Jumaat, 2 September 2011

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Hatchback eksotik tiga pintu

Posted:

Hatchback eksotik tiga pintu

Hatchback eksotik tiga pintu

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

SEWAKTU dipertontonkan di Geneva Motor Show di Switzerland pada 1 Mac lalu, model terbaharu Ferrari iaitu FF sudah mencetuskan pelbagai reaksi berbeza. Ada yang memuji tindakan pengeluar Itali itu kerana berani menonjolkan kelainan pada barisan produknya. Jika ada pujian, pastinya akan ada juga kritikan.

Model FF ialah akronim untuk Ferrari Four. Namanya berkait rapat pada dua ciri utama. Empat tempat duduk dan pacuan empat roda. Model Prancing Horse terbaharu itu ialah sebuah hatchback grand

tourer.

Pengganti kepada model Ferrari 612 Scaglietti itu mempunyai ruang kargo yang besar seluas 450 liter. Jika tempat duduk belakang diturunkan, kapasiti ruang simpanan ditingkatkan sehingga 800 liter! Apa relevannya ruang kargo sebesar ini pada sebuah kereta supersport mewah?

Itulah antara persoalan pengkritik. Mereka mendakwa ciri itu menjadi penyebab model FF gagal meraih perhatian peminat. Sejauh mana kata-kata itu bukan untuk saya mengadilinya. Masing-masing ada pendapat. Berhubung soal ruang kargo, ada juga kebenarannya. Ruang kargo lazimnya bukan antara ciri-ciri utama untuk sebuah jentera supersport mewah.

"Ferrari suatu ketika dahulu merupakan kereta yang anda simpan dalam garaj. Keluar untuk dikilatkan dan menayangkannya. Kemudiannya, ia dimasukkan semula dalam garaj. Tetapi hari ini, orang ramai mahu melakukan lebih dengan kereta mewah mereka," demikian kata Presiden Ferrari, Luca Cordero di Montezemolo, Itali berhubung model FF.

Sewaktu artikel ini ditulis, Ferrari FF menduduki tangga ketiga kereta sport eksotik dalam portal U.S News. Jentera itu berkongsi kedudukan dengan Audi R8 2012. Ketinggalan di belakang dua model Lamborghini iaitu Gallardo 2011 dan Aventador 2012.


MODEL FF dibina berdasarkan kepada konsep Shooting-Brake.


FF di Malaysia

Hanya selepas lima bulan pelancarannya, model tersebut diperkenalkan di negara ini. Tugas itu direalisasikan oleh Naza Italia Sdn. Bhd. (Naza Italia). Naza Italia diberikan hak eksklusif mengimport jenama ikonik mewah itu oleh Ferrari SpA pada Mac 2008.

Harus tahu bahawa model FF ialah GT paling eksklusif dalam pasaran. Ia merupakan jentera empat tempat duduk paling berkuasa dalam dunia.

Jentera itu dilengkapi sistem pacuan empat roda. Pertama dalam keluarga Ferrari. Sistem pacuan itu dipasang dengan sistem pembeza elektronik pada bahagian belakangnya (E-Diff). Selain itu, sistem pacuan FF turut diintegrasi dengan traction control F1-Trac.

Hatchback tiga pintu itu dipasang dengan enjin V12 bersesaran 6,262cc yang dipadankan bersama transmisi klac berkembar dan kotak gear tujuh kelajuan F1. Satu lagi pembaharuan dalam segmen kenderaan mewah supersport.


RUANG kargo seluas 450 liter pasti berguna jika ingin bersiar-siar bersama keluarga.


Keseluruhan rangkaian kuasa itu memberikan hasil terbaik. Jentera berupaya menjana tambahan 20 peratus kuasa dan mengurangkan penggunaan bahan bakar sebanyak 25 peratus!

Rekaan luaran dan dalaman

Paras rupa model FF pada bahagian hadapan menonjolkan karismatik sebuah Ferrari. Lampu bahagian hadapan merangkumi padanan bi-xenon dan LED. Bampar pula dilengkapi gril yang agak besar dengan lambang Prancing Horse di hadapannya. Turut jelas kelihatan ialah dua lubang saluran udara, masing-masing di bahagian kiri dan kanan bampar.

Jika memandang dari sudut tepi, anda akan melihat rekaan sebenarnya yang dikenali sebagai shooting-brake. Untuk makluman, shooting-brake adalah kombinasi bentuk wagon dan coupe yang menawarkan ruang penumpang dan kargo.

Rekaan bahagian belakang menampilkan kombinasi lampu isyarat membelok, membrek dan undur. Turut kelihatan ialah ekzos kembar pada kiri dan kanan bampar belakang. Tidak lupa juga penggunaan diffuser mengemaskan lagi aspek aerodinamiknya.


DARI KIRI: Pengurus Perniagaan Ferrari Asia Pasifik, Paolo Ferrari dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin melancarkan ikon terbaru Naza Italia baru-baru ini.


Melangkah masuk ke dalam kabin jentera dengan anggaran harga lebih RM2.8 juta itu, ternyata semua aspek dalamannya cukup sempurna. Pilihan enam jenis warna dalaman disediakan. Turut kelihatan ialah beberapa bahagian dalaman jentera yang diperbuat daripada gentian karbon.

Stereng model FF dikatakan menyamai rekaan Ferrari F1. Ada beberapa butang kawalan yang diadun padanya termasuklah butang penghidup, lampu tinggi, petunjuk dan pengelap cermin. Tidak terlupa juga ciri paddle shifter di bahagian belakang stereng.

Pandang sahaja ke hadapan, takometer berada di tengah-tengah panel instrumen. Di bahagian kiri takometer, ada satu skrin yang memaparkan pelbagai penetapan (setting) jentera. Sementara bahagian kanan pula ialah meter laju elektronik.

Sistem infotainment turut didatangkan pada Ferrari FF. Dua skrin dipasang pada belakang kerusi barisan hadapan dengan sistem stereo 16 saluran Dobly Surround Sound berkuasa 1,280 watt.

Hanya sebuah FF ditawarkan buat setakat ini. Naza Italia memberitahu, FF bakal melonjakkan jualan Ferrari yang sebelum ini banyak disumbang oleh model Ferrari 458 Italia.

Honda Accord 2.4

Posted:

Honda Accord 2.4

Honda Accord 2.4

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
syukran.zainuddin@kosmo.com.my


Honda Accord generasi kelapan ini merupakan kenyataan Honda terhadap aspek sofistifikasi binaan sebuah sedan mewah.


SEDAN eksekutif buatan Honda ini tidak memerlukan pengenalan panjang lebar. Namanya sudah cukup gah di setiap pasaran yang disertainya. Sama ada di Asia, Eropah mahupun Asia Barat, pengguna tidak akan menyifatkannya sebagai satu model yang asing.

Mula dihasilkan pada tahun 1976, ia mempunyai sejarah menjangkau 35 tahun. Dalam tempoh itu, Accord sudah menjelma menjadi sebuah sedan global dengan barisan anugerah serta inovasi dipadatkan ke dalamnya.

Maka, tidak hairanlah jika ia merupakan salah satu model terlaris keluaran Honda. Dijual di lebih 160 buah negara, jualan Accord sudah mencecah 18 juta unit sehingga tahun 2010. Dengan jualan sebanyak 7,322 unit pada tahun lalu, Malaysia menjadi pasaran Accord nombor satu dalam kalangan negara Asean.

Begitulah popularnya model Honda Accord. Jadi, kalau ada sesiapa yang mengaku peminat kereta tetapi tidak kenal dengan Honda Accord, tukar sahaja pengakuan itu kepada minat penyanyi K-Pop. Lain kali, kalau ditanya lagi tidaklah malu sangat.

Kenapa Accord laku? Selain jenama Honda yang kukuh, faktor-faktor seperti prestasi enjin, penjimatan bahan api, kualiti pemanduan dan reka bentuk dalaman serta luaran menjadi penyumbang kepada pembelian sebuah Accord.

Namun, situasi tidak lagi mudah buat Honda. Dengan kehadiran model buatan Korea seperti Sonata dan Optima, ditambah dengan seteru tradisinya Camry serta kehadiran Nissan Teana, Honda nampaknya tidak lagi dapat duduk dengan selesa. Banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memastikannya kekal relevan dan terus mampu menarik perhatian pembeli.

Itulah yang dibuat oleh Honda. Honda Accord dengan varian enjin 2.4 liter yang saya pandu uji baru-baru ini bukanlah model baru dalam pasaran. Ia merupakan model yang telah menerima proses penambahbaikan ke atasnya pada Mac lalu.

Jadi, anda boleh lihat perubahan pada bahagian luaran. Misalnya, gril radiator dan trunk lid berwarna krom, selain rim aloi bersaiz 17 inci yang mendapat rekaan baru. Perkara lain, tidak ada yang berubah pada penampilan Accord. Harus ingat, bukan mudah untuk mengubahsuai sesuatu yang sudah sedia cantik.


SEDAN eksekutif ini merupakan antara model penting buat Honda.


Boleh tidur lena

Ruang kabin jentera itu mengetengahkan warna hitam pada papan pemuka dan tempat duduknya. Honda mengaplikasikan kemasan gabungan warna kelabu pada bahagian konsol tengah yang biasanya menggunakan kemasan kayu berwarna coklat terang. Ia bagi menjadikannya terasa lebih sporty.

Sekali pandang, papan pemuka Accord macam ada terlalu banyak butang. Jangan risau, ia mudah dioperasi dan dicapai oleh pemandu. Ada satu perkara yang saya tidak suka. Tempat duduknya, tidak kiralah untuk pemandu atau penumpang terasa agak keras. Walaupun tidaklah sekeras tempat duduk kedai gunting mamak, tetapi ia tetap membuatkan perjalanan jauh kurang selesa.

Accord memang sebuah sedan yang panjang dan besar berbanding generasi sebelumnya. Jadi, anda boleh mengharapkan ruang kaki dan kepala yang luas. Ditambah dengan kualiti NVH yang bagus, tidur pun semakin lena.

Namun begitu, saiznya itu membuatkan pemandunya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Mujurlah ia hadir bersama alat pengesan ketika hendak memarkir.


REKAAN papan pemuka yang nampak mewah.


Dijana dengan unit enjin berkuasa 180PS dan tork maksimum 22Nm, ia sudah memadai untuk menggerakkan tubuhnya tanpa rasa malas. Kuasa tersebut diagih menerusi kotak transmisi automatik lima kelajuan konvensional. Sebagai sebuah Honda, kadar penggunaan minyaknya adalah menjimatkan. Inilah ciri yang ramai orang paling suka.

Kombinasi antara struktur badan berteknologi Advanced Compatibility Engineering (ACE) dengan suspensi double wishbone pada roda hadapan dan jenis multi link untuk roda belakang memberikan keyakinan ketika mengambil selekoh.

Untuk semua itu, Honda tidak meminta wang tambahan. Harga Accord kekal pada takat sebelum penambahbaikan iaitu RM172,800 seunit. Jika harga itu terlalu tinggi untuk anda, pilih sahaja varian yang lebih murah seperti 2.0L VTi (RM142,800) dan 2.0L VTi-L (RM149,800).

Memang betul banyak pilihan di luar sana. Tetapi, pastinya lebih selamat dan menenangkan fikiran untuk memilih sesuatu yang sudah terbukti tahap kualitinya.

Lori komersial Chana Era Star

Posted:

Lori komersial Chana Era Star

Lori komersial Chana Era Star


LORI kecil ini sangat laris di China berikutan kualiti dan harganya yang berpatutan.


BERITA baik buat golongan yang terlibat dalam perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS). Ini kerana mereka kini boleh memiliki lori pikap pada harga yang cukup berpatutan.

Diberi nama Chana Era Star, lori tersebut diedar dan dibawa masuk ke pasaran tempatan oleh pihak Changan Berjaya Auto Sdn. Bhd. (Changan Berjaya).

Lori bagi tujuan komersial itu terdiri daripada beberapa varian seperti bertubuh besi, kayu, van luton, van kotak dan lori untuk pasar malam. Ia ditawarkan pada harga bermula RM36,000 hingga RM39,000 sahaja.

Menggunakan teknologi Jepun, jentera tahan lasak itu dikeluarkan oleh pengeluar kenderaan terkemuka di China, Changan Automobile. Syarikat itu merupakan pengeluar kenderaan nombor satu di China berdasarkan kepada pengeluarannya yang mencecah lebih satu juta unit pada tahun lalu.

Tahun 2010 juga menyaksikan Changan Automobile menduduki tempat ke-17 dalam senarai pengeluar kenderaan dunia.

Harus tahu bahawa lori Chana Era Star telah mencipta nama sebagai lori mini terunggul di China dari tahun 2006 hingga 2010. Ia dilengkapi dengan enjin bersesaran 1.3 liter yang mampu menjana kuasa sehingga 58Kw dan tork maksimum 11 kg.cm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan.

Lori yang mampu menampung beban dalam jumlah tinggi itu dipasang di kilang Oriental Assemblers di Johor. Pelancaran model pemasangan tempatan (CKD) dijangka dibuat pada suku terakhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Changan Berjaya, Datuk Tony Khor menyatakan bahawa pihaknya optimis untuk menjadi hab pengeluaran lori komersial Chana Era Stardengan pemanduan kanan bagi pasaran Asean dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Keyakinan itu berdasarkan kepada maklum balas positif yang diterima daripada pasaran tempatan dan serantau. "Buat masa sekarang, kami baru membawa masuk sebanyak 100 unit lori Chana Era Star dalam bentuk CBU. Kebanyakannya sudah pun dijual.

"Berikutan perkembangan itu, kami yakin dengan potensi lori Chana Era Star di Malaysia. Kenderaan ini amat sesuai untuk kegunaan para peniaga kerana saiz dan keupayaan muatannya yang tinggi," kata Tony.

Beliau turut memberitahu aspek harga berpatutan, perkhidmatan sokongan selepas jualan yang kukuh dan kemudahan pinjaman menjadi faktor penarik kepada para pelanggan untuk memiliki lori komersial tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved