Jumaat, 2 September 2011

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Makan secara sihat pada hari lebaran

Posted:

Makan secara sihat pada hari lebaran

Makan secara sihat pada hari lebaran

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my

SELEPAS sebulan berpuasa, majoriti yang bercadang menurunkan berat badan dan mengikut diet yang betul pasti tersenyum puas kerana misi peribadi itu berjaya dicapai.

Berkat amalam berpuasa dalam tempoh sebulan, organ tubuh badan direhatkan. Serentak dengan itu, toksin serta segala kekotoran dalam tubuh badan dapat disingkirkan.

Namun, disiplin dan faedah itu lazimnya tidak pernah kekal lama apabila Syawal menjelma. Ini semua gara-gara nafsu kita yang tidak mampu mengekang keinginan menjamah variasi makanan yang rata-ratanya disajikan pada rumah-rumah terbuka. Rendang, lemang, ketupat, kuih-muih serta air pelbagai perisa yang dihidangkan sememangnya sukar untuk ditolak.

"Itu fenomena biasa kerana sukar untuk menghalang diri menjamu pelbagai makanan ketika hari raya lebih-lebih lagi apabila kita perlu berkunjung ke rumah sanak saudara dan teman-teman.

"Tidak salah untuk mencuba semua makanan yang ada tetapi dengan syarat ia perlu diambil dalam kuantiti sederhana.

"Anda bebas makan apa sahaja tetapi pastikan amaun setiap jenis itu terkawal dan kalau boleh kurangkan minuman berkarbonat atau kordial," jelas Lim Ai Leng, Ketua Pakar Pemakanan, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Apa yang dimaksudkan dengan kesederhanaan? Jelas Ai Leng, setiap jenis makanan terutama makanan berkuah perlu diselaraskan dengan betul kerana ia mengandungi minyak yang banyak berbanding makanan kering lain.

Begitu juga dengan minuman. Jarang sekali kita melihat air putih atau mineral dihidangkan bersama variasi minuman yang berperisa lain.

Tambah Ai Leng, tidak salah meletakkan air putih bersama minuman manis lain kerana setidak-tidaknya ia menunjukkan keprihatinan kita terhadap tetamu untuk memilih mana satu air yang mereka inginkan.


KAMBING panggang memang juadah yang menyelerakan tetapi ia haruslah diambil dalam jumlah yang terkawal terutama bagi pesakit yang menghidap darah tinggi.


Modifikasi makanan

Sememangnya musim perayaan tidak akan lengkap tanpa rendang ayam dan daging. Namun, harus disedari bahawa dalam kelazatan itu, terselit pelbagai bahan yang wajar dielakkan oleh tubuh badan.

Akan tetapi, siapa yang mampu mengelak daripada mencedok rendang ayam ke dalam pinggan untuk dijamah bersama-sama ketupat ataupun lemang? Justeru, saran Ai Leng, proses pengubahsuaian makanan itu perlu dilakukan.

Modifikasi makanan tidak hanya rasional buat individu yang berpenyakit sahaja, malah ia juga sesuai diaplikasikan oleh semua orang yang bercadang mengekalkan pemakanan sihat pada hari raya.

Apa pendekatan yang boleh dijalankan? Antara inisiatif yang dicadangkan ialah dengan membuang kulit ayam yang hendak digunakan dalam masakan.

"Seperti yang diketahui umum, kulit ayam mengandungi kolesterol tinggi dan berpotensi mengundang masalah kesihatan lebih-lebih lagi bagi penghidap darah tinggi," beritahu Ai Leng.

Mengulas isu sama, Chef Eksekutif, Pusat Perubatan Gleneagles Intan Kuala Lumpur, Rezuan Sulaiman memberitahu, pengubahsuaian makanan mampu membuatkan semua orang menikmati juadah Aidilfitri tanpa apa-apa pantang kerana bahan-bahan yang digunakan adalah terpilih.

"Nasi tomato, contohnya, selalunya kita masak menggunakan beras biasa, tetapi bagi mengurangkan kadar karbohidrat, kita boleh gantikannya dengan beras perang.

"Walaupun rasanya sedikit berbeza tetapi kandungan serat yang tinggi dalam beras perang tidak akan membuatkan kita berasa terlampau kenyang seperti yang dialami dengan beras biasa," ujar Rezuan yang telah berkecimpung selama 25 tahun dalam penyediaan makanan hospital.

Rezuan turut mengajak tukang masak atau suri rumah supaya mengubal stail memasak rendang dan mee kari tanpa menggunakan santan. Santan secara prinsipnya mengandungi kolestrol yang tinggi.

Katanya, penggunaan susu rendah lemak untuk penyediaan juadah Aidilfitri lebih praktikal di samping rasanya yang lebih sedap.

"Tetapi mungkin ada segelintir yang tidak yakin dengan rasa masakan yang dihasilkan dengan penggunaan susu rendah lemak dan masih mahu menggunakan santan.

"Sebenarnya, mereka tetap boleh menggunakan santan tetapi perlu dicampurkan dengan susu rendah lemak. Ini bermaksud hidangan itu akan mengandungi separuh santan dan separuh susu rendah lemak," jelas Rezuan lagi.

Menerusi usaha-usaha tersebut, ramai orang dapat menikmati hari raya dengan tubuh badan yang sihat tanpa apa-apa gangguan kesihatan, tambah chef yang berpengalaman itu.

Disiplin diri

Namun, harus diingat bahawa kunci kesihatan itu terletak kepada disiplin diri dalam mengawal kuantiti makanan yang diambil serta cara seseorang itu membakar semula kalori yang diambil.

Jika tidak dikawal, maka terjadilah pelbagai masalah kesihatan seperti cirit-birit, masalah pencernaan akibat makanan tidak hadam, angin dan juga masalah-masalah lebih besar bagi mereka yang mempunyai penyakit sedia ada.

Dalam hal ini, Ai Leng berkongsi cerita: "Pernah terjadi, seorang pesakit yang saya rawat menunjukkan prestasi kesihatan memberangsangkan sepanjang bulan Ramadan hingga dia dibenarkan pulang ke rumah untuk berhari raya bersama keluarga.

"Tetapi sayangnya, dia tidak mampu mengekang nafsu makan sehingga dia terpaksa dimasukkan ke hospital semula dan tahap kesihatannya kembali merosot."

Ai Leng turut memberi amaran kepada pesakit darah tinggi dan gastrik supaya mengelakkan diri daripada menjamah makanan seperti rendang daging, lemang serta makanan terlalu pedas, masam dan berlemak.

Pesakit diabetes pula katanya, perlu berjaga-jaga dengan makanan manis seperti kuih-muih, makanan bergoreng dan minuman berkarbonat yang sememangnya harus dielakkan.

Puasa enam

Fenomena pertambahan berat badan sewaktu sambutan Aidilfitri memang kerap terjadi.

Hal ini sememangnya menjadi igauan lebih-lebih kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan. Namun, ujar Ai Leng, ia dapat diselesaikan sekiranya seseorang itu bersenam dan kembali berpuasa.

Puasa enam yang disunatkan kepada setiap umat Islam sesungguhnya memberi banyak manfaat.

Sementara itu, pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein, 30, memilih untuk mengekalkan kesihatan tubuh badannya dengan berpuasa enam pada tahun ini.

Walaupun tidak meletakkan apa-apa pantang makan, Elly memberitahu, hari raya pertama merupakan waktu untuk menikmati segala juadah yang ada namun, dalam keadaan terkawal.

"Masuk hari raya kedua, saya akan mula berpuasa enam. Selain untuk mendapat keberkatan pahala pada puasa enam, ia juga dapat mengelakkan berat badan saya naik mendadak.

"Niat berpuasa enam tu biarlah betul, bukan sahaja disebabkan mahukan tubuh badan cantik, tetapi juga untuk beribadah dan mengekalkan kesihatan," ujarnya.

Panduan untuk ibu muda oleh Pet Pet

Posted:

Panduan untuk ibu muda oleh Pet Pet

Panduan untuk ibu muda oleh Pet Pet

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my


PET PET mengambil inisiatif untuk berkongsi maklumat mengenai penjagaan bayi dalam kalangan ibu muda.


RASA bahagia, cemas, gelisah, bangga dan letih. Begitulah antara beberapa rentetan rasa yang dialami kebanyakan ibu sewaktu melalui alam keibuan.

Pengalaman itu lebih-lebih lagi dirasai oleh ibu muda yang bukan sahaja terpaksa mengimbangkan antara perubahan emosi dengan perubahan hormon. Bahkan, mereka juga perlu mengetahui gerak hati dan mempunyai pengetahuan tentang hal penjagaan yang terbaik bagi bayi yang baru dilahirkan.

Sejajar dengan usaha Pet Pet untuk memudahkan ibu muda menempuh alam keibuan, jenama lampin bayi baru lahir yang popular di Malaysia itu kini mengadakan bengkel bertajuk Menjawab Kebimbangan Ibu Terhadap Persoalan Bayi Baru Lahir.

Ia dikendalikan oleh Dr. Khoo Phaik Choo, pakar perunding pediatrik yang mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun dalam bidang pediatrik.

Antara matlamat bengkel itu diadakan adalah untuk mendekati ibu-ibu di Malaysia dan pada masa sama berkongsi petua serta pengetahuan agar golongan itu berupaya menempuh alam keibuan dengan lebih mudah.

"Sebagai produk yang menyentuh kehidupan si ibu dari detik pertama kelahiran, kami rasa ia sangat penting untuk membimbing ibu yang menempuh alam baaru dengan melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran.

"Menjadi ibu adalah suatu tanggungjawab yang besar. Pet Pet berhasrat untuk menjadikan ibu-ibu sebagai kawan sejati agar kehidupan akan menjadi lebih lega, mudah dan selesa," ujar Pengarah Perdagangan Disposable Soft Goods (DSG), Pet-Pet Foo Yoke Mun.

Bayi normal

Phaik Choo berkata, lazimnya, sejak bayi dalam kandungan lagi, terdapat banyak persoalan yang berlegar-legar di benak para ibu.

Antara yang kerap kedengaran ialah persoalan sama ada anak yang dikandung itu normal atau sebaliknya.

Menjawab tanda itu, pakar pediatrik itu memberi idea dan panduan yang boleh membantu.

"Untuk menentukan sama ada bayi baru lahir itu normal atau tidak, bayi perlu menjalani beberapa ujian untuk mengukur kadar denyut jantung, daya pernafasan, tonus otot, iritasi refleks dan warna berdasarkan markah yang dipanggil APGAR pada saat kelahiran bayi.

"Markah 8 hingga 10 adalah normal dan ini menandakan bayi baru lahir itu dalam keadaan sihat," jelasnya.

Ujar beliau lagi, ibu muda seringkali bimbang sama ada bayi mereka mendapat secukupnya susu ibu atau tidak.

"Untuk memastikan keadaan itu, pemberian susu hendaklah dimulakan secepat mungkin selepas kelahiran. Seelok-eloknya ibu hendaklah menyusukan bayi dengan susu ibu sekurang-kurangya lapan hingga 12 kali setiap 24 jam," katanya.

Menambah satu lagi senario kerisauan para ibu, Phaik Choo berkata, bayi yang baru lahir juga kerap membuang air kecil dan air besar.

Bagaimanapun, katanya kekerapan dan konsistensi air kencing dan najis berbeza-beza antara setiap bayi kerana ia bergantung kepada makanan yang diberikan.

Kekerapan bayi menangis

Menyambung topik bengkel, Phaik Choo berkata, bayi baru lahir yang kerap menangis adalah satu perkara lumrah. Dan itu sebenarnya antara elemen yang paling merisaukan oleh ibu-ibu di luar sana.

Dalam hal ini, sememangnya tiada cara untuk merungkai masalah itu kerana bayi menangis sebenarnya adalah satu cara mereka menyampaikan mesej tentang rasa lapar atau ketidakselesaan yang disebabkan oleh kekotoran lampin, kesakitan, ketakutan dan macam-macam lagi.

Ya, cabaran yang paling rumit yang dihadapi ibu adalah untuk mentafsirkan tangisan bayi.

"Jika bayi baru lahir menangis dan fikiran anda buntu serta tidak mengetahui apa yang perlu dibuat, anda dinasihatkan supaya bertenang dan cuba amalkan petua seperti mendakap, gosok lembut atau urut bayi, pegang bayi rapat-rapat pada dada, alihkan perhatiannya atau menyanyi menghiburkan mereka," nasihat beliau lagi.

Sesi demonstrasi mengenai penjagaan kawasan lampin dan penukaran lampin turut diadakan oleh Phaik Choo.

Untuk sesi itu, beliau banyak memberi panduan yang berguna kepada para ibu.

"Pada hari-hari pertama selepas bayi dilahirkan, tali pusat perlulah dijaga dengan baik. Pastikan keadaannya tetap bersih dan kering, ia penting untuk mengelakkan terkena jangkitan.

"Pilihlah lampin bayi baru lahir yang mempunyai rekaan keselesaan khas untuk melindungi pusat bayi yang belum sembuh," katanya.

Pemilihan lampin yang tepat juga harus dilakukan kepada bayi yang disusukan sepenuhnya. Bayi seperti itu lebih kerap mengeluarkan najis yang cair.

"Ibu perlu memastikan bahawa mereka menggunakan jenama lampin yang mempunyai ciri daya serap dan kekeringan yang baik, keselesaan, mudah guna dan tidak akan menyebabkan ruam pada punggung lembut bayi," katanya.

Selain sesi kesedaran yang disampaikan oleh Phaik Choo, Pet Pet turut mengundang Dynas Mokhtar dan bayinya, Khyra Khalyssa dalam bengkel itu.

Kehadiran usahawan dan aktres itu membolehkan pelbagai persoalan termasuk pengalamannya menjaga bayi dilontarkan.

Dynas mengakui bahawa dia berdepan dengan pelbagai kepayahan dan cabaran ketika mula-mula menjaga Khyra.

"Kebimbangan saya yang paling utama adalah mengenai ruam pada lampin. Khyra mempunyai masalah ekzema.

"Kulitnya yang sensitif menyebabkan dia mudah terdedah kepada masalah ruam lampin. Oleh yang demikian, saya memilih lampin yang baik dan sesuai untuknya," kata Dynas.

Tidur mampu menurunkan berat badan

Posted:

Tidur mampu menurunkan berat badan

Tidur mampu menurunkan berat badan

JIKA anda mahu meningkatkan peluang mengurangkan berat badan, turunkan aras stres anda dan dapatkan tidur yang cukup.

Kajian terbaharu Kaiser Permanente menunjukkan orang yang cuba menghilangkan 10 paun berat badan akan lebih mudah mencapai matlamat itu jika mereka tidak tertekan dan tidur lebih enam jam. Bagaimanapun, pastikan tidur itu tidak melebihi lapan jam setiap malam.

Penyelidikan yang turut disiarkan dalam International Journal of Obesity pada 29 Mac lalu secara keseluruhannya melibatkan hampir 500 responden.

Antara yang soalan-soalan yang ditanya meliputi waktu tidur responden, tekanan dan tahap kemurungan.

Waktu menonton televisyen dan skrin komputer yang sering dikaitkan dengan kehilangan berat badan turut diselidiki.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved