Jumaat, 5 Ogos 2011

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Lelaki dangkal isu kesihatan

Posted:

Lelaki dangkal isu kesihatan

Lelaki dangkal isu kesihatan

Oleh ALIF ABU BAKAR



JARANG sekali golongan lelaki memberi tumpuan terhadap pemeriksaan kesihatan menyeluruh buat diri mereka. Adakah ia tidak penting ataupun lelaki mempunyai tanggapan kebal daripada pelbagai penyakit berbahaya berbanding wanita?

Tolak andaian itu ke tepi kerana golongan lelaki sebenarnya sering diserang penyakit kronik yang tidak berjangkit.

Lebih membimbangkan, kesemua penyakit itu gagal dikesan pada peringkat awal dan boleh mengundang maut.

Berdasarkan statistik pada tahun 2007, 43 peratus lelaki Malaysia berumur 30 tahun ke atas mengalami tekanan darah tinggi (hipertensi) dengan majoriti daripada mereka tidak mengetahui akan simptom-simptom penyakit itu.

Selain hipertensi yang sinonim sebagai pembunuh senyap, lelaki negara ini juga cenderung menghadapi masalah berat badan berlebihan serta tahap kolestrol tinggi (hiperkolesterolamia).

Menurut Pengarah Klinikal Urologi, Kesihatan Lelaki dan Pembedahan Robotik, Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur, Datuk Dr. Sahabudin Raja Mohamed, lelaki lebih banyak mengalami masalah kesihatan berbanding wanita.


PEMERIKSAAN kesihatan jantung seperti di Pusat Kardiak Hospital Gleneagles ini perlu diambil serius oleh golongan lelaki.


"Golongan wanita sering menjalankan pemeriksaan kesihatan bermula dari peringkat muda tetapi hal itu berbeza pula dengan lelaki.

"Lelaki hanya datang melakukan pemeriksaan kesihatan ketika usia mereka mencecah angka 40 dan mereka yang masih muda pula tidak suka datang mendapatkan rawatan walaupun mengalami sakit biasa.

"Ia terjadi kerana kebanyakan simptom penyakit itu muncul ketika ia di peringkat serius. Maka, lelaki yang tidak dapat mengenal pasti tanda-tanda tersebut sering menganggap diri mereka sihat," jelasnya.

Sikap sambil lewa dan ditambah dengan pemikiran golongan lelaki yang tidak memandang serius perkara itu tidak wajar dipraktikkan.

Banyak kes kematian dalam kalangan lelaki terjadi akibat masalah kesihatan yang tidak disedari kewujudannya.

Lebih malang, kegagalan mengesan penyakit-penyakit tersebut pada peringkat awal membuatkannya menjadi kritikal hingga sukar untuk dirawat.

Selain itu, tambah Sahabudin, lelaki yang mengalami mati pucuk juga mengalami tekanan hebat kerana tiada pengetahuan berhubung masalah itu serta malu untuk bertemu doktor.

Disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk memerlukan pendekatan holistik iaitu rawatannya perlu dijalankan secara menyeluruh membabitkan faktor fizikal, mental dan sosial.

Implikasi yang diterima lelaki mati pucuk selalunya melibatkan aspek psikologi dan sosial. Maka, mereka perlu diberikan rawatan persendirian, fleksibel dan melibatkan diri dalam sebarang keputusan yang disarankan doktor.

Ego lelaki


SAHABUDIN menunjukkan cara menggunakan alat mengukur tahap pernafasan pesakit di Pusat Perubatan Prince Court baru-baru ini.


Menurut pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Malaya, Dr. Mariani Mohd. Nor, lelaki enggan menjalani pemeriksaan kesihatan disebabkan dua faktor iaitu sangkaan kekebalan dan ego.

"Pada mereka, kebarangkalian untuk mendapat penyakit berbahaya terutama pada usia 40 tahun adalah rendah berbanding wanita. Jadi, mereka sentiasa andaikan diri mereka sihat dan kebal daripada penyakit.

"Dari konteks keegoan pula, lelaki sering menolak keperluan memakan ubat sehingga sembuh kerana perbuatan itu dianggap sebagai bebanan," jelasnya.

Selain itu, Mariani turut menegaskan, sangkaan lelaki terhadap menopaus yang tidak sekali-kali dialami mereka, juga tidak boleh diterima pakai.

Kedangkalan lelaki terhadap perkara tersebut jelas menunjukkan betapa kurangnya pengetahuan mereka terhadap kesihatan diri gara-gara enggan menjalani pemeriksaan kesihatan.

Andropaus

Sementara itu, tambah Sahabudin, lelaki juga mengalami simptom menopaus tetapi ia dipanggil andropaus. Masalah tersebut dikatakan akan menyebabkan lelaki mengalami pengurangan libido atau keinginan seksual terhadap pasangan.

"Andropaus merendahkan keupayaan fizikal, melemahkan kekuatan otot serta menyebabkan hipertrofi kelenjar prostat.

"Antara tanda-tandanya adalah seperti pembesaran payudara yang tidak normal menyerupai payudara wanita yang digelar ginekomastia.

"Mereka yang tidak menyedari masalah ini akan turut menyebabkan penurunan serum dalam hormon testosteron yang akan mengganggu kecergasan tubuh badan," jelas Sahabudin.

Bukan itu sahaja, sindrom metabolisme juga mudah menyerang golongan lelaki yang membawa kepada penyakit kardiovaskular, diabetes melitus dan ED.

Sahabudin turut mendedahkan bahawa golongan lelaki akan berdepan dengan masalah kepekaan hormon androgen yang dirembeskan kelenjar adrenal apabila usia semakin meningkat.

Tanda-tanda utama dapat dikesan menerusi kegagalan menghasilkan zuriat akibat bilangan sperma yang rendah, ketinggian tubuh badan menyusut dan ketumpatan mineral dalam tulang menurun.

Jangan sekali-kali mengabaikan simptom awal masalah androgen seperti anemia sederhana, peningkatan indeks jisim badan dan sukar untuk tidur, kerana ia boleh menyebabkan masalah tersebut menjadi lebih besar.

Rawatan penyakit


PENGAMAL perubatan bimbang dengan trend lelaki yang tidak membuat pemeriksaan kesihatan dan menganggap diri mereka kebal daripada sebarang bentuk penyakit. - Gambar hiasan.


Memandangkan kesedaran golongan lelaki di Malaysia terhadap kesihatan diri belum dipandang tinggi, Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur mewujudkan pusat sehenti bagi golongan lelaki melakukan pemeriksaan kesihatan.

Dengan pemeriksaan keseluruhan dan pakej lengkap yang ditawarkan, kaum Adam di negara ini mampu mengetahui tahap kesihatan diri mereka dengan mengikuti beberapa siri pemeriksaan.

"Kita menggalakkan mereka yang berusia 40 tahun ke atas melakukan pemeriksaan kesihatan kerana pada peringkat ini penyakit-penyakit yang mudah menyerang lelaki dapat dikesan dengan efektif.

"Rawatan seperti suntikan testosteron mampu memulihkan masalah libido.

"Pemeriksaan endokrin secara menyeluruh juga dapat mengesan masalah yang sering dihadapi golongan lelaki dan membolehkan ia dirawat pada peringkat awal," kata Sahabudin.

Tidak hanya fokus kepada rawatan berbentuk perubatan, Sahabudin turut memberitahu, mereka yang menjalankan pemeriksaan kesihatan tersebut akan diberi konsultasi dan penerangan berkaitan tahap kesihatan masing-masing.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Sakit jantung pembunuh nombor satu

Posted:

Sakit jantung pembunuh nombor satu

Sakit jantung pembunuh nombor satu


AZHANI seru golongan lelaki jalani pemeriksaan kesihatan


PAKAR Kardiologi, Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur, Dr. Azhani Mohamed Daud memberitahu, golongan lelaki merupakan penghidap sakit jantung dalam bilangan yang lebih tinggi berbanding wanita.

Lebih membimbangkan, 50 peratus kes kematian lelaki akibat sakit jantung gagal diselamatkan di hospital disebabkan serangan yang berlaku secara tiba-tiba.

"Walaupun mereka tidak berasa sakit sebelum itu, ia tidak bermakna mereka sihat sepenuhnya.

"Lelaki berusia 40 tahun ke atas khususnya, perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan diri mereka bebas daripada sebarang penyakit berbahaya.

"Pemeriksaan tersebut perlu dijalankan secara berkala agar tidak terjadi kes-kes kematian mengejut akibat sakit jantung," jelasnya.

Ujar Azhani, beberapa siri ujian membabitkan ujian tekanan, ujian elektrikal kardiogram (ECG) dan ujian spirometri dapat mengesan tanda-tanda awal masalah jantung ataupun penyakit kardiovaskular yang lain.

Namun, tambahnya, jika keputusan ujian tersebut negatif, ia tidak bermakna lelaki itu bebas daripada masalah jantung kerana berkemungkinan penyempitan salur darah masih kecil.

Selain itu, penyakit jantung juga sukar dikesan ketika mendapan kolestrol dalam salur darah masih tipis. Maka, golongan lelaki diingatkan agar tidak mengambil mudah faktor-faktor penyebab serangan jantung.

"Disebabkan pengabaian itu, terjadilah kematian akibat serangan jantung terhadap individu yang tidak disangka mempunyai penyakit tersebut.

"Sakit jantung akan terjadi apabila kolestrol dalam salur darah pecah dan membeku serta-merta.

"Oleh itu, amat penting bagi orang ramai mengenal pasti faktor-faktor serangan jantung seperti usia dan juga latar belakang ahli keluarga yang pernah mengalami sakit jantung," katanya.

Azhani turut memberitahu bahawa risiko sakit jantung adalah lebih tinggi bagi perokok dan yang tidak mengamalkan pemakanan sihat serta tidak bersenam.

Oleh itu, golongan lelaki dinasihati agar memulakan inisiatif awal mencegah terjadinya penyakit jantung dengan gaya hidup sihat dan melakukan pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa.

Golongan lelaki yang ingin memeriksa tahap kesihatan jantung mereka, bolehlah berkunjung ke Pusat Kardiak Gleneagles, Kuala Lumpur.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved