Jumaat, 1 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Ekspresi video ajak penonton berfikir

Posted:

Ekspresi video ajak penonton berfikir

Ekspresi video ajak penonton berfikir

JIKA suatu masa dahulu, fenomena blogging pernah mewarnai perkembangan media massa di negara ini. Namun kini, peralihan minat dan medium komunikasi membuatkan trend itu turut berubah.

Berdasarkan perkembangan semasa, ia mengalami satu evolusi daripada karya penulisan kepada informasi berbentuk video dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

Bagi golongan anak muda, istilah vlog bukan suatu yang asing. Ia merupakan gabungan perkataan video dan blog.

Sebelum ini, laman web seperti Blogspot.com dan Wordpress menjadi pilihan golongan blogger khususnya untuk berkarya dalam bentuk penulisan, tetapi kini laman YouTube manjadi platform golongan yang digelar vlogger ini untuk memuat naik video mereka.

Setiap vlogger memiliki saluran mereka tersendiri di YouTube yang membolehkan orang ramai mengikuti sebarang entri vlog yang dimuat naik oleh mereka.

Setiap entri vlog akan memaparkan minat dan kebolehan pemiliknya untuk dikongsi bersama dengan pengunjung Internet yang lain.

Nama-nama seperti Nirman, Mozek, Amanwan, Mathlutfi, Maria Elena dan Anwar Hadi bukanlah suatu yang asing bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia vlogging di negara ini.

Bagi Nirman Kamal Juhanis, dirinya sudah berkecimpung dengan dunia vlogging sejak menuntut di universiti.

Dia berpendapat bahawa vlogging merupakan media baharu yang kian mendapat tempat di hati masyarakat berbanding blog.

"Orang sekarang sudah tidak berapa suka membaca blog. Mungkin sebab kalau blog, kena baca entri yang panjang. Tetapi jika video, ia lebih mudah. Orang hanya perlu tonton dan dengar.

"Menerusi cara sebegini, kita dapat sampaikan mesej dengan cara yang lebih kreatif dan mampu menarik orang ramai untuk menonton," katanya yang juga seorang vlogger yang popular menerusi saluran Mentol Pecah.

Bekas graduan Komunikasi Massa (Filem) dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing itu memberitahu, menerusi vlog, ia memberi lebih kepuasan kepada dirinya untuk berkarya kerana ia sejajar dengan minatnya dalam bidang videografi.

MASA lapang banyak digunakan untuk melakukan penggambaran video bagi saluran Mentol Pecah kelolaan mereka.


Perlu disunting

Menyentuh mengenai tempoh proses pembikinan, Nirman yang kini bekerja sebagai jurukamera video di salah sebuah syarikat produksi tempatan berkata, penghasilan sesebuah entri vlog sedikit rumit berbanding blog.

Ini kerana, menurutnya bagi menghasilkan sesebuah vlog, ia memerlukan subjek di dalam video untuk dirakam selain memerlukan masa bagi proses penyuntingan.

"Kebiasaannya, ia mengambil masa lebih kurang dua hingga tiga hari untuk menyiapkan sesuatu video bagi satu entri.

"Ia juga bergantung kepada durasi sesuatu video yang ingin dihasilkan serta kerumitan babak dalam lakonan yang ingin dipersembahkan," katanya yang menggunakan video kamera Sony HD ketika proses penggambaran dilakukan.

Menurut anak muda berusia 25 tahun itu, kebiasaannya dia akan melakukan penggambaran sikit demi sikit mengikut babak dalam dua hingga tiga hari.

"Jika dahulu ketika masih belajar, rakaman video untuk entri vlog dibuat ketika tidak ada kuliah, terutamanya pada cuti hujung minggu.

"Sekarang ini masing-masing sudah bekerja, jadi masa itu agak terhad untuk bagi komitmen sepenuhnya. Kami jadikan ia satu hobi pada waktu lapang," ujarnya yang juga pernah menghasilkan video paling pendek yang mengambil masa satu hari termasuk penggambaran dan juga proses penyuntingan.

Menyentuh mengenai penyuntingan kesan bunyi, Nirman lebih gemar menggunakan lagu-lagu runut bunyi daripada drama bersiri di televisyen.

Di sebalik populariti saluran vlog Mentol Pecah, Nirman tidak berdiri berseorangan.

Dia turut berkolaborasi bersama rakan baiknya, Ahmad Mudhakkir Zainal Ali, 24, ataupun lebih dikenali dengan panggilan Mozek dalam dunia vlogging.

Jika Nirman lebih kepada bidang teknikal membabitkan penggambaran, Mozek lebih kepada konsep jalan cerita dan peulisan skrip.

Bagi Mozek, entri vlog yang dihasilkan bersama rakan baiknya itu kebiasaannya mendapat cetusan ilham daripada ragam manusia di sekeliling mereka.

"Daripada situ nanti, kami akan hasilkan video yang mempunyai unsur humor tetapi ada mesej di sebaliknya.

"Kami lebih sukakan penonton berfikir melalui karya video yang banyak menggunakan gerakan fizikal berbanding verbal.

"Kami tidak berapa gemar bagi punchline joke yang orang ramai sudah tahu," ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Permainan Video dari Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing.

Mozek yang bekerja sebagai penulis skrip di salah sebuah syarikat animasi tempatan memberitahu dirinya suka bereksperimen dengan menzahirkan sesuatu idea yang ingin diketengahkan kepada pelayar internet.

Sehingga kini, saluran Mentol Pecah telah memuat naik sebanyak 30 entri vlog yang telah ditonton ratusan ribu pelayar YouTube sejak ditubuhkan pada 2009.

MATLUTHFI ialah antara vlogger yang terkenal dengan video parodi dan humor serta pernah memenangi Anugerah Shout Aloud 2012 baru-baru ini.


Jadi perhatian

Menurut Mozek, dia selalu melakukan semakan dan meneliti komen-komen penonton di saluran Mentol Pecah dua hingga tiga kali seminggu.

"Perkara paling seronok dan puas apabila ada orang memberi komen dengan setiap entri vlog yang dimuat naik.

"Komen paling kami suka apabila orang beritahu yang mereka tidak berapa faham dengan video yang ditonton, tetapi mereka boleh tergelak dengan video tersebut.

"Ada juga yang hantar e-mel minta kami hasilkan sesuatu video permintaan mereka mengenai isu-isu semasa," ujarnya yang mengakui turut pernah mendapat kritikan mengenai entri vlog mereka.

Jika jumlah pelayar mencecah ratusan ribu, sudah pasti kelibat mereka ditempat awam menjadi perhatian umum.

"Kalau keluar pergi jalan-jalan, ada yang mengenali. Rasa terkejut juga tiba-tiba ada orang yang kita tidak kenal menyapa kita ketika di luar.

"Mereka mungkin yang pernah menonton vlog yang kami hasilkan," ujarnya yang menafikan tujuan utamanya terlibat dalam vlogging ialah untuk menjadi popular.

Sementara itu bagi seorang lagi vlogger, Mohd. Shazwan Zulkapli, 25, dirinya berjinak-jinak dengan dunia vlog, sejak tahun 2010 lagi.

Menurutnya, menerusi vlog ia bukanlah hanya sebagai medium bagi seseorang mengekspresikan karya dan bakat, malah ia boleh membuat seseorang menjana pendapatan menerusinya.

"Sekarang ini, YouTube di Malaysia sudah boleh buat duit menerusi iklan yang diiklankan di saluran kita.

"Saya pun sudah berdaftar untuk terlibat dengan projek yang dipanggil YouTube Partnership itu," katanya yang bekerja dalam bidang pemasaran video di sebuah syarikat pengeluaran komik tempatan.

Menurutnya, sebanyak 49 entri video telah dimuat naik olehnya sejak terlibat dengan dunia vlog.

Vlogger yang dikenali dengan panggilan Amanwan itu lebih selesa melakukan rakaman aksinya menggunakan kamera kompak.

"Sekarang ini, saya bercadang untuk menggunakan kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) untuk memperoleh kualiti gambar yang lebih baik," ujarnya yang merupakan graduan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang rekaan dalaman.

Nasi Ayam - Kolaborasi antara vlogger

Posted:

Nasi Ayam - Kolaborasi antara vlogger

Nasi Ayam - Kolaborasi antara vlogger

PERKEMBANGAN internet yang merupakan medium komunikasi baharu pada penghujung abad ke-20 turut menjadikan dunia bagaikan tanpa sempadan.

Biarpun berada jauh antara satu sama lain, ia mampu membuatkan manusia berkomunikasi secara terus antara satu sama lain.

Entri vlog berjudul Nasi Ayam nukilan idea pemilik saluran Mentol Pecah misalnya, telah dihasilkan hasil kolaborasi beberapa vlogger terkenal tempatan.

Antara vlogger yang terlibat ialah, Matluthfi, Maria Elena, Amanwan, Anwar Hadi, Aiman Azlan, Polkadot Doughnut dan Kyopropaganda.

Ia merupakan hasil gabungan rakaman video yang dirakam sendiri oleh beberapa vlogger tanah air yang bergiat aktif sebelum ia digabungkan dan disunting oleh pengendali saluran Mentol Pecah, Nirman dan Mozek.

Plot video Nasi Ayam itu berkisarkan kisah seorang remaja lelaki yang sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang ingin membeli juadah berbuka.

Ekoran cuaca yang panas, watak utama yang dilakonkan oleh Amanwan itu bagaimanapun berubah hati untuk tidak keluar daripada rumah dan bercadang untuk menelefon rakannya untuk mengirim pesanan juadah di bazar.

Bagaimanapun, rakannya itu kemudian menelefon rakannya yang lain untuk membelikan nasi ayam yang dipesan.

Perkara yang sama berulang-ulang berlaku sehinggalah kemudiaannya tanpa disedari, orang terkhir yang menerima pesanan telah menelefon AmanWan semula untuk memberi pesanan.

"Tidak sangka video tersebut mendapat sambutan orang ramai. Padahal, kami buat sekadar suka-suka sempena bulan Ramadan.

"Lepas dapat idea untuk buat video tersebut, kami telefon rakan-rakan vlogger yang lain untuk hantarkan rakaman video masing-masing," ujar Mozek yang memberitahu ia mengambil masa selama sebulan untuk mengumpul kesemua video berdurasi 5 minit 6 saat tersebut terhasil.

Ragam penyokong bola Afrika

Posted:

Ragam penyokong bola Afrika

Ragam penyokong bola Afrika


SEKUMPULAN penyokong Ghana memilih empat warna utama bendera negara itu iaitu merah, kuning, hijau dan hitam untuk pelbagai aksesori yang dibawa mereka ke stadium.


BAGI kaki bola sepak, selain Piala Dunia dan Kejohanan Eropah (Euro) salah satu lagi pertandingan peringkat antarabangsa yang tidak mungkin dilepaskan sudah tentulah Piala Negara-Negara Afrika.

Menjadi benua kedua terbesar di dunia, apa yang lebih membuatkan kejohanan tersebut begitu dinantikan sudah tentunya kerana nama-nama besar pemain bola handalan yang telah lahir dari bumi Afrika.

Antara pemain ternama dari benua itu termasuklah Yaya Toure dari Ivory Coast yang bermain dengan Manchester City, Victor Moses (Nigeria) bermain dengan Chelsea, Emmanuel Adebayor (Togo) bermain untuk Tottenham Hotspur, Kwadwo Asamoah (Ghana) beraksi untuk Juventus dan Didier Drogba (Ivory Coast) yang kini bakal bermain dengan Galatasaray.

Memulakan sepak mula kejohanan itu pada 19 Januari lalu, kehangatan Piala Negara-Negara Afrika semakin terasa apabila lapan pasukan sudah pun mengesahkan slot ke suku akhir. Peringkat suku akhir akan bermula malam esok dengan lapan pasukan yang layak ialah tuan rumah Afrika Selatan diikuti Cape Verde, Ghana, Mali, Burkina Faso, Nigeria, Ivory Coast dan Togo.


EMPAT penyokong tuan rumah Afrika Selatan bersorak gembira kerana kejayaan pasukan mereka layak ke peringkat suku akhir.


Namun, bahang Piala Negara-Negara Afrika ternyata bukan hanya dek aksi-aksi lincah pemain di tengah padang. Sebagai sebuah benua yang kaya dengan alam semula jadi dan terdiri daripada ratusan puak pribumi, Afrika sangat kaya dengan budaya dan misteri.

Disebabkan itulah, dalam setiap perlawanan, aksi dan keletah penonton di dalam stadium juga menjadi tumpuan lensa kamera.

Tidak hanya berwarnakan wajah dengan bendera dan mengenakan variasi jenis kaca mata, ada juga penyokong tegar yang hadir mengenakan pakaian puak masing-masing.

Diiringi pelbagai jenis peralatan bunyian termasuk vuvuzela atau genderang, kebanyakan stadium gegak gempita dengan sorakan penyokong-penyokong tegar itu.

Ragam Global minggu ini memaparkan sebahagian daripada keunikan dan keindahan penampilan penyokong Piala Negara-Negara Afrika itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved