Rabu, 9 Oktober 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Faizal, pasca FFM dan Longkai

Posted:

Faizal, pasca FFM dan Longkai

Faizal, pasca FFM dan Longkai

SEPERTIMANA janjinya usai meraih kemenangan dalam Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25), Faizal Hussein kini sedang melunaskan kata-katanya.

Terbaharu, bapa kepada dua cahaya mata itu bakal tampil sekali lagi di pawagam bersama buah tangan terbaharu di bawah Metrowealth berjudul Longkai.

Isi padu kata-kata Faizal seolah- olah mahu menyatakan pilihannya untuk membintangi filem Longkai bukan silap percaturan.

"Longkai banyak bermain perasaan. Walaupun nampak watak saya sebagai Bada itu kasar, ganas dan banyak aksi tetapi pada masa sama turut beremosi. Kerana itulah saya menyahut tawaran ini," kata Faizal yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Longkai di Cineleisure e@Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menambah usulnya, Faizal memberitahu, setelah lebih 40 tahun bergelumang dalam dunia seni, baru kali ini dia digandingkan bersama Erra Fazira sebagai tunjang utama filem.

"Daripada filem Bunohan, saya mula mengkaji apa lagi yang peminat mahukan daripada Faizal Hussein. Ini kerana dalam filem itu mereka sebenarnya mahu melihat saya beraksi lebih kerap.

"Kerana itu dalam Longkai, saya memainkan peranan hero yang ganas, kurang bercakap, penuh adegan aksi dan perlu bercinta. Siapa yang tidak mahu digandingkan dengan Erra Fazira? Setelah sekian lama akhirnya kami disatukan sebagai pasangan.

"Erra seorang pelakon yang profesional. Apabila sampai di set penggambaran dia sudah pun siap solekan, hafal semua dialognya dan untuk membina hubungan pun tiada masalah.

"Jujur saya cakap, Erra seorang pelakon yang matang," ujarnya yang turut bergandingan dengan pelakon baharu, Niezam Zaidi dalam Longkai.


BABAK cemas filem Longkai membabitkan Faizal Hussein dan Zul Suphiaan.


Watak wanita

Selain itu, kata Faizal, Longkai dibikin khas untuk melihatnya beraksi di layar perak, namun pada masa sama cuba mencari prospek untuk mengimbangi hero lama dan baharu.

"Cara ini saya lihat satu langkah sihat untuk menarik golongan muda kerana tidak semata-mata bercerita tentang diri saya.

"Bekerja dengan pelakon baharu pula tiada masalah bagi saya. Sepan- jang penggambaran saya akan memaksa Niezam Zaidi untuk duduk bersama saya sepanjang masa untuk membina hubungan sebagai adik- beradik," tambah Faizal.

Ditanya kepuasan Faizal beraksi di layar perak atau layar kaca sepanjang tempoh kariernya, apa lagi yang Faizal mahukan selepas ini?

"Saya teringin untuk melakonkan watak wanita! Pernah dahulu saya ditawarkan untuk berlakon watak sebegitu tapi sekadar watak tambahan dan lelaki lembut sahaja.

"Maka, saya ketepikan dulu. Saya simpan niat ini untuk menantikan tawaran sebagai watak utama dan Alhamdulillah saya sudah ditawarkan peluang ini untuk sebuah super telefilem yang akan memulakan penggambaran pada bulan April tahun 2014.

"Menerusi naskhah itu saya akan berlakon sebagai seorang penari hadrah yang popular di negeri Perlis.

"Pada sebelah malam saya akan menjadi wanita dan siang hari akan menjadi lelaki lembut," katanya yang mencabar dirinya untuk melakonkan watak-watak sukar selepas kejayaan filem Bunohan.

Ditanya kenapa memilih untuk melakonkan watak wanita, jawab Faizal berseloroh: "Saya rasa saya kurus dan mesti akan jadi perempuan lawa kalau disolek."

Go with flow

Perjalanan karier anak bongsu pasangan pelakon legenda Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail itu tidak pernah direncanakan langkah demi langkah.

Kata Faizal, kejayaan atau pemilihan watak kini dan selepas ini mengikut aturan Allah dan prinsip azali sebagai seorang manusia yang mahukan sesuatu yang berbeza dalam hidup.

"Saya ikut aliran dan tidak berusaha untuk mencapai apa-apa tapi hanya berpandu pada ketentuan yang sudah Allah tetapkan dan Alhamdulillah ia berlaku sebaik mungkin.

"Dari segi watak untuk berjaya, saya tidak pernah menetapkan untuk menjadi sebegitu atau sebegini," getusnya.

DIRA ABU ZAHAR memantapkan lagi daya lakonan filem Longkai.


Bagaimanapun, kata suami kepada pelakon Suhaila Sulaiman itu, usai kemenangannya pada FFM25, rezekinya dalam dunia seni kian bercambah.

"Saya bersyukur atas kemenangan itu yang telah mengubah banyak susun atur hidup saya dalam dunia seni. Tawaran yang datang lebih banyak dan berlakon watak-watak yang sudah lama saya idamkan, masanya sudah tiba," tambah Faizal.

Atas dasar itu juga, Faizal enggan dirinya dimanipulasi atas ketamakan untuk cemerlang dalam semua bidang.

"Saya mencuba untuk elakkan menjadi yang terbaik dalam semua bidang dan cukuplah sekadar menjadi pelakon yang berjaya dan hanya berlakon, bukannya mengarah atau menerbit.

"Saya takut apabila saya terjun ke bidang lain, ia tidak mampu bertahan lama. Saya tidak mahu tamak dalam semua bidang kerana saya mengejar peningkatan.

"Apa guna jadi produser kalau berlakon pun masih terhuyung-hayang? Saya tidak malu untuk mengaku usia saya kini sudah 46 tahun dan saya mahu buktikan pada peringkat ini saya mampu menjadi seorang hero," simpul kata Faizal kemas.

Tunggu Jumaat ini! - Ariel Zafrel

Posted:

Tunggu Jumaat ini! - Ariel Zafrel

Tunggu Jumaat ini! - Ariel Zafrel

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


AERIL (kiri) dan Zulhasmi (tengah) dikerumuni pihak media yang mahu mendapatkan pengesahan mengenai status dirinya dengan Wawa Zainal yang didakwa telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki.


KONTROVERSI mengenai dua pelakon muda, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang didakwa telah berkahwin secara rahsia dan mempunyai cahaya mata merupakan cerita panas yang kini sedang meniti di bibir masyarakat.

Mengikut kronologinya, Aeril, 26, mahupun Wawa, 22, telah menafi- kan kepada Kosmo! spekulasi bahawa mereka sudah berkahwin, menerusi artikel yang disiarkan pada 24 September lepas.

Isu menjadi semakin panas apabil muncul sebuah artikel yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan pada Ahad lepas.

Artikel itu melaporkan bahawa Aeril dan Wawa dipercayai sudah bernikah pada 4 Februari lalu sebelum dikurniakan anak sulung pada 24 Ogos lalu.

Ekoran itu, Aeril mahupun Wawa mengambil langkah berdiam diri daripada memberi sebarang kenyataan.

Namun semalam, Aeril telah diserbu oleh pihak media di lokasi drama Cinta Mat Semperit di Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengesahan tentang isu tersebut.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Aeril serta peguamnya, Zulhasmi Zakaria dan pengurusnya, Shahriman Wahab.

Kosmo!: Minggu lalu kecoh di internet yang mengatakan Aeril sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Ada pihak yang mendakwa mempunyai bukti bahawa Aeril dan Wawa sebenarnya memang benar-benar berkahwin. Boleh komen?

AERIL: Saya rasa buat masa sekarang ini, saya tidak dapat memberi sebarang komen tentang diri saya kerana hari ini kehadiran saya adalah untuk membuat promosi terhadap telefilem lakonan saya ini, Cinta Mat Semperit. Agak kurang enak bagi saya jika saya bercerita lebih tentang hal peribadi berbanding mempromosi telefilem.

Bagaimanapun, saya akan membuat satu sidang akhbar pada hari Jumaat ini. Di mana lokasi dan masa akan saya umumkan kelak.

Saya akan luahkan semua dan Wawa Zainal juga turut berada di sana. Ini kerana saya tidak mahu beri kenyataan banyak kali, jadi di sidang akhbar tersebut, saya akan jawab persoalan kalian semua.

Adakah Aeril telah bersedia menghadapi risiko untuk tampilkan bukti di hadapan pihak media?

Insya-Allah, saya rasa setakat ini saya sudah bersedia dengan jawapan kepada semua persoalan yang akan diajukan kelak.

Ketika kontroversi tersebut muncul dalam artikel di sebuah akhbar pada hari Ahad lepas, kenapa Aeril tidak membalas panggilan telefon mahupun khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar? Adakah anda sengaja melarikan diri?

Mengapa saya perlu lari. Istilah melarikan diri tidak pernah wujud dalam diri saya kerana saya sedia maklum status saya sebagai selebriti. Walau bagaimana saya sembunyi sekalipun kelak akan menjadi tanda tanya semua orang. Ada sebab mengapa saya mendiamkan diri.

Apabila berdiam diri, ramai yang mempunyai persepsi terhadap diri anda, adakah perkara tersebut benar mahupun tidak?

ZULHASMI: Bagi kes ini, Aeril sudah serahkan kepada saya untuk mengkaji kes ini secara keseluruhannya. Saya risau apa yang dicakap kelak akan menjadi prejudis terhadap kes ini.

Kenapa Aeril mengambil tindakan mahkamah, tidakkah ia terlalu rumit kelak?

AERIL: Itu semua akan terjawab pada Jumaat nanti.

AERIL menafikan menggunakan sentimen agama bagi menangani kontroversi yang sedang dialaminya saat ini.


Dalam Twitter anda telah mengatakan, senjata telah digunakan untuk menjatuhkan Ariel. Apakah maksudnya?

Jika kepada sesiapa yang ikuti Twitter saya, ayat-ayat saya biasanya memerlukan seseorang itu berfikir. Saya tidak gunakan ayat yang semua orang faham dan ia punya makna tersirat.

Ariel tidak ingin memberi kenyataan kepada media, namun status Twitter anda seolah- olah memberi kenyataan dari situ. Boleh komen?

Bagi saya, biarlah ia menjadi tanda tanya kerana tidak guna saya selalu sangat meluahkan isi hati saya. Biarlah ada sesi khas untuk saya jawab semua persoalan yang ingin diberi kepada saya.

Adakah tindakan undang-undang telah diambil atau masih dalam proses?

ZULHASMI: Belum lagi kerana saya sedang mengkaji kes ini.

Jika kerana ingin promosi telefilem, apakah keperluan untuk membawa peguam bersama Aeril?

AERIL: Saya telah tahu daripada pihak produksi mengatakan ada media yang hadir dan selain itu juga, peguam saya ingin berbincang tentang kes ini. Selepas kes itu, peguam saya memang selalu bersama.

Adakah ia sebagai langkah berhati-hati?

Ya.

Tindakan undang-undang itu untuk siapa dan kenapa?

Itu belum boleh didedahkan lagi.

Adakah Ariel rasa ada pihak yang ingin menjatuhkan anda?

Jatuh bangun manusia semua di tangan Allah dan begitu juga diri saya. Jadi, saya harap kalian semua menghormati promosi saya mengenai telefilem ini.

Adakah Aeril sedar semua perkara ini berpunca daripada diri anda kerana tidak berterus terang tentang perkara ini?

Oleh kerana itulah saya ingin lakukan sidang akhbar (pada Jumaat ini). Bagi saya, sebarang cerita buruk tentang diri saya, itu antara dia dan Tuhan. Jika saya ingin tutup mulut semua orang untuk tidak bercakap tentang saya, itu memang perkara yang mustahil. Terpulang kepada sesiapa yang ingin bercakap tentang saya kerana kelak kebenaran pasti terjawab.

Adakah pada sidang akhbar tersebut kelak, segala persoalan akan dijawab. Atau mungkin pihak media masih akan mendapat jawapan yang tidak pasti?

Memang ia hari untuk diri saya dan Wawa menjawab persoalan kalian semua.

Aeril seperti menggunakan agama untuk melarikan diri daripada disabitkan dengan perkara yang terjadi?

Saya tidak pernah menggunakan istilah agama untuk mempertahankan diri saya daripada perkara ini. Itu memang cara saya bercakap. Begitu juga jika saya bersembang dengan rakan-rakan .


TERSIRAT di sebalik yang tersirat. Wajah-wajah Aeril yang dirakam ketika dia diserbu pihak media di lokasi penggambaran telefilem Cinta Mat Semperit di Ampang, Selangor semalam.


Apabila dituduh tentang sesuatu perkara yang kita lakukan, maka secara semula jadi kita akan menafikan mahupun mengiyakan perkara tersebut. Namun, antara salah satu jawapan tersebut tidak pernah terpacul dari mulut anda. Boleh komen?

Saya akan jawab persoalan tersebut pada Jumaat kelak. Saya sendiri masih dalam keadaan terkejut kerana tidak pernah dikerumuni pihak media seramai ini. Berdiam diri tidak bermakna ia benar atau salah. Saya rasa biarlah saya tenang dan justeru dapat menjawab segala persoalan yang diberi.

Saya juga punya hak untuk berdiam diri. Kelak hari Jumaat, biarlah Wawa juga terangkan tentang dirinya.

ZULHASMI: Kami akan bentangkan kesemuanya pada Jumaat kelak.

Adakah Aeril berjumpa Wawa dan berbincang dengannya tentang kontroversi ini?

AERIL: Dia ada menelefon saya dan beritahu saya ketika cerita ini keluar.

Mengapa Aeril tidak berterus terang dan ceritakan kesemuanya awal-awal. Mengapa perlu menunggu Wawa jika perkara ini tidak benar. Mengapa perlu tunggu lama?

Sidang akhbar tersebut akan direkod untuk kegunaan mahkamah. Oleh kerana itu sidang akhbar diadakan di tempat khas kelak. Apa yang datang dari mulut seseorang itu, akan dijadikan bahan bukti.

SHAHRIMAN: Kami cabar kepada pihak berkenaan, sesiapa yang punya bukti dokumen atau sebagainya pada hari tersebut, sila bawa. Bukan mencabar Aeril tidak bersalah. Ada pihak yang menyusun strategi untuk menjatuhkan mereka.

Hujan nafi bermasalah, bersiap sedia ke DFP

Posted:

Hujan nafi bermasalah, bersiap sedia ke DFP

Hujan nafi bermasalah, bersiap sedia ke DFP

Oleh HARYATI KARIM


SELAKU ketua, Noh menafikan yang Hujan sedang bergolak dengan isu dalaman.


BAND Hujan tidak pernah kering daripada kontroversi. Terbaharu dalam ruangan pojok sebuah akhbar mingguan, band popular itu dikatakan sedang dilanda masalah dalaman.

Benar atau tidak, hanya anggota kumpulan itu yang terdiri daripada Noh (vokal), Dimas (keyboard), AG Coco (gitar), Izzat Uzaini (bass) dan Ambobzeela (dram) mampu menjawabnya.

Noh yang kini menubuhkan band baharu yang diberi nama Da Vagabons menafikan Hujan sedang dilanda ribut. Meskipun masing-masing mempunyai projek sampingan, kembara Hujan masih berjalan seperti biasa.

"Saya tidak tahu nak beri komen apa sebab kami memang tidak ada masalah seperti yang dikatakan. Kalau saya ada masalah, kenapa kami masih ada persembahan pentas bersama," kata Noh ketika dihubungi.

Tegasnya, sebagai pemuzik bukan satu perkara baharu untuk setiap anggota kumpulan melibatkan diri dengan projek berasingan daripada band yang asal.

"Bukan saya seorang sahaja yang ada projek sampingan, semua orang pun ada. Cuma apabila kami berkumpul sebagai Hujan, kreativiti yang dikeluarkan secara berlima.

"Kami berlima mempunyai ciri yang tersendiri sebab itu bila dengar muzik Hujan kadangkala seperti lagu balada dan ada kalanya rock," jelasnya.

Tambahnya, sesuatu yang mengarut apabila cerita band Hujan bermasalah disebarkan, walhal mereka merupakan band rock pertama yang akan menggegarkan Dewan Filharmonik Petronas pada 2 Disember depan.


HUJAN akan menjadi band rock pertama yang diundang beraksi di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas pada 2 Disember depan.


"Kalau kami bermasalah, kami tidak akan mengadakan persembahan yang bagi saya cukup besar di sebuah tempat yang amat berprestij.

"Tidak lama lagi kami akan mula mengadakan latihan untuk konsert. Apa yang saya boleh katakan, konsert ini merupakan acara terbesar untuk Hujan tahun ini. Harap peminat semua akan turun padang memberi sokongan," katanya.

Seorang lagi anggota Hujan, AG Coco juga menafikan kumpulan mereka sedang dilanda masalah. Bagaimanapun, dia tidak menafikan anggota Hujan kini sudah jarang bertemu kerana terikat dengan komitmen masing-masing.

"Kami tidak ada masalah, masih bersama apabila ada persembahan. Cuma sekarang, Dimas pulang ke Indonesia untuk menguruskan syarikatnya di sana.

"Noh sibuk dengan band baharunya, jadi kami beri ruang kepadanya berekspresi diri bersama Da Vagabons. Saya pula sibuk dengan penerbitan album beberapa orang penyanyi. Sebab itu, kami jarang berjumpa tetapi itu bukan bermakna kami ada masalah, cuma terlalu sibuk," akuinya.

Beritahu AG, dalam bulan ini, Hujan akan memulakan produksi untuk album terbaharu mereka yang berkonsep akustik jazz atas permintaan peminat.

"Bulan ini akan mula sibuk dengan album baharu, kemudian kami akan mula dengan latihan konsert di Dewan Filharmonik Petronas yang akan diadakan pada Disember depan.

"Kesibukan kerja kami membuatkan kami tidak ada ruang bertemu tetapi Hujan masih dan akan terus bersatu sebagai sebuah band," terang AG.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved