Kosmo Online - Pemotoran |
Posted: CVT lebih jimat dan lancarOleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN TAMPIL dengan lebih bergaya menerusi rekaan lampu hadapan nipis dan bampar hadapan yang baharu. UNTUK kekal relevan, sesebuah entiti mesti bersikap dinamik. Berubah mengikut zaman dan keperluan semasa. Jika tidak, kita akan ketinggalan dan tidak akan mampu lagi mengejar pesaing yang bertambah maju. Contohnya, ketika orang lain sudah ada aplikasi iPad dan laman web kita masih dikemaskini secara sambil lewa, jadi memang layaklah kalau kita dianggap sebagai kelas kedua dalam industri. Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Berhad (Proton) sejak sekian lama cuba untuk menjadi dinamik. Namun, bersaing dalam industri automotif yang teknologinya berubah pantas, nyata itu bukan satu kerja mudah. Apabila sesebuah model keluar, pelbagai penambahbaikan dibuat. Semuanya demi meletakkan dirinya sebaris dengan pengeluar kereta yang lain. Dalam kes Proton, Saga sering dilihat sebagai model yang kerap menjadi tikus makmal. Jangan salah sangka, semua 'ujikaji' itu dibuat bagi menjadikan Saga sebuah kereta rakyat yang terbaik dalam segala segi. Kenapa CVT? Tidak percaya? Sebagai sebuah sedan entry level, Saga dalam proses penyempurnaan. Kalau sebelum ini ia dipasang dengan enjin lebih berkuasa (1.6 liter Campro), sekarang Saga dilengkapi dengan transmisi CVT (Continuously Variable Transmission) pula! RUANG dalaman dipertingkatkan menerusi penggunaan warna kelabu pada konsol tengah dan grafik pada paparan meter yang baharu. Tindakan itu sememangnya satu anjakan yang besar buat Proton. Iyalah, sampai bila mahu bergantung kepada transmisi lama milik Mitsubishi itu, sedangkan orang lain sudah bertahun-tahun menggunakan teknologi transmisi lebih cekap seperti CVT atau dual clutch. Mungkin ramai yang bertanya, kenapa CVT dan bukannya dua clutch atau transmisi automatik konvensional dengan lima atau enam kelajuan? Transmisi CVT pun tidaklah semurah mana dan Proton perlu mendapatkannya daripada pihak ketiga. Saya yakin Proton mempunyai alasan tersendiri kenapa CVT dipilih. Antaranya, CVT memiliki kelebihan dari aspek penjimatan minyak dan kurang emisi. Di samping menjanjikan penukaran gear yang lancar. Lebih ringan Untuk makluman, transmisi CVT itu dihasilkan oleh pihak Punch Powertrain dari Belgium. Sementara transmisi lima kelajuan manual pula adalah daripada pihak Getrag. Sebagai permulaan, transmisi CVT atau manual tersebut ditawarkan untuk varian Standard dan Executive. "Disebabkan oleh transmisi CVT yang 25 peratus lebih ringan dan tiada senggukan ketika transisi gear, penggunaan minyak oleh Saga FLX turun sebanyak empat peratus jika dipandu di bandar dan sepuluh peratus ketika di lebuh raya. "CVT juga membolehkan enjin beroperasi pada tahap optimum. Hasilnya, enjin kurang terbeban dan meningkatkan jangka hayatnya," jelas Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Minggu terakhir sebelum puasa, saya berpeluang memandu uji Saga yang dilengkapi transmisi CVT di litar ujian Proton di kilangnya di Shah Alam, Selangor. Dikenali sebagai Saga FLX, unit yang diuji itu hadir dengan warna baru, coklat cerah atau nama popularnya Elegant Brown. Bagi merasai perbezaan yang ditawarkan, Saga FL bertransmisi automatik empat kelajuan juga disediakan. Integrasi CVT dan Campro ENJIN Campro 1.3 liter mampu beroperasi secara optimum apabila digandingkan dengan transmisi CVT. Unit yang dipandu uji ialah model Saga berenjin 1.3 liter. Tipikal transmisi CVT, anda akan melihat jarum rpm bermain di sekitar 5,000 rpm dengan bunyi enjin melahu kedengaran agak jelas di dalam kabin. Dalam tempoh itu, kuasa enjin seakan-akan sedang mencari 'gear' untuk dilekatkan (engage). Integrasi antara enjin Campro dan CVT agak bagus. Tanpa rasa senggukan gear ditukar, sedar-sedar sahaja kelajuan yang dicapai sudah melepasi takat 120 kilometer sejam (km/j). Di sebelah tuil gear, ada butang SAT atau Stepped Automatic Transmission. Ia berfungsi untuk memberikan pemandu merasai pertukaran gear seperti transmisi automatik enam kelajuan konvensional dengan lebih ketara. Saya menekan punat kecil itu. Tetapi, saya boleh katakan bahawa perubahan karakter enjin dan transmisi itu tidak jauh bezanya ketika butang SAT tidak ditekan. Dalam erti kata lain, pertukaran gear tidak terasa sebagaimana yang boleh dirasai jika dilakukan secara manual menerusi ciri Tiptronic atau paddle shifter. Bagi memanfaatkan sepenuhnya kelebihan transmisi CVT, pandulah secara santai. Biarkan gear ditukar secara natural tanpa dipaksa dan pedal minyak tidak ditekan keras. Anda bukan sahaja akan merasai pemanduan yang lancar, malah penjimatan minyak juga lebih mudah direalisasi. Mengenali sebuah Proton, anda boleh mengharapkan kualiti pengendalian yang memuaskan hati. Pengendalian oleh Lotus itu bukan sekadar gimik pengiklanan. Saga sememangnya stabil ketika memandu laju di atas trek. Talaan gabungan suspensi topang MacPherson (roda hadapan) dan suspensi jenis torsion beam memang mampu menyerap ketidaksempurnaan permukaan jalan dengan baik. Tidak melantun-lantun atau bergegar jika terlanggar lubang atau sebagainya. Stereng hidraulik itu juga berasa sedikit berat, sekali gus membuatkan pemandu yakin untuk menguji Saga menuju ke tahap maksimanya. Ruang dalaman Saga FLX mendapat sedikit penambahbaikan. Paling ketara ialah konsol tengah yang menerima warna perak. Saya sebenarnya kurang gemar dengan rekaan papan pemukanya yang nampak terlalu asas. Bagaimanapun, paparan meternya mendapat rekaan grafik baru berbanding model sebelumnya. Rim 13 inci BUTANG SAT yang ada di sebelah tuil gear ini akan memberikan anda lebih 'rasa' setiap kali gear ditukar. Dari segi penampilan pula, Saga FLX meneruskan rupa Saga FL yang menerima perubahan ketara terutama pada bahagian bampar hadapan. Selain lampu utama yang lebih nipis dan perumahnya dihitamkan (smoked). Lampu belakang dengan butiran LED itu juga menyerlahkan elemen moden kepada Saga. Cuma, saya rasa penggunaan rim besi bersaiz 13 inci (varian standard) membuatkan rupa Saga FLX nampak cacat. Rim itu kelihatan terlalu kecil, biapun untuk sebuah sedan kompak. Saya tahu, alasannya mungkin kerana kos dan ia merupakan antara saiz terbaik untuk penjimatan. Masalahnya pembelian juga banyak dipengaruhi oleh faktor kecantikan atau estetiknya. Bukan sekadar transmisi CVT, Saga FLX kini juga semakin selamat. Varian Executive memiliki ciri tambahan iaitu dua beg udara, selain Anti-lock Braking System (ABS) dan Electronic Brake-force Distribution (EBD). Agak impresif untuk sebuah sedan yang berharga kurang RM45,000 seunit. Saga FLX ditawarkan pada harga sekitar RM38,598 hingga RM44,998 seunit bergantung kepada varian. Jika anda tidak suka Elegant Brown, warna-warna lain seperti hitam, putih, biru dan perak boleh dijadikan sebagai alternatif. Saga FLX kini sudah boleh diteliti dan ditempah di semua bilik pameran Proton di seluruh negara. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Mazda2: Kereta Dunia 2008!Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN REKAAN Mazda2 yang segar membuatkannya mudah diminati oleh pengguna kenderaan daripada segenap usia. BEBERAPA tahun lalu, saya dan beberapa orang rakan pernah menghadiri prebiu program di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kata Profesor Kanan semasa program itu, kami tidak terlalu percaya dengan promosi besar-besaran. Jika program yang ditawarkan bagus, maka dengan sendirinya pelajar akan datang mencari. Ayat yang lebih kurang sama saya dengar sekali lagi. Kali ini daripada Wan, seorang rakan yang menjual kereta Mazda. Menurutnya, Mazda jarang mempromosikan produknya dalam media kerana bosnya percaya bahawa produk yang baik akan dicari orang. Apa yang dikatakan oleh mereka berdua ada benarnya. Mazda berada dalam kelasnya tersendiri. Produknya menyerlah andai dibandingkan dengan pengeluar kereta Jepun yang lain. Bukti paling nyata ialah apabila Mazda2 memenangi Kereta Dunia 2008 (World Car of the Year). Anugerah itu nyata membuka mata saya terhadap kereta bandar ini dan Mazda secara amnya. Falsafah Zoom-Zoom Mazda membawa falsafah Zoom-Zoom yang bermakna perkara serius dijadikan perkara yang menyeronokkan. Caranya adalah dengan menyuntik elemen sporty dalam barisan kenderaan keluarannya. Beberapa minggu lalu, saya memandu Mazda CX7, sebuah SUV ala Honda CR-V. Perkara yang menarik perhatian saya ialah rekaan sterengnya yang lari daripada kebiasaan, seperti kereta lumba 60-an. Bayangkan sebuah SUV berharga lebih RM170,000 mempunyai rekaan tersebut. Anda tidak akan menjumpainya pada mana-mana pengeluar kereta Jepun. Selain itu, rekaan kenderaan Mazda juga sangat berbeza. Tubuhnya penuh dengan laluan-laluan angin dan lekuk-lekuk. Impresi pertama BUTANG-BUTANG kawalan yang ada pada papan pemuka Mazda2 dikoordinasi dengan baik. Baru-baru ini, saya berpeluang memandu uji Mazda2 R Grade. Pandu uji itu bagaimanapun agak singkat, tidak sampai 10 kilometer (km) pun. Tujuannya adalah untuk menjamah sedikit' produk terkini Mazda selepas kali terakhir memandu Mazda Fighter kira-kira sembilan tahun lepas. Impresi pertama apabila masuk ke dalam Mazda2 ialah postur kerusi yang kena dengan badan saya yang agak tinggi. Sementara butang-butang kawalan pada papan pemuka mudah dicapai. Pandangan ke hadapan agak selesa. Sterengnya tidak kasar dan sedap dipegang. Sesudah kereta bergerak, perkara pertama yang diuji ialah daya pecutannya. Sebaik sahaja pedal ditekan kuat, ternyata kereta itu ada kuasa, tidak lembap dan lebih kurang sama dengan Honda Jazz GD. Maksudnya, Mazda2 tiada masalah untuk memotong kereta hadapan yang dipandu oleh mereka yang suka bersiar-siar dan membiarkan kereta di belakang beratur panjang. Stereng berat Ujian seterusnya adalah aspek pemanduan dan pengendalian. Perkara pertama yang saya perasan, stereng dengan teknologi Electronic Power Assist Steering (EPAS) itu sedikit berat. Ciri itu bagus kerana stereng yang terlampau ringan dan tidak offset sewaktu kelajuan tinggi akan menyebabkan kereta berasa terapung-apung, sekali gus tidak memberi keyakinan kepada pemandu. Situasi begitu berbahaya kerana pemandu tidak memegang kemas stereng sewaktu memandu laju dan akan sibuk membetulkan stereng. Seterusnya mengganggu konsentrasi pemanduan. Tamat laluan lurus, saya membelok kereta itu untuk mengujinya pula pada selekoh. Pedal minyak sengaja ditekan untuk melihat sejauh mana Mazda2 dapat mengekalkan kestabilannya. Pada kelajuan sederhana, olengan tubuh Mazda2 tidak terlampau teruk. Kereta masih lagi stabil mengikut garisan selekoh yang dipilih.
Sebagai pemandu, anda harus cerewet dalam hal ini kerana kereta yang pengendaliannya gagal adalah merbahaya. Sebabnya, pemandu mungkin terkejut apabila arah kereta tidak selari dengan putaran stereng. Selepas ujian selekoh, satu lagi perkara yang saya gemari ialah melalui jalan berlopak. Kereta yang bagus mempunyai casis tegar dan mampu menyerap hentakan dengan selesa. Kereta yang terhentak kuat dan tidak 'settle' ketika melalui jalan tidak rata boleh dianggap sebagai mempunyai struktur casis yang biasa-biasa sahaja. Paling dahsyat apabila kereta bergegar apabila melanggar lopak atau lubang. Untuk Mazda2 yang kualiti pengendalian dan tahap gegarannya lulus, lopak yang dilalui diserap dengan baik. Pesaing berbahaya Ini kereta paling ideal untuk kegunaan bandar. Ia juga sesuai untuk pemanduan jarak jauh kerana keselesaan yang ditawarkannya biarpun bersaiz kompak, dengan syarat anda tidak membawa beban yang banyak. Kini Mazda2 mempunyai pesaing yang paling berbahaya iaitu Ford Fiesta. Fiesta berkongsi platform yang sama, tetapi mewah dari aspek spesifikasinya dan lebih murah. Walau bagaimanapun, jika dinilai dari segi rekaan, saya memilih Mazda2. Kereta itu tidak memerlukan rekaan yang terlampau menonjol untuk memberitahu kepada dunia bahawa ia adalah cantik. Rekaannya tenang dan bersahaja dengan wajah yang sentiasa senyum. Inilah semangat Zoom-Zoom! Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Range Rover 4.4 Turbodiesel 2011 Posted: Range Rover 4.4 Turbodiesel 2011RANGE Rover Turbodiesel ini dipasang dengan sistem suspensi yang mengandungi teknologi Adaptive Dynamics yang mengawal kemas tubuh kenderaan sewaktu mengambil selekoh. HANYA sebulan selepas pengenalan Range Rover 5.0-liter Petrol Supercharged, Land Rover (Malaysia) Sdn. Bhd. baru-baru ini memperkenalkan pula varian terkini yang dikuasakan dengan enjin diesel. Disifatkan sebagai SUV (sports utility vehicle) paling berkuasa dan mewah di dunia, Range Rover 4.4 LR-TDV8 turbodiesel 2011 menggantikan model Range Rover 3.6 LR-TDV8 sebelum ini. Ia dijangka ditawarkan pada harga sekitar RM730,000 di atas jalan tidak termasuk insurans. Dengan kuasa 313PS dan tork 700Nm, enjin baharu Range Rover itu menyeimbangkan antara kuasa dan rasa prihatin menerusi pengurangan emisi CO2 sehingga 14 peratus. Enjin super-diesel serba baharu, LR-TDV8 itu menggabungkan kuasa dan tork mengagumkan dengan penambahbaikan. Dari segi prestasi, enjin diesel bersesaran 4.4 liter tersebut menawarkan tambahan 15 peratus kuasa, ekonomi, pecutan dan sembilan peratus lebih tork berbanding unit enjin 3.6 liter yang digantinya. Bagaimanapun, fakta paling menarik adalah penggunaan bahan api enjin baharu itu cuma 9.4 liter bagi setiap 100 kilometer (km) (pemanduan di bandar dan lebih raya) sekali gus menjadikannya model Range Rover pertama mampu mencapai penanda aras tersebut. STERENG yang dilengkapi dengan pelbagai butang kawalan. Pencapaian enjin diesel itu banyak dibantu oleh kombinasinya dengan kotak gear automatik lapan kelajuan, ZF 8HP70 baharu yang dikawal secara elektronik. Kotak gear tersebut ditala oleh para jurutera Land Rover untuk menggabungkan rasa pertukaran gear yang lancar dengan maklum balas pantas dan bahan api menjimatkan. Transmisi baharu itu merupakan kotak gear lapan kelajuan yang pertama kali dipasang pada sebuah Range Rover. Ia ditala bagi memanfaatkan sepenuhnya tork pada rpm rendah enjin LR-TDV8 dengan penguncian pengubah daya kilas (torque converter) dilakukan secepat mungkin untuk mengurangkan masalah gelinciran dan kehilangan kuasa. Kombinasi hebat itu cukup untuk memecut Range Rover dari titik pegun ke 100 km sejam (km/j) dalam tempoh cuma 7.8 saat. Hanya didapati pada model-model 4.4-liter LR-TDV8, transmisi pintar itu berintegrasi dengan enjin diesel untuk memberikan regim operasi paling cekap dalam semua kondisi. Untuk memadankan prestasi 4.4-liter LR-TDV8, model diesel Range Rover terkini turut dipasang dengan brek cakera ventilasi pada keempat-empat rodanya. Sistem tersebut meliputi cakera ventilasi bersaiz 380 untuk roda hadapan bersama enam omboh aluminium ringan dan unik yang bertindak berlawanan dengan angkup monoblock. Brek belakang pula dipasang dengan cakera ventilasi bersaiz 365mm dengan angkup omboh tunggal. TERRAIN Response Optimisation Switch ini menggantikan dail putar konvensional. Di dalam kabin, perubahannya tidak ketara tetapi dapat dikenal pasti dengan pantas. Paddle shift yang diletak di bahagian belakang stereng kini merupakan satu ciri standard. Pada tuil gear tradisionalnya, terdapat Drive Select, satu dail putar baharu yang beroperasi sebagai pemilih gear yang naik sendiri ketika enjin dihidupkan dan turun apabila enjin dimatikan. Hiburan disediakan oleh Sistem Audio Premium harmon/kardon® Logic 7 bersama 14 buah pembesar suara. Dari aspek estetik visual, penambahbaikan yang terperinci ke atas penampilan luaran meliputi gril-gril 'Noble' dan lubang-lubang (vents) pada sisi kenderaan. Sistem Terrain Response yang memenangi anugerah turut menampilkan dua penambahbaikan iaitu Hill Start Assist (HSA) dan Kawalan Pecutan Cerun (Gradient Acceleration Control, GAC). Maklumat lanjut mengenai Range Rover 4.4 LR-TDV8 turbodiesel 2011 yang baru, sila layari www.landrover.com.my. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan