Rabu, 4 Disember 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Video pendek solat pilihan juri

Posted:

Video pendek solat pilihan juri

Video pendek solat pilihan juri

MUHAMMAD SOLIHIN (dua dari kanan) memegang dua anugerah kemenangan produksi Solat Roh Ta'dib di FFVPM10.


SOLAT lima waktu sehari semalam yang menjadi tuntutan bagi setiap orang Islam mendorong tiga mahasiwa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) untuk menghasilkan sebuah video pesanan khidmat awam (PSA) bertajuk Solat Roh Ta'dib berkisar kepentingan dan adab dalam solat.

Lebih membanggakan, hasil karya gabungan tiga sahabat, Muhammad Solihin Baruddin, Muhd. Yassir Abd. Manaf dan Muhd. Azfar Abdullah masing-masing berusia 25 tahun itu, diiktiraf dalam majlis penganugerahan berprestij, Festival Filem & Video Pelajar Malaysia Ke-10 (FFVPM10) yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Bandar Baru Nilai baru-baru ini.

Kejayaan karya berkenaan dalam merebut dua anugerah utama iaitu Anugerah PSA Terbaik dalam kategori video berunsurkan Islam dan Anugerah Khas Juri sekali gus menepis 230 penyertaan mahasiswa seluruh institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara yang turut bersaing merebut keseluruhan 19 anugerah yang dipertandingkan pada festival itu.

Medium dakwah

Penerbit yang juga pengarah PSA, Muhammad Solihin Baruddin berkata, kejayaannya itu sekali gus membuktikan tema Islamik dan video berunsurkan dakwah semakin diterima dalam kalangan masyarakat sekali gus menyuntik semangat kepada mereka untuk berdakwah melalui pembikinan PSA dan filem pendek.

"Sewaktu diumumkan sebagai pemenang bagi kedua-dua anugerah sudah tentu saya terkejut kerana saingan dalam kategori ini terlalu sengit. Namun saya menganggap kemenangan ini sebagai rezeki daripada Yang Maha Esa dalam usaha memartabatkan agama Islam," ujarnya.


KRU produksi PSA Solat Roh Ta'dib turut bertindak sebagai pelakon dalam video mereka.


Menggunakan sebuah kamera model Canon 550D dengan modal kurang daripada RM80 dan memilih Bukit Broga, Semenyih, Selangor sebagai lokasi penggambaran, video berdurasi hampir dua minit itu mengetengahkan isu berkaitan kewajipan menunaikan solat tepat pada waktunya, selain adab dalam menunaikan tiang agama umat Islam itu.

"Solat adalah satu kewajipan yang dituntut oleh Allah kerana ia bukti ketaatan dan hubungan kita dengan Maha Pencipta. Sebab itulah, tajuk Solat Ta'dib dipilih kerana ta'dib itu bermaksud proses pembangunan hati.

"Solat itu perkara yang sangat mudah. Dalam video ini kami memaparkan dua remaja yang sedang mendaki bukit kemudian mendengar azan terus menunaikan solat. Pertama, kami cuba sampaikan bahawa solat itu wajib ditepati masanya, kedua solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan tempatnya bersih dan kita berada dalam keadaan suci," jelasnya yang menerima trofi bagi dua anugerah serta wang bernilai RM1,000 bagi setiap kategori.

Ini percubaan pertama ketiga-tiga penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Penyiaran, KUIS itu menyertai festival terssebut, atas dorongan Pensyarah Penerbitan Dokumentari, Mohd. Daly Daud yang menganggap ia kemenangan untuk semua mahasiswa dan tenaga kerja di KUIS.

Penanda aras

Mohd. Daly berkata, ia menjadi penanda aras bagi mahasiswa lain menghasilkan lebih banyak video dan filem pendek berunsurkan Islamik untuk dipertandingkan kerana hasil seni ini lebih dekat dan mudah diterima masyarakat.

"Dalam jangka masa panjang, KUIS diharapkan mampu melahirkan mahasiswa komunikasi yang berketerampilan sebagai penyumbang kepada karyawan penyiaran yang mempunyai fikrah Islam dan berkemahiran tinggi bersesuaian dengan motonya untuk melahirkan generasi ulamak dan umara," katanya.

Sementara itu, dua filem dokumentari Demi dan Sang Penyampai yang juga penyertaan sulung KUIS berjaya memberikan saingan hebat apabila turut tercalon bagi lima karya terbaik dalam kategori Skrip Dokumentari Terbaik, Pengarah Terbaik, Dokumentari Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Video Terbaik Keseluruhan.

Kolaborasi koreografi teater Kabuki

Posted:

Kolaborasi koreografi teater Kabuki

Kolaborasi koreografi teater Kabuki

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


ANTARA aksi koreografi tarian mak yong yang disesuaikan dengan pola lantai teater Kabuki.


WALAUPUN kali pertama dianjurkan, kombinasi koreografi penari-penari dari Jepun, Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia ternyata memukau perhatian penonton.

Dengan gerak langkah dan gerakan tangan secara serentak oleh 11 penari dari negara-negara itu, penonton dapat melihat perbezaan ketara koreografi dalam setiap tarian.

Apabila seekor raksasa dalam watak teater Jepun menyerang mereka, penari-penari itu menggunakan tarian tradisional masing-masing untuk mempertahankan diri. Hasilnya, raksasa itu kemudiannya mengalah.

Jalan cerita itu merupakan sedikit bingkisan kisah ketiga yang disampaikan dalam persembahan Mau: J-ASEAN Dance Collaboration yang berlangsung di Istana Budaya pada 22 dan 23 November lalu.

Gabung tarian

Menariknya mengenai persembahan teater tradisi Jepun yang dipanggil Kabuki itu, pihak penganjur, Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL) menggabungkan tarian dari Jepun, Nihon Buyo dengan negara-negara Asia Tenggara.

Teater Kabuki telah dipersembahkan lebih 400 tahun di Jepun. Mau: J-ASEAN Dance Collaboration diselangi dengan tarian tradisional dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.

Penari tarian Nihon Buyo, Fujima Aya memberitahu, persembahan itu merupakan perkongsian budaya terbaik antara Jepun dengan Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia.

"Saya bergiat aktif dalam tarian Nihon Buyo sejak berusia tiga tahun. Melalui persembahan ini, saya mengetahui gerakan lain yang tiada dalam tarian di Jepun. Ekspresi wajah dan gerak langkah penari-penari dari Asia Tenggara jelas menunjukkan mereka seperti memahami setiap alunan muzik teater kabuki.

"Tiada kesukaran untuk saya berkolaborasi dengan penari-penari negara lain sepanjang beraksi di pentas yang sama. Muzik dari teater Kabuki dan Nihon Buyou merupakan akar umbi persembahan ini. Ia merupakan kelebihan kepada saya berbanding penari lain," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

SARAH menggayakan elemen tarian tradisional dari Bali, Indonesia.


Sepanjang dua hari persembahan itu, seramai 1,200 penonton dalam dan luar negara hadir ke Istana Budaya untuk menyaksikan teater yang julung-julung kali diadakan.

Teater muzikal itu dipimpin oleh seorang ketua teater Kabuki, Fujima Kanjuro VIII yang juga seorang guru di Fujima School of Kabuki dalam bidang Nihon Buyo.

Set pertama dan kedua persembahan menceritakan mengenai kisah klasik Jepun yang memaparkan tarian Nihon Buyo. Set persembahan ketiga merupakan klimaks persembahan dengan menggabung kesemua tarian untuk berlawan dengan raksasa dalam teater kabuki.

Curi tumpuan

Zapin dan mak yong yang dipersembahkan oleh Syarikat Tarian Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) merupakan tarian dari Malaysia. Tarian Udara merupakan tarian tradisi yang dibawa oleh penari dari Filipina.

Tarian Bali dari Lembaga Kesenian Bali Saraswati, Indonesia dan Opera Li Yuan dari Singapura merupakan tarian yang mencuri tumpuan penonton sepanjang persembahan.

Penari dari Malaysia, Rabiatul Adawiyah Abdul Wahid, 25, bersama rakan-rakan Aswara yang terlibat telah diberi latihan intensif di Tokyo, Jepun sejak bulan Ogos lalu sebagai persediaan awal untuk persembahan itu.

"Setiap penari perlu menghadiri sesi pengenalan teater Kabuki. Sesi itu memberi idea kepada kami untuk menggabungkan tarian mak yong dan zapin ke dalam koreografi Nihon Buyo dan jalan cerita Kabuki.

"Pemilihan koreografi juga bebas. Kami perlu mencari gerak yang sesuai dengan tarian Jepun. Pada awalnya, kami agak gementar untuk mengekperimentasikan tarian tradisi ini. Dengan latihan intensif, kami berjaya melakukannya,"jelasnya.

Penganjuran persembahan itu juga sempena ulang tahun ke-40 persahabatan negara-negara Asia Tenggara dan Jepun di Malaysia. Mau: J-ASEAN Dance Collaboration turut mengadakan jelajah di Jakarta, Indonesia dan Manila, di Filipina sebelum mengadakan persembahan di Istana Budaya.

Sementara itu, penari Lembaga Kesenian Bali Saraswati, Indonesia, Sarah Puterianti Hakimdon, 23, berkongsi pendapat, persembahan tersebut berupaya merapatkan jurang dalam bidang kreatif antara negara Jepun dan negara Asia Tenggara.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved