Rabu, 9 Oktober 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Tarikan kereta antik

Posted:

Tarikan kereta antik

Tarikan kereta antik

Oleh ADLAN JAAFAR


PERTANDINGAN kereta antik dinilai dari segi pemuliharaan dan penjagaan.


CAHAYA matahari yang memancar sekitar pukul 11 hingga 2 petang pada hari minggu lalu tidak sedikitpun mengurangkan minat orang ramai untuk melihat kereta-kereta klasik di hadapan bangunan Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Para pengunjung yang hadir terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan masyarakat dengan beraneka raut wajah termasuk ras kaukasia selain kaum lain di Malaysia.

Mereka berpusu-pusu di Pertandingan Antarabangsa kereta Vintaj dan Klasik Malaysia Ke-4 sempena Asia Klasika - Festival Automobil Bersejarah 2013, sebuah acara selama tiga hari menggabungkan pelbagai aktiviti.

Pertandingan-pertandingan sebegitu dikenali sebagai Concours d'Elegance (pertandingan elegan) dalam bahasa Perancis yang membawa maksud perhimpunan kereta-kereta berprestij tinggi.

Ia bermula pada abad ke-17 apabila para aristokrat Perancis memperagakan kereta-kereta kuda di taman-taman di Paris ketika musim panas.

Seiring perkembangan teknologi, pemilik-pemilik kereta diadili pada penampilan automobil masing-masing. Selalunya ia diadakan di pameran automobil atau selepas perlumbaan.

Rata-rata pengunjung yang datang terpesona dengan reka bentuk luaran kereta yang sangat jarang ditemui selain ia masih berfungsi dengan baik.

Rasa itu tampak jelas apabila mereka merakam foto-foto pada setiap perincian seperti plat, tayar dan hud depan.

Tambah mengujakan pengunjung apabila maklumat setiap model kereta dipaparkan seperti tarikh dikeluarkan, bilangan yang dibuat dan yang masih ada sehingga kini serta sejarah melatarinya.

Ia bukan sahaja menarik kedatangan pengunjung tempatan malah para peminat kereta antik dari China dan Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Historic Motoring Ventures (M) Sdn. Bhd., Andrew Suresh berkata, sebelum pertandingan itu dianjurkan bermula pada tahun 2011, suasana pertandingan kereta antik diadakan pada peringkat kelab sahaja.


KEUNIKAN kereta, Cadillac Eldorado 1950-an ini mampu menarik perhatian orang ramai untuk mengenalinya dengan lebih dekat.


"Jika kelab A mengadakan pertandingan, ahli-ahli dari kelab B tidak akan masuk bertanding, begitu juga sebaliknya," ujar Suresh ketika ditemui di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum pertandingan diadakan.

Dalam syarat-syarat keahlian sesebuah kelab, ahli hanya boleh menyertai pertandingan yang diadakan oleh kelab yang disertai. Namun, Asia Klasika merupakan yang pertama dan satu-satunya di Malaysia yang membolehkan semua pemilik kereta antik menyertainya.

Syarat-syarat penyertaan

Ia turut menarik penyertaan dari Thailand dan Singapura.

Kata Suresh, pihaknya menguar-uarkan acara itu menggunakan laman web dan Facebook.

"Selain itu, kami juga mempunyai hubungan dengan badan-badan permotoran luar negara seperti dari Hong Kong, Australia, India, Sri Lanka dan Eropah," terangnya lagi.

Syarat-syarat penyertaan ialah kereta antik mestilah berusia 25 tahun atau lebih dan bersifat kolektibel iaitu jarang didapati, mempunyai daya penarik serta ramai peminat.

Sebagai contoh, kereta model Datsun 120Y mempunyai bilangan yang banyak di dunia walaupun kebanyakan yang ada di jalan raya sudahpun menjangkau usia tua.

Namun, bilangan kereta tersebut yang banyak dan mudah didapati, maka ia lebih dikenal sebagai kereta lama dan bukan kereta antik.

Pada hari pertandingan itu, terdapat komuniti hakim seramai 21 orang yang menilai setiap kereta antik, mereka terdiri daripada golongan profesional dan mahir dalam bidang masing-masing.

Antaranya, kemahiran menentukan tahap sesebuah kereta klasik dan mempunyai pengalaman yang luas dalam kerja-kerja pemuliharaan kereta.

"Kriteria dalam penghakiman pula dilihat pada keadaan kereta yang standard sepertimana ia mula dikeluarkan," jelas Suresh.

Kriteria lain yang dilihat dan amat penting dalam penjagaan serta pemuliharaan kereta antik adalah pada bahagian alat ganti selain kerja-kerja mekanik.

Ujar Suresh, banyak alat ganti kereta tersebut diimport dari luar negara kerana tidak ada dalam pasaran Malaysia selain kekurangan mekanik mahir.

"Membaiki kereta antik memerlukan masa antara enam bulan hingga dua tahun. Bayaran untuk kerja-kerja membaiki kereta selalunya dibayar selepas kerja siap, maka ia memberi kesan kepada minat pekerja mahir dalam bidang ini, " ungkapnya.


ZUL bersama kereta antiknya, Chevrolet Corvette C1 1961 yang menyertai pertandingan pada tahun ini.


Dalam pertandingan sebegitu, setiap kereta akan disaring terlebih dulu menerusi borang penyertaan serta foto yang dihantar oleh peserta.

Pihak penghakiman membuat penilaian sebelum memilih kereta-kereta yang layak dipertandingkan pada hari acara berlangsung.

Hobi

Dalam pada itu, seorang peserta yang dikenali sebagai Zul Omar telah membawa tiga buah kereta antik miliknya untuk dipertandingkan.

Kereta-kereta itu ialah Jaguar E Type 1974, Chevrolet Corvette C1 1961 dan yang paling disukainya, Ford Thunderbird 1956. Kesemua kereta itu merupakan sebahagian daripada lima buah kereta yang dimilikinya.

Kereta Ford Thunderbird 1956 berwarna hijau mempunyai saiz kebuk pembakaran (CC) sebesar 5,100 dan model yang sama pernah digunakan oleh ramai artis Hollywood terkenal seperti Marilyn Monroe, Elvis Presley dan Suzanne Somers.

"Tahun keluaran kereta ini juga sama dengan tahun kelahiran saya," katanya yang merupakan antara sebab kereta tersebut paling disayanginya.

Bermula sebagai hobi, beliau kemudiannya serius menjaga dan memulihara kereta antik supaya berada dalam keadaan baik. Kegemarannya itu turut dikongsi ahli keluarga lain.

Hampir keseluruhan barang-barang ganti kereta diimport dari Amerika Syarikat dan United Kingdom disebabkan terlalu susah mencari alat ganti di sini.

Nilai keseluruhan untuk kelima-lima kereta yang dimilikinya ialah kira-kira RM1 juta.

"Paling penting, saya mahu menggalakkan orang ramai mengenali, menghargai dan mengetahui sebab kereta-kereta vintaj berharga mahal," katanya.

Zul juga pernah memiliki kereta Alvis 1939 yang sebelum itu menjadi kepunyaan Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddin, namun telah dijualnya.

Beliau juga pernah menyertai pertandingan-pertandingan kereta klasik di luar negara seperti di Amerika Syarikat dan Australia.

Kesempatan menyertai pertandingan di luar negara turut dijadikan percutian untuk seisi keluarganya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved