan mereka.


KANAN: Permainan cawan teh antara permainan yang boleh dicuba di Bandar Hello Kitty.


"Kami memiliki pelbagai barangan Hello Kitty di rumah, malah ketika kunjungi ini kedua-dua mereka turut memakai baju Hello Kitty. Bagi mereka, berada di sini umpama mimpi menjadi kenyataan," katanya.

Jika Bandar Hello Kitty lebih sesuai untuk kanak-kanak perempuan, The Little Big Club yang terletak di tingkat tiga dan empat bangunan terbabit, sesuai untuk sesiapa sahaja.

Di tingkat-tingkat itu terdapat lebih banyak karakter seperti Pingu, Barney, Angelina Ballerina, Bob The Builder dan Thomas and Friends. The Little Big Club juga menyediakan lebih banyak permainan berbanding Bandar Hello Kitty.

Kepelbagaian karakter di situ juga membawa seorang pengunjung warga Colombia, Tatiana Flores, 36, ke Nusajaya.

Katanya, dia mengetahui kewujudan taman tema tersebut melalui internet dan hebahan rakan-rakan.

"Mereka mengesyorkan saya untuk membawa keluarga ke sini bagi merasai sendiri pengalaman bertemu pelbagai karakter kartun popular. Saya akui, ia sangat menarik dan berbaloi untuk dikunjungi," katanya.


MENTERI Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman diiringi Ahmad Burhanuddin melawat sekitar taman tema selepas majlis perasmian baru-baru ini.


Pengunjung yang hadir juga tidak perlu bimbang mengenai makanan kerana mereka boleh menjamu selera di mana-mana tiga kedai yang menjual makanan dengan harga berpatutan di Red Bow Cafe, Cinnamoroll Cafe dan Mc Bunn.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Themed Attractions and Resorts Sdn. Bhd. (TAR), Datuk Tunku Ahmad Burhanuddin Tunku Adnan berkata, sejak dibuka pada 26 Oktober lalu, taman tema terbabit sudah menerima lebih daripada 45,000 pengunjung.

Katanya, pengunjung yang paling ramai hadir merupakan pengunjung tempatan selain pelancong dari negara jiran terutama Singapura, Indonesia dan Thailand.

"Kita yakin, dengan sambutan baik yang diterima, kami dapat mencapai sasaran 50,000 pengunjung bagi tahun ini.

"Sejak cuti persekolahan bermula, kami menerima lebih 1,500 pengunjung sehari dan jumlah tersebut meningkat kepada lebih 2,500 pengunjung pada hujung minggu atau cuti umum," katanya.

Phoenix bukan padang pasir biasa

Posted:

Phoenix bukan padang pasir biasa

Phoenix bukan padang pasir biasa

Oleh TERRY TANG


KEINDAHAN padang pasir Pheonix boleh disaksikan menerusi perkhidmatan belon panas.


POKOK-POKOK kaktus tumbuh meliar di padang pasir. Kewujudannya sedikit mengganggu pemandangan. Justeru, tidak hairanlah pengunjung beranggapan Phoenix yang terletak di Arizona, Amerika Syarikat (AS) sebuah kawasan yang sukar untuk mendapatkan air dan menyaksikan kebudayaan penduduknya.

Bagaimanapun, hakikatnya metropolis itu yang termasuk kawasan Scottsdale dan Tempe merupakan kawasan tumpuan peminat alam semula jadi. Pelancong ke Phoenix bagi menyaksikan keindahan puncak gunung dan padang pasir nan luas.

Bahkan, landskap di kawasan bandar juga tidak kurang menariknya. Di padang golf yang dipenuhi pesara-pesara anda dapat menyaksikan kehebatan bangunan lama sesuai dengan usia bandar Arizona iaitu 100 tahun.

Jadi, tidak timbul masalah untuk mencari rumah-rumah bersejarah atau banglo klasik termasuk yang direka oleh arkitek terkemuka, Frank Lloyd Wright.

Pada musim panas, ketika suhu Phoenix berada pada keadaan sederhana dengan burung-burung berhijrah ke kawasan lebih sejuk, saya ingin berkongsi lima cara mengisi masa luang di Phoenix secara percuma.

Mendaki Gunung Camelback

Gunung Camelback antara lokasi popular tumpuan pengunjung yang ingin melihat pemandangan indah puncaknya berwarna merah. Ia terletak antara Phoenix dan Scottsdale.

Pendakian ke puncak gunung setinggi 824 meter itu tidaklah begitu sukar terutama di laluan kaki gunung.

Denai-denai memudahkan pendakian, namun apabila semakin hampir ke puncak keadaan semakin mencabar dan meletihkan.

Ia antara kawasan pendakian terbaik di bandar ini, pihak berkuasa tempatan telah mengambil beberapa pendekatan bagi menaik taraf laluan bagi memudahkan para pendaki yang kini bilangannya semakin ramai.

Laluan Seni

Terletak di pinggir bandar Phoenix, suasana Laluan Seni bertukar menjadi meriah pada Jumaat, minggu pertama setiap bulan. Kawasan itu dibuka sejak tahun 1994 dengan menempatkan galeri-galeri seni yang memaparkan hasil seni artis tempatan.


SEBUAH rumah lama diubah suai pemiliknya menjadi kedai kopi di Jalan Roosevelt.


Artis-artis itu menjual pelbagai barangan termasuk kemeja T, patung-patung boneka, khidmat lukisan jalanan dan lain-lain.

Pelancong juga boleh menyaksikan persembahan jalanan dan permainan papan selaju oleh para remaja bertempat di Jalan Roosevelt. Mereka merupakan penghuni di kejiranan Roosevelt.

Menyusuri kejiranan itu, pengunjung dapat melihat beberapa pemiliknya mengubah suai rumah masing-masing kepada premis perniagaan.

Rumah-rumah dengan seni bina lama itu diubah suai menjadi bar, kafe, butik pakaian dan lain-lain.

Tasik Bandar Tempe

Tasik Bandar Tempe merupakan tasik buatan sepanjang empat kilometer (km) yang dijadikan kawasan tadahan banjir serta 'syurga' kepada penggemar aktiviti berbasikal, berjalan kaki dan joging.

Terdapat juga laluan sepanjang 3.6 meter di kedua-dua belah tasik yang sesuai untuk aktiviti jalan kaki atau papan selaju.

Pada hari-hari tertentu, pengunjung dapat menyaksikan orang ramai berkayak, menaiki kapal layar atau pertandingan perahu naga di tasik tersebut.

Banyak juga acara diadakan di situ antaranya pertunjukan bunga api pada bulan Julai dan perarakan bot pada Disember setiap tahun. Acara-acara itu dibuka kepada umum tanpa dikenakan sebarang bayaran termasuk acara Ironman Arizona.

Rio Salado Audubon Center

Melupakan seketika kehidupan bandar, beberapa kilometer ke selatan tersembunyi sebuah pusat perlindungan haiwan liar.

Pusat Rio Salado Audubon yang terletak di kawasan seluas 242 hektar sepanjang Sungai Garam dihuni kira-kira 200 spesies burung dan haiwan liar termasuk anjing hutan dan arnab.

Untuk menyaksikan burung atau haiwan liar berkenaan, pengunjung boleh berbasikal atau berjalan kaki di trek yang disediakan iaitu sepanjang 16 km.

Di dalam bangunan pula, pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai koleksi gambar.

Aktiviti untuk kanak-kanak turut disediakan.

Lawatan ke kediaman bersejarah


PADANG-PADANG golf turut mengindahkan persekitaran Pheonix di Arizona.


Pada tahun 1996, sebuah persatuan penduduk diketuai Gerry dan Marge McCue berusaha membuang tanggapan bahawa bandar Phoenix tidak selamat untuk didiami.

Usaha gigih tersebut berbaloi apabila mereka berjaya menghasilkan risalah berkaitan 34 kawasan kediaman yang bersejarah.

Setiap kediaman tersebut memaparkan keistimewaan seni bina lampau dari zaman Tudor hingga ke era Kolonial Amerika. Jangan lupa untuk singgah ke Taman Encanto iaitu lokasi yang menempatkan kolam renang awam dan padang golf pertama sekali gus menjadi mercu tanda bersejarah di Phoenix. Kawasan itu seluas 90 hektar.

Beberapa aktiviti boleh dilakukan di situ seperti menaiki bot kayuh merentasi lagun. Setiap tahun kira-kira 80,000 risalah tersebut dicetak dan diberikan secara percuma, malah ia turut diletakkan di hotel-hotel atau kedai cenderamata.

Peminat rekaan Frank Lloyd Wright dinasihatkan pergi ke bahagian timur Phoenix. Di situ, anda dapat menyaksikan sebuah rumah yang dibina khas untuk anak lelakinya di alamat 5212 E, Exeter Belouvard.

Rumah itu pernah mengundang kontroversi apabila dibeli pihak pemaju yang kemudian mengumumkan untuk meruntuhkannya.

Dibina pada tahun 1950-an, reka bentuk dalaman rumah itu dibina mengikut bangunan Muzium Guggenheim di New York. – AP.

Wajah baharu Grand Dorsett Subang

Posted:

Wajah baharu Grand Dorsett Subang

Wajah baharu Grand Dorsett Subang


WARNA putih yang menjadi tema ruang lobi memberi suasana segar dan ceria.


BERMULA daripada sebuah ladang kelapa sawit yang dikenali Seafield Estate sekitar tahun 60-an dahulu, Subang Jaya semakin berkembang pesat dengan pelbagai pembangunan.

Dikelilingi beberapa bandar utama seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang, tidak hairanlah bandar kecil yang terletak di daerah Petaling menjadi destinasi persinggahan atas pelbagai tujuan.

Sama ada untuk membeli-belah, berhibur, mencari lokasi menjamu selera terbaik atau kepelbagaian tarikan pelancongan yang ditawarkan, Subang Jaya sentiasa mengalu-alukan kehadiran tetamunya.

Bagi mereka yang mahu meneroka sisi bandar yang diiktiraf termaju di Selangor itu dengan lebih dekat sambil menikmati percutian santai di pinggir ibu kota, bolehlah menginap di Grand Dorsett Subang di sini.

Bertaraf lima bintang, hotel itu menawarkan 478 unit bilik dan suite secara keseluruhan.

Mengetengahkan imej segar melalui proses penambahbaikan dan pengubahsuaian, setiap bilik kini tampil mewah dan selesa, sesuai dengan status penghuninya.

Terdapat beberapa pilihan penginapan ditawarkan kepada pengunjung antaranya, Executive Suite, Junior Suite, Executive Club Room dan Deluxe Plus Room.

Menekankan elemen moden dan kontemporari sebagai tema hiasan dalamannya, pengunjung pasti terpesona melihat susun atur perabot yang elegan dan lengkap dengan peralatan terkini.


EMPEROR Restaurant menawarkan aneka hidangan popular Kantonis kepada pengunjung.


Pemandangan menarik

Dengan panorama unik menghadap taman menghijau atau tasik membiru yang ditawarkan, unit penginapannya menjanjikan keselesaan dengan kemudahan seperti penyaman udara, peti sejuk mini, televisyen satelit, telefon, kemudahan membuat minuman, akses jalur lebar internet dan perkhidmatan bilik 24 jam sehari.

Sementara itu, pengunjung yang menginap di Executive Club Room atau Executive Club Suite mempunyai kelebihan untuk berkunjung ke Premier Lounge, lounge eksklusif yang terletak di tingkat 16.

Dibuka setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 10 malam, lounge yang berlatarbelakangkan panorama bandar raya Kuala Lumpur itu merupakan lokasi yang sesuai untuk bersantai atau berbual sesama teman-teman bisnes.

Sepanjang menginap di situ, pengunjung berpeluang merasai pelbagai hidangan enak dan lazat yang ditawarkan di beberapa kafe, restoran dan lounge.

Bagi yang gemarkan suasana ala Mediterranean, bolehlah ke Terazza Brasserie yang menawarkan hidangan bufet lengkap sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

Sementara itu, penggemar masakan Cina pula bolehlah ke Emperor Restaurant. Berkonsepkan tradisional dan kontemporari, restoran itu menghidangkan aneka hidangan Kantonis popular.


KESELESAAN menanti di segenap sudut bilik penginapan.


Pilihan gastronomi tidak terhad setakat itu sahaja. Pengunjung yang mahu menikmati hidangan sambil sambil ditemani alunan muzik bolehlah ke Piano Lounge sementara Cafe Aroma pula menawarkan snek ringan dalam suasana ala kopitiam moden.

Bosan duduk di dalam bilik semata-mata, apa kata menjana stamina di Pusat Kecergasan Clark Hatch yang lengkap dengan pelbagai peralatan senaman terkini lengkap dengan jurulatih peribadi.

Selepas puas beriadah, segarkan badan sambil bersantai di bilik sauna atau bilik mandian wap yang disediakan.

Selain menjadi lokasi penginapan, Grand Dorsett Subang juga sering berfungsi sebagai destinasi persidangan dan majlis-majlis rasmi.

Dewan utamanya, Grand Selangor Ballroom seluas 1,378 meter persegi mampu memuatkan kira-kira 1,000 pengunjung pada satu-satu masa. Ia juga mempunyai 10 bilik pelbagai fungsi, yang lengkap dengan kemudahan audio visual untuk acara mesyuarat dan seminar berskala kecil dan sederhana.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved