Ahad, 17 Februari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Rita pantang maruah dipijak

Posted:

Rita pantang maruah dipijak

Rita pantang maruah dipijak

SEBUAH buku biografi berjudul Biografi Rita Rudaini akan diterbitkan dalam terdekat. Itu rakaman kehidupannya yang mahu dikongsikan dengan seluruh wanita.


DI sebalik manis senyuman Rita Rudaini, dia sebenarnya masih menyimpan kabut yang berselirat duri. Namun, jiwa yang pernah disakiti itu sedang bangkit.

Cukup hanya dengan dua nama, Aidit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna, itulah matahari dan bulan kecil yang menjadi penunjuk langkahnya dalam kehidupan sehari-hari. Anak kecil itu juga merupakan kekuatan buat Rita membelah samudera rumah tangga.

Benar, takdir gelap sedang menyerkup mahligai cintanya, tetapi bagi Rita, barangkali itu juga satu permulaan kepada ajaibnya sebuah masa depan. Wanita berusia 36 tahun itu juga percaya, saat ini bukan masanya untuk dia meratap atau membiarkan diri terus diperlekehkan oleh sesiapa, termasuklah suami sendiri.

Takdir boleh diubahkan dengan usaha dan doa namun kepahitan hari ini juga dianggap sebagai isyarat Tuhan agar diri tidak terleka. Dia bukan wanita yang mudah mengalah dengan nasib.

"Orang lelaki (suami) hanya ada dua usul iaitu nusyuz dan kembali taat. Rasanya, isteri yang tidak bersalah kena bela diri. Ikutkan, boleh ambil pendekatan 'biarlah' atau 'tidak mahu panjang-panjang'. Tapi akhirnya, yang nampak jahat hanyalah isteri.

"Dalam kes saya, saya berhabis untuk anak-anak. Saya juga kena bela diri saya sendiri. Suami yang tinggalkan saya dan anak-anak tanpa nafkah, kemudian heret pula saya ke mahkamah. Saya tidak akan biarkan maruah diri terus dipijak sebegitu rupa.

"Sampai hati dia memperlakukan saya begini, masa mahukan saya, dia kejar sampai dapat, bila ada masalah dia tinggalkan saya bersama anak-anak yang masih kecil. Saya ulangi, saya ditinggalkan bersama anak-anak yang masih kecil. Saya tidak dapat bayangkan jika saya isteri yang tidak punya simpanan dan tidak boleh berdikari," luah Rita saat hatinya diketuk lagi tentang polemik rumah tangga bersama bintang bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25, yang sehingga kini masih berlarutan.

Kemelut Rita dan Aidil sudah sekian lama menjadi tatapan umum. Bermula dengan dengan perkahwinan membelakangkan restu keluarga lelaki pada 2008 dan kemudian hampir berpisah sebelum berdamai kembali. Kemuncaknya rumah tangga pasangan berbeza umur 11 tahun itu apabila Aidil kalah kes tuntutan kembali taat yang difailkan ke atas Rita pada tahun lepas.

Tidak terhenti di situ, pertikaman di mahkamah antara Aidil dan Rita kini bersambung dengan beberapa tuntutan balas. Rita masih meneruskan kes tuntutan nafkah diri dan anak-anak manakala Aidil pula baru memfailkan dua lagi tuntutan. Lebih besar lagi, permohonan Aidil kali ini semakin serius. Kalah mengarahkan Rita kembali taat, permohonan cerai dan hak penjagaan anak-anak pula yang dipinta olehnya.

"Semasa sebutan kes di mahkamah Petaling Jaya pada 23 Januari lalu dia tidak hadir. Tugas, katanya. Hakim juga sudah putuskan tarikh untuk hari perbicaraan pada 21 Mac nanti. Tengoklah bagaimana sebab hakim pun sudah bagi amaran.

"Sampai sekarang pun, dia masih belum jelaskan bayaran berjumlah RM6,000 yang sepatutnya dibayar akibat kalah tuntutan nusyuz dahulu," beritahu Rita.

Terbitkan biografi

Bercerita dan terus bercerita, kata Rita, bukannya dia sengaja mahu membuka aib keluarga namun apa yang terjadi kepada dirinya, tidaklah semudah apa yang dibaca. Publisiti bukanlah motif utama tetapi apa yang diluahkan ialah perkongsian. Ia mungkin boleh menjadi pengajaran kepada setiap wanita yang mengalami masalah yang sama.

"Saya juga akan terbitkan sebuah buku biografi kisah hidup saya yang berjudul Biografi Rita Rudaini. Buat masa ini semua siap cuma tinggal untuk proses dibukukan.

"Biografi itu rakaman perjalanan hidup saya. Saya mahu setiap isteri yang dalam dilema tahu hak mereka. Idea itu timbul sekitar tahun lalu, masa saya tengah kusut dengan masalah tapi sekembalinya daripada mengerjakan umrah, semangat saya jadi lain. Saya jadi tenang sehinggakan orang sekeliling rasa pelik seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku ke atas saya. Saya berkerjasama dengan seorang kawan baik untuk penerbitan buku berkenaan," kata Rita yang kini menguruskan segala keperluan hidup, rumah, kereta dan anak-anak bersandarkan duit lakonannya semata-mata.

Merancang kehidupan untuk anak-anak yang sedang membesar, Rayyan, 4, manakala Arjuna, 2, Rita sudah menabung agar keperluan pendidikan anak-anak terjamin.

"Saya mahu pastikan anak-anak ada masa depan. Buat masa ini memanglah saya kembali berlakon tapi sampai bila. Dahulu memang lakonan sahaja tumpuan saya tapi sekarang fikiran saya sudah terbuka untuk memulakan bisnes. Saya mahu buka bisnes dengan keluarga, saya lihat operasi stesen minyak punya potensi dan sekarang usaha ke arah itu sudah dimulakan," jelas Rita ketawa mengenangkan kecoh dengan kisah pergaduhan bersama Lisdawati dan Fauzi Nawawi yang kembali hangat diperkatakan.

Sengaja mengusik keceriaan Rita tentang kehidupannya sebagai wanita glamor, masih muda dan punya pesona, masakan tidak ada lelaki yang sedang mengintai peluang untuk memiliki dirinya. Jika benar jodohnya bersama si pucuk muda Aidil akan berkesudahan.

"Rasanya soal tua atau muda bukan penentu kematangan seseorang lelaki. Bila sudah beristeri, suami kena bertanggungjawab dan menjadi pemimpin kepada keluarga, bukan dipimpin oleh ahli keluarga atau orang lain. Diri sendiri yang tentukan, bukannya usia.

"Saya tidak mencari-cari dahan untuk berpaut. Tapi, jika ditanya tentang lelaki bagaimana yang mahu saya jadikan pemimpin suatu hari nanti, saya pasti akan mencari lelaki yang ada iman.

"Bagi saya, iman akan berikan kesabaran yang diperlukan dalam sesebuah rumah tangga," katanya yang mahukan sebuah alasan daripada Aidil menjelang hari perbicaraan perceraian mereka di mahkamah kelak.

Menyelami lagi ke dasar hatinya, selama empat tahun hidup bersama sehingga benih cinta yang disemai sedang membesar di depan, Rita ditanya, tidakkah tertinggal sisa cintanya untuk Aidil. Mungkin itu juga sebabnya mengapa tidak Rita sendiri yang membuat permohonan cerai terhadap Aidil.

"Setiap kali ada masalah, dia pasti akan keluar dari rumah dan pulang ke rumah keluarganya. Tapi sejak kakinya keluar daripada rumah kami untuk kali terakhir dahulu, ketika itu saya anggap cinta kami sudah tamat. Cukuplah.

"Dengan setiap apa yang berlaku hari ini, saya cuma teringatkan kata-kata ibu saya, apa yang dirisaukan dahulu sudah pun berlaku hari ini, tapi saya tak akan berhenti berjuang. Hidup saya kini untuk anak-anak, jangan sesiapa cuba nak pisahkan saya daripada anak-anak saya. Memang ada yang bertanya, atas apa yang terjadi ini kenapa saya sendiri tidak membuat permohonan cerai.

"Saya pegang prinsip saya, bukan saya yang keluar dari rumah, curang atau tinggalkan suami dan anak-anak. Saya cuma tahu apa salah saya, buktikan jika saya salah. Itu sahaja," jelas Rita.

Menghabiskan luahan kisah hatinya itu, Rita melepaskan nafas lega terhadap penerimaan khalayak dan industri terhadap dirinya. Bertimpa-timpa dengan masalah rumah tangga tetapi dalam waktu yang sama, namanya kembali mekar di bibir peminat.

Tamat penggambaran Kerana Sarah yang kini bersiaran di kaca televisyen, Rita akan turun ke lokasi drama bersiri 40 episod berjudul Mencari Cinta arahan Shirin Khuzaimi tidak lama lagi. Andai tiada aral melintang, Mei nanti Rita bersama kru drama berkenaan akan terbang ke Amsterdam, Belanda untuk menjalani penggambaran di sana.

Fizz bertunang, saya yang kena - Almy

Posted:

Fizz bertunang, saya yang kena - Almy

Fizz bertunang, saya yang kena - Almy


GAMBAR Fizz Fairuz bersama tunangannya Azlyn Massiela Mohd. Nazar.


PANGGILAN telefon daripada teman-teman pada malam Ahad minggu lalu membawa kejutan dahsyat dalam hidup Almy Nadia. Ketenangannya terganggu. Sejak Isnin, telefon bimbitnya tidak henti-henti berdering. Ada yang dijawab bahkan ada juga yang dibiarkan putus asa dengan sendiri.

Kepada setiap wakil media yang menghubunginya, pelakon yang terkenal menerusi drama Dunia Baru itu hanya mampu memberi sepatah dua kata. Selebihnya, dia mohon agar tuan empunya badan yang harus dicari, bukan tanggungjawab dia untuk menjawab segala persoalan yang bertubi-tubi dihamburkan ke telinganya.

"Sebenarnya saya tidak mahu memberi komen dan maklum balas berkenaan pertunangan Fizz Fairuz. Dia yang bertunang kemudian hilang, tetapi saya yang kena menjawab. Saya pula yang jadi mangsa keadaan.

"Lagi pun saya tidak mahu dihentam nanti. Saya pun sedar, ketika ini ramai yang sedang memerhatikan saya, ramai yang hendak dengar apa pula yang bakal keluar daripada mulut saya. Lebih baik saya tidak bercakap banyak sebab sebelum ini pun, saya yang dilihat banyak cakap," luah Almy Nadia Shaiful Khairil, 27, ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Mengalih topik agar emosinya tidak terlalu didesak oleh kehancuran cinta yang sedang dialami, pelakon yang baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Cermin Kasih Amira diajak bercerita tentang hari esok. Meminjam kata orang lama, barang yang lepas usah dikenang jika dikenang meracun diri, Almy reda dengan ujian yang harus ditelan ini.

"Mungkin Tuhan sayangkan saya, sebab itulah Dia berikan saya ujian ini. Kami pun baru bercinta-cinta, bukannya suami isteri. Cuma satu sahaja yang benar-benar ingin saya katakan, apa yang terjadi ini ibarat memulangkan paku buah keras. Berani kerana benar," lentur Almy yang mengakui dia juga lemah seperti wanita lain yang berdepan saat putus cinta.

"Siapa yang tak menangis. Hanya Tuhan sahaja yang mampu memahami perasaan saya ketika itu. Mula-mula dapat tahu hal itu pun daripada teman-teman. Terduduk juga saya apabila dapat tahu orang yang selama ini dipanggil kekasih tiba-tiba bertunang dengan orang lain.

"Puas menangis barulah saya sedar, hidup harus diteruskan. Tak guna saya hendak menangis sedangkan dia (Fizz) sedang gembira. Saya doakan yang terbaik untuk Fizz dan tunangannya, untuk keluarganya dan bakal keluarga mertuanya," ujar Almy sedikit beremosi.

Tambah Almy lagi: "Fizz juga tidak jelaskan apa-apa terhadap saya tetapi saya ada menghantar SMS kepada Fizz minta dia tampil memberi kenyataan supaya bukan saya seorang sahaja yang perlu dengan berdepan semua persoalan ini. Jawab Fizz ringkas sahaja, katanya 'ya,' dia akan beri kenyataan. Itu sahaja."

Putus setelah masuk tahun ketujuh menyulam cinta, akui Almy tidak mudah untuk menyembuhkan hati dan jiwa yang telah hancur berkecai.

"Ibu dan anak angkat saya, Nur Afrina Darwisyah yang kini berusia empat tahun sahajalah kekuatan saya ketika ini. Ibu tempat saya mengadu dan anak kecil itu semangat untuk saya terus hidup. Terima kasih kepada teman-teman yang banyak memberi semangat. Saya belum sempat pulang bertemu ibu di Pulau Pinang kerana sibuk di lokasi. Mujur juga, kalau tidak, saya hanya seorang diri di Kuala Lumpur," kata Almy.

Ahad lalu, Fizz Fairuz mengikat tali pertunangan dengan seorang wanita di Kuantan, Pahang, Azlyn Massiela Mohd. Nazar. Antara beberapa keping gambar pasangan itu yang tersebar di internet, Fizz dikecam kerana dilihat menyarungkan cincin ke jari Azlyn Massiela.

"Saya tidak mahu sentuh hal itu. Saya sudah kenal Fizz selama tujuh tahun, saya juga kenal keluarganya. Saya kenal lebih banyak kebaikan berbanding keburukannya. Banyak jasa baik Fizz kepada saya selama ini," ujar Almy reda dengan status Fizz yang kini bergelar tunangan orang akan berkahwin tidak lama lagi.

Hantu Kak Limah mengamuk lagi

Posted:

Hantu Kak Limah mengamuk lagi

Hantu Kak Limah mengamuk lagi


FILEM ini menjadi filem terakhir lakonan pelawak terkenal, Allahyarham Zami Ismail.




GAYATRI SU-LIN PILLAI (empat dari kiri) bersama karyawan filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit sewaktu pratonton baru-baru ini.


DALAM masa tujuh hari tayangan, Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR 2): Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit mengatasi kutipan kolektif filem tempatan lain yang ditayangkan sepanjang tahun ini. Filem-filem lain yang dimaksudkan itu termasuklah Minyak Dagu, Juvana, Wawa Semput serta dua buah filem bukan Melayu iaitu Paper Moon (Mandarin) dan Ops Kossa Dappa 3 (Tamil).

Sejak ditayangkan 7 Februari lalu, filem karya dan arahan Mamat Khalid itu mencatat kutipan tiket berjumlah RM4.28 juta. Sebagai perbandingan, Minyak Dagu mencatat kutipan sebanyak RM2.36 juta sepanjang 28 hari tayangan manakala Juvana pula sebanyak RM2.69 dalam tempoh 11 hari tayangan.

Melihat kepada pencapaian awal yang diterima filem Kampung Pisang itu, ramai yang menjangkakan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit akan mengulangi semula kejayaan yang diraih dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010).

Ketika mula ditayangkan di 48 buah pawagam pada hujung tahun 2010 hingga ke Januari 2011, filem itu memperoleh RM2.7 juta selepas seminggu ditayangkan. Setelah tamat tayangan panggung selama enam minggu kutipan keseluruhan HKLBR berjumlah RM7.90 juta. Angka itu menjadikan filem pengarah prolifik itu menjadi filem ketiga kutipan paling tinggi sepanjang tayangan pada tahun 2010 di belakang Ngangkung (RM8.18 juta) dan Khurafat: Perjanjian Syaitan (RM8.03 juta).

Ekoran kejayaan yang disifatkan luar biasa kali ini, Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TU) selaku penerbit filem berkenaan merancang untuk menghasilkan Hantu Kak Limah 3. Gayatri Su-Lin Pillai mewakili TU menjelaskan, pihaknya sudah pun mengadakan perbincangan Mamat Khalid mengenai perkara berkenaan.

"Selama seminggu tayangan, jumlah kutipan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit ialah dua kali ganda lebih banyak berbanding HKLBR 2010. Buat masa ini pihak kami tidak tahu berapa lama tempoh tayangan di pawagam. Cuti umum perayaan Tahun Baru Cina mungkin antara faktor yang menyumbang kepada jumlah kutipan.

"Pengaruh kuat jenama 'Kampung Pisang' seperti Zombie Kampung Pisang dan HKLBR sebelum ini juga sangat membantu promosi filem ini," jelas Gayatri yang akan akur dengan permintaan pawagam berhubung tempoh tayangan filem berkenaan.

Bagi Mamat sendiri, selain kutipan box-office, kepuasan sebenar buat seorang pengkarya ialah apabila panggung bukan sahaja dipenuhi golongan muda.

"Saya rasa seronok apabila filem ini mampu membawa masuk penonton yang terdiri daripada semua golongan. Penonton yang datang bukan setakat kepit teman sahaja bahkan bawa seisi keluarga masuk panggung," katanya yang menyasarkan kutipan sebanyak sekurang-kurang RM6 juta untuk filem itu.

Senario penerimaan penonton filem pada fasa pertama pertama 2013 ini memberi petunjuk bahawa filem Melayu tempatan sedang bangkit setelah rata-rata filem yang ditayangkan pada tahun 2012 tidak menggembirakan industri. Pengurangan jumlah tayangan daripada dua filem Melayu seminggu pada 2012 berbanding satu filem satu minggu pada 2013 juga memberi lebih ruang kepada filem Melayu untuk bertahan lebih daripada dua minggu untuk ditonton ramai.

Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit mengisahkan kepulangan Husin ke Kampung Pisang setelah diisytihar muflis di Singapura. Kedatangan Husin menjadi sebab kepada kemunculan bekas kekasihnya Mon. Dalam waktu yang sama, Kampung Pisang kembali kecoh akibat gangguan makhluk halus dan Husin sendiri telah hilang diculik oleh lembaga misteri di kampung itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved