Jumaat, 5 Ogos 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Empat jam berpaut di pelampung

Posted:

Empat jam berpaut di pelampung

Empat jam berpaut di pelampung

Oleh SAKINI MOHD. SAID



KALAU anda merasakan berjauhan dengan telefon bimbit dan internet bagai sesuatu yang menyeksakan, maka Taman Negeri Royal Belum bukanlah tempat untuk anda. Tetapi jika anda bersedia untuk mengenepikan perasaan terasing itu, anda boleh bersedia untuk dibawa masuk ke alam fantasi yang menakjubkan.

Dengan lokasinya yang agak jauh serta bersempadan dengan Thailand (sebelah utara) dan Lebuh Raya Timur-Barat (sebelah selatan), ia memang akan mengasingkan anda daripada dunia luar.

Namun, perasaan gundah dan merasakan diri bagaikan terpenjara daripada hidupan teknologi moden hanyalah getaran awal kerana ia akan hilang sebaik menyelusuri perjalanan di sana.

Bukan hanya penulis yang berasa begitu tetapi, juga yang lain dalam kumpulan media serta pelajar Fakutli Komunikasi dan Media (FCM) Universiti Industri Selangor (Unisel) yang menyertai ekspedisi FCM Tasik Banding/Eksplorasi Belum anjuran universiti itu baru-baru ini.


PELAJAR Fakulti Komunikasi dan Media, Unisel bergambar kenangan bersama penduduk Orang Asli suku kaum Jahai dalam Ekspedisi Tasik Banding/Belum Explorasi di Taman Negeri Royal Belum.


Menariknya, hanya dua jenis pengangkutan sahaja yang boleh membawa seseorang pelancong itu ke Taman Negeri Royal Belum, sama ada menggunakan air mahupun udara.

Ini kerana laluan darat hanya dapat dihubungkan sehingga ke jeti awam, Pulau Banding, iaitu lokasi akhir sebelum meneruskan ekspedisi seterusnya menggunakan bot laju.

Biarpun terpaksa melalui perjalanan agak lama iaitu hampir tujuh jam merentasi ranjau rimba sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Timur-Barat, namun keletihan hilang sebaik tiba di jeti awam dan melihat kejernihan Tasik Temenggor.

Panorama indah tatkala menyusuri Tasik Temenggor menggunakan housebot untuk sampai ke Sungai Kejar, sebuah kawasan pedalaman terakhir di Taman Negeri Royal Belum, membuatkan perasaan dibuai ketenangan dengan keindahan dan kehijauan alam sekeliling.

Biarpun tidak kelihatan hidupan liar di tepi tebing tasik, namun telatah anak-anak orang Asli yang masih nomad cara kehidupannya, menambah keasyikan menghargai alam semula jadi.

Sejurus sampai ke destinasi dituju di perkhemahan Sungai Kejar, semakin riuh suara anggota rombongan: "Wah jernihnya air, nak terjun mandilah," kata seorang pelajar dek terusik dengan kejernihan air yang menampakkan segala isi perut sungai berkenaan.

Khazanah suci


FOKUS utama Royal Belum adalah konservasi flora dan fauna.


Namun, untuk menikmati keindahan itu memasuki Taman Negeri Royal Belum bukanlah semudah hanya menyewa bot sahaja. Ini kerana permit perlu diperoleh daripada Perbadanan Taman Negeri Perak.

Timbul persepsi leceh dalam kalangan segelintir pihak kerana merasakan ia sepatutnya dipermudah sekiranya ingin menjadikan Royal Belum sebagai eko-pelancongan.

"Ini merupakan tanggapan yang silap kerana fokus utama Taman Negeri Royal Belum ialah konservasi flora dan fauna yang ada di sini. Eko-pelancongan adalah sebahagian daripadanya," kata Renjer Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan Perbadanan Taman Negeri Perak, Safri Muhiyuddin.

Diwartakan sebagai Taman Negeri Royal Belum pada 3 Mei 2007, ia meliputi kawasan seluas 117,500 hektar, iaitu hampir 90 peratus daripada keluasan Hutan Simpan Belum (132,000 hektar).

Berbanding hutan lain di Malaysia, Royal Belum merupakan hutan simpan yang cukup istimewa kerana ia dikatakan satu-satunya masih suci. Dengan anggaran terdapat lebih 3,000 spesies flora, 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang hidup bebas dan liar, sekali gus menjadikan Taman Negeri Royal Belum, khazanah berharga kepada negara.

Tarikan Taman Negeri Royal Belum


BOT menjadi pengangkutan utama untuk menyusuri Royal Belum.


Apa lagi yang menariknya di sini? "Terdapat tiga spesies bunga Rafflesia di sini iaitu R. Kerrii, R. Cantleyi dan R.Azlanii. Istimewanya, spesies R. Azlanii hanya terdapat di Royal Belum.

"Selain itu, Royal Belum juga menjadi tumpuan 10 spesies burung enggang, iaitu burung yang selalu dikaitkan dengan negeri Sarawak," katanya.

Tidak terhenti di situ, kerana ia juga merupakan syurga ikan bagi si pemancing. Antara spesies ikan yang terdapat di Royal Belum ialah ikan kelah, sebarau, baung, toman, temoleh, tengalan, tengas dan kejor.

Malah difahamkan, semakin jauh anda merentasi hutan, maka saiz ikan yang terdapat di sini juga semakin besar. Bagi mereka yang ingin merasakan kedinginan air terjun dan bermandi bersama-sama ikan, terdapat lapan lokasi air terjun yang boleh diterokai.

Paling menarik, air terjun di Sungai Koi kerana dengan ketinggian 50 meter, ia mengalir seperti air pancuran.

Santuari ikan kelah


AIR terjun boleh menjadi lokasi membasahkan badan saat di Royal Belum.


Dalam usaha memberi perlindungan dan mengelak kepupusan ikan air tawar khususnya kelah, temoleh dan tengas, Sungai Ruok yang mempunyai air terjun dijadikan santuari ikan berkenaan.

Bagi merasai sendiri pengalaman bermandi bersama ikan kelah, rombongan ekspedisi dibawa ke Sungai Ruok. Bot yang meluncur laju, tiba-tiba semakin perlahan tatkala merentasi laluan banyak pokok mati yang terpacak di air seolah-olah bagaikan pintu gerbang semula jadi.

Sebaik sampai di tebing sungai, perjalanan ke air terjun yang menempatkan santuari berkenaan hanya mengambil masa 15 minit. Teruja dengan saiz dan banyaknya ikan kelah, hampir semua tidak melepaskan peluang mandi bersama ikan-ikan itu.

"Kalau di tempat lain, ikan kelah boleh dipegang, tetapi tidak di sini kerana kami memang ajar liar," kata Safri.

Aktiviti lasak


PENGUNJUNG boleh melihat kegiatan Orang Asli suku kaum Jahai di sepanjang Sungai Kejar.


Bukan sekadar menikmati keindahan air terjun dan bermandi sungai, tetapi aktiviti lasak seperti trekking hutan, berakit serta water tubing juga antara program dijayakan sepanjang ekspedisi itu.

Paling menarik apabila rombongan ekspedisi perlu kembali ke tapak perkhemahan menggunakan rakit dan melepasi beberapa kawasan jeram. Ada rakit patah, ada yang terluka (tidak teruk) dan hilang kaca mata tatkala melepasi kawasan jeram, namun itu tidak melemahkan semangat semua.

Malah, momen terpaksa berpaut pada pelampung (selepas rakit patah) selama empat jam untuk kembali ke tapak perkhemahan sambil mengharungi jeram, memberi pengajaran baru kepada anggota ekspedisi.

Untuk tujuan itu, kami diingatkan supaya tidak memakai barang berkilat kerana ia akan menarik perhatian ikan toman, spesies karnivor.

Sesungguhnya, empat hari tiga malam di Taman Negeri Royal Belum, dirasakan satu jangka masa yang pendek. Sudah tentu sekiranya ada peluang dan kelapangan, Royal Belum akan dikunjungi lagi. – Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Mentarang buat masak lemak

Posted:

Mentarang buat masak lemak

Mentarang buat masak lemak

Oleh ADZRIEFAIZ ADZLAN'


PENULIS terpaksa meredah selut untuk mencari mentarang di Sungai Berembang.


SELEPAS ke Kampung Sedim, Kedah, minggu lalu, saya menyusur pula ke Kuala Perlis, yang merupakan bandar kedua terbesar di Perlis selepas Kangar. Saya sangat teruja apabila menjejak kaki ke sana kerana saya melihat rimbunan hijau di sekeliling yang masih lagi terjaga.

Misi pertama saya dalam episod kedua ini adalah mencari mentarang iaitu sejenis siput yang hanya boleh didapati di tepian pantai yang berselut kerana hidupan yang bercangkerang itu suka air yang mempunyai suhu rendah. Mentarang juga mudah didapati di Sungai Berembang, Kuala Perlis.


MENTARANG yang menjadi bahan utama dalam menu pertama yang dimasak penulis.


Belum apa-apa lagi, saya terpaksa menempuhi halangan pertama iaitu terpaksa masuk ke selut yang dalamnya mencecah sehingga ke bahagian paha.

Ini pengalaman saya yang pertama masuk selut dan perasaan saya macam rasa mahu tenggelam dalam selut. Saya ditemani oleh Pak Hamid, seorang penjual mentarang yang selalu membekalkan mentarang kepada peniaga-peniaga kecil.

Pak Hamid mengajar saya selok-belok untuk mengambil mentarang dan kami memulakan pencarian itu seawal 7 pagi. Hasil tangkapan saya selama dua jam itu dibawa pula ke destinasi seterusnya iaitu di Empangan Tasik Timah Tasoh.


INILAH pasar unik di tengah-tengah ladang getah.


Di tasik itu, saya ditemani pula oleh Abang Min, seorang peniaga pulut ayam di Cafe Cindai Klasik. Untuk episod kedua itu, penerbit ingin mendapatkan suasana perkhemahan.

Ia sangat mendamaikan apatah lagi dengan suasana yang dikelilingi oleh bukit-bakau.

Sementara menunggu mereka menyiapkan khemah, saya dan Abang Min pergi mencari bahan-bahan untuk memasak lemak mentarang umbut pisang di pasar Beseri, Beseri, Perlis.

Selesai mendapatkan bahan-bahan itu, saya perlu pula mencari umbut pisang. Nasib baiklah tidak perlu meredah hutan seperti mencari umbut bayas dulu kerana pokok pisang mudah dijumpai di sekeliling kawasan tersebut.


Menyediakan makanan popular Perlis di tepi Tasik Timah Tasoh.


Misi memasak mentarang umbut pisang masak lemak berjaya dan mendapat pujian dan usaha saya setelah meredah selut memang berbaloi.

Nasi ulam utara

Kini misi kedua pula iaitu nasi ulam merupakan menu paling popular di Perlis. Kepelbagaian ulam yang digaulkan bersama nasi menjadikan menu misi yang kedua ini lebih mencabar.

Di samping itu, suasana di pasar pagi yang terletak di tengah-tengah ladang pokok getah menjadikan misi mencari bahan-bahan nasi ulam lebih menarik. Cabaran seterusnya adalah mengenal jenis-jenis ulam yang diperlukan sebanyak tujuh jenis. Ini memang susah sikit sebab saya tidak hafal nama-nama ulam, apatah lagi bentuk rupanya.


MENJAMU selera dengan hidangan yang disediakan sendiri dalam suasana perkhemahan yang mendamaikan di Tasik Timah Tasoh.


Resipi diberi oleh Abang Min, namun, usaha saya untuk menyediakan menu makan tengah hari untuk rakan-rakan akhirnya gagal. Bukan gagal kerana tidak cukup bahan untuk masak tetapi, gagal kerana tidak tahu macam mana nak makan nasi ulam. Ada yang kata ulam-ulam tersebut dicampur sekali dengan nasi dan ada juga kata asingkan ulam dan juga nasi.

Kecewa sedikit bila gagal, tetapi saya bangga sekurang-kurangnya dapat belajar jenis-jenis ulam yang ada. Untuk tenangkan fikiran, saya pun terus pergi ke tepi tasik untuk aktiviti seterusnya iaitu berkayak di tepi Empangan Tasik Timah Tasoh yang mempunyai pemandangan yang sangat cantik.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tarikan pantai digilap semula

Posted:

Tarikan pantai digilap semula

Tarikan pantai digilap semula

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA



CAHAYA matahari yang mula meninggi dirasakan seperti mencucuk-cucuk ke kulit, namun seorang lelaki dilihat sedang tekun melakukan tugasnya.

Tangannya pantas mengutip pelbagai jenis hidupan laut seperti ikan, ketam, udang dan kerang yang tersangkut pada pukat rentang miliknya itu.

Dia tersenyum puas. Ternyata penat-lelahnya berbaloi, ketiga-tiga pukat rentang yang dipasangnya sejak malam sebelumnya di pesisiran Pantai Morib itu mengena.

Baldi yang sarat dengan hasil tangkapannya itu kemudian dibawa ke khemahnya yang terletak tidak jauh dari situ.

Bagi Johan Subhi, 42, dia tidak pernah jemu ke Pantai Morib. Sejak berjinak-jinak dalam aktiviti memukat itu awal tahun lalu, boleh dikatakan sebulan sekali atau dua minggu sekali dia akan berkunjung ke destinasi perkhelahan yang popular di selatan Selangor itu.

Lagipun, dia tidak bersendirian lantaran isteri dan tiga orang anaknya turut menjadi peneman setia. Jika dulu kehadiran mereka sekadar untuk bersiar-siar atau berkelah di tepi pantai, kini dia mempunyai hobi baharu untuk mengisi masa lapangnya pada hujung minggu.

"Lazimnya, kunjungan saya ke sini tidak pernah menghampakan. Adakalanya saya mampu membawa pulang hasil tangkapan pukat seberat 20 kilogram.

"Selain menjadi hidangan kami sekeluarga atau disedekahkan kepada jiran tetangga, ada juga permintaan dalam kalangan pengunjung yang mahu membelinya," katanya yang berasal dari Batu 4, Kapar, Klang.

Johan memberitahu, kawasan pantai itu amat sesuai untuk aktiviti memukat kerana mempunyai pantai yang landai iaitu mempunyai jarak di antara tebing dengan anak air yang jauh ke laut ketika air surut.

"Tidak hairanlah kawasan sekitarnya popular dengan mereka yang datang memukat, menjala, memancing atau sekadar mencari kepah atau siput di tepi pantai.


AKTIVITI berkhemah di tepi pantai menjadi acara wajib bagi ramai pengunjung pada hujung minggu.


"Suasana di sini cukup menenangkan. Menikmati deruan ombak segar atau sekadar melihat kerlipan bintang pada waktu malam sudah cukup mendamaikan jiwa. Hilang segala tekanan di tempat kerja," katanya.

Panorama Selat Melaka

Terletak di daerah Kuala Langat kira-kira 10 kilometer dari pekan Banting, Morib bukanlah nama yang asing dalam kalendar pelancongan negeri.

Berlatarbelakangkan panorama Selat Melaka, keindahan pantainya sentiasa menggamit pengunjung khususnya warga kota.

Jika daerah Kuala Langat terkenal kerana tinggalan sejarah Kesultanan Selangor, Morib juga tidak kurang hebatnya.

Kawasan pantainya pernah menjadi kawasan pendaratan pasukan tentera India dari Batalion ke-46 tentera marin British dalam usaha mempertahankan Malaya daripada serangan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua dahulu.

Sepanjang ia dibuka sebagai lokasi riadah pantai, pelbagai isu dibangkitkan orang ramai termasuk soal kebersihan dan juga persaingan dengan destinasi pelancongan berdekatan seperti Sepang yang terkenal dengan pantai Bagan Lalang dan Golden Palm Tree Sepang Gold Coast. Kesemua faktor itu menyebabkan kegemilangan Morib pernah melalui fasa malap.

Namun, usaha Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM6 juta bagi menaik taraf kemudahan pelancongannya sejak setahun lalu telah berjaya mengembalikan keceriaan Morib.

Seorang peniaga layang-layang, Mohd. Azman Dali, 30, berkata, kawasan sekitar Pantai Morib itu kini dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tandas, gerai, surau, pondok, tempat meletak kenderaan dan taman permainan kanak-kanak.

Pada masa yang sama katanya, kawasan sekitarnya juga turut diceriakan dengan landskap indah termasuk pembinaan pelbagai arca dan monumen yang menarik.


KETENANGAN suasana di Pantai Kelanang yang terletak berdekatan dengan Pantai Morib.


"Dahulu memang tidak dapat dinafikan keadaannya pantai ini agak tidak terurus, kotor dan dipenuhi sampah-sarap serta gerai-gerai usang

"Sekarang lihatlah, semuanya telah berubah. Kawasan gerai baru yang dibina bukan sahaja luas malah selesa bagi peniaga dan pengunjung yang berkunjung ke sini," katanya yang sudah berniaga di situ sejak berusia belasan tahun.

Anak jati Banting itu menjelaskan, pengunjung ke Pantai Morib boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti bermandi-manda, menangkap ikan, bermain-layang atau sekadar bersantai di kerusi rehat yang disediakan.

Tambahnya, kehadiran semula pengunjung ke kawasan pantai itu memberi isyarat jelas ia bakal mengulangi kegemilangan seperti yang pernah dikecapi sekitar tahun 70-an, 80-an dan 90-an dahulu.

"Selain Pantai Morib, pengunjung juga boleh mengunjungi Pantai Kelanang yang juga tidak kurang menariknya dan menjanjikan kepuasan seperti juga pantai-pantai lain di negara ini," ujarnya.

Pantai Kelanang yang terletak berdekatan Pantai Morib bukan sahaja terkenal dengan keindahan pantainya, malah tinggalan sejarah seperti sejarah Kesultanan Selangor.

Pantai-pantai yang di bawah perhatian Majlis Daerah Kuala Langat itu turut mengajak pengunjungnya melawat beberapa tarikan lain seperti Bukit Jugra, Bukit Melawati, makam Sultan Abdul Samad, Masjid Alauddin dan Istana Bandar.

Ikan bakar

Jika perut berasa lapar, terdapat pelbagai gerai dan restoran yang menyediakan pelbagai hidangan yang menepati selera pengunjung.

Salah satu gerai yang boleh dicuba jika berkunjung ke Pantai Morib ialah gerai King Ikan Bakar yang diusahakan Raja Sulaiman Raja Shah, 51, yang menawarkan pelbagai hidangan menyelerakan seperti ikan bakar, sate, otak-otak, kepak ayam panggang dan sata.


MEDAN selera baharu yang lebih selesa, teratur dan menarik menjadi tumpuan pengunjung ke Pantai Morib.


Raja Sulaiman berkata, keistimewaan ikan bakar tiga rasa yang diadun dengan rempah ratus menjadi pilihan ramai pelanggannya.

"Terdapat beberapa pilihan ikan yang ditawarkan iaitu dari jenis kerapu, kelah dan jenahak," katanya yang turut menghidangkan kerang bakar bersama nasi dan air asam.

Walaupun lokasi gerai terbukanya itu masih baharu, Raja Sulaiman gembira dengan sambutan yang diterimanya.

"Selain menjamu selera, pengunjung berpeluang menikmati panorama indah di sekelilingnya sekali gus memberi nilai tambah kepada peniaga-peniaga di kawasan ini," ujarnya.

Penginapan

Rencana bermalam di Morib juga suatu yang digemari golongan tertentu. Bagi mereka yang gemarkan adventur, terdapat tapak-tapak perkhemahan yang boleh disewa berhampiran pantai untuk aktiviti berkumpulan dan keluarga.

Sementara itu, bagi yang inginkan keselesaan dan suasana privasi boleh memilih untuk menginap di Hotel Impian Morib yang terletak berhampiran.

Menawarkan penginapan bertaraf tiga bintang, resort yang beroperasi sekitar 2005 itu menawarkan sejumlah 90 unit bilik dari jenis superior, deluxe dan calet pada harga bermula dari RM160 hingga RM250 semalam.

Pengurus Residennya, Dzulquarnine Ahmad berkata, setiap bilik mempunyai kemudahan pendingin hawa, televisyen satelit, pembancuh kopi, alat pemanas dan peti ais.

Katanya, resort itu juga turut dilengkapi kolam renang, bilik mesyuarat dan seminar, restoran, padang golf (Sri Morib Golf Club) dan gimnasium.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved