Rabu, 9 Oktober 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Bekerja sebagai satu ibadah

Posted:

Bekerja sebagai satu ibadah

Bekerja sebagai satu ibadah

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


PESERTA kursus yang terdiri daripada pekerja organisasi swasta dan kerajaan tekun mendengar ceramah dan taklimat mengenai panduan bekerja dengan hati dan akal di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PENGLIBATAN Juraiman Rahim dalam kursus Bekerja Dengan Hati dan Akal di Hotel Istana, Kuala Lumpur selama dua hari baru-baru ini merupakan inisiatifnya sendiri.

Menurut Pengurus Operasi dan Program Pusat Kelompok Masjid dalam Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) itu, sepanjang menyertai kursus tersebut, banyak perkara baharu dipelajarinya yang boleh dipraktikkan dalam tugasan hariannya di MUIS.

"Matlamat utama MUIS ialah menjadikan masyarakat Islam progresif, maju dan kuat pegangan agama. Di Singapura, masjid merupakan tempat ibadat dan pembangunan sosial masyarakat.

"Melalui kursus ini, saya mampu memberikan idea kepada MUIS mengenai kaedah untuk mengendalikan sistem pentadbiran masjid dengan lebih sistematik mengikut lunas Islam. Sebelum ini, pimpinan masjid dipelopori oleh golongan korporat dan kebanyakannya kurang menekankan aspek agama," ujarnya yang menguruskan pentadbiran 29 buah masjid di bahagian pusat bandar Singapura.

Kaedah 4I iaitu Islam, Iman, Ilmu dan Islah merupakan antara pengajaran yang memberi panduan kepada Juraiman dalam melaksanakan tugasan hariannya.

Perspektif tauhid

Kursus yang dianjurkan Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) merupakan kali pertama dibuka penyertaannya kepada organisasi dan masyarakat.

Kursus yang dipimpin oleh Jaafar Muhammad selaku fasilitator itu menggunakan pendekatan latihan dan ceramah mengenai konsep ilmu menurut perspektif tauhid, mengenal Allah, manusia, alam, kehidupan, agama, kerasulan dan hari akhirat kepada peserta dalam kursus tersebut.

Menurut Jaafar, pekerjaan setiap manusia boleh dijadikan sebagai bukti yang kukuh untuk beramal kepada Allah.

"Ramai yang kurang memahami konsep pekerjaan merupakan satu ibadah dan amalan kepada Allah. Umat Islam juga perlu tahu membezakan penggunaan hati dan akal dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.

"Peserta dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari pada kursus ini dalam pekerjaan seharian mereka dengan memahami konsep ilmu," ujarnya yang menggunakan panggilan Abu Faiz yang bermaksud Bapa Kejayaan dalam setiap sesi kursus kendaliannya.

Kursus itu juga memberi informasi mengenai tauhid dan Islam dengan beberapa contoh yang berkaitan dalam konteks masyarakat Melayu Islam di Malaysia.

Platform terbaik

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Syariah dan Pengurusan Islam Universiti Malaya, Dr. Nor 'Azzah Kamri, 36, yang juga peserta berpendapat, kursus tersebut memberi kefahaman untuk membentuk pekerja yang berprestasi tinggi untuk sesebuah organisasi.

"Abu Faiz juga sering mengingatkan peserta bahawa setiap manusia berada dalam pelukan kasih sayang Allah. Sebagai seorang insan, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Justeru, Abu Faiz sering mengingatkan setiap peserta agar ingat matlamat asal dalam pekerjaan iaitu semuanya kerana Allah.

"Bagi saya, kursus ini merupakan platform terbaik untuk membetulkan niat setiap pekerja. Walaupun kita sibuk mencari rezeki, namun setiap rezeki itu perlu disulami dengan niat yang tulus kerana Allah," ujarnya.

Cetusan emosi dalam karya seni

Posted:

Cetusan emosi dalam karya seni

Cetusan emosi dalam karya seni

Oleh HAFIZ AHMAD

DEDIKASI Husin kepada arwah bapanya jelas dilihat dalam lukisan Nota dan Yasin Untukmu.


BULAN Mac lalu, negara digemparkan dengan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah oleh pengganas-pengganas dari Kepulauan Sulu, Filipina. Peristiwa berdarah itu telah mengorbankan nyawa 10 orang anggota keselamatan Malaysia sehingga memaksa campur tangan daripada kerajaan Malaysia dan Filipina.

Ia sedikit sebanyak telah mengganggu ketenteraman masyarakat Kampung Tanduo yang selama ini hidup dalam harmoni dan aman tanpa sebarang kekacauan. Memori itu meninggalkan trauma kepada mereka yang terlibat lantas memaksa kawalan rapi dan terperinci terus dilakukan bagi mengelakkan ia berulang sekali lagi.

Peristiwa itu telah mencetus ilham kepada pelukis kontemporari tempatan, Ali Nurazmal Yusoff bagi menzahirkannya dalam sebuah lukisan minyak yang bertajuk Kanak-kanak Perempuan dan Harimau Dalam Air.

Beliau terbang ke Semporna, Sabah bagi melihat sendiri kehidupan selepas berlakunya pencerobohan tersebut. Ali Nurazmal terkesima dengan keindahan dan keramahan penduduk yang hidup secara sederhana dan tidak terkejar-kejar dengan arus kemajuan seperti yang biasa dilihat di kawasan bandar.

Masyarakat kampung masih menggunakan telefon awam sebagai satu alat komunikasi dan ia menarik perhatian Ali Nurazmal lantas mengabadikannya dalam karya seni itu. Satu lagi subjek lukisan itu ialah seekor harimau yang berada dalam posisi sedia untuk menerkam mangsanya.

"Harimau tersebut sebagai perlambangan kepada kewujudan anasir-anasir luar yang cuba mengganggu ketenteraman penduduk kampung. Ia menimbulkan persoalan bagaimana kita masih tidak berasa selamat walaupun berada dalam tempat sendiri," ujarnya ketika ditemui di Expo Seni Malaysia 2013 yang berlangsung di Menara Matrade baru-baru ini.

Ali Nurazmal yang merupakan pelukis di bawah Galeri Core Design, Subang Jaya mempamerkan karya bersama beberapa rakan-rakannya seperti Husin Hourmain, Suhaimi Fadzir dan Mohd. Noor Mahmud.

Nota dan Yasin Untukmu merupakan karya yang menjadi dedikasi sang pengkarya kepada ayahanda tercinta. Husin Hourmain yang terkenal sebagai pelukis kaligrafi kontemporari, menjadikan huruf Ya dan Sin sebagai subjek kepada lukisannya.

"Surah Yasin mempunyai pertalian yang erat dalam budaya kita. Ia merupakan antara surah penting dalam al-Quran dan sering dijadikan pengantara kepada orang yang telah pergi atau dibacakan ketika seseorang dalam keadaan nazak," ujarnya.


KONFLIK yang berlaku di Lahad Datu, Sabah menjadi inspirasi kepada pelukis muda, Ali Nurazmal.


Berukuran 365 x 213 sentimeter, lukisan itu turut menggunakan cop imigresen yang diambil daripada pasport milik arwah bapanya, yang sering ke luar negara atas tuntutan kerja sebagai seorang wartawan. Cop tersebut masih menggunakan nama Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1960-an.

Menurutnya, penggunaan cop tersebut sebagai perlambangan kepada keadaan beberapa isu semasa yang berlaku pada hari ini. Dia cuba menyentuh isu-isu seperti hak orang Melayu, kontrak sosial dan kuasa kolonial. Beliau cuba menimbulkan persoalan bagaimana populasi Melayu boleh terkesan jika berlakunya pembubaran dalam kontrak tersebut.

Suhaimi Fadzir pula mempamerkan kerja seni daripada siri Merdekanya, Harimau. Beliau cuba membawa persoalan tentang kepentingan maruah kebangsaan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Harimau menjadi fokus utama dalam karyanya di samping beberapa terapan kecil haiwan tersebut di sekeliling subjek. Pisau cukur dilekat sekitar lukisan bersama patung-patung kecil askar. Lampu neon melingkari lukisan harimau utama yang digunakan sebagai palet warna.

Suhaimi, yang baru membuat pameran di galeri berprestij, Galeri Saatchi, London, England, menggambarkan harimau sebagai satu persamaan kepada masyarakat Orang Asli di Timur Malaysia. Beliau telah melakukan beberapa kajian mengenai kehidupan pribumi itu dan mendapati mereka berasa telah dicerobohi oleh elemen-elemen luar.

Habitat mereka telah terjejas melalui pembangunan, masalah pembalakan dan pemburuan haram. Situasi itu juga memberi kesan kepada haiwan-haiwan hutan seperti harimau sehingga mengganggu kawasan hidupan mereka. Ia mengakibatkan harimau-harimau tersebut menyerang penempatan Orang Asli dan mengancam kehidupan seharian mereka.

Softlan tingkat kesedaran kanser payudara

Posted:

Softlan tingkat kesedaran kanser payudara

Softlan tingkat kesedaran kanser payudara


HAZLIN (dua dari kanan) bersama tetamu jemputan membuat gimik pelancaran kempen amal kanser payudara Softlan di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.


UMUM mengetahui kanser payudara merupakan pembunuh nombor satu wanita di negara ini.

Justeru, kempen-kempen kesedaran mengenai penyakit itu penting dalam memberi maklumat untuk melakukan pemeriksaan payudara, sekali gus mengurangkan risiko menghidapinya.

Jenama pelembut fabrik terkenal, Softlan juga tidak terkecuali memainkan peranan dalam memupuk kesedaran ramai mengenai perkara itu menerusi penganjuran kempen amal kanser payudara Softlan sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia.

Bertemakan Because Caring Counts, kempen amal ini bertujuan mengumpulkan sejuta ikrar dan sumbangan RM100,000 sebagai tanda sokongan kepada promosi kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan awal kanser payudara.

Setiap sumbangan terkumpul akan disalurkan kepada beberapa organisasi terlibat seperti Majlis Kanser Nasional, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia bagi menyokong inisiatif menggalakkan pemeriksaan awal mengesan penyakit berkenaan.

Pengurus Besar Colgate-Palmolive Malaysia, Singapura dan Brunei, John Hazlin berkata, kempen itu memberi tumpuan terhadap menyatukan kepentingan sokongan, sikap mengambil berat dan perkongsian pengalaman dalam menyebarkan kepentingan pengesanan awal kanser payudara.

Pada masa yang sama, katanya, ia turut menggalakkan kaum wanita daripada segenap usia untuk melakukan pemeriksaan sama ada secara sendiri atau berjumpa doktor.

"Sejak dari dahulu sehingga sekarang, wanita memainkan peranan penting dalam masyarakat. Sumbangan mereka tidak ternilai dalam sektor pekerjaan, kekeluargaan, pendidikan tanpa sempadan dan sebagainya.

"Justeru, melalui kempen ini kami berharap masyarakat lebih prihatin terhadap permasalahan ini dan sentiasa menyokong golongan wanita yang melalui ujian pengesanan atau rawatan kanser payudara," katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Video khas

Selari dengan kempen itu, jelas Hazlin, Softlan turut memperkenalkan sebuah video khas yang memaparkan kesan penyakit itu terhadap individu, keluarga dan sahabat handai.

"Ia secara tidak langsung membuka peluang kepada mereka untuk berkongsi kasih sayang, sokongan dan kata-kata semangat kepada wanita-wanita paling penting dalam kehidupan setiap individu," ujarnya.

Untuk membantu menggalakkan pengumpulan ikrar, Softlan mengetengahkan beberapa langkah mudah yang boleh dilakukan orang ramai bagi menunjukkan tanda sokongan terhadap kempen amal ini.

Antaranya, membuat pembelian mana-mana pek Softlan sepanjang bulan Oktober dan November ini, mengunjungi laman Facebook Softlan, www.facebook.com/SoftlanBCC, menonton video dan berkongsi video tersebut dengan rakan-rakan ataupun memuat naik gambar.

Selain itu, sokongan ikrar juga boleh dilakukan melalui 'Tweet' mesej kempen di laman Twitter, #SoftlanBCC dan menandakan infografik mengenai teknik pemeriksaan sendiri di laman Pinterest.

"Softlan ingin menyebarkan mesej tentang keprihatinan melalui pengumpulan ikrar tersebut. Kami ingin membuktikan bagaimana satu tindakan berkongsi yang mudah mampu sampai kepada jutaan orang, justeru, menyelamatkan jutaan nyawa," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved