Sabtu, 16 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


'Misteri' seminggu cuti sekolah

Posted:

'Misteri' seminggu cuti sekolah

'Misteri' seminggu cuti sekolah

KEHADIRAN Azli mampu membuatkan sesiapapun ternganga mulut tatkala melihat ketinggiannya.


DIA percaya tiada yang luar biasa tentang dirinya. Menjadi pelajar ketiga tertinggi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh, Gua Musang, Kelantan, sosok ketinggiannya bukanlah suatu yang aneh pada hematnya.

Tapi itu dahulu, sebelum cuti sekolah Mac 2008 semasa Mohd. Azli Hisham Abdul Ghafar, 18, baru di tingkatan dua.

Usai cuti seminggu itu, seperti murid-murid yang lain, dia kembali ke sekolah tanpa menjangkakan apa-apa sehinggalah dia disapa seorang rakannya, Mohd. Izarani yang menyedari dia jauh lebih tinggi daripada sebelumnya.

"Eh, tingginya kau!" kata Mohd. Izarani dengan nada terkejut sebelum mengajaknya mengukur ketinggian dengan seorang pelajar tingkatan lima yang merupakan pelajar paling tinggi di sekolah pada masa itu.

Mereka berdua menemui pelajar tingkatan lima tersebut dan mendapati dia sudah sama tinggi dengan pelajar tingkatan lima itu. Ketinggiannya naik mendadak sehingga kira-kira 20 sentimeter!

Tapi, keadaan itu tidak kekal lama, Azli sudah mula 'dimahkotakan' pelajar tertinggi di sekolahnya sebaik melangkah ke tingkatan tiga. Dia tidak begitu mengingati berapa ketinggiannya pada masa itu.

Kini, ketika dia menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang, ketinggiannya terus melampai mencecah 2.05 meter (m) dan mengundang perhatian siapa sahaja terutama yang baru melihatnya.

AZLI perlu berhati-hati melangkah keluar dan masuk dari rumah atau kepalanya terhantuk ke alang pintu.


Kru Jurnal pada Rabu lalu melaporkan mengenai ketinggian Azli yang mampu mencabar rekod manusia tertinggi di negara ini setelah dijejaki seorang wartawan di Pahang semasa membuat liputan dalam satu program universiti berkenaan baru-baru ini.

Rekod manusia tertinggi di Malaysia yang disahkan Malaysia Book of Records kini dipegang oleh Sheikh Akmal Sheikh Imam, 17, yang mempunyai ketinggian mencecah 2.04m.

Mengimbau kembali ketinggian mendadaknya ketika di tingkatan dua itu, Azli yang mempunyai berat 90 kilogram itu juga kurang pasti apakah puncanya dia tinggi mendadak sedangkan seminggu cuti sekolah itu diisi dengan rutin biasa seperti kebanyakan murid sekolah yang lain.

"Tujuh hari cuti saya hanya banyak duduk di rumah, makan, tidur, tolong ibu kemas rumah. Itu sahaja. Saya pun tak tahu apa puncanya tapi selepas kawan saya tegur baru saya sedar tinggi saya naik mendadak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paloh 3, Gua Musang, baru-baru ini.

Meskipun tiba hampir tengah malam, Ibu bapa Azli, Abdul Ghafar Omar, 67, dan Halimah Kunju Muhamad, 56, yang sedang mengusahakan kedai makan turut mesra melayan kunjungan penulis dan jurugambar Rosni Masri seperti saudara sendiri.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, sejak kecil, dia paling suka makan makanan berasaskan gandum seperti roti canai.

Tambah Azli, dia tidak pernah merujuk ke hospital atau mendapatkan pandangan pakar mengenai ketinggiannya yang melampau kerana mempunyai kesihatan yang baik dan bersyukur tidak menghidap penyakit berbahaya.

"Saya tidak risau tentang ketinggian ini, orang lain yang risau. Bila saya nak lalu dan ada halangan di atas, mereka akan cepat-cepat kata 'tunduk-tunduk!'" katanya tersenyum.

Sejak mempunyai ketinggian luar biasa juga, Azli turut mengalami kerumitan dalam hidupnya.

Bukan sahaja terpaksa membengkokkan lutut sampai lenguh dalam perjalanan menggunakan kenderaan atau terpaksa melupakan katil di asrama dengan meletakkan tilam di lantai bilik dengan disambung tambahan dua bantal, tetapi juga untuk mendapatkan pakaian saiz XXXL dan selipar saiz 14.

"Kaki saya saiz 14, tapi selipar yang biasa saya jumpa saiz 11. Kasut saiz 14 susah juga hendak cari tapi masih boleh ditemui atau ditempah, tapi selipar?" kata pelajar Diploma Sains itu sambil menunjukkan kakinya lebih besar daripada selipar yang sedang tersarung.

Cuba membiasakan dengan pemandangan mata-mata terbelalak yang memandangnya dari atas ke bawah atau jari-jari telunjuk yang mengajak orang melihatnya, Azli pada awalnya rasa geram dan malu, namun kini memilih untuk ketawa.


KETINGGIAN Azli menjadikannya perhatian terutama di tempat awam.


"Memang sudah biasa melihat orang mendongak terkejut spontan melihat saya, terutama apabila pergi tempat baharu atau bertemu dalam keadaan terserempak.

"Misalnya dia keluar tandas, dan saya menunggu di depan pintu untuk masuk. Kanak-kanak biasanya akan terlanggar sesuatu setelah mata mereka berterusan melihat saya.

"Mat Saleh juga terkejut. Seorang lelaki Australia yang terserempak dengan saya di stesen keretapi di Jerantut baru-baru ini terkejut dan ketawa selepas melihat saya. Dan saya juga turut sama ketawa," katanya.

Namun, dia juga punya hati. Azli yang ingin menjadi seorang jurutera sedar dia perlu menerima hakikat ketinggiannya itu dan sanggup berdepan pelbagai kata sinis, jenaka atau ejekan orang di hadapannya namun tidak di belakangnya.

Dia boleh menelan apa jua gelaran yang diberikan kepadanya. Katakan apa sahaja, panjang, gergasi, galah, zirafah atau Great Khali (seorang ahli gusti yang tinggi dari India), tetapi berasa hati jika terdengar atau mendapat tahu orang mengumpatnya.

"Saya pun ada perasaan. Saya tidak kisah diberikan gelaran. Sekarang, saya juga boleh menerima apa jua yang orang kata di hadapan saya, tetapi saya akan berasa hati kalau orang mengata di belakang saya," ujarnya.

Meskipun Azli kini bagai selebriti segera, dia tetap seorang manusia yang mempunyai kisah luar biasa yang mengingatkan kita bahawa hidup ini kadang-kadang mengejutkan.

Syurga banduan Norway

Posted:

Syurga banduan Norway

Syurga banduan Norway

Banduan di Penjara Bastoy bukan sahaja boleh berehat di tepi pantai malah boleh melayari internet sepanjang masa.


RUMAH yang selesa untuk setiap banduan. - Gambar hiasan


SEBUT sahaja penjara, pasti terlintas dalam fikiran sesiapapun tentang lokasi yang menakutkan, terasing dan terbelenggu di sebalik tirai besi.

Namun, pernahkah anda bayangkan penjara menjadi 'syurga' dunia bagi golongan banduan.

Mereka bukan sahaja bebas berenang, memancing, bermain tenis, bola sepak, berehat tepi pantai, sauna, menonton wayang malah melayari internet!

Penjara Bastoy yang terletak di Kepulauan Bastoy, Norway pasti menjadi idaman banduan di seluruh dunia.


BILIK yang mempunyai kemudahan televisyen kabel.


Perjalanan menuju ke sana menggunakan pengangkutan feri yang mengambil masa selama 15 minit. Menempatkan sebanyak 120 orang banduan, lokasi itu satu-satunya penjara yang terletak di sebuah pulau di Norway.

Bukan berbicara bohong, setiap penjenayah menetap di banglo mempunyai kemudahan mewah seperti kabel televisyen, kantin, gimnasium, panggung wayang mini serta kantin.

Salah seorang banduan, Nil, 36, yang dipenjarakan selama 16 tahun kerana membunuh seorang penagih dadah mendakwa, dia kini bekerja sebagai seorang kakitangan perkhidmatan feri di penjara tersebut.

"Saya dipenjarakan selama lapan setengah tahun di penjara lain sebelum dipindahkan ke Penjara Bastoy.

"Saya gembira menjalani tugas sebagai pekerja feri dan bercadang mengambil kursus bidang maritim di universiti sebaik sahaja dibebaskan kerana ingin menjadi seorang kapten kapal.

"Ironi, sebaik sahaja keluar penjara anda wajib membawa dua beg berisi pakaian tetapi tidak di sini," cerita Nil.

Norway merupakan sebuah negara terkaya di Eropah dengan kapasiti lima juta orang penduduk. Hanya 3,500 banduan sahaja yang menjalani hukuman di negara ini.

Bagi Lars Ulmann, 48, yang pernah dipenjarakan selama lima tahun kerana mengedar dadah dia bertukar status menjadi kontraktor hartanah dengan gaji yang tinggi, kereta dan pejabat.

Tetapi akhirnya dia memilih menjadi pegawai penjara di Bastoy.


KEMUDAHAN telefon awam untuk banduan menghubungi keluarga disediakan pihak pengurusan Penjara Bastoy.


"Bekerja di sini lebih berharga berbanding menjadi kontraktor hartanah. Sebagai warden penjara tanggungjawabnya lebih mudah," katanya.

Ketua Penjara, Arne Kvernvik Nilsen berkata, Penjara Bastoy sama seperti penjara lain cuma pendekatannya sahaja yang berbeza.

"Bastoy mempraktikkan kaedah berbeza yang membuat banduan berasa bertanggungjawab dengan persekitaran yang tenang membantu menenangkan fikiran serta menghormati antara satu sama lain," tuturnya.

Selain tidak mempunyai sel, bar dan restoran mewah, tiada sesiapapun termasuk pegawai mempunyai senjata api.

"Tiada kes keganasan di sini hanya seorang banduan yang cuba melarikan diri dengan mencuri sebuah bot nelayan dan hukumannya dipindahkan semula ke penjara tertutup," tutur Nilsen. - Agensi

Tempat bergantung kanak-kanak HIV

Posted:

Tempat bergantung kanak-kanak HIV

Tempat bergantung kanak-kanak HIV

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


POSHe sudah berumur hampir lima tahun.


WAN HAVA WAN HUSSIN mengakui kudratnya tidak sekuat dahulu apatah lagi umurnya yang sudah melebihi 60 tahun.

Pun begitu, dia masih bersemangat menyelia Positive Shelter Home (POSHe). POSHe merupakan sebuah rumah perantaraan untuk kanak-kanak dan wanita pembawa HIV yang diasaskannya sejak 2009.

Kini, terdapat sembilan individu pembawa HIV di POSHe yang berusia sembilan hingga 18 tahun.

Wanita bersemangat waja ini memulakan bicara, dia sebenarnya bergelumang dengan dunia kebajikan sejak di sekolah rendah lagi.

Individu yang mendorongnya dalam aktiviti kesukarelaan ialah bapanya sendiri, Wan Hussin. Allahyarham Wan Hussin yang merupakan seorang bekas tentera bekerja sebagai pegawai kebajikan di sebuah syarikat korporat.

"Sejak berusia 10 tahun lagi, saya sering mengikuti ayah melawat pekerja yang memerlukan bantuan kewangan terutama mereka yang mempunyai ramai anak, berpenyakit atau masalah peribadi.

"Ayah akan memanjangkan masalah tersebut kepada pihak atasan sehingga selesai.

"Kata ayah, sekiranya kita sering membantu individu yang berada di dalam kesusahan, Allah akan melapangkan hidup kita," kata Wan Hava berfalsafah.

Tambahnya, dia kini mengutip hasil kerana nasihat ayahnya itu.

"Saya bahagia mempunyai dua orang anak kandung yang telah berkahwin selain 11 orang anak angkat. Sebenarnya puncak kebahagian dengan umur sebegini bukannya wang ringgit atau harta benda tetapi hidup yang tenang.

"Anak-anak (penghuni POSHe) ialah suka dan duka saya. Sekiranya dijemput Allah kelak, saya terima, lagipun seorang manusia tidak akan hidup selama-lamanya," cerita Wan Hava.

Wanita ini juga tidak lekang bercerita mengenai susuk peribadi ayahnya.

"Arwah ayah seorang yang tegas. Kami adik-beradik seramai 12 orang wajib sarapan bersama setiap hari.

"Selain itu, kami sering solat Subuh, Maghrib dan Isyak secara berjemaah. Semasa bulan Ramadan kami akan bersolat Maghrib bersama selain mendengar kuliah yang disampaikan oleh ayah.

"Kuliahnya terlalu lama sehingga kami mendengus kerana kelaparan," kata Wan Hava sambil ketawa.

Wan Hava memberitahu, sekiranya mereka lambat bangun pagi, ayah akan menjirus mereka dengan air.

Rumah perantaraan

"Pengajaran berguna, kita tidak boleh membazir masa yang diberikan oleh Allah. Segala urusan perlu kita selesaikan sebaik mungkin," cerita wanita yang berkelulusan sekadar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini.

Walaupun sekadar lulusan sekolah menengah, dia tetap bersemangat bercerita perihal POSHe.

"Mulanya saya dan seorang rakan ingin membuka rumah jagaan orang tua tetapi hasrat itu tidak terlaksana kerana dia sudah meninggalkan dunia terlebih dulu.

"Tetapi, apabila terfikir pengalaman menguruskan individu yang menjadi pembawa dan penghidap HIV, saya mendapat ilham membuka rumah perantaraan HIV," ujarnya.

Dia ditanya mengapa memilih majoriti kanak-kanak berbanding individu dewasa.


WAN HAVA mengambil serius perihal pelajaran kanak-kanak di bawah jagaannya.


Stigma negatif

Wanita yang mudah tersenyum ini memberitahu, menjaga kanak-kanak lebih praktikal berbanding mereka yang sudah dewasa.

"Lagipun mereka mudah dilentur serta dididik. Bukan berfikiran negatif tetapi jarang individu dewasa pembawa HIV dapat menerima hakikat," ujarnya.

Soal menyediakan keperluan makanan dan minuman penghuni POSHe tidak menjadi masalah bagi Wan Hava.

Katanya, menjelang bulan Ramadan, ramai individu serta badan korporat yang menghulurkan bantuan beras, makanan serta keperluan harian.

"Makanan kami tidak mewah, cuma ikan dan telur sahaja tetapi sekiranya ada sumber kewangan lebih sesekali menikmati ayam atau makanan laut lain.

"Kadang-kadang stok makanan boleh bertahan sehingga tiga bulan," katanya.

Jelasnya, keperluan yang agak mendesak sekarang ialah pakaian dan kos perubatan anak-anak di bawah seliaannya.

Katanya, kos itu meningkat kerana mereka semakin membesar termasuk belanja persekolahan.

Pendekatan berbeza yang diamalkan oleh Wan Hava ialah menggalakkan setiap anak jagaannya mempunyai tabung simpanan sendiri.

Katanya, wang simpanan itu akan membantu mereka pada masa hadapan sekiranya ingin berniaga atau atau menampung perbelanjaan pada masa hadapan.

"Saya ajar mereka berjimat. Misalnya, jika wang saku sekolah RM2 saya minta mereka simpan 50 sen, jika tabiat itu diamalkan seharian simpanan mereka akan bertambah akhirnya.

"Malah, ada yang berjaya menyimpan sehingga RM5,000. Mereka mungkin akan sukar mencari pekerjaan kelak lagipun sekarang terdapat ibu bapa yang mengadu kepada pihak sekolah tidak ingin anak mereka duduk bersebelahan dengan kanak-kanak pembawa HIV.

"Lagipun usia saya semakin lanjut dan tidak mengetahui siapa yang akan menjadi tempat bergantung mereka kelak.

"Duit tabungan itu hak mereka sendiri dan disimpan dalam akaun bank tertera nama mereka dan saya tidak akan mengambil atau menyentuhnya walaupun 10 sen sekalipun," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved