Khamis, 1 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Khidmat jururawat sepanjang masa

Posted:

Khidmat jururawat sepanjang masa

Khidmat jururawat sepanjang masa

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

KETIKA semua orang sibuk bermaaf-maafan dan melayan tetamu sambil menjamu juadah Hari Raya Aidilfitri pada pagi Syawal, mereka sibuk melayan pesakit yang memerlukan khidmat rawatan.

Tanpa penat mereka memberikan khidmat, walaupun pada ketika itu keluarga masing-masing mendambakan kehadiran mereka bagi meraikan Aidilfitri bersama-sama terutamanya anak-anak.

Di sebalik tanggungjawab yang perlu digalas, tersemat rasa sayu dan sebak di sanubari saat mendengar laungan takbir raya berkumandang namun, demi tugas digagahkan juga diri menabur bakti.

Demikian pengorbanan insan bergelar jururawat yang perlu bertugas bagi melaksanakan tanggungjawab mereka demi kesejahteraan kesihatan masyarakat.

Uniform penguat semangat

Suasana di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur sibuk sama seperti kebiasaan pada hari raya. Menjejakkan kaki ke sana situasinya tidak ubah seperti berada dalam drama bersiri ER.

Rata-rata petugasnya sibuk sekali memegang fail ke hulu hilir, malah ada yang menyorong katil membawa masuk pesakit ke wad. Ia merupakan suasana rutin tatapan pancaindera mata.

"Beginilah suasana kerja setiap hari tidak kiralah pada hari raya atau tidak. Cuma pada hari lebaran ada sedikit dekorasi bagi membangkitkan mood raya walaupun kami bertugas pada pagi raya.

"Tahun ini merupakan kali keempat saya bertugas pada hari raya, jadi bekerja pada hari raya sudah biasa tetapi kenangan kali pertama bertugas ketika Aidilfitri pada tahun 2002 masih segar di memori," kata Tuan Fatimah Tuan Mat, 42, yang berasal dari Besut, Terengganu.

Mengimbas kenangan lalu, ibu kepada empat orang cahaya mata itu sebak apabila anak-anaknya menghantar khidmat pesanan multimedia (MMS) menunjukkan mereka memakai baju raya.

"Saat itu memang sedih tidak terkata kerana mengenangkan mereka beraya tanpa ibu di sisi. Namun, apabila difikirkan mengenai tanggungjawab yang perlu digalas saat menyarung uniform jururawat rasa pilu dan sayu berlalu pergi.

"Apabila memakai uniform, pesakit perlu menjadi keutamaan kami. Kebiasaannya ketika lebaran, kami di sini tidak sibuk seperti selalu kerana warga kota sudah pulang ke kampung halaman masing-masing," ujarnya.

Namun, itu tidak bermakna para jururawat goyang kaki kerana banyak kes lain termasuklah melibatkan warga asing bergaduh ketika hari raya.

Jika pada 1 Syawal ramai yang menggayakan busana baru masing-masing yang penuh warna, namun warna tema busana raya bagi jururawat ialah putih dan biru sahaja.


SUASANA di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL tetap sibuk walaupun pada pagi raya.


"Walaupun bertugas pada pagi raya, ada segelintir daripada kami yang memakai baju raya ke hospital kemudian tukar memakai uniform apabila memulakan tugas dan kembali memakai baju raya apabila selesai syif.

"Sama seperti Tuan Fatimah, bertugas pada Aidilfitri kali ini bukan kali pertama buat saya. Walaupun bertugas, rakan-rakan lain yang tinggal berhampiran bermurah hati membawa nasi impit, kuah kacang, nasi minyak, ketupat, rendang, lemang dan sebagainya untuk kami di sini. Malah kami turut menerima jemputan rumah terbuka daripada ketua jabatan dan rakan-rakan lain," kata Ketua Jururawat, Radin Noradriana Hariati Radin Tahir, 36.

Ceritanya, kali pertama dia bertugas pada pagi raya adalah ketika berkhidmat di Hospital Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1997 sewaktu usianya 22 tahun.

Di perantauan seorang diri membuatkannya hiba ketika menghubungi ayahanda tercinta pada pagi Aidilfitri.

"Sebak dan menangis jugalah, tapi apabila sudah sibuk di hospital menguruskan pesakit, perasaan sedih hilang lebih-lebih lagi apabila melihat pesakit melemparkan senyuman dan mengucapkan terima kasih kepada kita. Ketika itu rasa penat semua hilang.

"Menggalas tanggungjawab sebagai jururawat ini banyak cabarannya. Beban tugas yang banyak dan perlu kami berhadapan dengan pelbagai ragam pesakit selain menerima pesakit yang sentiasa ada di Jabatan Kecemasan," ujarnya yang mempunyai tiga orang anak.

Bagi Radin Noradrianna, bebanan tugas bukan alasan untuk tidak memberikan perkhidmatan yang terbaik.

"Paling menyentuh hati apabila ada yang kehilangan orang tersayang pada pagi raya disebabkan kemalangan ataupun penyakit lain.

"Mendengar ayat-ayat terakhir si anak kepada ibu yang terlantar membuatkan saya sebak dan pilu. Luluh hati mendengar bait-bait kata si anak yang memohon maaf kepada ibunya," katanya yang mengaku kadangkala tewas dengan emosinya yang rapuh.

Sungguhpun perlu berkorban masa yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga, demi tugas, Farizawati Abdul Aziz, 29, reda kerana ikrar awal pembabitannya sebagai jururawat adalah untuk memberi khidmat kepada masyarakat.


TANGGGUNGJAWAB menjaga pesakit menjadi keutamaan bagi jururawat yang penuh dedikasi berkhidmat untuk masyarakat.


"Bertugas di Jabatan Kecemasan berlainan dengan di wad kerana di sini kami menerima pesakit-pesakit baru.

"Sebelum bertugas di sini saya berada di wad kelas tiga yang menempatkan warga tua. Di sana sangat sibuk kerana ramai pesakit, namun pada musim raya jumlah pesakit berkurangan kerana ramai yang minta pulang untuk menyambut hari raya," katanya yang mempunyai dua orang anak berusia lima dan tiga tahun.

Farizawati yang sudah lapan tahun berkhidmat sebagai jururawat memberitahu anak-anaknya kadang-kadang merengek apabila mengetahui dirinya bekerja pada hari raya.

"Bertugas sebagai jururawat tidak sama seperti kerja di pejabat yang boleh bercuti pada hari raya. Kami perlu bergilir-gilir untuk cuti raya dan kali ini giliran rakan-rakan lain yang tidak berkesempatan menyambut Aidilfitri pada tahun lalu.

"Walaupun rutin kerja seharian yang padat sehingga mengundang tekanan, tidak pernah sekalipun terlintas di benak saya untuk berhenti kerana profesion jururawat ini begitu istimewa," katanya.

Buku nota basmi kebuluran

Posted:

Buku nota basmi kebuluran

Buku nota basmi kebuluran

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my


SETIAP tahun ramai kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan.


KEBULURAN boleh meragut nyawa. Setiap 10 saat, seorang kanak-kanak mati kelaparan. Setiap tahun, sembilan juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan daripada penyakit-penyakit yang boleh dicegah.

Menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikeluarkan pada Oktober 2010, 925 juta orang iaitu 14 peratus daripada penduduk dunia didapati kekurangan zat makanan.

Majalah dalam talian World Hunger Notes baru-baru ini melaporkan bahawa kekurangan zat makanan menjejaskan 32.5 peratus kanak-kanak di negara yang masih membangun (satu daripada setiap tiga kanak-kanak). Apa yang lebih menyedihkan, 80 peratus daripada kanak-kanak kebuluran itu berada di Asia.

Buku nota 101 Hair Care

World Vision adalah sebuah organisasi kemanusiaan antarabangsa yang membantu membasmi kemiskinan dan memperjuangkan keadilan untuk komuniti yang kurang upaya, tanpa mengira bangsa dan agama terutamanya bagi kanak-kanak.

Organisasi itu telah menganjurkan pelbagai inisiatif untuk menarik perhatian umum terhadap kanak-kanak, khususnya kesihatan mereka. World Vision bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi korporat untuk menyokong perjuangannya.

101 Hair Care, sebuah syarikat korporat yang bekerjasama dengan World Vision selama lima tahun, telah menjana lebih daripada RM150,000 menerusi perniagaan mereka untuk menyokong misi World Vision.

Sempena 30-Hour Famine (Kempen Prihatin 30 Jam) World Vision pada tahun ini, 101 Hair Care telah mengeluarkan buku nota bergambar yang bertemakan A World of Difference bagi mengumpul dana untuk menyokong kempen amal tersebut.

Edisi terhad 5,000 buah buku nota itu sesuai untuk dijadikan jurnal, hadiah untuk kawan atau buku bacaan ringan yang menarik.

Buku nota yang memaparkan pelbagai gambar menarik itu boleh didapati pada harga RM15 sebuah di salon 101 Hair Care dan pameran bergerak sekitar Lembah Klang, sempena Kempen Prihatin 30 jam World Vision.

Sebahagian besar daripada hasil kutipan akan disumbangkan kepada World Vision.

Gambar Ratu Cantik Universe/Malaysia 2011 dan Jurucakap World Vision Malaysia untuk Hak Kanak-Kanak, Deborah Henry turut dipaparkan dalam buku nota edisi terhad itu.

Ia bertujuan untuk berkongsi dan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam kerja amalnya bersama World Vision, yang sudah menjangkau usia empat tahun.

Deborah melibatkan diri dalam program itu atas kesedaran peribadinya lebih daripada tanggungjawabnya sebagai ratu cantik kerana kesungguhan beliau untuk membantu golongan yang memerlukan sudah terpupuk sejak kecil lagi.

"Saya suka menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutamanya kanak-kanak, termasuk dari segi kewangan.

"Ini kerana saya percaya mereka boleh berdikari kalau diberi peluang yang sewajarnya dalam hidup seperti akses kepada pendidikan, kemudahan kesihatan dan air yang bersih," katanya.

Tambahnya, seseorang itu pasti akan berasa gembira dan berpuas hati apabila dapat membantu insan lain di dunia ini.

Set hamper

Sementara itu, mereka yang ingin merawat kulit kepala atau rambut mempunyai pilihan untuk mendapatkan buku nota itu dengan set hamper 101 Hair Care pada harga RM300 (harga biasa RM959).

Set hamper itu mengandungi dua sesi BioTrichOxy (BTO), satu botol Syampu Herba 101 dan buku nota. Rawatan BTO dapat membekalkan oksigen tulen kepada lapisan dalaman epidermis menerusi tekanan tinggi, mengaktifkan sel, meningkatkan kadar metabolisme dan menentang kesan penuaan.

Sebagai satu komitmen peribadi, kakitangan 101 Hair Care turut melancarkan kempen berpuasa selama 30 jam di ibu pejabat 101 Hair Care di Dataran Mentari bermula dari 6 hingga 7 Ogos. Mereka disertai oleh peserta dari Pergerakan Belia Malaysia.

Eksekutif Pemasaran Kanan 101 Hair Care, Tyna Tan berkata, berpuasa membantu manusia benar-benar mengenali erti kebuluran.

"Pengalaman ini membuatkan kita insaf dan menimbulkan keinginan untuk menyokong perjuangan membasmi kebuluran.

"Ia juga memotivasikan kita untuk memberi sokongan kepada kanak-kanak yang memerlukan menerusi daya usaha World Vision," katanya.

Simulasi solat ketika perang

Posted:

Simulasi solat ketika perang

Simulasi solat ketika perang

Oleh YATIMIN ABDULLAH
berita@kosmo.com.my


TENTERA muslimin terpaksa menangguhkan solat mereka seketika selepas dserang oleh askar musuh.


SOLAT merupakan ibadat yang terpenting dalam kehidupan seorang muslim. Maka tidak hairanlah apabila solat disebut sebagai tiang agama bagi menghindarkan seseorang muslim itu daripada segala dosa dan noda.

Lebih istimewa, solat lima waktu yang wajib ke atas semua umat Islam merupakan kurniaan Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku lebih 1,400 tahun dahulu.

Fitrah setiap manusia adalah berkehendakkan kebaikan dalam hidup. Jadi solat merupakan 'hadiah' daripada Allah kepada hamba-hambanya untuk terus berada dalam landasan kebaikan.

Justeru, Islam tetap menganjurkan penganutnya menunaikan solat dalam apa jua keadaan sama ada ketika sakit atau keuzuran dengan cara-cara yang ditetapkan selain solat juga wajib biarpun ketika di medan peperangan.

Solat di medan perang atau lebih dikenali sebagai solat khauf (semasa dalam ketakutan) pernah ditunaikan oleh Rasulullah beberapa kali dengan pelbagai cara seperti yang diterangkan secara terperinci dalam kitab-kitab hadis.

Menyedari kepentingan bersolat dalam apa jua keadaan, seramai 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Machang, Kelantan mengadakan demonstrasi solat khauf bersempena dengan sambutan Hari Terbuka Badan Dakwah dan Rohani (Badar) baru-baru ini.

Guru penasihatnya, Razali Harun, 45, berkata, demonstrasi tersebut berlangsung selama 30 minit dengan dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu tentera Islam dan tentera musuh.


KETIKA musuh datang dari arah bertentangan kiblat sebahagian tentera Islam menunaikan solat, manakala selebihnya berkawal bagi memastikan keselamatan rakan-rakan.


Menurutnya, modul solat khauf yang dipraktikan oleh para pelajarnya itu diperoleh daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ciri-ciri asas solat itu secara berjemaah sama dengan solat jamak takdim dan jamak takhir.

Jelasnya, melalui cara itu para pelajar akan lebih faham, selain dapat merasai sendiri situasi sebenar menunaikan solat ketika perang yang tidak mempunyai begitu banyak perbezaan kecuali makmum dapat bergerak, menangguhkan solat dan menyambung semulanya selepas berperang.

"Untuk simulasi ini, kita melakukan solat mengikut tiga keadaan iaitu ketika musuh datang dari arah bertentangan kiblat, arah kiblat dan semua arah. Situasi pertama, imam akan membahagikan pasukan tentera muslimin kepada dua kumpulan.

"Kumpulan pertama akan menunaikan solat bersamanya sehingga selesai, manakala kumpulan yang kedua akan kekal mengawasi keadaan.

"Kemudian berlaku pertukaran kumpulan yang mana kumpulan pertama akan mengambil alih tugas mengawal keadaan, manakala kumpulan kedua akan menunaikan solat berjemaah bersama imam," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Solat ikut arah musuh

Razali memberitahu, bagi situasi kedua iaitu musuh datang dari arah kiblat, pasukan tentera muslimin akan berpecah kepada empat saf. Mereka semua akan menunaikan solat dan ketika saf pertama dan ketiga rukuk bersama imam, dua saf lain iaitu kedua dan keempat akan berada di dalam keadaan qiam dan bersedia menghadapi sebarang ancaman.

"Saf yang pertama dan ketiga kemudiannya akan menyudahkan solat mereka sehingga selesai. Sesudah itu saf kedua dan keempat pula akan menyudahkan solat mereka, manakala saf pertama dan ketiga akan mengawal keadaan.

"Bagi situasi terakhir berlaku serangan musuh dari semua arah, tentera muslimin mengambil tempat untuk menyelamatkan diri dan membalas serangan. Setelah selesai tentera muslimin tadi akan menyudahkan solat mereka sama ada dalam keadaan duduk, berbaring ataupun berdiri mengikut kemampuan masing-masing," ujarnya.


SETELAH situasi kembali aman, tentera muslimin akan menyudahkan solat mereka seperti biasa.


Seorang pelajar yang juga imam solat khauf, Tuan Abdul Rahman Tuan Sheik, 16, berkata, dia teruja kerana diberikan peluang untuk turut serta dalam menjayakan solat berkenaan biarpun secara simulasi.

Katanya sebelum ini, dia dan rakan-rakan hanya belajar secara teori cara untuk melakukan solat itu, namun kali ini dia dan rakan-rakan berpeluang melakukannya secara praktikal.

"Walaupun negara kita tidak pernah berperang, pengalaman yang saya kutip ketika menjayakan simulasi ini amat berharga buat diri saya. Insya-Allah ilmu yang saya pelajari ini akan digunakan sebagai mungkin selepas saya menamatkan pelajaran di sekolah ini.

"Kesimpulan yang dapat saya buat sepanjang mengikuti latihan simulasi ini menunjukkan Islam cukup menitikberatkan solat. Walau apa jua keadaan berlaku, solat harus ditunaikan kerana ia merupakan kewajipan ke atas setiap muslim," jelasnya.

Sementara itu Penolong Kanan Pentadbiran SMKA Wataniah, Zakaria Yusof berkata, demonstrasi solat itu dapat memberikan banyak faedah bukan sahaja kepada para pelajar tetapi masyarakat.

"Melalui cara ini kita dapat melahirkan para pelajar yang bukan sahaja cemerlang dengan ilmu dunia, tetapi dalam masa yang sama dibimbing dengan ilmu akhirat," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved