Rabu, 4 Disember 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Kepuasan umpama terbang di awan

Posted:

Kepuasan umpama terbang di awan

Kepuasan umpama terbang di awan

BAK kata pepatah, kecil-kecil cili padi. Kelibat sekumpulan remaja di Taman Sukan Lasak Shah Alam, Seksyen 13, Shah Alam yang memaparkan keyakinan ketika beraksi dengan papan selaju masing-masing jelas menunjukkan minat mereka terhadap sukan ekstrem itu.

Berusia antara 10 hingga 14 tahun, wajah remaja mereka berubah serius apabila sibuk mencongak setiap strategi dalam mengemudi papan yang deras membelah angin itu.

Walaupun mengakui perasaan gementar ada kalanya menghantui fikiran mereka, namun bagi kumpulan itu, kepuasan ketika meluncur adalah satu perasaan yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Bagi mereka, ia umpama bebas bagai burung yang terbang.

Musim cuti sekolah membuka ruang bagi remaja-remaja ini mengasah kemahiran mereka, di samping berpeluang meluangkan masa bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama.

Bagi Shahreza Hamizan Hasnol Azhar, 12, gelanggang papan selaju di taman rekreasi berkenaan digunakan sepenuhnya untuk melepaskan gian selepas sibuk membuat persiapan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

"Kalau ikutkan hati saya, rasa seperti mahu tidur di sini sahaja. Keseronokan meluncur dan melompat di gelanggang-gelanggang berbeza membolehkan saya menghilangkan tekanan sebelum ini. Apabila pulang nanti, saya pasti tersenyum dan boleh mendengar arahan ibu bapa dengan lebih baik," selorohnya.

Sejak mula aktif dalam sukan berkenaan bulan lalu, Shahreza Hamizan berkata, keberanian adalah kunci utama untuk terlibat dalam sukan itu.

"Ketika meluncur saya tidak menghiraukan persekitaran atau sesiapa sahaja di sisi. Pada saat di atas papan selaju, fikiran saya tertumpu sepenuhnya terhadap pengawalan papan tersebut.


KEBERANIAN adalah aspek utama untuk menceburkan diri dalam sukan lasak papan selaju.


"Ramai dalam kalangan rakan-rakan saya masih baru dalam sukan ini dan kami sentiasa berpegang kepada pesanan peluncur senior yang mengingatkan kami untuk tidak teragak-agak ketika beraksi dan membuat keputusan dengan pantas.

"Oleh sebab itu, ramai yang berani melakukan aksi-aksi yang mengujakan," jelasnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Gerakan Ollie

Ketika asyik menyaksikan gelagat kumpulan remaja berkenaan, semua mata kemudian tertumpu kepada seorang remaja yang tergelincir daripada papan selajunya.

Mujur tiada kecederaan serius menimpa Wan Nor Syazanee Wan Hanafi, yang bingkas bangun dan menyambung aksinya.

Bagi remaja yang berusia 14 tahun itu, jatuh adalah perkara biasa dalam proses mengawal papan selaju dan ketika mempelajarigerakan-gerakan baharu.

Baru setahun menceburi sukan itu, katanya, gerakan asas yang perlu dikuasai ialah gerakan Ollie.

Ujarnya, gerakan tersebut ialah apabila peluncur dan papan selajunya melompat ke udara tanpa menggunakan tangan.

"Dalam sukan lasak ini terdapat lebih 1,000 gerakan yang sering dilakukan peluncur profesional. Orang baru seperti saya perlu menguasai gerakan Ollie sebelum mempelajari gerakan-gerakan lain yang lebih mencabar.

"Satu perkara yang menarik dalam sukan lasak ini adalah hubungan akrab antara peluncur senior dan junior. Mereka yang lebih berpengalaman akan mengajar kami sehingga berjaya," tuturnya.

Menurut Wan Nor Syazanee, pelbagai tanjakan dan halangan yang disediakan di taman sukan itu seperti fun box, curve dan spine yang bersesuaian dengan kemahiran peluncur turut menambahkan minatnya terhadap sukan tersebut.

ANTARA keseronokan bermain papan selaju ialah kebolehan melaksanakan gerakan yang sukar.


Kumpul duit

Bagai medan mengasah bakat, dapat dilihat setiap peluncur laju memacu papan luncur dengan pelbagai gaya tersendiri.

Namun dari jauh, kelihatan seorang remaja yang leka menyaksikan rakan-rakannya yang lain beraksi.

Sesekali wajahnya berkerut menimbulkan seribu tanda-tanya sama ada dia tidak berpuas hati atau teruja dengan kemahiran yang ditunjukkan peluncur-peluncur lain.

Apabila diberi peluang oleh rakannya untuk beraksi di gelanggang, ternyata gerakan Muhd. Fudail Mazlin, 12, tidak kurang hebatnya.

Mula jatuh cinta dengan sukan itu sejak sebulan lalu, Muhd. Fudail mengakui dia dalam proses untuk membeli peralatan sukan papan selaju dengan mengumpul duit perbelanjaan sekolah yang diberi ibu bapanya.

"Saya dalam proses untuk membeli peralatan sukan ini kerana ia memang mahal. Buat masa ini, cukuplah sekadar melepaskan minat dengan meminjam papan selaju rakan-rakan," katanya.

Bercerita mengenai harga, Muhd. Fudail berkata, berdasarkan tinjauannya, harga papan selaju sahaja adalah sekitar RM200 sebuah bagi jenama tempatan, manakala alatan lain seperti roda, pita antigerak papan luncur dan skru harus dibeli berasingan.

Namun demikian, Muhd. Fudail bernasib baik kerana ibu bapanya sudi membantu dalam mencapai matlamatnya itu.

"Saya hanya mengumpul duit perbelanjaan sekolah sebanyak RM4 sehari. Bagaimanapun saya bersyukur ibu berjanji untuk menampung kos selebihnya.

"Mereka menyokong minat saya apabila berpendapat bahawa adalah lebih baik saya berada di sini daripada melakukan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah. Selain itu, ia juga satu bentuk aktiviti yang menyihatkan," jelasnya.


MUSIM cuti sekolah merupakan masa yang sesuai bagi peminat sukan papan selaju mengasah kemahiran mereka.


Latihan

Apabila ditanya, kebanyakan penggemar sukan itu menghabiskan masa berjam-jam di taman sukan lasak itu. Malah, ada yang mencecah lapan jam.

Ilham Fahmi, 13, yang menetap di Sungai Buloh berkata, ibu bapanya faham bahawa musim cuti sekolah adalah waktu untuknya bermain papan selaju.

"Bukan tidak mahu meluangkan masa bersama keluarga atau membelakangi mereka, tetapi cuti adalah waktu senggang kami. Rata-rata remaja dan kanak-kanak yang hadir di sini mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka terlebih dahulu.

"Saya menghabiskan banyak masa di sini untuk berlatih dalam mengawal papan selaju serta mempelajari gerakan-gerakan baharu," katanya sambil memaklumkan kemahiran pengawalan papan selaju bergantung kepada latihan yang konsisten.

Menurut anak muda ini, sukan papan selaju dilihat sebagai satu hobi yang mengujakan.

"Ramai yang bertanya, mengapa kami suka melakukan aksi ini walaupun ia berbahaya? Jawapan saya, kepada mereka hanya satu, cubalah sendiri," ujarnya.

Teruja memeluk kanggaru di Perth

Posted:

Teruja memeluk kanggaru di Perth

Teruja memeluk kanggaru di Perth


KETERUJAAN ketika bermain dengan kanggaru antara momen yang dinantikan Siti Badariah dan keluarga.


Percutian kami sekeluarga ke Perth, Australia pada Ogos lalu meninggalkan kenangan yang cukup bermakna.

Ini kerana sejak mendirikan rumah tangga lima tahun lalu, inilah kali pertama saya dan suami, Irwan Hazree Idris, 33, melancong dengan disertai puteri sulung kami, Ariesya Zahra, 4.

Saya bersama suami sudah beberapa kali membatalkan percutian kami disebabkan faktor masa dan kesibukan kerjaya.

Sepanjang percutian selama 10 hari itu kami menginap di rumah kenalan yang terletak dekat Universiti Australia Barat. Kami memilih untuk menginap di rumah itu kerana ia berdekatan dengan beberapa lokasi tumpuan percutian kami.

Pada hari kedua, kami menjelajah ke tempat-tempat menarik di Perth dengan pengangkutan awam.

Zoo Perth menjadi destinasi pertama. Keadaan zoo tersebut tidak jauh bezanya dengan zoo di Malaysia kerana kebanyakan haiwan adalah sama kecuali tasmania, penguin dan koala.

Saya juga begitu teruja kerana berpeluang menyaksikan penguin kerana haiwan itu kelihatan sangat comel.

Harga tiket yang dikenakan bagi orang dewasa ialah AUD20.50 (RM62) manakala kanak-kanak masuk percuma.

Seharian selepas mengembara di zoo, kami hanya berjalan di kawasan berhampiran tempat penginapan.


RESTORAN Cicerello perlu dilawati oleh setiap pelancong yang menggemari sajian berasaskan ikan.


Walaupun lokasi tempat tinggal kami berdekatan dengan restoran yang menjadi tumpuan masyarakat setempat, namun kami memilih untuk memasak di rumah.

Apa yang mengejutkan, walaupun terdapat banyak restoran di kawasan tersebut tiada satu pun yang beroperasi selama 24 jam termasuk restoran makanan segera popular.

Kami difahamkan, kebanyakan premis di Australia beroperasi seawal pukul 7 pagi dan ditutup sekitar pukul 5 petang.

Kami meneruskan pengembaraan ke lokasi yang dilabel sebagai syurga kepada wanita iaitu Fremantle. Terdapat dua lokasi membeli-belah yang berbeza di situ iaitu Pasar E-Shed dan Pasar Fremantle.

Kami membeli cenderamata seperti kemeja-T dan rantai kunci sebagai buah tangan kepada sahabat handai, kenalan dan keluarga. untuk kenalan rapat di pejabat serta ahli keluarga.

Di Pasar Fremantle, kami disajikan dengan pelbagai aktiviti kesenian masyarakat setempat.

Hari kelima kami bergerak ke Cavershaw Wild Life, lokasi yang dinanti-nantikan Ariesya. Perjalanan ke sana mengambil masa selama 45 minit. Harga tiket untuk masuk ke Wild Life ialah RM60 bagi dewasa dan percuma untuk kanak-kanak. Di sini, saya tidak sabar untuk menyentuh koala yang berbulu lembut.

Kami kemudian dibawa ke ladang kambing biri-biri untuk melihat proses mengetam bulu biri-biri. Berbeza dengan biri-biri di Malaysia, biri-biri di Australia sangat gebu dan bulunya lembut bagaikan kapas.

Selepas itu, kami diberi peluang merasai mengetam bulu biri-biri, namun perkara yang mengujakan kami ialah memerah susu biri-biri itu.

Keterujaan saya semakin memuncak apabila kami dibawa ke kandang kanggaru.

Apabila berada di kandang kanggaru, segala keterujaan itu hilang serta-merta apabila melihat saiz kanggaru yang begitu besar.

Lambakan tulip

Apatah lagi saat terbayang seloroh rakan-rakan di Malaysia bahawa kanggaru mahir bertinju. Namun, disebabkan anak yang mahu bergambar bersama kanggaru, saya memberanikan diri mendekati haiwan tersebut.

Selepas puas bermain dengan kanggaru dan memberi haiwan itu makan, kami pulang dan singgah sebentar di restoran Cicerello di kawasan Fremantle, barat Perth yang dikatakan mempunyai hidangan berasaskan ikan terbaik di Australia.


KOALA antara hidupan yang menjadi tarikan utama di Australia.


Harga yang ditawarkan juga berpatutan iaitu sekitar RM45 berdasarkan set dan hidangan yang dipilih. Apatah lagi peluang menikmati juadah di dalam sebuah restoran seakan-akan bot pelayaran itu tidak harus dilepaskan.

Menjelang hari-hari terakhir kami di Australia, saya memilih untuk pergi ke lokasi yang berasaskan alam sekitar.

Yakin dengan pilihan yang kami lakukan, seawal pagi kami bergerak ke Taman Botanik Araluen. Suasana sejuk bagaikan tidak terasa apabila melihat lambakan bunga tulip yang mekar dengan warna-warna yang menarik. Selain itu, bau-bauan bunga yang harum juga menyerlahkan suasana indah di kawasan tersebut.

Kepada pengunjung yang mungkin keletihan, pihak pengurusan menyediakan kereta api kecil sebagai kemudahan untuk melihat kawasan sekitar. Namun, pada pandangan penulis, dengan berjalan kaki pengunjung dapat menikmati suasana segar dan nyaman di taman itu berbanding menaiki kereta api.

Jika diikutkan hati, masih banyak pengalaman dan destinasi menarik yang ingin dikongsi. Namun cukuplah sekadar di sini kami berkongsi memori terindah kami sekeluarga sepanjang berada di Perth.

Masjid tanah liat Djenne

Posted:

Masjid tanah liat Djenne

Masjid tanah liat Djenne


MASJID besar Djenne menjadi kebanggaan masyarakat Islam di Afrika.


DJENNE yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1988 menyimpan sebuah mercu tanda yang menjadi lambang penyebaran dan penerimaan agama Islam dalam masyarakat Mali yang terletak di kawasan Afrika Barat.

Masjid Besar Djenne yang dibina pada tahun 1907 itu asalnya sebuah tapak istana. Ia menjadi satu-satunya monumen ibadat yang dibina daripada tanah liat dengan konsep Ferey iaitu mengeringkan sumber bahan binaan di bawah matahari.

Masjid yang dibina di atas pelantar tinggi dengan keluasan permukaan 0.56 hektar kelihatan seperti berada di sebuah pulau bagi menjaga keadaan masjid daripada dihakis banjir selain meningkatkan pengaliran udara.

Walaupun daripada pandangan mata kasar masjid berkenaan kelihatan panas, keadaan di dalam masjid itu sebenarnya dingin dan menenangkan.

Teori membina masjid dengan kedudukan yang lebih tinggi seakan-akan sebuah kawasan pulau diilhamkan oleh Ismaila Traore yang merupakan kumpulan tukang batu Djenne.

Berdiri sebagai sebuah lambang keagungan masyarakat Islam di Mali, masjid itu merangkumi tiga menara besar dengan bentuk segi empat seperti kota yang menjulur dari dinding utama. Ia turut disokong 18 tiang dan setiap menara mempunyai tangga berputar ke arah atap.


MASJID Djenne asalnya tapak sebuah istana.


Bukaan kubah

Dewan solat masjid berkenaan dibina menghadap ke Mekah. Sebahagian masjid ditutupi atap manakala sebahagian yang lain dibiarkan terbuka seperti laman.

Atap masjid disokong oleh 90 tiang yang merentasi bahagian dalam dewan solat. Liang pada atap ditutup dengan penutup seramik apabila dialihkan ia membenarkan udara panas keluar dari masjid.

Setiap dinding mempunyai bukaan berkubah setinggi 15 meter bagi membenarkan pelawat dan jemaah untuk keluar masuk dari masjid.

Kewujudan masjid berkenaan menarik perhatian ramai pelancong sama ada pakar atau individu yang mahu menyaksikan sendiri keunikan seni bina masyarakat Djenne. Bagaimanapun, kerajaan Mali menetapkan hanya penganut agama Islam yang dibenarkan melawat ruang masjid itu secara lebih dekat atas faktor menjaga kesucian.

Berhadapan dengan masalah banjir besar bermula pada bulan Julai hingga akhir Oktober setiap tahun, masjid berkenaan tetap mengalami kerosakan malah tanah liatnya perlu ditambah saban tahun.

Sehubungan itu, satu festival akan diadakan setiap tahun untuk memulihkan masjid berkenaan. Hampir 4,000 penduduk di sekitar Mali dan bandar Djenne akan bergotong-royong untuk membaiki masjid itu.

Setiap lohong dan keretakan pada masjid akan ditampung dengan tanah liat yang baharu. Lazimnya, festival tersebut berlangsung seharian dengan menyediakan pelbagai makanan untuk para sukarelawan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved