Jumaat, 1 Februari 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Parkir selamat untuk wanita

Posted:

Parkir selamat untuk wanita

Parkir selamat untuk wanita

Oleh SUHANA VERU

KISAH penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian, 29, yang menjadi mangsa jenayah culik, rogol, bunuh dan bakar pernah menggemparkan negara lantaran ia antara kes paling kejam ke atas wanita.

Menyingkap kes Canny yang berlaku pada tahun 13 Jun 2003 itu, ia bermula apabila mendiang ibunya, Pearly Visvanathan dan adik perempuannya menghadiri majlis keraian di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Mendiang dikatakan berpatah-balik seorang diri ke keretanya untuk mengambil tiket parkir, tetapi tidak kembali dan dipercayai diculik di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, empat hari kemudian, mayat Canny ditemui rentung di dalam longkang di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Rentetan daripada peristiwa itulah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengeluarkan arahan semua pusat beli-belah di negara ini memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan sesuatu kejadian dikesan di kawasan parkir.

Terbaharu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan pusat beli-belah di ibu negara wajib menyediakan ruang letak kereta khusus untuk wanita yang memandu sendirian. Malah, pihak kementerian menekankan sekurang-kurangnya tujuh peratus kawasan letak kereta di sesuatu lokasi perlu disediakan khusus untuk wanita.

Tidak setakat itu, pemilik bangunan juga perlu melengkapkan kawasan itu dengan ciri keselamatan seperti butang panik, lampu yang lebih cerah, akses sekuriti dan berdekatan pintu masuk.

Inisiatif KLCC

Menyedari hakikat keselamatan pengguna amat penting, pusat beli-belah Suria KLCC menyahut seruan tersebut dengan menyediakan kemudahan parkir khusus untuk wanita. Rata-rata golongan wanita memuji langkah pihak Suria KLCC kerana menjamin keselamatan kepada kaum Hawa yang mengunjungi pusat beli-belah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien berkata, parkir khas itu terletak di aras P2 sahaja.

Menurutnya, sebagai panduan pemandu, golongan wanita boleh mengenal pasti lot khas itu dengan mudah kerana terdapat logo wanita di dinding dan lantai kawasan tempat letak kereta pula berwarna merah jambu.


FARAH mengakui dia kini tidak lagi takut semasa berjalan ke tempat parkir pada sebelah malam.


Ketika ditanya mengenai syarat lain untuk memarkir di situ beliau memberitahu, ia sebenarnya dikhaskan untuk wanita yang datang secara berseorangan sahaja.

"Kita tidak menggalakkan mereka yang ditemani pasangan atau rakan-rakan. Ia hanya untuk wanita yang mengunjungi pusat ini secara bersendirian," katanya sambil memberitahu terdapat 142 lot parkir untuk wanita di situ.

Menurutnya, ia terletak berhampiran pintu masuk eskalator dan lif Suria KLCC.

Kesemua tempat letak kereta wanita itu di bawah pengawasan keselamatan, malah pegawai keselamatan di situ juga akan memastikan parkir tersebut tidak disalahgunakan oleh pemandu lain.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup menjelaskan, mengikut garis panduan pengeluaran lesen perniagaan kini, semua pemilik bangunan komersial terutama pasar raya wajib menyediakan unit parkir khas untuk wanita.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau memberitahu sebelum sesuatu pembinaaan bangunan dijalankan, mereka perlu menyediakan ruang khas itu, manakala bangunan sedia ada pula tidak terkecuali untuk berbuat demikian.

"Jika mereka ingkar, lesen mereka tidak akan diperbaharui dan pembinaan bangunan baharu pula tidak akan diluluskan," tegasnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Katanya, pihak DBKL mendapat respons baik dalam kalangan pemilik bangunan terhadap cadangan parkir wanita itu.

"Lagipun, cadangan merizabkan sedikit ruang itu perlu, memandangkan situasi semasa kejadian jenayah yang sering berlaku di kawasan parkir pusat beli-belah," ujarnya.

Lebih terjamin

Seorang usahawan kain, Farah Adibah Ismail, 30, berkata, dia teruja dengan perkhidmatan baharu itu kerana ia bukan sahaja satu bentuk kemudahan, bahkan bagi menjamin keselamatan kaum wanita.

"Menerusi tapak khas seperti ini ia boleh menangani kes jenayah dan mengelakkan wanita menjadi mangsa serangan seksual," katanya ketika ditemui di parkir Suria KLCC baru-baru ini.


BAGI meningkatkan tahap keselamatan di parkir merah jambu, kekerapan pegawai keselamatan meronda turut dipertingkatkan.


Akuinya lagi, golongan wanita yang gemar membeli-belah pada waktu malam juga boleh menarik nafas lega dengan pengenalan kemudahan itu.

"Selain kelengkapan keselamatan yang mencukupi, mereka kini tidak lagi perlu terburu-buru untuk membeli-belah. Langkah Suria KLCC perlu dicontohi oleh pusat beli-belah yang lain," tuturnya lagi.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati kawasan tempat letak kereta untuk wanita mudah dikenali kerana terdapat logo wanita selain lantainya yang berwarna merah jambu.

Selain itu, terdapat petugas yang menaiki motosikal meronda-ronda di sekitar aras itu dan kawasan parkir itu dilihat berhampiran dengan eskalator.

Hasil pemerhatian Kosmo! juga mendapati terdapat papan tanda yang tertera tulisan 'hanya pemandu wanita tanpa penumpang' dibenarkan meletakkan kenderaan mereka di kawasan itu.

Seorang kakitangan swasta, Azila Aris, 43, turut memuji saranan kerajaan itu.

"Buat pertama kali menggunakan parkir ini, saya berasa selesa serta selamat apatah lagi kawasan sekitarnya dilengkapi dengan cahaya yang terang dan CCTV.

"Selepas ini, jika mahu membeli-belah seorang diri saya tidak lagi perlu bimbang kerana ciri-ciri keselamatan semuanya lengkap," jelasnya.

Didik hargai alam sekitar

Posted:

Didik hargai alam sekitar

Didik hargai alam sekitar


SEORANG renjer FRIM (berdiri) memberi penerangan cara-cara memasang khemah kepada kanak-kanak yang terlibat.


KANAK-KANAK dari tiga buah rumah anak yatim mendapat peluang menimba pengalaman selama dua hari di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini. Mereka yang berumur dari sembilan hingga 12 tahun dari Rumah Amal Limpahan Kasih, Pusat Jagaan Baitul Hidayah dan Rumah Kids di sekitar Selangor itu terpilih untuk mengikuti aktiviti perkhemahan selama dua hari di hutan itu.

Tujuan program tersebut untuk mendekatkan mereka dengan alam semula jadi dan menyemai kefahaman serta kecintaan terhadap alam sekitar.

Program anjuran Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) itu diisi dengan pelbagai aktiviti bagi membolehkan setiap peserta mempunyai pengalaman sebenar ketika berada di dalam hutan.

Oleh sebab perkhemahan itu adalah pengalaman pertama bagi kanak-kanak yang terlibat, sekumpulan renjer hutan memberi tunjuk ajar cara-cara untuk mendirikan khemah.

Sejurus selesai, mereka memulakan perjalanan ke Titian Silara FRIM sepanjang 500 meter.

Sepanjang perjalanan itu, renjer FRIM menggunakan kesempatan itu untuk menunjukkan pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan yang boleh dilihat di sepanjang laluan tersebut.

Bagaimanapun, perjalanan itu sememangnya mencabar serta menguji semangat dan keberanian kanak-kanak.

Ia berikutan, mereka terpaksa menyeberang dengan menggunakan jambatan gantung sepanjang 200 meter dan setinggi kira-kira 30 meter. Biarpun, pengalaman tersebut mendebarkan namun mereka berjaya mengharungi cabaran itu.

Sebagai ganjaran mengharungi cabaran itu, kanak-kanak tersebut dapat menyaksikan pemandangan indah latar langit bandar raya Kuala Lumpur.

Selesai aktiviti itu, mereka kembali ke Kem Perah untuk menyahut cabaran perlumbaan berhalangan yang menguji daya ketahanan, kepantasan, kerjasama berpasukan dan kebijaksanaan.

Apabila malam menjelma, mereka dijamu makan malam yang terdiri daripada nasi dan lauk-pauk.

Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi dan Pelaburan MTC, Suria Zainal, turut mengambil peluang tersebut untuk memberikan taklimat ringkas tentang dasar pengurusan hutan lestari Malaysia termasuk pemuliharaan dan pengurusan alam sekitar.

Pengalaman berharga

Seorang kanak-kanak dari Rumah Kids, Mathew Lee berkata, perkhemahan tersebut merupakan pengembaraan yang hebat kerana program itu diisi dengan pelbagai aktiviti yang manfaat.

"Saya rasa seronok kerana dapat melihat serangga hutan dengan lebih dekat. Ia adalah satu pengalaman yang istimewa," katanya.

Pendapat Mathew turut disokong pasangan kembar Mohd. Airel Ezani Mohd. Azhar dan Mohd. Airel Ezhar, 9.

Bagi mereka, perjalanan menyeberangi jambatan gantung adalah pengalaman yang paling sukar dilupakan.

"Ia bukan sahaja mencabar, bahkan menyeronokkan kerana berpeluang melihat pelbagai jenis tumbuhan unik," tutur mereka.

Sementara itu, Suria berkata, pihaknya menganjurkan program tersebut buat kali kedua untuk golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Menurutnya, aktiviti perkhemahan tersebut sebagai satu pengalaman pembelajaran untuk mendedahkan kanak-kanak dengan sumber-sumber asli negara.

Selain itu, ia juga bertujuan mendidik mereka tentang pentingnya pemuliharaan alam sekitar dan penggunaan sumber hutan secara bertanggungjawab.

"Lagipun, kita banyak menggunakan sumber dari hutan seperti kayu untuk dijadikan perabot, surat khabar, buku dan tisu.

"Oleh itu, kita mesti menguruskan hutan dengan berhati-hati untuk mengelakkan kepupusan atau menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, pihaknya bercadang untuk meneruskan program tersebut pada masa akan datang bagi menggalakkan generasi baharu untuk menghargai dan mencintai alam sekitar.

Rawat alergi dengan berkesan

Posted:

Rawat alergi dengan berkesan

Rawat alergi dengan berkesan


MASALAH rinitis alergi mengganggu kualiti hidup seharian si penghidapnya. - Gambar hiasan


DIANGGARKAN hampir 1.4 bilion orang di seluruh dunia menghidap gangguan alergi. Statistik tersebut semakin meningkat hingga menjadikannya salah satu masalah perubatan kronik yang paling lazim berlaku di dunia.

Dalam perkembangan lain, kes rinitis alergi di rantau Asia Pasifik juga telah banyak meningkat dalam tempoh 10 tahun lalu.

Rinitis merupakan sejenis penyakit yang sering berlaku dan menjejaskan kira-kira 40 peratus penduduk Malaysia.

Berdasarkan angka tersebut, alergi adalah punca utama rinitis dalam kalangan kanak-kanak dan golongan pertengahan usia iaitu sebanyak 80 peratus.

"Walau bagaimanapun, dalam kalangan pesakit yang lebih berumur, hampir separuh daripadanya menghidap rinitis alergi, manakala selebihnya mengalami gangguan bukan alergi.

"Ada dua jenis rinitis alergi yang utama iaitu simptom dari semasa ke semasa dan simptom berlarutan," kata Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Profesor Dr. Prepageran Narayanan.

Tambahnya, rinitis alergi dari semasa ke semasa berlaku kurang daripada empat hari seminggu atau kurang daripada empat minggu berturut-turut.

Bagi rinitis alergi berlarutan pula, ia berlaku lebih daripada empat hari seminggu selama lebih empat minggu berturut-turut.

Alergen yang paling lazim menyebabkan rinitis alergi dari semasa ke semasa ialah alergen di luar rumah seperti kulat, pokok, rumput atau debunga rumpai, manakala rinitis alergi berlarutan disebablan oleh alergen di dalam rumah seperti haiwan peliharaan, tungau habuk, najis lipas, bulu haiwan atau kulat di dalam rumah.

"Apabila antigen ditemui, sistem imun pesakit rinitis alergi akan menghasilkan histamina lalu menyebabkan timbulnya simptom-simptom alergi.

"Menurut suatu kaji selidik yang dijalankan antara tahun 2009 hingga 2010 di lapan buah negara Asia Pasifik, daripada 491 kediaman yang ditinjau di Malaysia, 41 peratus kanak-kanak menghidap rinitis alergi bermusim manakala 48 peratus menghidap rinitis alergi perenial," ujarnya pada majlis pelancaran Aerius D-12 oleh syarikat farmaseutikal antarabangsa, MSD.

Dalam kaji selidik yang sama, kebanyakan peserta menyatakan bahawa rinitis alergi menjejaskan mutu hidup mereka dan menyebabkan kemerosotan prestasi sekolah, prestasi kerja dan produktiviti mereka terutamanya apabila simptom-simptom rinitis alergi mencapai tahap paling teruk.

Mutu hidup terjejas

Produktiviti dan mutu hidup juga mungkin terjejas apabila pesakit AR cuba merawat diri sendiri dan mengambil ubat atau bahan antihistamina yang menjejaskan tidur.

"Mendapatkan rawatan dan diagnosis yang betul sangat penting. Apabila rinitis alergi dapat dibezakan daripada influenza biasa dengan tepat dan diuruskan dengan berkesan, pesakit boleh meneruskan aktiviti harian mereka dengan gangguan minimum.

"Kami harap pesakit tidak akan menggunakan ubat selesema yang dipilihnya sendiri apabila mereka menghidap AR. Jumpalah doktor untuk mendapatkan diagnosis dan ubat yang betul supaya simptom rinitis alergi dapat dikawal. Pada masa yang sama, mutu hidup dapat dipelihara," pesannya.

Aerius D-12 dapat memberi kelegaan kepada penghidap rinitis alergi dengan gabungan terbaharu antihistamina dengan rawatan hidung tersumbat yang tidak menyebabkan rasa mengantuk.

Dwicirinya yang unik merawat simptom alahan seperti hidung tersumbat, gatal-gatal, bersin dan mata berair yang berlaku sama ada dari semasa ke semasa atau sepanjang tahun.

Dalam pada itu, bagi mengatasi masalah kurang faham tentang rinitis alergi, MSD bersama Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia melancarkan kempen Hentikan Bersin, Hapuskan Gatal.

Kempen tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam tentang sifat dan simptom rinitis alergi serta perlunya berjumpa doktor untuk mendapatkan diagnosis yang tepat dan rawatan yang betul.

Pendidikan dan kesedaran orang awam amat penting kerana kesan rinitis alergi mungkin sangat besar terhadap mutu hidup dan ini boleh menjejaskan produktiviti lalu meninggalkan kesan negatif terhadap ekonomi.

Klinik-klinik yang menyertai kempen tersebut akan dibekalkan dengan bahan pendidikan seperti risalah dan poster untuk menyampaikan mesej tentang rawatan yang paling sesuai bagi rinitis alergi. - NURUL IZZA ROSLY

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved