Jumaat, 2 September 2011

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


pengalaman hamil pada bulan Ramadan

Posted:

pengalaman hamil pada bulan Ramadan

pengalaman hamil pada bulan Ramadan

SUDAH menjadi kebiasaan masyarakat, sepanjang menyambut bulan Ramadan pasti persiapan raya tidak dilupakan. Walau sesibuk mana pun jadual harian, sebagai sebuah keluarga terutamanya sebagai seorang ibu pastinya ingin memberi yang terbaik buat anak dan suami tersayang.

Bagi dua aktres muda iaitu Sari Yanti dan Serina Ridzuawan, keterujaan mereka semakin bertambah kerana bukan sahaja Hari Raya Aidilfitri kali ini disambut sebagai ibu kepada seorang anak, malah kehamilan anak kedua memberi cahaya yang bermakna bagi kedua-duanya.

Menurut kedua-dua Sari Yanti dan Serina, sejak berumah tangga, setiap raya yang disambut membawa makna berbeza kepada mereka. Jika dahulu Aidilfitri hanya disambut bersama suami, kini mereka telah mempunyai permata hati yang menceriakan pasangan suami isteri.

Namun kali ini, keseronokan bertambah dua kali ganda apabila masing-masing sedang mengandungkan anak kedua dan sebagai seorang ibu mengandung pada bulan Ramadan yang baru berpenghujung adalah berbeza daripada pengalaman sebelumnya.

Sari mahu rasa nikmat raya

Sejak mengandungkan anak keduanya, Sari atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari, 27, tidak mengambil tawaran berlakon dan banyak menghabiskan masa berehat di rumah atau kadangkala ke rumah mertua.

Jika tahun lepas wanita kecil molek ini tidak berpuasa kerana masih dalam pantang setelah melahirkan putera pertamanya, Barr Al-Aliy, kini berusia 13 bulan, namun tahun ini dia berusaha berpuasa walaupun sedang sarat mengandung enam bulan.

"Ramadan yang lalu Sari berpuasa seperti biasa. Walaupun tidak mengapa jika tidak berpuasa, Sari tetap lakukannya juga tahun ini. Ini kerana berpuasa pada bulan Ramadan, nikmat dan keseronokan ingin menyambut raya itu lebih terasa.

"Tapi jika Sari puasa, Sari harus bersahur dahulu. Kebiasaannya, Sari akan bangun awal dan memasak kerana apabila bersahur, Sari perlu makan nasi dengan hidangan yang berat. Kerana jika tidak, Sari akan lapar semula pada tengah harinya," tutur Sari mengenai rutin Ramadan yang baru ditempuhinya.

Bercerita tentang lokasi beraya, ujar Sari, kebiasaannya dia akan pulang beraya di kampung halaman ibu bapanya yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, memandangkan rumah mertua hanya terletak di Subang Jaya, Selangor.

Ujar anak kedua daripada tiga beradik perempuan ini, kebiasaannya tiga atau empat hari raya sudah memadai untuk beraya di kampung, namun jika dia mempunyai rancangan mungkin cuti tersebut dipanjangkan.

"Sari tidak pasti lagi berapa lama beraya di kampung sebab suami Sari bekerja sendiri, jadi sebenarnya tidak kisah tapi Sari ikut juga perancangan atau jadual kerja suami Sari.

"Lagipun Kuala Pilah bukannya jauh sangat. Kadangkala pernah juga kami pulang semasa hari pertama raya kerana tiada masalah untuk pulang ke sana memandangkan perjalanan mengambil masa sejam sahaja," kata Sari lagi.

Tambahnya, setiap tahun dari Kuala Lumpur perayaan Aidilfitri memberikan pengalaman berbeza buat diri. Jika tiga tahun lepas, dia hanya menyambut raya sebagai seorang isteri dan tahun lepas raya pertama sebagai seorang ibu manakala pengalaman tahun ini pula sebagai seorang ibu mengandung.

Sementara itu, seiring dengan raya Aidilfitri, Malaysia juga bakal menyambut kemerdekaan yang ke-54 tahun ini. Bagi Sari, jika sayangkan negara tidak perlu hanya menunggu bila tiba hari kemerdekaan. Kita perlu tunjukkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap masa.

Selera bermusim Serina


SERINA dan Sari Yanti bersyukur dengan kurniaan yang diberikan Tuhan buat mereka.


Bagi aktres tinggi lampai, Serina Ridzuawan yang sedang hamil lima bulan, dia tidak mahu memaksa diri untuk berpuasa pada bulan Ramadan tahun ini. Tuturnya, dia hanya berpuasa mengikut kemampuan diri bagi menahan lapar dan dahaga.

"Pada Ramadan lalu, saya ada juga berpuasa beberapa hari, namun saya tidak paksa diri. Saya hanya berpuasa jika saya larat dan mampu bertahan. Tahun lepas saya tidak dapat berpuasa kerana ketika itu saya sedang sarat.

"Dalam masa yang sama, kebiasaannya wanita hamil kerap kehausan. Suami juga risau kerana jika berpuasa dikhuatiri bayi di dalam kandungan mungkin akan kurang mendapat zat," ujar Serina yang dikurniakan seorang anak lelaki berumur 10 bulan bernama Tristan Tareef O'luanaigh.

Seperti diketahui umum, Serina telah berkahwin dengan seorang lelaki Inggeris, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghaffar. Menurut Serina, suaminya kini masih dalam proses belajar berpuasa.

Dia juga bersyukur kerana walaupun tidak penuh 30 hari berpuasa, sifat suaminya yang berusaha sebaik mungkin untuk menunaikan Rukun Islam yang ketiga itu amat membanggakan. Katanya, dia tidak memaksa suaminya berpuasa namun mengajarnya dengan menggunakan cara tersendiri.

"Saya juga gunakan psikologi untuk mengajar suami saya dan sebenarnya dia seorang yang tidak cerewet. Jadi senang untuk berurusan dengannya. Kadangkala saya masak juga untuk juadah berbuka tapi selalunya jika suami saya mahukan apa-apa hidangan dia akan minta.

"Kadangkala dia terpaksa layan saya yang sering teringin untuk makan itu dan ini. Tapi yang peliknya, teringin saya ini bermusim. Sebagai contoh, jika saya teringin makan pizza, maka seminggu itu saya hanya mahukan pizza," ujar Serina menceritakan tentang seleranya ketika hamil.

Saat berbicara mengenai raya, tutur ibu berumur 28 tahun ini, untungnya setiap tahun destinasi balik kampung hanya akan ke kampung halamannya di Pahang memandangkan suaminya seorang lelaki Inggeris yang tinggal di luar negara.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Serina akan membuat kuih raya sendiri dan ada juga yang dijual. Begitu juga tahun ini, yang mana dia ada membuat kuih-muih raya seperti tart nenas, cip coklat dan juga biskut lemon rasberi.

Walaupun masih berniaga, mungkin kuantiti kuih pada tahun ini dikurangkan dan hanya dijual kepada teman dan keluarga yang rapat sahaja kerana kehamilannya membataskan tenaga yang ada.

Selain itu, bercerita mengenai hari merdeka dan hari raya yang disambut tahun ini, kata Serina, Jalur Gemilang semestinya akan digantung setiap tahun sama ada di rumah mahupun di kenderaan namun untuk keluar menyaksikan perarakan mungkin tidak dilakukannya kerana kesesakan yang berlaku setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan berlangsung.

Rozita, Jasmin utamakan anak

Posted:

Rozita, Jasmin utamakan anak

Rozita, Jasmin utamakan anak

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my

BERCERITA mengenai dua figura ibu moden, siapa tidak kenal Rozita Che Wan dan Jasmid Hamid yang sering muncul dalam kaca televisyen. Pelbagai watak dibawa yang mencirikan antagonis, namun pada hakikatnya dua wanita ini merupakan ibu yang lemah lembut dan sangat mementingkan anak-anak.

Bagi aktres jelita, Rozita Che Wan, Ramadan dan Aidilfitri tahun ini sememangnya tahun sibuk buat empunya diri. Sepanjang bulan puasa, jadual hariannya dipenuhi dengan penggambaran drama dan telemovie. Empat daripada drama itu ditayangkan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Namun, di sebalik kesibukan yang melanda diri, sempat juga dia menyusun jadual untuk dibahagikan antara keluarga dan ibadah apabila wanita yang mesra disapa Rozita ini berkunjung ke tanah suci Mekah untuk menunaikan umrah bersama ibu dan kakaknya.

"Ini kali kedua saya menyambut Ramadan di tanah suci kota Mekah. Saya memang telah rancang untuk pergi umrah kali ini semasa bulan Ramadan kerana tahun lepas saya pergi pada hari biasa bukan bulan puasa," cerita Rozita yang biasanya mengambil cuti raya salama seminggu.

Oleh kerana jadual kerja yang padat, cuti raya tahun ini hanya diambil selama empat hari dan cuti tersebut dimanfaatkan Rozita untuk membawa anak-anak pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah memandangkan tahun ini giliran Rozita bersama dua orang puteranya.

"Hari raya pertama yang lalu, saya telah bertandang ke rumah saudara sebelah bapa diikuti hari kedua di sebelah ibu saya. Pada raya ketiga kami mengadakan rumah terbuka di kediaman ibu bapa saya.


DUA figura anggun ini mementingkan zuriat masing-masing berbanding perkara lain.


"Jika bercuti panjang, bermula raya keempat, kebiasaannya saya dan anak-anak akan pergi bercuti di Pulau Langkawi, Kedah kerana perjalanan ke sana dari Alor Setar agak dekat. Tapi oleh kerana jadual penggambaran yang padat, hasrat itu terpaksa dilupakan," bicara ibu tunggal yang punya dua orang anak lelaki bernama Ammar Effendy, 15 dan Aniq Ezzra, 12.

Ceritanya lagi, cuti raya tahun ini diambil sedikit kerana selepas pertengahan raya, wanita yang gemar berceloteh akan mengambil cuti panjang untuk membantu anaknya, Ammar Effendy membuat persediaan menduduki peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

"Selepas 15 September, saya akan berhenti sementara daripada mengambil tawaran atau terlibat dengan apa-apa penggambaran selama sebulan. Ini kerana saya ingin membantu anak saya belajar bagi menghadapi peperiksaan penting PMR."

Sementara bagi seorang lagi dramatis yang sering membawa watak antagonis, Jasmin Hamid, dia lebih gemar bekerja sepanjang bulan Ramadan kerana bagi aktres ini jika dia bekerja, sekurang-kurangnya masa terluang akan dapat dipenuhi.

Menggembirakan anak-anak

Bertutur mengenai perjalanan jadual hari raya Jasmin, ujarnya, dia dan anaknya pulang ke kediaman ibu bapanya yang terletak di Rawang, Selangor. Namun, jika diizinkan, dia mahu membawa anak-anak bercuti sempena cuti raya yang agak panjang.

Sebagai seorang ibu, apa yang penting ialah menjaga kebajikan dan menggembirakan anak-anak terutamanya jika menjelang Aidilfitri. K etika itu, membeli-belah persiapan raya lebih menyeronokkan.

"Sambutan raya saya setiap tahun sekarang memang lebih kepada anak-anak. Bagi saya, anak-anak lebih penting dan saya mahu mereka gembira sambut raya. Orang dewasa seperti kita ini, tidak terlalu memikirkan perihal baju raya dan sebagainya.

"Pada tahun ini juga keluarga saya memilih warna merah cili sebagai tema raya. Saya pulang ke kampung hanya dua atau tiga hari kerana saya perlu beri komitmen terhadap penggambaran telefilem" ujar ibu beranak tiga ini.

Walaupun agak sibuk dengan kerja, namun Jasmin sempat meluangkan masa untuk membuat kuih-muih sempena menyambut perayaan yang hanya disambut setahun sekali ini. Antara dua jenis kuih yang dibuat Jasmin ialah kuih cornflakes dan semprit.

Selain itu, sewaktu ditanya tentang tradisi bermain bunga api, dia mempunyai pendapat sendiri. Katanya, walaupun bunga api dianggap sinonim dengan sambutan hari raya, namun bagi Jasmin, dia tidak menggalakkan anak-anaknya bermain kerana risaukan bahaya kecederaan.

Keletah Galaksi Raya 2011

Posted:

Keletah Galaksi Raya 2011

Keletah Galaksi Raya 2011


ANTARA babak sketsa muzikal lakonan barisan artis yang terbabit dalam Galaksi Raya 2011.


RANCANGAN mingguan sensasi popular TV9, Galaksi akan tampil dengan sebuah episod khas, Galaksi Raya 2011. Masih kekal dengan elemen-elemen sensasi, namun ia tetap disesuaikan dengan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menjalani rakaman di Menara Kuala Lumpur dengan berlatar belakang rumah-rumah tradisional pelbagai negeri, rancangan tersebut turut mengundang beberapa artis popular tanah air.

Antara artis-artis yang muncul ialah Enot, Ifa Raziah, Sepah, Awan Band, Didie Alias, Ida Moin dan Kilafairy. Program itu turut dikendalikan oleh Ikhwan yang juga penyampai radio Hot FM.

Seperti kelazimannya, rancangan berkenaan akan dipadatkan dengan paparan berita dan cerita sensasi. Antara paparan yang eksklusif adalah rakaman detik-detik akhir keadaan penyanyi era 1960-an, Hasnah Harun sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.

Selain itu, turut dipaparkan temu bual eksklusif pelakon dan penerbit, Ziela Jalil yang mengimbau semula penampilannya suatu ketika dahulu yang pernah dikenali sebagai seorang artis seksi.

Tidak ketinggalan paparan tentang Scha Alyahya bersama kekasihnya, Awal Ashaari menyambut hari lebaran serta mengenai bekas pengacara Galaksi sendiri, Irma Hasmie yang tabah meraikan Aidilfitri pada tahun ini.

Galaksi Raya 2011 diterbitkan oleh Nas Ahmad dan Zaimie Anizah Zainuddin dan akan disiarkan pada 2 September ini pukul 9 malam di saluran TV9.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved