Jumaat, 2 September 2011

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Doa dalam minyak wangi

Posted:

Doa dalam minyak wangi

Doa dalam minyak wangi

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

FARASUZIE (kanan) memberitahu, syarikatnya akan menjadi salah satu penaja majlis perkahwinan artis Noraniza Idris (kiri) kelak.


SUDAH lumrah wanita, minyak wangi adalah produk yang paling dekat di hati mereka. Bagi Farahsuzie Sulaiman, 31, dia sanggup melabur sejumlah wang untuk mendapatkan minyak wangi yang digemarinya.

Selaku peminat minyak wangi yang tegar, pada satu ketika, wanita ini terfikir mengapa tidak dia menghasilkan minyak wangi dengan jenamanya sendiri. Itu lebih mendatangkan kepuasan, getus hatinya.

Lantas, niat itu dipanjangkan kepada suaminya, Ahmad Kamil Arifin, 43. Farahsuzie mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mencairkan hati suaminya supaya bersetuju dengan cadangannya itu.

"Ya, benar. Saya ambil masa selama dua tahun untuk membuat keputusan. Saya mahu mencari yang terbaik. Lagi satu, saya mahu pastikan saya berpuas hati dengan testimoni yang dijalankan," jawab Ahmad Kamil yang mengiyakan kenyataan isterinya.

Mereka berdua ditemui ketika majlis pelancaran DD's Perfume dan majlis meraikan Anak-Anak Yatim Asrama Ampang di Shah Alam. Majlis itu dirasmikan oleh penyanyi irama tradisional terkenal Noraniza Idris baru-baru ini.

Import dari Perancis

Setelah berhempas-pulas mencari mekanisme terutamanya dari aspek pemasaran dan persaingan, maka lahirlah jenama DD.

Nama DD, kata Farahsuzie yang juga pengasas jenama ini adalah singkatan maksud 'dekat di hati selalu'.

"Saya mahukan produk ini sentiasa meniti di bibir masyarakat dan saya mengimpikan setiap tas tangan wanita ada sebotol minyak wangi jenama DD," kata bekas graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) ini.

Menjelaskan lebih lanjut tentang minyak wangi terbaharu keluaran SK Fragrance ini, Farahsuzie memberitahu, minyak wangi yang diimport dari Perancis ini diinspirasikan dengan sejumlah jenama minyak wangi antarabangsa.

Antaranya ialah Gucci, DKNY, Polo, Jadore, Burberry, Paris Hilton, Bvlgary, Armani dan JLo.

Sebanyak empat set haruman dengan empat jenama yang berbeza diperkenalkan. Pek-pek tersebut iaitu pek famili (RM60), pek wanita (RM55), pek lelaki (RM55) dan pek untuk remaja (RM55).

"Kami ingin menunaikan impian masyarakat di luar sana yang mahu memakai minyak jenama antarabangsa tetapi tidak berkemampuan.

"Jika tidak mahu membeli secara pek, pelanggan boleh membeli sebotol minyak wangi pada harga RM15 sahaja. Ia sesuai dipakai pada bila-bila masa," kata wanita ini sambil memberitahu bau wangiannya mampu bertahan selama dua hari.

Bacaan doa

Pasangan suami isteri ini sedar dengan saingan produk-produk yang sealiran dengannya di pasaran sekarang. Ditanya apa keistimewaan yang dibawa oleh jenama ini berbanding dengan yang lain, jawab Ahmad Kamil:

"Pati haruman yang dibawa dari Perancis ini seratus peratus tulen. Kepekatan minyaknya lebih tinggi, daya tahan haruman lebih lama dan paling penting harganya mampu milik."

Selain itu, produk ilham pasangan serasi itu turut membawa kelainan apabila minyak wangi yang dibekalkan dibacakan sekali dengan ayat al-Quran.

"Semasa minyak wangi ini dipakejkan, ia dibacakan dengan surah Yusof (ayat 4) dan surah Thoha (ayat 39) oleh seorang ustaz bertauliah," terangnya.

Bagaimana idea itu dirintis? Jawab lelaki yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur itu, pemakaian minyak wangi harus disertakan dengan keterampilan dan keyakinan.

"Justeru, surah Yusof dibacakan bertujuan untuk membangkitkan seri kecantikan sementara surah Thoha lebih kepada membentuk keyakinan diri, jadi, kami memilih pendekatan itu," ujar Ahmad Kamil.

Meskipun baru lima bulan di pasaran, pasangan suami isteri ini tersenyum puas. Ini berikutan jenama yang dibawa mereka mendapat sambutan hangat di pasaran.

Untuk fasa pertama, sebanyak 2,000 unit telah terjual.

Stokis dan ejen makin bertambah meliputi Sabah dan Sarawak, ujar Farahsuzie.

Justeru, kepada yang berminat untuk terlibat sama dengan perniagaan ini, anda sangat dialu-alukan.

Pesta Terengganu di Menara KL

Posted:

Pesta Terengganu di Menara KL

Pesta Terengganu di Menara KL

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my


PELBAGAI barangan kraf dipamer dan dijual sempena Pesta Negeri Terengganu di Menara Kuala Lumpur.


MENARA Kuala Lumpur (MKL) tidak pernah sunyi daripada aktiviti. Salah satu aktiviti bulanan yang dianjur ialah Pesta Negeri yang diadakan di Kampung Budaya 1Malaysia MKL.

Baru-baru ini, MKL di bawah program yang sama menganjurkan Pesta Negeri Terengganu yang menampilkan pelbagai aktiviti di samping memperkenalkan makanan, kebudayaan dan tarikan pelancongan negeri Pantai Timur itu.

Pesta yang membabitkan negeri Terengganu itu adalah kali kedua selepas pesta yang sama diadakan pada tahun 2008 di tempat yang sama. Apa yang menarik, Pesta kali ini menerima penyertaan dua kali ganda lebih banyak daripada pesta sebelumnya.

Pada majlis pelancarannya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu, Datuk Abd. Rahin Mohd. Said berkata, pihaknya amat gembira melihat kedatangan orang ramai ke Pesta Negeri Terengganu itu iaitu sebanyak 6,630 pengunjung pada tiga hari pertama sahaja.

"Ini satu angka yang besar kerana kami menyasar antara 2,000 hingga 3,000 orang sahaja," ujar Rahin.

Ketua Pegawai Eksekutif MKL, Zuraidah Mohd. Said berkata, pesta negeri seperti ini juga menjadi platform kepada pengunjung dari pelbagai negeri di Malaysia dan luar negara untuk mendekatkan diri dengan seni dan budaya negeri lain.

"Ini secara tidak langsung membantu mempromosikan warisan dan budaya. Ia juga menggalakkan perkembangan industri pelancongan negeri tersebut," katanya.


ABDUL RAHIN (tiga dari kanan) menyaksikan aktiviti menenun songket di Menara Kuala Lumpur.


Promosi produk tradisi

Tambah Zuraidah, sebagai destinasi pelancongan utama yang menarik kira-kira tiga juta pengunjung tahun lepas dan sekitar 2.8 juta pengunjung setakat Ogos tahun ini, MKL berpotensi menjadi pusat paling ideal untuk mempromosikan pesta sedemikian.

"Ini satu peluang keemasan bagi kami memperkenalkan negeri Terengganu yang unik dan istimewa," ujar pengukir dari Tanjung Bakawali Sdn. Bhd., Norikhwan Nordin, 28.

Beliau yang sibuk membuat ukiran kerawang memberitahu, pesta tersebut merupakan tempat yang sesuai untuk pengunjung mengenali dan membeli ukiran yang dijual.

Bagi Maimunah Yusof, penggerai kerepek dan makanan ringan Terengganu pula, memperkenalkan kerepek kepada pengunjung luar negara adalah satu pengalaman yang mengujakan.

"Ramai yang tertarik dengan kerepek di gerai saya kerana saya bukan menjual kerepek yang biasa, tetapi saya mengolah kerepek baru yang lebih sedap," katanya sambil menawarkan kerepek yang dibuat daripada roti canai.

Dengan jumlah pengunjung yang ramai, pihak MKL dan Pelancongan Negeri Terengganu berharap dapat menganjurkan pesta serupa pada masa akan datang.

Pesta Negeri seterusnya membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Sabah.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, hubungi talian 03-2020 5454 atau layari laman web www.menarakl.com.my.

Jiwa patriotik wataniah

Posted:

Jiwa patriotik wataniah

Jiwa patriotik wataniah

Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my


PENUBUHAN Kompeni AW Parlimen diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2000.


WALAUPUN hasrat untuk menyertai pasukan tentera pernah dihalang keluarga, namun minat terhadap pasukan seragam itu sejak kecil kekal membara dalam jiwanya. Buktinya, Oh Kean Kwee, 44, telah berjaya terpilih untuk menyertai Askar Wataniah (AW) sebagai rekrut sukarela di Batalion 1 Rejimen 509 AW di George Town, Pulau Pinang kira-kira 11 tahun lalu.

Mengakui latihan yang dijalani selama sebulan sangat mencabar, namun demi minat yang mendalam, Kean Kwee melaluinya dengan tabah. Berkat kesungguhannya, akhirnya dia diumumkan sebagai rekrut terbaik dalam latihan tersebut.

Bertitik tolak dari saat itu, penglibatannya dalam bidang ketenteraan semakin menunjukkan perkembangan yang positif. Bermula daripada pangkat Prebet, dia telah dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran I, iaitu pangkat paling kanan untuk anggota peringkat bawahan tentera.

"Penyertaan saya kerana tanggungjawab sebagai rakyat yang sayangkan negara. AW merupakan platform terbaik untuk menyumbang tenaga walaupun negara dalam keadaan aman," ujar bapa kepada seorang anak ini.

Menurut pengurus operasi di sebuah syarikat swasta ini, kesibukan tugas tidak menghalang dia untuk bergiat aktif dalam latihan dan aktiviti AW termasuk mengikuti kursus kerjaya tentera.

Daripada empat kursus yang dihadiri di Pusat Latihan Askar Wataniah (Puswatan), dia terpilih menjadi pelatih terbaik sebanyak dua kali iaitu bagi Kursus Ketua Seksyen dan Ketua Penolong Ketua Platun.

Kini, Kean Kwee adalah Sarjan Mejar Kompeni di Batalion 1 Rejimen 509 (AW) di George Town. Matlamatnya kini ialah mahu menggalakkan lebih ramai golongan muda terutama kaum bukan Melayu menganggotai pasukan tersebut.

"Jika ingin berbakti kepada negara, AW pilihan terbaik kerana kita bukan sahaja dilatih dengan ilmu ketenteraan tetapi disiplin untuk menjadi warganegara yang baik.

"Latihan ketenteraan mengajar kita menghormati antara satu sama lain tanpa mengira bangsa atau agama serta bersama-sama memupuk semangat setiakawan," ujarnya.


AHMAD ZAHID HAMIDI turut menggalakkan golongan bukan bumiputera untuk menyertai pasukan tentera negara.


Saranan yang sama turut disuarakan rakan sepasukannya yang juga seorang wanita, Kapten Goh Hui Leng, 35.

Kata Hui Leng, tanggungjawab mempertahankan negara terletak di bahu semua rakyat Malaysia.

"Sebagai pegawai wanita, saya amat menggalakkan penyertaan lebih ramai kaum hawa ke dalam AW kerana bukan sahaja kita dilayan sama seperti lelaki, malah diberi peluang mempamerkan kebolehan.

"Sama ada wanita atau lelaki, tiada perbezaan jantina dalam AW, malah kedua-duanya mempunyai peranan yang sama penting," ujar guru di Sekolah Menengah Convent Dato' Keramat yang telah menyertai AW selama 10 tahun setelah ditauliahkan daripada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Sains Malaysia (USM).

Kedua-dua mereka ditemui pada perbarisan Pelancaran Kompeni AW Kawasan Parlimen Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan secara gilang-gemilang oleh Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahim Mohd. Yusoff.

Kompeni Parlimen AW

Abdul Rahim yang mewakili Panglima Tentera Darat telah menerima tabik hormat perbarisan yang melibatkan kira-kira 600 pegawai dan anggota daripada Rejimen 509 (AW) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mazlan Mohammad.

Menyorot kembali penubuhan Kompeni AW Parlimen, ia sebenarnya diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2000.

Selain bertujuan menambah paras keanggotaan AW, usaha ini juga sejajar dengan Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang berkonsepkan Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) bagi memberi pendedahan kepada masyarakat terhadap tugas ketenteraan.

Dalam ucapannya, Abdul Rahim memberitahu, sebanyak 23 lagi Kompeni Askar Wataniah (AW) bagi kawasan Parlimen akan ditubuhkan di empat negeri bagi melengkapkan jumlah sasaran sebanyak 222 pasukan seperti yang dirancang.


LEFTENAN Muda Chew Chong Ooi (paling kiri), Pegawai Waran II Oh Kean Kwee, Kapten Goh Hui Leng dan Leftenan Khor Aik Keong merupakan contoh kaum bukan Melayu yang terlibat dalam pasukan simpanan sukarela Tentera Darat.


Tambah beliau, setakat ini sebanyak 199 kawasan Parlimen telah menubuhkan Kompeni AW.

Beberapa kawasan Parlimen di Kedah, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur yang belum mempunyai pasukan AW itu akan ditubuhkan secara berperingkat sehingga penghujung tahun ini.

"Rancangan penubuhan ini selaras dengan Prestasi Petunjuk Utama (KPI), Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu pelancarannya disempurnakan sebelum penghujung tahun," ujarnya.

Abdul Rahim berkata, penubuhan Kompeni AW di setiap kawasan Parlimen telah memberi impak dan kesan positif kepada masyarakat.

"Kita berupaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat termasuk individu yang boleh dijadikan ikon seperti selebriti, atlet sukan dan mereka yang mengharumkan nama negara dengan kebolehan tertentu.

"AW juga telah memberikan pendedahan kepada orang awam tentang tugas ketenteraan dan ia mampu meningkatkan kefahaman mereka sekali gus menjadi penghubung antara tentera dan rakyat," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved