Khamis, 6 Jun 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Thailand tegas kuat kuasa lese majeste

Posted:

Thailand tegas kuat kuasa lese majeste

Thailand tegas kuat kuasa lese majeste

DILAHIRKAN di Thailand, namun Joe Gordon menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai rumah pertamanya. Pilihan itu membolehkan Gordon, 56, menerima kerakyatan AS dengan mudah, apatah lagi dia telah menetap di negara itu selama lebih 30 tahun.

Barangkali apabila telah terlalu lama mengikut acuan Barat, Gordon atau nama aslinya, Lerpong Wichaikammart, lupa asal usulnya atau hilang semangat orang Asia yang selama ini menjunjung tinggi budaya dan adat resam terutamanya dalam soal institusi beraja.

Mungkin fikiran moden dan keterbukaan Gordon membuatkan dia memilih untuk mempercayai kebenaran di sebalik buku biografi berjudul The King Never Smiles hasil tulisan Paul Handley yang diterbitkan pada tahun 2006.

Bagaimanapun, buku berkisar tentang kehidupan Raja Bhumibol Adulyadej, 86, itu terlebih dahulu diharamkan kerajaan Thailand. Sebagai orang Thailand, Gordon memang tidak melakukan kesalahan apabila cuba menelaah kandungan buku kontroversi itu.

Namun, apabila dia bertindak memuat naik pautan terjemahan buku itu dalam bahasa Thai pada tahun 2007 di Colorado, AS, Gordon tanpa disedari telah melanggar undang-undang di bawah Artikel 112 Thailand melibatkan undang-undang yang dinamakan lese majeste.

Lese majeste merupakan perkataan daripada bahasa Perancis yang merujuk kepada kesalahan mencemarkan kedaulatan institusi beraja

"Sebagai rakyat AS, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Ia merupakan hak kebebasan bersuara saya di tanah AS," ujar Gordon kepada AP.

Namun, Gordon tersilap kerana beberapa tahun kemudian dia kembali ke Thailand untuk mendapatkan rawatan penyakit artritis dan tekanan darah tinggi yang dihidapinya. Ketika itulah, undang-undang lese majeste sah digunakan ke atasnya kerana dia berpijak di tanah Negara Gajah Putih.

Berikutan itu, dia ditahan oleh kira-kira 20 anggota polis di pangsapurinya di Bangkok pada Mei 2011. Selepas dibicara, Gordon didapati bersalah dan disumbatkan ke dalam penjara sebelum dibebaskan pada Julai tahun lalu.

Pembebasannya itu pun selepas mendapat pengampunan Raja Bhumibol kerana pada asalnya dia sepatutnya meringkuk dalam penjara selama dua tahun setengah.

MASIH ramai warga Thailand yang menerima undang-undang lese majeste dan mentaati raja mereka.


Lese majeste

Hak kebebasan bersuara menjadi alasan Gordon dan sesetengah rakyat Thailand menolak lese majeste. Di bawah undang-undang lese majeste, mana-mana individu yang membuat kenyataan atau komen berbaur fitnah atau penghinaan ke atas konstitusi monarki Thailand termasuk raja, permaisuri dan kerabat diraja boleh dikenakan hukuman penjara tiga hingga 15 tahun.

Hidup dalam acuan Timur yang penuh santun dan berbudi bahasa, bagaimanapun dilihat Barat sebagai satu bentuk penindasan hak bersuara.

Ketika majoriti rakyat Thailand menyanjungi konstitusi monarkinya serta menerima undang-undang lese majeste, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melihat ia sebagai satu bentuk penindasan demokrasi.

Pihak-pihak berideologi Barat menyifatkan undang-undang konvensional itu sebagai penghalang kepada perkembangan demokrasi di Thailand dan negara-negara di sekitar Asia.

Meskipun begitu, masih ramai rakyat Thailand khususnya penyokong kerajaan bertindak mempertahankan undang-undang itu dan tidak mahu kedaulatan monarki mereka diusik apatah lagi diperlekehkan.

Lantaran itu, kerajaan Thailand sendiri akur untuk menerima lese majeste dan pihak berkuasa negara berkenaan begitu tegas dalam menjalankan penguatkuasaan ke atas individu yang menghina Raja Thailand.

Bahkan, mereka tanpa rasa ragu-ragu menguatkuasakan undang-undang itu ke atas warga asing di Thailand.

Baru-baru ini, seorang lelaki warga Singapura yang dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun di bawah lese majeste dibebaskan selepas diberi pengampunan oleh Raja Bhumibol.

Wanchai Tan, 63, yang bekerja sebagai pemandu pelancong yang telah menetap di Thailand selama beberapa dekad dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara empat tahun.

Dia ditangkap pada 6 April 2009 atas kesalahan menyebarkan risalah yang mengutuk undang-undang lese majeste ketika satu demonstrasi kumpulan Baju Merah.

Negara Barat

Biarpun negara-negara Barat menyifatkan lese majeste amalan Thailand satu bentuk undang-undang tidak relevan, hakikatnya terdapat empat negara Eropah yang masih menguatkuasakan undang-undang itu iaitu Denmark, Belanda, Norway dan Sepanyol.

Hak kebebasan bersuara yang diperjuangkan mereka juga sebenarnya masih perlu berpandukan keterbatasan terhadap sesuatu perkara terutamanya hal-hal melibatkan konstitusi monarki.

Belanda, misalnya, pernah menahan seorang wartawan dan jurugambar majalah Spunk pada tahun 2007 atas kesalahan menghina mantan ketua negara mereka, Ratu Beatrix. Kedua-duanya didapati bersalah kerana memakai baju-T dengan tulisan tidak sopan yang merujuk terus kepada Beatrix.


PERDANA Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra menghadap Ratu Sirikit.


Sepanyol juga pernah mendenda dua kartunis majalah El Jueves pada tahun 2007 dengan jumlah denda 3,000 euro (RM12,141) setiap seorang. Dua individu itu didapati bersalah di bawah undang-undang lese majeste selepas menyiarkan karikatur Putera Asturias bersama isterinya dalam keadaan tidak sopan.

Di Asia Barat, Kuwait dan Jordan merupakan dua negara yang masih memiliki undang-undang lese majeste.

China, Jepun dan United Kingdom (UK) juga pernah mempunyai lese majeste, namun telah dihapuskan. China kini menjadi sebuah republik, manakala Jepun dan UK yang masih mengekalkan sistem beraja menggunakan undang-undang baharu.

Kes Malaysia

Malaysia tidak terkecuali dihambat isu berkaitan penghinaan ke atas sistem beraja apabila lahirnya individu yang berfikiran liberal secara melampau.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan tindakan berani seorang wanita yang mengeluarkan komen berbaur sindiran terhadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda.

Ekoran kenyataan itu, wanita berkenaan ditahan pihak polis bagi membantu siasatan dan telah pun dibebaskan selepas memberi keterangan pada Rabu lepas.

Tindakan wanita itu jelas menunjukkan betapa ceteknya rasa hormat yang ditanamkannya terhadap raja yang menjadi lambang perpaduan rakyat negara ini.

Pensyarah Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal menjelaskan, sejak pembukaan Melaka lagi (zaman Parameswara) rakyat menjunjung tinggi peranan raja sebagai ketua kerajaan.

"Parameswara memeluk Islam dan ia diikuti seluruh rakyat jelata. Akhirnya terbentuklah negara Malaysia hari ini yang majoritinya penduduk beragama Islam. Namun, sayangnya semakin ramai yang hilang rasa hormat terhadap kedaulatan. Situasi ini disifatkan sebagai kelunturan budaya tanpa mengambil kira agama atau bangsa seseorang.

"Negara-negara yang masih mempunyai raja di Asia diasak kuasa Barat yang melihat ia sebagai satu bentuk penghalang perkembangan demokrasi. Mereka melaung-laungkan kebebasan bersuara adalah hak setiap rakyat tanpa perlu gentar kepada monarki.

"Akibatnya, kita praktikkan perjuangan mereka dan terlupa bahawa antara Barat dan Timur masih wujud jurang persefahaman adat dan budaya," jelas Noor Aziah kepada Kosmo!.

Psikologi berpoligami

Posted:

Psikologi berpoligami

Psikologi berpoligami


SESEORANG itu akan merasai kenikmatan berpoligami jika bijak membahagikan kasih kepada para isteri. - Gambar hiasan


WALAUPUN dibenarkan, poligami tetap menjadi isu sensitif di Malaysia. Cerita mengenai poligami terus dibualkan, baik pihak lelaki atau wanita.

Tatkala kaum lelaki terus bercerita untuk 'menambah lagi satu', wanita pula akan berjuang habis-habisan untuk menolak poligami, malah ada kes-kes yang melibatkan suami yang disimbah dengan asid dan dipotong alat kelamin oleh isteri mereka.

Cerita panas mengenai poligami ini semakin hangat apabila ada lelaki berumur berkahwin lagi satu dengan anak dara sunti.

Sesekali, ia disulam dengan cerita kegagalan suami memberikan nafkah kepada isteri tua dan mengabaikan anak-anak, dan ada pula yang berakhir dengan perceraian.

Mungkin ada orang yang beranggapan bahawa poligami hanya menjadi amalan untuk masyarakat Islam.

Hakikatnya tidak. Ia juga diamalkan oleh penganut agama Kristian. Poligami juga tidak hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di beberapa buah negara Afrika dan Arab. Ia juga jadi amalan di Israel.

Perbezaannya mungkin hanyalah dari segi amalan poligami, tetapi reaksi psikologikal manusia terhadap poligami tidak pernah berubah.

Mengapa pihak lelaki begitu terangsang untuk berpoligami dan wanita pula tidak sama sekali membiarkan diri mereka berkongsi kasih?

Ia merupakan hakikat psikologikal manusia dan perbezaan fungsi psikologikal antara lelaki dan wanita.

Adakah hal ini sama sahaja di seluruh dunia? Kajian terhadap 37 budaya manusia, merentas hampir seluruh dunia dengan sampel 10,000 manusia, mendapati lelaki akan tertarik dengan wanita yang cantik dan berwajah muda.

Wanita pula cenderung untuk lelaki yang gagah dan mampu menyediakan sumber bagi menjaga wanita.

Lelaki dalam apa budaya pun didapati cenderung mengahwini wanita yang lebih muda. Semakin tua lelaki itu, semakin mereka mengimpikan wanita yang lebih muda dengan perbezaan umur yang ketara.

Perbezaan umur

Sebab itulah kita tidak sepatutnya terkejut kalau mendapati ada lelaki berusia memasang lagi satu wanita muda yang cantik dan bergaya. Ia hakikat psikologikal semula jadi manusia.

Wanita pula hanya mengharapkan lelaki yang umurnya lebih tua daripada mereka, tetapi perbezaan umur ini haruslah tidak begitu ketara dengan mereka.

Bagaimanapun, kajian mendapati wanita kurang tertarik dengan lelaki muda.

Hal ini kemudiannya diwariskan daripada satu generasi ke satu generasi dalam garis budaya. Budaya inilah yang memperteguhkan perbezaan antara lelaki dan wanita.

Bagaimanapun, ada hal yang menjadi persamaan. Lelaki dan wanita tetap mengimpikan cinta, kasih sayang dan hubungan mesra. Ini tidak ada bezanya dalam apa budaya sekalipun.


CEMBURU akibat kehadiran orang ketiga boleh menggoyahkan perhubungan yang sedia ada.


Sifat cemburu

Lelaki juga cemburu kalau pasangan wanitanya bermain kayu tiga dengan lelaki lain. Wanita pula tidak suka kalau pasangan lelakinya ada hubungan bersifat emosi dengan wanita lain.

Semua ini berasaskan kepada sejarah evolusi manusia yang membentuk lelaki sebagai penjaga keluarga dan wanita pula akan bergantung kepada apa yang boleh diberikan oleh lelaki.

Kajian-kajian psikologi juga umumnya mendapati bahawa wanita lebih cemburu berbanding dengan lelaki.

Kajian ke atas 202 manusia di Amerika Syarikat yang disoal soalan: "Bayangkan kalau pasangan anda menjalin ikatan dengan orang lain?"

Ada satu kajian mendapati 83 peratus wanita emosinya sangat tertekan kalau mengetahui pasangan mereka ada hubungan percintaan dengan wanita lain, sebaliknya hal ini tidak pula berlaku ke atas pihak lelaki.

Ini bermakna tatkala majoriti wanita bersifat cemburu, ada pula sebahagian kecil yang tidak begitu kisahkan hal ini.

Wanita cenderung berasa bimbang sekiranya pasangan lelaki atau suaminya ada hubungan emosi dengan wanita lain, misalnya bercinta kerana mereka merasakan komitmen dan pengorbanan yang telah mereka lakukan selama ini menjadi sia-sia.

Lebih teruk, mereka berkemungkinan hilang keseluruhannya, kalau lelaki tadi meninggalkan mereka dan memiliki wanita yang 'baharu' tadi. Ini tentunya lebih menyakitkan.

Bagi mengukuhkan lagi penemuan ini, kajian tersebut telah diulang lagi dengan menggunakan kaedah fisiologi dengan peralatan seperti electrodermal (EDA), face-electromyogfraphic (EMG) dan tekanan nadi.

Hasilnya nampaknya sama. Wanita cemburu kalau pasangan lelakinya ada hubungan kasih dengan orang lain, tetapi bagi lelaki mereka sangat kecewa kalau pasangan wanitanya ada hubungan kelamin dengan orang lain.

Sebab itulah, tatkala kita mendengar keghairahan kaum lelaki untuk berpoligami dan kaum wanita pula terus sinis dengan poligami, ia sebenarnya adalah hal semula jadi manusia.

Ia akan terus menjadi debat yang tidak berkesudahan. Kita semua berperanan sesuai dengan fungsi dan peranan psikologikal yang menjadi milik semula jadi kita.

Poligami, percintaan dan isu hubungan antara lelaki dan wanita tetap akan terus menjadi isu panas sepanjang zaman.

Douglas Kenrick, seorang ahli psikologi evolusi, berkata: "Kita tidak boleh mengubah evolusi spesies manusia, namun sesetengah perubahan antara kita ada kaitan dengan sejarah."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved