Selasa, 19 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Alumni untuk penerima Biasiswa Chevening

Posted:

Alumni untuk penerima Biasiswa Chevening

Alumni untuk penerima Biasiswa Chevening

SHAZWAN MUSTAFA KAMAL, 26, sedang melanjutkan pelajaran dalam peringkat sarjana dalam bidang Diversity and The Media di Universiti Westminster, Harrow, London, United Kingdom (UK).

Dia sudah pun berada di situ selama tiga bulan setengah. Kejadian rusuhan di London baru-baru ini diakui telah menyebabkan banyak harta awam rosak dan keselamatan ramai tergugat.

"Ia merupakan masalah sosioekonomi masyarakat UK, tetapi sebagai pelajar di sini, saya tidak merasakan keselamatan saya terancam," katanya ketika dihubungi melalui e-mel.

Namun, Shazwan mengakui dia perlu sentiasa berwaspada dan mengelakkan diri daripada berada di kawasan yang mempunyai kadar jenayah tinggi terutamanya pada waktu malam.

Tambahnya: "Keadaannya sama juga seperti di Malaysia."

Bercerita mengenai bidang yang dipelajarinya sekarang, media boleh menjadi alat positif untuk setiap lapisan masyarakat dan skop pembelajarannya memberi fokus terhadap peranan media dalam memupuk kefahaman dalam kalangan masyarakat yang berbilang keturunan serta agama.

"Bidang ini amat sesuai dengan saya," katanya ringkas sambil menambah, dia pernah bekerja sebagai wartawan selama tiga tahun sebelum ini.

Sepanjang di sana, dia menerima Biasiswa Chevening yang merupakan program meliputi seluruh dunia oleh kerajaan UK dan dibiayai Pejabat Pejabat Luar Negara dan Komanwel (FCO) serta organisasi-organisasi lain.

Program tersebut dimulakan pada tahun 1983 dan terus berkembang menjadi skim antarabangsa yang berprestij. Setakat ini, lebih 41,000 orang alumni Chevening di seluruh dunia dari lebih 100 buah negara.

Mereka tanpa mengira umur menjadi satu rangkaian yang sering bekerjasama daripada pelbagai peringkat pengajian seperti perubahan iklim, pembangunan mapan, kewangan Islam dan banyak lagi. Alumni Chevening sangat dihormati pada tahap global.

Saringan ketat


PARA penerima biasiswa Chevening dari Malaysia pada tahun lalu ini sedang melanjutkan pelajaran di universiti pilihan masing-masing.


Permohonan setiap tahun sangat ketat terutamanya pada peringkat temu duga bagi melihat tahap kesungguhan pemohon. Pengarah Perbankan Pelaburan, Ecmlibra Investment Bank, Sharifah Bakar Ali, 38, dari Kuala Lumpur masih jelas mengingati kepayahan memohon biasiswa itu.

Sharifah memohon biasiswa Chevening sebanyak dua kali sebelum dianugerahkan biasiswa tersebut. Akuinya, permohonan kali pertama tidak berjaya kerana dia kurang persediaan pada peringkat permohonan.

Sharifah menamatkan pengajian pada peringkat sarjana muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak pada tahun 1998. Selepas tamat pengajian, Sharifah bekerja di Arthur Andersen & Co (Ernst & Young) dalam bidang percukaian.

Kali pertama Sharifah memohon biasiswa Chevening adalah pada tahun 2002. Selepas permohonan itu ditolak, dia menukar kerjaya daripada bidang percukaian ke perbankan pelaburan.

Sharifah juga membuat keputusan untuk berpindah ke Bahrain pada tahun 2006 selama dua tahun untuk memperoleh pengalaman bekerja di sana.

Sebaik pulang ke tanah air, Sharifah membuat keputusan untuk memohon biasiswa itu sekali lagi pada tahun 2010.

"Pengalaman dan pendedahan yang ditimba ketika bekerja di Malaysia serta luar negara termasuk mendalami budaya asing dapat membentuk personaliti.

"Saya berpendapat, pengalaman kerja itu menjadikan saya lebih bersedia sekali gus mempunyai misi yang lebih mantap untuk cuba memohon buat kali kedua," kata Sharifah yang ditemui di Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur.

Wanita yang gemar membaca terutamanya majalah Economist itu melanjutkan pelajaran di Universiti Cambridge dan memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

Sebagai pelajar yang memegang biasiswa Chevening, prestasi sepanjang proses pembelajaran sentiasa dipantau. Semasa di Cambridge, Sharifah giat mendedahkan rakan-rakan sekelas kepada prinsip-prinsip perbankan Islam iaitu bidang yang sangat diminatinya.

Sharifah yakin bidang tersebut mempunyai masa depan yang cerah terutamanya di Malaysia melalui usaha-usaha kerajaan memperkembangkan dan membangunkan lapangan itu.

Pada Mei 2010, dia telah menganjurkan Persidangan Perbankan Islamik pertama di Universiti Cambridge yang mendapat sambutan menggalakkan daripada bank-bank Islam di UK. Persidangan itu ditaja sepenuhnya oleh KFH Research Ltd. yang beribu pejabat di Malaysia.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menyokong persidangan tersebut dan telah menghantar seorang pakar yang bertindak sebagai ahli panel forum.


UNIVERSITI Cambridge merupakan antara pusat pengajian yang terdapat di UK dan turut menjadi pilihan Sharifah.


Sharifah juga merupakan Setiausaha Kehormat Chevening Alumni of Malaysia iaitu persatuan alumni yang sangat aktif menganjurkan aktiviti bagi ahlinya seperti forum-forum awam dan sesi ramah mesra sesama ahli.

Terdapat lebih kurang 1,250 orang ahli Alumni Chevening di Malaysia dan setiap aktiviti yang diadakan bertemakan Pembangunan Negara.

Forum-forum yang setakat ini pernah diadakan menyentuh topik-topik ekonomi, kewangan, sosial, iklim, hak asasi dan sebagainya.

"Setiap ahli alumni merupakan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing menjadikan peluang untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan tidak terbatas," ujar Sharifah lagi.

Masih berhubung

Seorang lagi alumni Chevening, Jayaprakash Murulitharan, 31, yang kini menetap di Puchong, Selangor baru sahaja menamatkan pelajaran peringkat sarjana pada hujung September 2012 lalu.

Dia menamatkan pelajaran dalam Pengajian Persekitaran dan Kelestarian di Universiti Strathclyde, Glosgow, UK. Jayaprakash kini bertugas sebagai penolong setiausaha bahagian tenaga lestari, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha).

Ujarnya, Alumni Chevening sentiasa mengekalkan hubungan sesama ahli di seluruh dunia terutamanya pada era mobil. Akaun Twitter dan Facebooknya sentiasa dikemas kini mengenai perkembangan terbaharu alumni.

"Akaun rasmi alumni diselenggara oleh pejabat FCO dan setiap tweet merupakan perkara serius dan bermanfaat seperti pemberitahuan pembukaan permohonan biasiswa.

"Kami sentiasa mendapat kemas kini mengenai cabang kursus yang ditawarkan setiap tahun," terang lelaki yang berasal dari Ipoh, Perak itu ketika ditemui di Kelab Tasik Putrajaya, Selangor.

Ikatan persaudaraan antara Alumni Chevening sebenarnya telah dipupuk sejak mereka masih lagi menuntut di UK.

"Alumni Chevening ada menganjurkan majlis yang menjemput semua penerima biasiswa pada tahun tersebut dari semua negara terlibat.


AHLI alumni sangat aktif melakukan forum mengenai isu-isu semasa seperti ekonomi dan alam sekitar di negara masing-masing termasuk di Malaysia.


"Daripada acara tersebut kami bertemu dan beramah-mesra selain dapat membina rangkaian hubungan yang meliputi seluruh dunia," ceritanya lagi.

Setahun di sana, Jayaprakash mempunyai rangkaian yang agak luas, malah mempunyai rakan dari negara Belize yang terletak di Amerika Tengah. Akuinya, dia tidak pernah mendengar nama negara tersebut sebelum mengenali rakannya.

Sharifah juga mempunyai rakan dari Mexico dan kini, giat belajar bahasa Sepanyol kerana bakal mengembara ke negara itu pada tahun hadapan.

Barangkali, mereka sudah pun mencapai tahap negara maju jadi, pengisian rohani lebih diutamakan, ungkap Jayaprakash.

"Pintu dibuka untuk memberi laluan kepada wanita dan apabila mahu duduk, lelaki mereka menarik kerusi untuk kaum wanita," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved